15/07/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 4

Selamat Membaca. :)


Bab 4
Keluar saja dari tandas, melilau mata Iqbal mencari Fazlin. Tapi gagal menemui apabila kelibat gadis tu langsung tak kelihatan. Kerusinya kosong. Barang miliknya juga tak ada di atas meja itu. Fikir Iqbal, mungkin berada di tangan Fazlin. Agaknya, Fazlin ke kedai mana-mana untuk mencari barang. 
"Mana pulak lah minah tu pergi ni?" Iqbal bersoal sendiri.
Bingung juga rasa sekarang. Macam manalah dia nak cari Fazlin? Tempat ni bukannya kecil. Kalau ada telefon senanglah sikit. Rasa menyesal pula sebab dia tak bawa telefonnya bersama tadi. Aduh...
Sedang leka mencari jalan, tiba-tiba ada satu suara menyapanya dari arah belakang.
"Maafkan saya encik."
Iqbal berpaling. Pelayan lelaki lengkap berpakaian Papa Rich berada dalam pandangan. Turut kelihatan, beberapa barangan di dalam pegangan tangannya. Sepertinya, semua barangan itu adalah kepunyaan Iqbal.
"Ya saya. Ada apa ye?"
"Tadi kawan encik ada tinggalkan beg dan telefon ni. Dia pesan suruh bagi kat encik." Pelayan itu berkata seraya menghulurkan semuanya ke arah Iqbal.
Iqbal menyambut. Beg tote serta telefon sudah pun bertukar tangan. Bibir mengukir senyum sambil mengucapkan terima kasih kepada pelayan itu.
"Sama-sama. Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu, encik?"
"Hmm... tak ada. Eh kejap kejap. Boleh saya tahu, kawan saya tu ada pesan tak dia nak pergi mana?"
"Tak ada."
"Oh tak apalah kalau macam tu."
Tiba-tiba pelayan itu terus teringatkan sesuatu. Bagaimana dia boleh lupa. Sekuat mana gadis itu cuba menyembunyikan tangisan, bebola matanya yang basah sudah cukup membuktikan sesuatu. Dia nak bertanya pun tak sempat tadi apabila gadis itu bergegas pergi meninggalkannya.
"Kejap encik. Saya rasa kawan encik tu macam ada masalah."
Iqbal tersentak. Berkerut dahi cuba mentafsir kata-ata pelayan itu. Fazlin ada masalah? Tadi dia tengok macam okey aje. Siap gelak macam hantu lagi.
"Apa maksud awak?"
"Tadi masa dia bagi barang encik kat saya, saya tengok dia macam baru lepas menangis. Tapi tak tahulah pasal apa."
"Menangis?" Bertambah kerutan di dahi Iqbal.
Setahu dia, Fazlin yang dia kenali, memang seorang yang tidak suka menunjukkan perasaan. Terutamanya di depan orang ramai. Gadis itu berhati cekal. Tabah dan kuat bekerja. Macam pelik aje bila tiba-tiba pelayan ni cakap dia menangis. 
Tapi apabila difikirkan semula, takkanlah pelayan itu nak buat cerita. Macamlah dia tak ada kerja lain yang boleh dibuat. Kenal Iqbal pun tidak. Mesti dia bercakap perkara yang benar. Bermakna memang betullah Fazlin tu menangis kan.
"Kalau macam tu, tak apalah. Terima kasih ya." Demi ingin cepat-cepat mengetahui keadaan semasa Fazlin, Iqbal segera meminta diri. Pelayan itu mengangguk seraya berlalu pergi.
Setelah Iqbal keluar dari premis Papa Rich, dia segera mendail nombor Fazlin. Kali pertama mencuba, nombor itu terus masuk ke peti simpanan suara. Kali kedua, masih dengan keadaan sama. Begitulah seterusnya. Nombor Fazlin masih tak berjaya dihubungkan.
"Aik? Kenapa pulak dengan minah ni?" Iqbal bersoal sendiri.
Bagi menyedapkan hati, Iqbal cuba menganggap telefon Fazlin yang kehabisan bateri. Dia juga berharap semoga tiada apa yang berlaku kepada sahabat baiknya itu. Fikirnya lagi, mungkin pelayan tadi aje yang tersalah lihat.

