30/06/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 2

Bab 2
"Sayang! Tunggulah i kejap." Iqbal kedengaran merayu. Laju kaki melangkah cuba menyaingi wanita di hadapan.
Zara buat-buat tak dengar. Malahan kaki sengaja dipercepatkan untuk menjauhi Iqbal. Sesungguhnya hatinya benar-benar sakit sekarang. Ada pakwe pun macam tak ada pakwe. Kalau macam ini, lebih baik tak payah couple. Lagi senang.
"Sayang!!!"
Terlalu terdesak, Iqbal berlari-lari anak. Lalu muncullah dia tepat-tepat di hadapan Zara. Langkah Zara terus terhenti. Enggan bertentang mata, segera dia memalingkan kepala ke arah lain sambil memeluk tubuh.
"Sayang, ni untuk u." Iqbal menyuakan sejambak bunga dan seekor anak patung Hello Kitty ke tangan Zara.
Dia tahu Zara pasti sedang merajuk. Jadi sebab itulah dia bawakan semua ini dengan harapan hatinya terpujuk. Orang kata, sekeras-keras kerak nasi akan lembut apabila dicairkan. Inikan lagi hati perempuan.
"Tak nak!" Zara tayang muncung sedepa.
"Ambillah. Susah payah i beli semua ni tau. Patung ni. Special edition punya. Masa beli hari tu pun, i berebut-rebut dengan orang. Terpaksalah i tebalkan muka i ni demi u." Beria-ria Iqbal mengarang cerita.
Sedangkan semua itu hanya rekaan. Dia seorang aje yang beratur tempoh hari kat Toys r Us. Yalah. Nak buatkan perempuan terharu, haruslah kelentong sikit-sikit.
Bagaikan terpancing dengan cerita itu, cepat-cepat Zara merampas segala pemberian Iqbal. Namun air mukanya tetap ketat. Dia masih lagi tak berpuas hati dengan apa yang Iqbal lakukan terhadapnya.
"Thats mean u dah maafkan i lah kan?" Iqbal menduga sambil tersengih.
"Tak ada maknanya." Zara jual mahal.
"Oh. Ingatkan dah okey lepas ambil patung tu."
"Hello Kitty ni tak bersalah okey. Yang salahnya u."
Meledak ketawa Iqbal. Tercuit hati dengan gelagat manja sang kekasih hati. Dalam merajuk pun, sempat lagi dia buat lawak. Hish... geram betul.
"U ni... pandai betul buat i gelak. Sebab tulah semakin hari, semakin i sayang kat u." Ikhlas Iqbal meluahkan.
Kembang tak semena-mena hati Zara. Berbunga-bunga perasaan mendapat pujian yang sangat menyenangkan. Rajuk yang menguasai tadi terus hilang. Hilang terus rasa marah yang bertandang.
"Kalau betul sayang, u takkan sesekali lukakan perasaan i." Sugul nada Zara kedengaran.
 Iqbal mengeluh perlahan. Memang dia akui akan kesilapannya. Banyak kali dia pinggirkan teman wanitanya itu. Namun itu semua bukanlah kemahuannya. Cuma keadaan yang memaksa.
"I minta maaf sayang. I tahu, i ni bukanlah seorang boyfriend yang baik. Tapi i nak u tahu, hanya u seorang yang paling utama dalam hidup i. Bukannya orang lain." Iqbal seakan memberi jaminan.
Buat sejenak Zara berjeda. Entahlah. Serasa sukar untuk dia percaya ucapan manis Iqbal. Sebab apa yang dia selalu buat, jauh berbeza dengan apa yang sering diucapkan. Ibarat mulut kata lain, hati kata lain.
"How about, Faz?"
Iqbal tersentak. Mati kutu dia nak jawab apa. Soalan Zara itu seperti mahu memerangkap dirinya. Namun dia cuba untuk tidak melatah.
"Kenapa dengan dia pulak?"
"Yelah. U cakap i yang paling utama dalam hati u. Tapi i tengok, u asyik tumpukan perhatian kat dia aje."
"Sayang... i kan dah bagitahu u banyak kali. Faz tu cuma kawan baik i. Tak lebih daripada tu." Iqbal menegaskan.
Susahlah kalau macam ni. Dah banyak kali ulang pun tak faham-faham. Memanglah tak salah kalau nak cemburu. Tapi biarlah kena pada tempatnya. Fazlin itu dah ibarat seperti keluarga sendiri pun.
"Ye, i tahu semua tu. Tapi ada sesetengah perkara tu macam tak masuk akal. I pun tak faham kenapa u sanggup buat macam tu." Zara cuba berkias.
"Maksud u, pasal janji i dengan dia tu?" Iqbal menduga.
"Ya. Terus terang, i rasa semua tu sangat mengarut. Kenapa i kena tunggu dia kahwin dulu, baru i boleh kahwin dengan u? Ni semua tak adil. I bercinta dengan u. Hanya untuk hidup dengan u. Bukannya dengan dia." Zara meluahkan apa yang terpendam di dadanya selama ini.
Iqbal menarik nafas dalam-dalam. Lama dia merenung anak mata gadis di hadapan. Sebelum satu senyuman dihadiahkan padanya.
"Sayang... sebelum kita akan disatukan, i sebenarnya tengah latih diri i ni untuk jadi lelaki yang sempurna buat u. Kalau lembu dipegang pada talinya, manusia haruslah dipegang pada janji.
Boleh aje kalau u nak suruh i teruskan pernikahan kita. Bermakna i kenalah langgar janji i dengan Faz tu. Tapi i takut, jika sekali i dah langgar janji, i takut i akan ulangi lagi. Nanti macam-macam janji i dengan u, i tak dapat tunaikan. Masa tu, i dah tak boleh buat apa. U nak ke macam tu?" Iqbal berkata dengan nada penuh tersirat.
Umpama peribahasa menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus. Tepung jangan berselerak. Itulah yang sedang dilakukannya sekarang.
Dia harus membuatkan Zara mengerti lalu tidak mempersoalkannya lagi. Dalam masa yang sama, janjinya dengan Fazlin haruslah dikotakan demi kelangsungan hubungan yang sedia terbina itu.
Akhirnya, Zara mengeluh perlahan. Nak tak nak, terpaksalah dia akur dengan kehendak Iqbal itu. Bimbang juga jika bakal suaminya menjadi seseorang yang tak suka tunaikan janji. Silap haribulan, dia juga yang merana.
"Yelah yelah. I ikut ajelah. Tapi, sampai bila kita harus tunggu dia sayang? Kalau dia tak jumpa pasangan hidup dia macam mana? Alamatnya sampai ke tualah kita macam ni ye sayang?" Zara seakan menyindir dalam diam.
"Yang tu u jangan risau. Untuk pengetahuan u, sekarang ni i tengah usahakan sesuatu untuk si minah tu. Harap-harap menjadilah rancangan i tu. Kalau berjaya, insya-Allah selepas sebulan aje dia kahwin, kita boleh terus akad nikah. Amacam?
Tak pun, kalau u sanggup nak buat majlis dengan dia, i lagi suka. Sekurang-kurangnya dapat jugak jimat duit belanja kahwin. Hehehe." Sengaja Iqbal berkata demikian untuk menyakat Zara.
Walaupun Zara tak pernah mengungkapkan menerusi kata-kata, namun dari tindak-tanduknya Iqbal tahu Zara memang tak sukakan Fazlin. Minah senget tu pun 2x5. Bukan kata nak tolong dia jernihkan keadaan. Keruhkan lagi adalah.
"Oppss sorry okay. U jangan nak pandai-pandai buat rancangan tak masuk macam akal tu. Dia nak kahwin, dia punya hallah. Kita ni kena kita-kita aje. Orang lain tak boleh masuk campur. Faham?!"
"Haip cip."
"Good."
"So sekarang ni u dah tak marah kat i lagilah ye?"
"Tak."
"Hah, macam tulah." Iqbal menarik nafas kelegaan.
Selesai satu masalah. Terus hilang rasa serabut yang bersarang di dalam kepala. Sekarang ini, dia kena fikirkan jalan macam mana nak laksanakan rancangannya terhadap Fazlin pula. Harap-harap menjadilah. Ikutkan hati, dia sendiri pun dah tak sabar nak bergelar raja sehari.

Waktu-waktu luang begini, Fazlin selalu mengisinya dengan menonton filem di dalam kamarnya. Selalunya, filem antarabangsalah yang lebih menjadi pilihan. Lebih menepati citarasa katakan. Kali ini, lakonan pelakon terkenal Julia Robert yang menjadi tontonan.
 Siapa yang tak pernah dengar cerita box office, ' My Best Friend's Wedding'? Kalau tak pernah tengok, memang sah katak bawah tempurung. Cerita ni sangat terkenal di serata dunia. Jalan ceritanya mengisahkan tentang seorang perempuan yang mencintai lelaki iaitu sahabat baiknya tanpa sedar.
'What a good movie.' Fazlin memuji sejurus tamat tontonannya itu. Satu senyuman tanda kepuasan terus melebar di bibir.
Buat seketika, Fazlin hanya berbaring sambil merenung ke siling. Ternyata cerita tadi masih melekat di ingatan. Entahlah. Bila difikir-fikirkan semula, secara peribadi dia rasa cerita itu bagaikan tak masuk akal pun ada.
Cuba bayangkan, sekiranya situasi itu berlaku di antara dia dengan Iqbal? Dia sukakan Iqbal? Oh tidak. Jangan haraplah perkara tu akan berlaku. Sesungguhnya, dia masih lagi waras. Iqbal pun masih tak gila lagi agaknya.
'Even tinggal dia aje jantan kat muka bumi ni, memang taklah aku dengan dia tu. Eii. Geli.' Fazlin menyeringai sendirian. Terenjat-renjat lehernya tanda tak sanggup membayangka semua itu.
