9/07/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 3

Salam. Maaf terlewat 2 hari. Syok beraya katakan. Ditambah dengan keracunan makanan. Nasib baik tak teruk mana. Apapun, selamat membaca. :)

Bab 3
"Bukan akulah. Takkanlah aku tergamak nak buat macam tu kot." Iqbal berbohong. Sedaya upaya dia mengawal diri agar tak terkantoi.
"Memang aku dah agak dah. Ni mesti kerja orang lain. Lembu manalah yang pandai-pandai nak bagi nombor aku tu. Kalau aku dapat, memang siaplah dia."
"Teruk sangat ke dia kacau kau?"
"Nak kata teruk tu tak jugak. Tapi aku benganglah jugak. Kalau seorang dua tu tak apa lagi. Ni nak masuk tiga empat weh. Jenuh aku nak kenalkan diri aku ni. Last-last, aku cakap aje tak berminat. Terus dorang senyap."
Iqbal menelan liur. Dia sendiri tak perasan kepada siapa dia bagi nombor telefon minah tu. Tertekan sangatlah katakan. Niatnya cuma satu. Nak buatkan Fazlin cepat-cepat jumpa Mr. Right dia. Tapi tak sangkalah pulak Fazlin menentang. Kuat gila penolakan dia kali ni.
Seketika, Iqbal tiba-tiba teringatkan Zara. Terus air mukanya berubah. Nafas dihela perlahan-lahan. Bagaikan ada satu beban yang sedang memberati bahunya sekarang. Tambahan apabila mendapati rancangannya bagaikan tidak menjadi.
Fazlin sedar dengan perubahan drastik Iqbal itu. Mata turut terpandang ke arah gelas kaca yang masih penuh. Baru sekarang dia perasan air yang dipesan oleh mamat tu tadi langsung tidak disentuh. Fikirannya seolah-olah menerawang ke arah tempat lain.
Hmm. Ini mesti tak ada sebab lain. Bergaduh dengan awek dialah tu.
"Kau ni kenapa? Dari tadi lagi aku tengok macam tak mood aje."
Iqbal tersentak. Cepat-cepat dia tayang lagak selamba.
"Eh tak adalah. Aku okey aje." Bibir dipaksa menyedut sedikit minuman.
"Tak payah bohonglah. Ni mesti bergaduh dengan Zara lagi kan?"
Iqbal menghela nafas berat. Nampaknya dia dah tak boleh nak tipu lagi. Fazlin lebih mengenali dirinya.
"Entahlah. Aku pun tak tahu nak buat apa dah."
Kusut kepala Iqbal setiap kali memikirkannya. Mana tidaknya, serasa baru kelmarin aje mereka berbaik tapi hari ini dah gaduh lagi. Puncanya cukup mudah. Sebab Iqbal boleh terlupa tarikh ulangtahun perkenalan mereka.
"Pasal apa pulak kali ni? Ke kau ada pasang spare part lain kat belakang dia?" Fazlin sengaja bergurau.
"Hish tak ada maknanya. Entahlah dia tu. Aku tak faham betul. Sikit benar aje silap aku kot. Tak pasal-pasal melenting tak ingat dunia."
"Ye... tapi pasal apa? Cuba terus terang kat aku."
"Semalam aku terlupa nak wish aniversary aku dengan dia. Pagi ni terus tak tegur sapa. Telefon pun tak angkat. Tup-tup dia hantar mesej kata aku ni tak serius pasal hubungan kami. Melampau gila. 
Kau bayangkanlah. Tu baru aniversary perkenalan. Belum masuk aniversary kahwin lagi. Cuba kalau aku terlupa nak wish tarikh lahir dia nanti, silap haribulan terus dia mintak putus dengan aku. Tak ke naya." Iqbal seakan merungut.
Secara peribadi, Iqbal rasa spesis perempuan ini merupakan spesis yang agak merumitkan. Semua benda nak kena ingat. Tarikh itulah. Tarikh inilah. Hari-hari kalau macam ni, boleh pusing kepala dia.
Tatkala itu, Fazlin terus ketawa terbahak-bahak. Tercuit hati mendengar cerita yang keluar daripada mulut Iqbal tadi. Ingatkan apa. Rupa-rupanya hal kecik aje.
"Ala kau ni... biasalah, perempuan kan memang macam tu."
"Tapi kau tak macam tu pun." Iqbal sekadar membandingkan.
"Aku ni lain. Aku ni sporting. Baik hati pulak tu." Fazlin masuk bakul angkat sendiri.
Terbakar perasaan Iqbal. Pantang dipuji, laju aje kerjanya. Terus dia tayang muka menyampah. Hingga terburai ketawa Fazlin lagi.
"Kau ni kan... pantang kena puji. Meluat aku."
"Hahaha. Dengkilah tu."
"Tak ada maknanya."
Iqbal terus memeluk tubuh. Entah kenapa, saat ini perasaannya seakan berbolak-balik pula. Sampai bila dia harus begini? Terus terang, dia berasa sangat penat. Penat berdepan dengan segala masalah yang adakalanya sangat tak masuk akal.