Puas Fazlin cuba menahan air matanya daripada keluar, ternyata dia tak mampu. Tiba saja di perkarangan rumah, meluru saja dia masuk ke dalam bilik. Nasib baik tak terserempak dengan mama dan papa. Kalau tidak, pasti dia akan diasaknya.
Tuduhan-tuduhan yang masuk ke gegendang telinganya tadi bagaikan kedengaran kembali.
"Dasar perempuan perampas. Dulu mati-mati aku percaya kau ni perempuan baik. Macam-macam Iqbal cerita kat aku pasal kau. Rupanya jauh panggang daripada api."
Fazlin terkejut. Tak sangka tiba-tiba aje Zara boleh menuduhnya begitu. Apa salah dia? Siapa yang dia rampas? Dia tak faham.
"Awak cakap apa ni Zara?" Fazlin bersoal. Dia cuba bertenang. Manalah tahu takut-takut Zara tersalah orang ke apa.
"Kau tahu tak perempuan, sebab kaulah hidup aku ni semakin merana. Kau buatkan hubungan aku dengan Iqbal bagaikan bergantung tak bertali. Sampaikan aku nak buat apa-apa pun susah. Nak rancang itu tak boleh. Nak buat ni tak boleh. Semuanya sebab kau."
"Astaghfirullahalazim. Kenapa awak tuduh saya macam tu?"Awak sedar tak dengan siapa awak bercakap ni Zara?" Fazlin cuba bertanya lagi. Dia lebih suka beranggapan Zara telah tersalah orang.
"Tahu. Aku tengah bercakap dengan perempuan paling menyusahkan abad ni. Kaulah Fazlin. Aku nak cakap dengan sape lagi kalau bukan kau."
Terhenyak perasaan Fazlin. Sungguh tak disangka. Segala kata-kata itu memang ditujukan kepadanya. Mati-mati dia ingatkan Zara tersalah orang. Tapi kenapa? Memanglah jauh di sudut hati, Fazlin tak berapa nak suka Zara untuk dijadikan calon isteri buat Iqbal. Tapi setahunya, tak pernah lagi dia ada mencari pasal depan-depan dengan gadis itu selama ini.
 "Saya tak faham kenapa awak sanggup tuduh saya macam tu."
"Tak faham ke buat-buat tak faham?" Herdik Zara pula.
Sungguh, kali ni dia memang sudah makan hati. Dahlah perhubungan dia dengan Iqbal ibarat permainan roller-coster. Sekejap naik sekejap turun. Dan apabila dia cuba telefon Iqbal, bertambah panaslah hatinya tatkala perempuan itu yang menjawab.
Orang lain pun ada jugak kawan baik. Tapi tak perlulah berkepit sepanjang masa. Salah ke jika dia cemburu? Iqbal tu seharusnya meluangkan lebih masa bersama dengan dia. Bukannya dengan perempuan tu.
Fazlin hanya mampu terkedu. Belum sempat dia bersuara apa-apa, Zara terus memintas percakapannya.
"Dengar sini. Meh aku nak jelaskan apa kesalahan kau tu. Pertama, hal perjanjian bodoh antara kau dengan Iqbal. Disebabkan perjanjian tu, sampai sekarang aku dengan Iqbal tak kahwin-kahwin tau tak. Kalau kau nak tahu, ni salah satu punca kenapa kami sering bergaduh.
Time aku ungkit nak kahwin, dia cakap tak boleh. Banyak alasan dia bagi. Kata belum bersedialah. Duit tak cukuplah. Sedangkan kalau ikutkan, duit simpanan dia tu lebih dari cukup. Kalau dia tak nak keluarkan duit pun, family aku boleh sponsorlah. Aku tahu, semua tu cuma alasan dia.
Bila aku desak-desak, barulah dia mengaku. Dia sebenarnya terikat dengan perjanjian bodoh kau tu. Dah banyak kali kot aku merungut pasal hal ni. Tapi Iqbal tu buat tak tahu aje. Kalaulah aku ada orang lain, memang dah lama aku tinggalkan aje dia tu. Masalahnya, aku sayang gila kat dia. Nak tak nak, aku kena tunggu dia."
Zara menarik nafas sebelum menyambung. Biarlah hari ni dia luahkan segala-gala. Kalau tidak, asyik dia aje yang makan hati. Terseksa pun dia jugak. Nak kahwin pun susah. Gara-gara perempuan yang datang dari ceruk mana entah.
"Kedua, aku memang tak puas hati gila sebab kau asyik keluar dengan dia. Apa masalah kau sebenarnya pompuan? Iqbal tu boyfriend aku, bukannya kau. Atau sebenarnya kau cuba nak rampas dia daripada aku?"
"Sumpah Zara. Tak terniat pun Lin nak buat macam tu." Fazlin berkata jujur. Dia menjelaskan lagi untuk membuatkan Zara lebih mengerti.
"Lin dengan Iqbal tu cuma berkawan. Zara kan tahu, kami ni memang kawan baik sejak dari sekolah menengah lagi."
"Itu kata kau."
"Apa maksud Zara?"
"Yelah. Memanglah kau dengan Iqbal tu mengaku kawan baik. Tapi belakang aku, aku tak tahu korang buat apa." Akibat dikuasai emosi, Zara tergamak menuduh secara membuta tuli.
"Astaghfirullahazim. Zara, tak baik awak tuduh saya dan Iqbal macam tu."
"Sekarang ni pun agak-agaknya korang tengah ada kat hotel kot. Kalau tak, takkanlah kau boleh angkat telefon ni bagi pihak Iqbal tu."
Fazlin terpempan. Rasa nak putus nyawa mendengar Zara menuduhnya sebegitu rupa. Takkanlah Zara tak boleh dengar keadaan sekelilingnya sekarang? Bising dengan hiruk-pikuk pelanggan yang mengunjungi premis Papa Rich ni.
Tanpa sedar, air mata Fazlin mula mengalir perlahan. Hatinya rasa begitu terluka. Bercinta pun tak pernah. Inikan nak buat perkara terkutuk begitu. Badannya mula terasa lemah. Cukuplah. Dia tak mampu menanggung lagi.
Tuk! Tuk! Tuk!
Bunyi ketukan pintu itu menyentakkan Fazlin daripada lamunan. Dia yang sedang menangis dalam keadaan menelengkup itu segera bingkas. Air mata yang keluar segera disapu supaya tak kelihatan.
"Siapa?" Soalnya sejurus beransur tenang.
"Mama ni."
"Ada apa mama?"
"Iqbal telefon ni."
Fazlin menoleh ke arah telefon bimbitnya. Baru dia sedar yang telefon itu mati. Bila masa dia tutup pun dia dah tak ingat. Mungkin sebab itu jugalah Iqbal menelefonnya menggunakan telefon rumah.
"Okey okey. Mama cakap kat dia, lepas ni Lin telefon dia ye. Terima kasih mama."
"Hmm... yelah." Seraya itu, mama Fazlin beransur pergi. Faham jika anak daranya mengunci pintu dari dalam, bermakna dia tak mahu diganggu.
Sejenak, Fazlin dilihat cuba menarik nafas dalam-dalam. Tangan mencapai telefon yang berada tidak jauh daripada situ. Butang on ditekan. Skrin mula bernyala. Lalu terpaparlah menu utama. Tidak sampai beberapa saat, beberapa pesanan ringkas masuk. Bunyi whatsapp turut kedengaran.
Ada berpuluh panggilan tak berjawab. 90% daripada Iqbal. Hmm. Gigih nampak cari orang. Takkanlah dia dah tahu kot?
Itu belum termasuk whatsapp lagi. Aplikasi sosial lain langsung dia tak layan. Buang masa kot. Atau mungkin dia sendiri yang tak berminat ataupun tak pandai.
Fazlin cuba berdehem beberapa kali. Nak bagi suaranya kedengaran normal. Nak tak nak, kenalah dia telefon mamat tu. Tak nak bagi dia syak apa-apa. Entah-entah ni pun dia dah syak sesuatu.
"Hah helo. Apahal?"
"Amboi bahasa. Cantik betul."
Fazlin menekup mulut. Punyalah nak berlagak selamba. Sampai tak sedar nadanya terlebih kurang ajar. Aduh. Ni buat mamat tu lebih syak bukan-bukan adalah.
"Hahaha. Saja je nak kenakan kau." Fazlin buat-buat ketawa.
Iqbal mendengus geram. Dia bukan main risaukan Fazlin. Tapi minah tu sempat lagi nak menyakat. Hish. Kalau ada dekat, memang dah lama dia sepak keting. Biar terloncat-loncat. Baru padan muka.
"Ni aku nak tanya ni. Tadi apasal kau tiba-tiba blah macam tu aje?"
"Oh... saja je. Aku tunggu kau lama sangat. Bosanlah aku, tu yang balik dulu. Kau berak batu ke apa Bal?" Fazlin cuba membuat lawak.
 Iqbal langsung tak ketawa. "Aku serius ni."
"Ye aku tahu."
"Ada orang cakap, kau menangis. Betul ke?"
Serta-merta Fazlin terdiam. Macam mana Iqbal boleh tahu? Siapa pulak yang menyibuk cerita benda ni kat dia? Mama ke? Tapi tak mungkinlah. Sebab mama pun tak tahu dia tengah menangis sekarang.
"Menangis? Siapa cakap?" Fazlin buat-buat terkejut.
"Pekerja kat Papa Rich tu lah. Dia cakap kau macam baru lepas menangis. Kau menangis pasal apa? Kau ada masalah ke?"
"Eh mana ada. Tak adalah. Dia salah tengok tu."
"Ye ke?" Iqbal berasa sangsi.
"Betul. Aku tak apa-apa."
"Dah tu, kenapa kau balik macam tu aje."
"La, tadi kan aku dah cakap. Aku boring tunggu kau."
"Hmm... tak apalah kalau kau dah cakap macam tu. Cuak jugak aku tadi. Manalah tahu takut apa-apa. Tulah. Pelik jugak aku. Sebab setahu aku, kau ni jenis susah nak nangis."
"Hah, tahu pun."
Iqbal mengerling jam di tangan. Teringat selepas ini, dia ada hal penting di KLIA. Sebenarnya, dia mahu menjemput seseorang. Seseorang yang dah lama tak diketemui. Bagaimanalah rupanya sekarang? Adakah masih selekeh macam dulu? Takkanlah tak rindukan langsung sepupunya yang baik hati lagi hensem macam dia ni?
"Okeylah. Kalau macam tu, aku letak telefon dululah. Malam ni, kita keluar macam biasa. Ada game Chelsea lawan Arsenal malam ni."
Fazlin berfikir sejenak. Hampir-hampir saja dia memberitahu kata persetujuan. Namun apabila mengingatkan kata-kata Zara, serta-merta dia keinginannya mati. Mungkin lebih elok jika dia tak mengeruhkan keadaan.
"Eh tak bolehlah."
"Apasal tak boleh pulak?"
"Aku ada hal. Mama nak ajak pergi makan luar." Fazlin mereka cerita. Nasib baik mama tak ada kat sebelah. Dapat jugak jadi kambing hitam. Kasar sangat bunyi. Kambing golek.
"Hmm... kalau macam tu, tak apalah. Lain kali kita keluar ye."
"Yelah."
"Kirim salam kat mama dan papa ye."
"Insya-Allah."
"Bye mangkuk."
Fazlin tersengih tawar. Kalau sebelum ni, dia akan mengamuk kalau Iqbal berkata begitu. Paling tidak pun, dia tetap akan membalas. Tapi kali ni, entah kenapa dia tak ada mood pula.
"Bye."
Telefon dimatikan. Sejenak, Iqbal hanya memandang lama telefon di tangan. Kenapa ya, dia dapat rasa Fazlin tak seperti selalu? Kebiasaannya dia ceria tapi kenapa kali ni dia macam muram aje? Ada apa-apa yang berlaku ke?
Namun begitu, apabila teringatkan perbualan tadi yang mengatakan Fazlin okey, Iqbal segera menepis sangkaan itu. Mungkin benar dia tak ada masalah. Hanya perasaan dia aje kot.
Tidak lama selepas itu, telefon miliknya dimasukkan semula ke dalam poket. Sebelum Iqbal melangkah pergi untuk menuju ke destinasi KLIA.

Bab 3 Klik Untuk Baca

1 ulasan: