Jangan Benci Aku Bab 1



Bab 1
 
Kring!!!
Kurus semangat! Terkejut gila aku dibuatnya. Rasa macam terbelah empat bahagian jantungku tadi. Dahlah waktu tu, aku tengah bermimpi kena kejar dengan perompak. Fuh. Nasib baik. 
Sejenak, mataku lama memandang ke atas. Merenung beberapa kata-kata yang sengaja aku bingkaikan untuk tatapan diri. Rasanya kat Malaysia ni, jarang orang amalkan apa yang aku buat. Tapi untuk pengetahuan, inilah cara aku memotivasikan hidup.
Setiap pagi, sejurus saja buka mata, memang 3 senarai kata itu adalah perkara pertama yang aku pandang. Tajam tepat hingga menusuk ke hulu hati. Seolah-olah semua itu memberikan aku satu kuasa dan semangat baru untuk meneruskan hari-hariku.
Tidak lama selepas itu, barulah tubuhku mula menggeliat malas. Mulut yang ternganga luas, dikatup dengan tangan kanan. Tak payah kerling pun, aku dah masak pukul berapa sekarang. 6 pagi. Memang aku selalu kunci jam awal untuk bangun. Nak kata bangun awal sebab nak berjemaah di masjid, nampak sangat berbohong.
Tapi dalam malas-malas pun, dua rakaat tetap aku laksanakan. Bak kata orang yang nyanyi lagu Sepohon Kayu,
Walaupun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang,
Apa gunanya.
Nak tak nak, solat itu wajib. Solat itu tiang agama. Solat dapat mencegah diri daripada melakukan kemungkaran. Agaknyalah kan, kalaulah aku ni jenis manusia tak jaga solat, dah lama kot aku ni jadi penyamun. Tak pun perompak yang macam dalam mimpi aku tadi. Hish... nauzubillah.
Okeylah. Tak naklah nak membebel panjang-panjang. Badan pun rasa melekit semacam dah ni. Aku pantang kalau badan sendiri bau busuk. Badan orang lain, memang aku tak ambil tahu. Terpulang nak bau tuak masam ke, pahit peria ke, aku tak kisah. Janji, badan aku bau wangi.
Batang tubuh sudah berdiri tegak di birai katil. Sempat aku melakukan senanam kecil untuk meregangkan otot. Tuala yang tersangkut di dinding, segera aku capai. Lalu kakiku mula mengatur langkah menuju ke bilik air.
Bam!
Okey. Pintu ditutup. Setakat ni dulu cerita pasal aku. Hal privasi macam ni, rasanya tak payah nak kongsi lebih-lebih. Manusia ni, bukannya boleh percaya sangat. Lebih kuah dari sudu. Bukan sekali dua aku kena dengan orang macam tu. Dah berkali-kali. Naik cemuih.
Lalalala....
Beberapa minit kemudian...
Pintu bilik air, kubuka perlahan. Fuh... nyaman dan segar rasa tubuh. Kemudian, aku keluar dari bilik air menuju ke satu sudut. Setelah tuala digantikan dengan kain pelekat, dan tubuh berbalut t-shirt lengan pendek berwarna putih, aku segera mengangkat takbir. Maka selesailah satu urusanku pada pagi itu.
Selesai saja solat, aku terus menuju ke arah cermin besar yang tergantung di dinding kamar. Deoderan dikenakan. Pewangi jenama Polo aku sembur ke sekitar tubuh. Selepas itu, barulah aku mengenakan kemeja lengan panjang yang dah siap bergosok kemas. Dipadankan dengan seluar slack berwarna hitam.
Tapi jangan ingat semua benda dah settle. Tang yang lepas ni aku paling malas nak hadap sekali. Nak tahu apa? Tunggu... nanti aku turun ke bawah, kamu tahulah apa yang aku maksudkan.
“Morning Arash...”
Aku tersentak. Celah mana pulak mama datang ni? Tiba-tiba saja boleh muncul. Menakutkan orang betul.
“Pagi ma... awal bangun.” Aku membalas ala kadar.
Sepintas lalu, wajah mama yang manis, kupandang dengan penuh kasih. Mama, walaupun umurnya hampir melepasi setengah abad, tapi air mukanya tetap menawan dan cantik. Aku tak pastilah aku yang ikut baka dia ke atau dia yang ikut baka aku.
 “Mestilah mama bangun awal. Ni semua kamu punya pasallah.” Tak semena-mena, pernyataan itu keluar daripada mulutnya.
Aku tergamam sambil berkerut dahi. Haish... dia dah mula dah. Pagi betul enjinnya panas hari ni. Tahan telingalah aku kali ni. Sabar Arash.. itu mak kau. Bukan orang lain.
“Apahal salah Arash pulak?”
“Yalah... kalau Arash tak pergi office awal, tak adalah mama perlu bersusah payah bangun awal macam ni.” Dia berkata sambil menyapu roti yang baru lepas dibakarnya.
Ada senyuman kulihat meleret di bibir mama. Aku tak pasti, mama sedang menyindir atau menegur. Tapi apa yang aku tahu, hati aku sebak dengan jawapan itu.
Walaupun mama sama seperti ibu orang lain yang memiliki ciri-ciri semulajadi iaitu suka membebel, tapi aku tahu mama sangat menyayangi aku. Sudah banyak kali aku pesan padanya agar  tak perlu bersusah payah untuk aku. Tapi mama tak pernah mengendahkan.
Dia selalu bangun awal sama dengan aku semata-mata mahu menyediakan sarapan buatku. Sedangkan bukannya rumah kami tu tak ada orang gaji pun. Kalau ya pun masakan orang gaji rumahku tak boleh ditelan, bukannya aku tak boleh makan di luar.
Entahlah... kadangkala aku terharu tengok pengorbanan mama terhadapku. Dia seakan masih menganggap aku ni seperti anak kecilnya sedangkan umur aku ni dah besar panjang. Mungkin sebab hanya aku ni seorang aje zuriat dari rahimnya. Sebab itulah dia sayang gila kat aku.
“Mama... Arash bangun awal, sebab nak kerja. Cari duit untuk kita sekeluarga. Kalau duit tak ada, siapa juga yang susah? Mama jugak kan? Arash tak sanggup tengok makan batu dan kayu.”
Tiba-tiba aku terdengar mama ketawa. Dia siap cubit lagi pipiku dengan air muka geramnya.
“Kamu ni, Arash. Pagi-pagi lagi buat lawak jenaka dengan mama. Tak ada maknanya mama nak makan kayu dan batu, sayang. Harta papa kamu ni melambak dah. Tak habis makan untuk berapa keturunan pun. Mengaku ajelah. Kamu tu yang workaholic sangat.”
Aku tersenyum mendengar jawapan mama. Nampaknya perempuan yang bernama Sarimah Abdul Wahab itu benar-benar ibu kandungku. Masak benar dah dia dengan perlakuan aku. Ya. Aku mengaku aku seorang yang kuat bekerja.
“Okeylah tu mama. Dari Arash buat benda yang bukan-bukan, mama jugak yang sakit kepala,” kataku seraya melabuhkan punggung di sebelahnya.
Pinggan yang berisi beberapa roti yang sudah disalut jem dan mentega, disuakan ke arah aku. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Mama hanya membalas dengan anggukan dan senyuman. Tidak lama, roti bersalut jem strawberi menjadi pilihanku untuk dimasukkan ke dalam mulut.
“Arash...”
“Ya ma.”
“Mama nak cakap satu perkara dengan kamu, nak.”
Pandangan mama sudah terlontar sepenuhnya terhadapku. Dia tidak menjamah mana-mana pun juadah yang terhidang. Bermakna, hal yang ingin dibincangkan bukan satu perkara santai.
Jauh di sudut hati, aku seperti dapat menghidu apa yang mahu diperkatakan itu. Kerap juga dia mengulang hal tersebut sejak kebelakangan ni. Namun aku cuba berlagak tenang dan menyedapkan hati sendiri. Manalah tahu kali ni dia nak sebut tentang perkara lain pulak kan. Siapa tahu.
“Bila Arash nak mengakhir zaman bujang?”
Saat itu, jem strawberi yang berada dalam mulut tiba-tiba rasa seperti racun tikus. Terus aku terbatuk-batuk. Berair-air mata sebab bergelut nak telan roti yang tak sempat kunyah tadi. Nayalah. Mama ni memang ada niat nak bunuh anak kandung dia sendiri ke?
“Arash... kamu tak apa-apa?” Laju tangan mama mengusap belakang badanku. Suaranya bernada cuak tanda bimbangkan keselamatanku. Oh. Tahu takut, tadi beria nak pendek nyawa anak sendiri tu kenapa?
“Mama... kan Arash dah pesan banyak kali, jangan bincang pasal ni lagi. Tengok kesannya. Sampai tersedak-sedak Arash. Nasib baik tak mati.” Aku mengambil kesempatan untuk membebel pula.
Inilah yang aku paling tak suka jika bersua muka dengan mama. Bukan sebab aku bencikan mama. Tapi aku sangat tak gemar jika mama mengungkitkan perkara yang sememangnya menjadi pantang buat aku. Sebelum ini, mama sendiri sedia maklum akan perkara itu. Tapi kali ni, dia seperti tak mahu endahkan pula.
“Mama bukannya apa, Arash. Mama cuma nak tengok hidup kamu terjaga. Takkanlah asyik mama aje yang nak pantau makan dan minum kamu? Kalau kamu ada isteri, sekurang-kurangnya isteri kamu boleh tengok-tengokkan nanti.”
“Ala mama ni... tak ada isteri pun Arash boleh buat semua tulah. Baju kerja Arash pun, Arash yang gosokkan. Setakat sarapan, makan tengah hari, sambil tutup mata pun Arash boleh buatlah, mama.”
“Eleh. Berlagak. Ni apa ni? Gosok apa berkedut lagi ni?” Mama menunjukkan bahagian lengan baju aku yang jelas berkerenyut. Macam baru lepas kena langgar lari. Agaknya aku terlepas pandang. Sebabnya setahu aku, dah habis penghayatan dah aku gosok semalam.
“Oh... ini memang Arash sengaja tak kosong. Kan Arash pakai kot. Mana nak nampak kedutan tu nanti.” Dengan mudah, aku mematahkan kata-kata mama dengan jawapan yang entah apa-apa.
Mama terus buat muka. Nampak sangat dia tak termakan dengan jawapan aku tadi. Lagipun memang dah banyak kali pun dia dah kena tipu dengan aku selama ni. Alasan dan dalih pun dah banyak kali dia telan. Sebab tulah dah kalis gamaknya.
“Banyak betul cekadak kamu ni kan, Arash.”
“Hehehe. Ala mama... mama jangan risaulah. Kalau ada jodoh nanti, Arash kahwinlah. Lagipun sekarang ni, Arash nak tumpukan sepenuh perhatian pada kerja Arash dulu. Urusan kat syarikat tu banyak sangat. Nanti kalau kahwin, kena jaga bini. Lepas berbini, anak pula muncul. Bosanlah mama. Arash tak bersedia ke arah tu lagi.”
“Nak bersedia apa lagi, Arash? Kamu tahu tak, umur kamu dah berapa? Takkanlah nak tunggu tua ganyut baru nak berbini? Nanti semuanya terlepas.” Tinggi suara mama sebab tak senang dengan penolakan aku kali ini.
Tapi seperti biasa, aku tak pernah ambil hati dengan mama. Malahan, aku mampu berdepan dengan segala kemarahan dengan penuh ketenangan lagi sabar. Tidak lama selepas itu, belakang mama aku usap perlahan. Bebola matanya aku renung dalam-dalam.
“Mama... Arash tahu mama tertekan sebab fikirkan masa depan Arash. Arash juga tahu, mama sebenarnya sibuk nak menantu sebab mama bosan. Sekurang-kurangnya kalau ada menantu, dapat jugak dia jadi peneman mama masa berbual. Betul tak?”
Sarimah Abdul Wahab memandang aku sambil tersipu malu. Nampak sangat aku telah membaca niat hatinya dengan tepat. Tapi tak boleh salahkan dia juga. Dia kan memang ada hak ke atas aku. Jadi dia boleh buat apa saja yang dia rasakan mahu.
“Ya... memang itulah sebenarnya salah satu tujuan mama. Tapi kamu jangan salah anggap, Arash. Mama buat semua ni untuk kepentingan kamu juga. Mama nak tengok kamu bahagia.”
Mama nak tengok aku bahagia?
‘Mama... kalau mama nak tahu, kahwinlah yang akan membuatkan hidup Arash sengsara. Arash tak suka orang yang Arash tak kenal masuk dalam hidup Arash. Arash tak suka hidup dikongkong.
Kalau dapat bini baik, tak apalah jugak. Cuba mama bayangkan, kalau Arash dapat bini yang suka gusti Arash? Mama tak kesiankan Arash? Mama suka tengok anak mama ni lebam-lebam biji mata keesokann harinya?’ Aku bermonolog di dalam hati.
“Jadi macam mana?”
Soalan mama itu menyentakkan aku daripada terus berkata-kata. Hajat di hati, nak mengeluarkan monolog itu dalam bentuk suara. Biar mama dengar isi hatiku apa. Tapi takut pula kena pulas telinga dengan mama. Nak tak nak, aku kenalah tolak secara baik dan halus.
“Tak ada calon lagilah mama.” Aku berkata sambil meneguk air susu rendah lemak. Hendak sambung makan roti pun, rasa macam dah tak berselera. Siapa suruh mama bangkitkan hal macam ni masa aku tengah makan? Mama oh mama.
“Yang tu kamu jangan risau, Arash. Mama sendiri ada calon-calon yang sesuai buat kamu. Ramai. Anak kawan-kawan mama, semuanya beratur nak tunggukan kamu. Cakap aje kamu on, bila-bila masa aje masa wassap kawan-kawan mama suruh anak dia orang bersedia.”
Mak aih?! Bersedia? Main lumba lari ke apa ni. Takkanlah semua anak kawan mama tu boleh beratur sebab nakkan aku? Apa yang dah berlaku sebenarnya ni? Adakah sebab aku ni hensem sangat, sampai mereka sanggup beratur macam tu? Hish. Tak logik, tak logik.
Buat seketika, kami berdua tidak bersuara apa-apa. Namun mama langsung tidak mengalihkan pandangannya daripada memandang wajahku. Aku tahu, dia terlalu mengharapkan jawapan yang mampu memuaskan hatinya daripada mulutku.
“Mama... Arash nak tanya mama sesuatu.” Aku berpaling lalu menghadapnya yang berada di sebelah.
“Apa dia sayang?”
“Mama pernah masuk bilik Arash kan?”
“Yang tu tak payah tanya pun tak apa. Setiap hari mama masuk bilik kamu. Kalau bukan mama yang kemaskan, siapa lagi yang nak buat. Dah orang gaji, kamu pulak yang tak nak bagi masuk.”
Aku tersengih malu. Selamba badak aje mama bidas aku lagi. ‘Ikhlas’ betul dia memarahi aku pada hari ni. Sabarlah duhai hati. Tahankan telinga. Kuatkan dada.
“Arash nak tanya, mama ada nampak tak prinsip yang Arash letakkan dalam frame kat katil Arash tu?”
“Mestilah nampak. Disebabkan prinsip tulah, kamu semakin berjaya sekarang. Mama rasa bangga sangat dengan kamu, nak. Selepas papa meninggal, kamu berjaya ambil alih tugas syarikat dengan sangat baik. Mama yakin, papa pun mesti bangga dengan kamu.”
Pujian yang mama berikan langsung membuatkan aku tersengih lebar. Nasib baik tak kembang. Baguslah kalau mama sedar tentang perkara tu. Tak perlu aku susahkan diri meraih pujian melambung daripadanya.
“Memang dengan prinsip itulah, Arash pegang sampai sekarang. Satu, bekerja sungguh sampai mati. Dua, biar gila kerja, jangan gila betina. Yang terakhirnya...” Aku menggantung ayat di situ.
Saat ni, entah kenapa aku dapat rasa yang hormonku mula tak stabil. Sebab dalam-dalam banyak prinsip yang ditulis, aku paling tak suka dengan prinsip yang ketiga. Ada sebab kenapa aku terlalu bencikan prinsip itu walaupun ia tak dinafikan menjadi pembakar semangat untuk aku teruskan hidup.
“Yang terakhirnya apa?” Mama buat-buat bertanya. Sedangkan bukannya dia tak pernah baca pun sebelum ni.
“Tak payah cakaplah. Buat sakit hati.” Terus suaraku berbunyi garang.
Tiba-tiba, mama bersuara ke arahku dengan nada turun naik. Ada nada menyindir jelas kedengaran. Sajalah tu mahu bakar perasaan aku.
“Yang terakhir tu berbunyi, jauhi makhluk hantu bernama Rizzana. Yang tu, memang sampai sekarang mama tak faham. Kenapalah kamu buat moto macam tu, Arash? Siapa budak yang bernama Rizzana tu?” Mama segera bertanyakan soalan itu kepadaku.
Terdengar saja nama itu disebut, terus leherku rasa berbahang. Darahku tiba-tiba rasa mendidih. Kalaulah tuan punya nama ada depan mata, memang dah lama aku ganyang puas-puas. Sekurang-kurangnya, biar lega sikit rasa sakit hatiku ni.
Kalau semua nak tahu, inilah salah satu sebab kenapa aku begitu anti dengan makhluk bernama wanita. Sebab itulah sampai sekarang aku tak kahwin-kahwin. Semuanya gara-gara dia. Dialah yang membuatkan aku jadi takut untuk berhadapan dengan makhluk dari spesis hawa ni.
“Mama... Arash nak gi kerja dululah. Dah lewat ni.” Mahu mengelak daripada menjawab soalan itu, aku segera berdalih. Aku bangunkan tubuh lalu menundukkan ke arah mama. Pipinya kucium kiri dan kanan.
Aku menuju ke tempat letak kasut yang terletak berdekatan pintu. Kasut jenama Dr.Cardin aku kenakan.
“Ala... nantilah dulu. Mama tak habis cakap lagi ni. Macam mana dengan soal kahwin tu?”
“Arash tak nak bincang lagi. Tak pun macam ni, kalau mama still rasa bosan, apa kata mama aje yang kahwin. Boleh juga Arash dapat daddy baru. Arash tak kisah, asalkan mama tak paksa Arash lagi.” Pantas aku memberikan cadangan.
Mata mama terjegil. Barangkali dia terkejut dengan jawapan aku. Ketawaku mahu terburai tapi aku berusaha untuk menahannya. Mama, mama... bertahanlah ya dapat anak macam Arash ni.
“Bertuah punya anak. Lain yang disuruh, lain pula yang dapat.” Mama merungut memarahi aku.
Saat itu, aku sudah meloloskan diri ke dalam kereta. Tak perlu panas enjin, aku terus memecut laju meninggalkan mama. Mama ni sungguhlah... dia yang bosan, aku juga yang kena kahwin. Tak patut betul.
Sedang leka memandu, nama yang tak ingin diingati tadi terus bermain di fikiranku. Rizzana. Jujur, memang aku benci nama tu sangat-sangat. Kalaulah mama tidak menyebutnya tadi, pasti sekarang aku takkan terkenang-kenang.
Pin!!!
Tengok. Buta-buta aje aku kena hon dengan orang. Entah bila masa aku cross double line. Macam manalah pengguna jalan raya lain tak mengamuk.
“Sorry!” Aku jerit sambil mengangkat tangan ke arah pemandu itu. Cepat-cepat aku pandu ke arah laluan yang sepatutnya.
Haila... daripada aku merisikokan diri ke lembah kebinasaan, lebih baik aku kerah akalku supaya berhenti memikirkan pasal dia. Lantak dialah. Aku tak harus ambil tahu pasal dia lagi. Dia pun dah lama tak munculkan diri. Entah hidup ke mati.
Cuma balik dari pejabat nanti, aku harus lakukan sesuatu. Aku kena beli salotape atau liquid paper atau apa-apa saja untuk memadamkan nama itu dalam senarai prinsip aku nanti. Taklah sakit hati aku memandangnya.
Apapun, prinsip ketiga itu tetap akan berada di situ sampai bila-bila. Sebab hanya itulah moto hidup sebenar seorang lelaki yang bernama, ARASH HAQMI.


Ulasan

  1. Salam ukhwah, terima kasih sudi singgah blog saya....sebenarnya, gambar pada entry saya tu ialah gambar pemandu2 motosikal yang berhenti sebentar untuk menghormati detik satu saat semasa Malaysia Berkabung pada 22 Ogos yang lepas....minta maaf kerana entry mengelirukan ya :p

    BalasPadam
    Balasan
    1. Oh, begitu. Terima kasih atas pencerahan. Insyaallah akan singgah sentiasa jika ada masa terluang. :)

      Padam
  2. Wow... best ni. Panjang juga 1 bab yer.... kalau As la, jenuh nak cari idea. Good job:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Berdenyut jugak kepala nak karang. T_T
      Terima kasih As sudi baca. :)

      Padam

Catat Ulasan