Ketika itu, Fazlin yang masih lagi galak dengan ketawa dipandangnya lama. Terfikir juga di dalam benak Iqbal. Baru sekarang dia faham kenapa sampai ke sudah minah tu tak nak ada pasangan. Sebab dia tak nak terjebak dalam masalah beginilah agaknya.
Tiba-tiba, terlintas satu keputusan mengejut di dalam kepala Iqbal. Mungkin sebab dah tak tahan, dia fikir mungkin inilah jalan terbaik yang harus diambil untuk kebaikan dia. Mahupun Zara jua.
"Aku ingat, aku nak pisah ajelah dengan si Zara tu."
Spontan ketawa Fazlin mati. Terkebil-kebil dia memandang lelaki di hadapan. Rasa tak percaya dengan apa yang baru didengari.
"Apa kau cakap?"
"Aku cakap, aku nak berpisah dengan Zara tu. Kau dengar tak?"
Terbeliak mata Fazlin. Tiba-tiba lehernya terasa mengembang. Tak ada angin, tak ada ribut, suka-suka hati aje nak berpisah bagai. Macamlah dah tak jalan lain yang boleh difikirkan. Cetek betul akal.
"Kau gila, Iqbal?! Agak-agaklah. Takkan masalah kecik macam ni pun, kau nak perbesarkan? Bongok betul."
Iqbal terperanjat. Mak aih! Sedapnya mengata orang bongok. Mulut tu laser betul. Patutlah tak laku-laku sampai sekarang. Sempat Iqbal mengutuk dalam hati. Geram punya pasal.
"Aik? Aku pulak yang kena? Aku ingatkan kau sokong aku. Yelah. Kau tu kan memang anti dengan si Zara tu." Iqbal bagaikan membidas pula.
Fazlin hanya buat-buat tak dengar. Malas mahu mengiakan sedangkan memang itu hakikatnya. Dia bukannya benci sangat akan si Zara. Cuma adakalanya dia terasa menyampah dengan sikap 'over' perempuan tu.
Pernah satu ketika dulu, saat Iqbal mula-mula bercinta dengan Zara, mereka bertiga ditakdirkan keluar bersama. Semua itu merupakan cadangan Iqbal agar Fazlin dan Zara saling mengenali dan menjadi rapat. Pendek kata, hari itu ibarat sesi ice-breaking di antara mereka berdua
Mula-mula memanglah Fazlin cuba untuk berkomunikasi dua hala dengan si Zara tu. Dah itu awek kawan baik dia, kenalah ngam. Kenal hati budi. Mana tahu masuk kepala, boleh jadi kawan baik dia jugak.
Alih-alih jiwa dia pula yang boleh terbakar. Mana taknya, Zara tu ibarat ulat bulu naik daun memanjang. Asyik nak manja-manja dengan Iqbal. Minta suap itulah. Nak minum inilah. Nak kata cacat, tengok tangan tu elok aje dua-dua.
Lepas tu, bawak pergi jalan-jalan sikit, lenguhlah. Sakit sendilah. Logik akal, takkan pusing satu tingkat pasaraya The Store pun dah boleh sakit satu badan? Agak-agaklah. Lainlah kalau empunya badan tu dah berumur seratus tahun lebih ke atas.
Lepas diperhatikan lama-lama, barulah Fazlin perasan. Dia tahu, Zara seperti sengaja mengada-ngada sebab nak sakitkan hatinya. Apa?! Ingat dia heran sangat ke? Ke saja nak buat dia cemburu? Oh tolonglah. Iqbal tu kalau orang lain, memang dia tak pandang pun. Nasib baiklah kawan baik sendiri.
Bermula dari situlah, hubungan Fazlin antara Zara mula menjadi dingin. Kalau berjumpa, masing-masing dilihat tayang muka masam. Kalah tuak masam yang orang jual musim puasa.
Sampaikan Iqbal sendiri boleh naik pening. Tanya apa masalah, dua-dua saling tuding jari. Dia ni mula dululah. Dia tu yang mula dululah.  Kesudahannya, dia batalkan aje niat nak rapatkan ukhwah di antara mereka berdua.
"Betul tak apa aku cakap ni?" Iqbal cuba memprovokasi Fazlin.
"Dah tu kenapa?! Bukan aku yang start dulu. Tapi dia." Fazlin naik angin tiba-tiba.
Iqbal hanya tergelak. Puas hati dia dapat kenakan Fazlin. Lantaklah siapa yang mulakan dulu. Yang penting, mereka berdua tak main tarik-tarik rambut depan dia. Lepas kahwin nanti, pandai-pandailah dia nasihatkan Zara tu supaya beralah. Senang cerita.
"Memanglah kalau nak ikutkan, aku ni tak sukakan awek kau tu. Tapi tu bukan bermakna aku tak restu hubungan korang."
"Eleh. Ye ke?"
"Lantak kaulah nak percaya ke tak nak. Apa yang aku cakap tu, memang jujur dari hati aku." Fazlin menegaskan.
"Yelah yelah. Aku percayalah."
"Baguslah kalau macam tu." Fazlin menambah. Sebelum meneruskan persoalan yang bermain di benak setiap kali Iqbal mengadu pasal Zara dengannya.
"Cuma satu aje aku masih tak faham sampai sekarang. Apa sebenar masalah korang berdua ni? Asyik gaduh aje memanjang." Fazlin bertanya.
Iqbal tidak terus menjawab pertanyaan. Sebaliknya dia hanya berdiam diri sambil berfikir sesuatu. Perlu ke dia berterus terang pada Fazlin dengan memberitahu bahawa dirinya adalah punca utama? Bagaimana jika minah tu terasa hati?
Tapi kalaulah dia pendamkan semua ni, sampai bila dia harus bertahan? Sah-sahlah Zara akan buat hal selalu. Arghh... susahnya macam ni. Ibarat nak diluah mati emak, nak ditelan mati bapak. Apa pun tak boleh.
Baru saja Iqbal berkira-kira nak buat keputusan, tiba-tiba saja perutnya boleh memulas. Alahai... salah makan apa pulak ni. Tak habis-habis dengan masalah. Masalah dengan manusia pun tak selesai lagi. Inikan perut sendiri pulak yang buat hal.
"Woi kau kenapa?" Fazlin bersoal apabila tengok muka Iqbal berkerut semacam.
"Aku sakit perutlah."
"Pulak dah. Dah tu kira nak ke hospitallah ni?" Giliran Fazlin mengenakan Iqbal.
Iqbal tayang penumbuk sebelum dia bangun. "Jaga barang aku kejap. Aku nak beraklah. Tak tahan gila dah ni." Habis saja bercakap, berdesup Iqbal lari. Bimbang takut terlepas, boleh kecoh satu bangunan ni.
Fazlin hanya ketawa sambil menggeleng kepala. Hilang Iqbal dari pandangan, dia segera menarik rapat telefon samsung dan bag tote yang berada di hadapan. Sempat dia menyedut air tembikai segar bagi menghilangkan rasa haus.
Demi menghilangkan rasa bosan, tangan Fazlin tanpa sedar menarik spontan zip beg Iqbal. Saja nak tengok barang apa yang ada. Manalah tahu, dalam diam Iqbal ni makan benda terlarang ke. Nanti boleh jugak dia bagi nasihat sebakul dua biar mamat tu insaf.
Namun begitu, apa yang kelihatan ternyata tidaklah begitu memeranjatkan. Dompet, sikat, powerbank cap pineng, juga minyak wangi. Paling tak menahan, pomade pun ada. Sejenis minyak rambut paling trending zaman sekarang ni. Amboi. Kalah perempuan dah sekali dia bergaya. Patutlah rambut tu asyik berkilat-kilat aje.  
"Tak de benda menarik pun." Gerutu Fazlin sendiri.
Kemudian, dia terus terpandangkan Samsung Note 3 milik Iqbal. Macam biasa, hati meronta ingin tahu apa yang ada di dalam gajet itu. Butang sisi sudah ditekan. Lalu skrin pun diseret. Lantas terpampanglah gambar Iqbal bersama dengan keluarganya.
Tanpa sedar, bibir Fazlin mula mengoyak senyum. Terus terang, inilah salah satu sebab dia bangga kerana dapat mengenali lelaki itu. Ternyata Iqbal merupakan seorang yang sangat mengutamakan keluarga. Berbeza sangat dengan lelaki zaman sekarang yang kebiasaannya lebih mengutamakan orang lain yang tak ada pertalian darah apa.
 Tatkala itu, tangan bergerak pula untuk membuka aplikasi whatssap. Selamba dia membaca segala kumpulan dan rakan-rakan kepunyaan Iqbal. Sesekali dia ketawa mengekek. Lucu membaca perbualan gila-gila antara Iqbal dan kawan lelakinya.
Sedang leka melayan gajet itu, tiba-tiba telefon tersebut berdering. Fazlin segera melihat ke kaca skrin. Tak semena-mena hatinya berdebar-debar. Ternyata nama My Soulmate tertera di situ.
Ini mesti tak ada orang lain. Sudah tentu Zara yang menelefon Iqbal. Tapi perlu ke dia menjawab panggilan itu? Entah kenapa tiba-tiba dia rasa tak sedap hati pula.
"Helo assalamualaikum."
Terkejut bukan kepalang Zara tatkala mendengarkan suara itu berada di hujung talian. Terpadam terus niat dia nak memujuk Iqbal. Sebaliknya hatinya bagaikan terbakar tiba-tiba. Sungguh, dia dah tak mampu menahan sabar lagi.
"Dasar perempuan..."

Bab 2 Klik Untuk Baca


Tiada ulasan:

Catat Ulasan