Sedang leka mengelamun, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Fazlin tersentak. Cepat-cepat dia mencapai gajet yang terletak di atas meja sisi. Seketika, dahinya berkerut. Nombor yang tak dikenali tiba-tiba naik ke kaca skrin.
"Siapa pulak ni?"
Berkira-kira Fazlin untuk menjawab. Tapi kalau tak jawab, bimbang juga takut-takut ada perkara penting yang mahu disampaikan. Ah. Angkat ajelah. Bukan susah pun.
"Helo assalammualaikum..."
"Waailaikumussalam."
"Siapa ni?" Fazlin cuba bertanya. Memang dia yakin. Suara itu memang tak pernah didengarinya sebelum ini.
"Hmm... orang."
Terangkat sebelah kening Fazlin. Orang? Haih. Belum apa-apa dah pandai loyar buruk. Memang nak kenalah ni.
"Yelah orang. Takkanlah beruk pandai dail nombor telefon kot."
Ambik! Sedas dia bagi. Ingat dia seorang aje yang pandai loyar buruk? Ni Fazlinlah. Dialah kepala kepada segala loyar-loyar kat atas muka bumi ni.
Seketika, talian itu sepi. Agaknya pemanggil itu tersentak dengan semburan Fazlin. Ganas betul. Ada ke patut disamakan dia dengan beruk? Ish ish. Punyalah hensem macam Aaron Kwok. Beruk jugak yang dipilihnya.
"Err maaf. Biar saya kenalkan diri saya. Nama saya Arif. Saya telefon awak ni, sebab nak berkenalan. Boleh tak?"
Berkenalan? OMG. Apa dia ingat ni zaman batu ke nak berkenalan-berkenalan bagai. Zaman dah berubahlah. Orang dah tak layan dah sesi kenal mengenal macam tu. Buang masa dan tenaga.
Tiba-tiba hati Fazlin menjadi geram. Dia terfikir-fikir. Siapalah yang gatal sangat jaja nombor telefon dia kat orang lain ni. Ingat dia suka ke melayan benda-benda merepek macam ni? Buat serabut otak adalah.
'Iqbal? Ish, tak mungkin. Takkanlah dia nak buat macam tu. Bukannya dia tak tahu aku ni jenis macam mana.' Fazlin cuba bersangka baik.
Sedangkan dia tak tahu, memang Iqballah yang memberikan nombor itu kepada Arif. Tujuannya hanya satu. Supaya Fazlin bertemu dengan orang yang sesuai lalu mereka pun berkahwin. Nak harapkan Fazlin cari sendiri, memang berjanggut sampai ke kakilah. Nak jawab apa dengan Zara nanti?
"Kejap kejap. Sebelum tu, boleh saya tahu, kat mana awak amik nombor saya ni?"
"Adalah."
"Baik cakap cepat. Kalau tak, tahulah apa saya nak buat."
"Amboi, garangnya. Mesti muka awak tengah comel kan sekarang."
Fazlin menyeringai. Terus dia rasa nak muntah. Bukan main jantan ni cuba mengayat. Ingat dia ni jenis hati tisu ke? Eii pleaselah. Karang ada yang tercabut telinga kena 'bom' nanti.
Demi tak mahu memanjangkan keadaan, Fazlin memutuskan untuk menyelesaikan semua itu dengan cepat. Takut melarat, silap haribulan ada jugak yang meninggal. Kalau tak dia yang berbuih mulut dek berdepan karenah mamat masuk air mana entah, mungkin mamat tu yang terkena serangan jantung.
"Dengar sini betul-betul ye saudara Arif. Pertama, saya tak ada masa nak layan dengan orang yang saya tak kenal. Lainlah kalau saudara Arif ada urusan rasmi dengan saya. Yang kedua, tak payah cuba-cuba nak ayat atau pikat or whateverlah saya ni. Buat masa sekarang, saya tak nak ada kotmitmen dengan sapa-sapa. Even dengan Salman Khan pun saya tak nak.
Yang ketiga, tolonglah. Tolonglah tukar cara nak pikat perempuan tu. Geli-geleman saya dengar tau tak. Kalaulah macam ni cara awak tackle awek, saya berani jaminlah sampai ke tua awak membujang." Selamba Fazlin meluahkan.
Ini dah kira baiklah sebab dia sertakan dengan nasihat. Percuma lagi tu.
"Helo? Helo?"
Fazlin tersengih. Belum apa-apa mamat tu dah letak telefon ke? Tahu pun takut. Itulah. Memandai sangat telefon dia siapa suruh. Kan dah mendapat.
Ketika itu, telefon itu diletakkan semula di atas meja. Dalam masa yang sama, kepala tak berhenti dari memikirkan siapa sebenarnya yang telah menyebarkan nombornya kepada orang lain.
Ah. Ni tak boleh jadi. Dia kena laporkan benda ni kat Iqbal. Manalah tahu kot-kot si mamat tu boleh tolong. Fazlin membuat keputusan.

Bab 1 Klik Untuk Baca


1 ulasan: