21/07/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 5

Selamat membaca. :)

Bab 5
"Iqbal Darwisy?"
"Hakimi Adam?"
Spontan kedua-dua saling berpelukan. Erat seolah-olah tak mahu melepaskan. Perasaan mula terasa bercampur baur. Antara gembira, sebak dan terharu bergaul menjadi satu. Inilah sepupu mereka. Manusia yang saling mengambil berat antara satu sama lain sewaktu kecil-kecil dulu. Namun terpaksa berpisah gara-gara masalah yang tak dapat dielakkan.
"Gilalah. Lama gila kita tak jumpa kan. Mati-mati aku tak cam kau tadi." Iqbal berkata setelah melepaskan pelukan.
Anak matanya jelas kelihatan bersinar. Sukar bagi dia untuk percaya manusia di hadapannya adalah Hakimi. Lain benar penampilannya sekarang. Kalau dulu, rambut kerinting dan serabai. Tapi sekarang fesyen cacak ke atas. Berkilat lagi tu. Dah boleh buat tilik muka dah.
  Begitu juga Hakimi. Sungguh dia tak menduga akan bertemu  juga dengan Iqbal hari ni. Selain sepupu, itulah juga kawan baiknya waktu kecil-kecil dahulu. Dengan Iqballah dia selalu lepak tepi sungai. Dengan Iqbal jugalah dia selalu buat kerja-kerja nakal dulu. Termasuk mencuri telur ayam Pak Ishak untuk digoreng buat santapan perut.
"Itulah pasal. Aku pun hampir tak kenal kau tadi. Makin hensem kau sekarang."
"Ah. Bukan ke aku ni memang hensem dari dulu ke? Hahaha." Iqbal cuba berlawak.
Dalam hati, sungguh dia rasa tercabar. Kenapalah mamat tu boleh jadi tampan macam ni? Agak-agaknya, kalau dia kenalkan dengan Zara nanti, selamat tak? Jangan Zara terpaut suka sudahlah. Berputih mata dia nanti.
"Poyolah. Nak muntah aku dengar." Sakat Hakimi pula.
Masing-masing dah tergelak. Ternyata walaupun dah lama berpisah, hubungan mereka masih lagi erat. Rapat seperti dulu. Saling bergurau senda. Saling menyakat bila ada peluang. Ah, rindunya kat kenangan dulu-dulu.
"Kau kat pergi mana selama ni Kimi? Puas aku cari kau merata tempat. Mak dengan abah pun sama. Mereka risaukan kau." Iqbal terus melontarkan soalan yang paling dia ingin tahu jawapannya.
Saat itu, Hakimi tak terus bersuara. Sekelumit senyuman dihadiahkan kepada Iqbal. Ikutkan hati, dia tak mahu menjawab. Malas nak dikenangkan kisah pahit hidupnya.
Tapi apabila difikir-fikirkan semula, semua tu kan dah berlalu. Jadi tak salah jika dia berterus terang aje. Sekurang-kurangnya, terbalas juga kerisauan yang Iqbal tanggung selama ni. Salah dia juga sebab menghilangkan diri tanpa khabar berita.
"Panjang ceritanya, Bal."
"Ala ceritalah. Aku nak tahu ni."
"Boleh. Tapi kenalah cari tempat duduk dulu. Aku ni dah lapar. Karang aku makan kau baru tahu."
"Ya tak ya jugak."
Iqbal tersengih sendiri. Betul juga. Takkanlah dia nak berbual dengan Hakimi sambil berdiri aje. Dahlah tempat laluan orang ramai. Buat kena sumpah dek orang, malu free aje.
Ketika itu, pandangan mata Iqbal tertancap kat sebuah kafe yang berada tak jauh dari situ.
"Hah, jom kita lepak kat situ nak?"
"Hmm... bolehlah."
Serta-merta Iqbal menarik bagasi Hakimi lalu segera mengatur kaki ke sana. Hakimi hanya menggeleng sambil tersenyum. Bersungguh benar nak korek rahsia nampak. Apa-apalah Iqbal. Asalkan kau bahagia.
Sesudah memesan minuman dan makanan, Iqbal terus memusatkan perhatiannya ke arah Hakimi. Tak sabar rasanya dia nak tahu cerita yang keluar daripada lelaki itu.
"Hah! Ceritalah cepat. Kau ke mana selama ni?" Desak Iqbal laju.
"Hmm... macam mana aku nak cakap ek?" Hakimi buat-buat berfikir. Saja nak menyakat. Nak tengok responnya macam mana.
"Kau jangan main-main dengan aku, Kimi. Nanti tumbuk muka kau, bersepai gigi." Gertak Iqbal.
Hakimi terus ketawa. Tercuit hati dengan telatah Iqbal. Gila-gila lagi rupanya. Ingatkan dah berubah.
"Yelah yelah. Aku ceritalah ni."
Iqbal menadah telinga selebar-lebarnya. Lalu Hakimi pun mula membuka mulut untuk menceritakan segala-galanya.
"Selama ni, aku pergi merantau kat seluruh dunia. Saja je nak cari pengalaman baru. Belajar banyak budaya bangsa asing yang pelbagai. Bestlah jugak sebab dapat banyak kawan yang datang dari pelbagai benua. Lepas tu, aku terus menetap kat US. Kerja kat sana."
"Serius?! Wah, seronoknya." Iqbal menunjukkan keterujaan.
"Itu apa yang kau nampak. Bagi aku tak best mana pun. Kalau kau nak tahu, orang asing kat sana akan dipandang pelik aje. Nak nak kalau mereka tahu kita ni muslim. Mungkin dorang ingat kita ni pengganas. Tapi nasib baiklah aku ni ada taraf kerakyatan kat sana. Setakat ni, tak berlaku lagi apa-apa perkara buruk kat aku."
"Oh, macam tu."
"Jadi sebab tak bestlah, aku buat keputusan nak balik Malaysia hari ni. Kalau tak, memang dah lama Malaysia ni aku tak pandang. Hahaha." Hakimi cuba bergurau.
Iqbal turut tergelak sama. Maka memang benarlah kata pepatah yang selalu kedengaran selama ini. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Kaya atau maju tahap apa sekalipun kat negeri luar, akhirnya negeri asal juga yang akan dicari nanti. 
"Tapi bergantung pada keadaan jugaklah. Kalau Malaysia ni buatkan aku rasa selesa, mungkin aku akan berhenti kerja kat sana dan terus menetap kat sini. Kalau tak kena dengan citarasa aku, better aku balik duk sana ajelah." Hakimi berterus terang.
Demi pulang ke tanah tumpah darahnya, Hakimi terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan. Entah kenapa,  jiwanya terasa kosong tiba-tiba. Puas dia cari jalan untuk mengisi kekosongan itu sehinggalah dia teringatkan saudara-maranya yang ada di sini.
Iqbal mengangguk tanda memahami. Baiklah. Memandangkan Hakimi dah memberikan jawapan yang dimahukan, dia cuba mengalih ke arah topik yang seterusnya pula. Sebenarnya, memang banyak lagi persoalan yang dia mahu kemukakan. Harap-harap tak penatlah Hakimi tu nanti. Itulah, siapa suruh dia berambus macam tu aje dulu?
Kebetulan ketika itu, pesanan mereka pun sampai. Hakimi menyedut jus oren segar bagi menghilangkan rasa dahaga. Sambil tangan menarik pinggan mee goreng basah. Berseri air mukanya melihat menu itu. Serasa jarang betul nak jumpa masakan ni kat US.
"Mama kau macam mana, Kimi?" Iqbal bertanya kerana ingin tahu.
Hakimi yang sedang lahap makan serta-merta memberhentikan suapan. Dia berjeda seketika. Tangan mencapai tisu untuk mengesat mulut. Nafas dihela dalam-dalam sebelum dia cuba menayangkan sebuah senyuman pahit kepada Iqbal.
"Mama dah lama tak ada, Bal."
"Innanilahi wainnailahi rojion. Maafkan aku, Kimi. Aku tak tahu pun." Iqbal hanya mampu tumpang simpati.
Terasa berat dugaan yang sedang ditempuhi Hakimi. Dulu, semasa ayahnya ada teman wanita lain, mamanya hanya mampu memendam rasa. Puas ibu dan ayah Iqbal menasihatkan adik lelakinya, Syakir agar berubah. Namun lelaki itu keras kepala. Dia tetap mahu meneruskan hubungan terlarang itu tanpa mempedulikan perasaan isterinya merangkap mama Hakimi.
Hari demi hari, sikap Syakir dilihat semakin berubah. Dia yang mabuk bercinta, gagal melaksanakan tanggungjawabnya kepada anak-anaknya. Duit perbelanjaan Hakimi dan adiknya, Hanis Sakinah langsung diabaikan.
Bukan setakat itu, mamanya si Hakimi iaitu Hasnah sering menjadi tempat Syakir melempiaskan kemarahan. Jika Syakir ada berselisih faham dengan teman wanitanya, maka Hasnahlah yang akan menjadi mangsa. Dia dipukul, diherdik, disumpah seranah oleh suami sendiri.
Bermula dari titik itu jugalah, Hakimi mula menjauhkan diri daripada semua orang. Termasuk juga dengan Iqbal. Perangai dah tak seperti dulu. Dia yang ceria terus berubah menjadi pendiam. Iqbal langsung tak salahkan Hakimi kerana faham lelaki itu telah menjadi mangsa keadaan.
"Dah ajal, Bal. Kita sendiri pun tak tahu bila ajal kita kan." Hakimi berkata.
"Kalau mak dan abah tahu, mesti dia sedih. Dahlah dia tak dapat tengok adik ipar dia buat kali terakhir." Iqbal menyuarakan pendapat.
"Tak apa. Lagipun korang tak tahu. Bukan salah korang pun."
"Aku doakan, semoga roh mama kau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman Kimi." Iqbal mengucapkan, sedih.
"Amin. Mudah-mudahan."
Seketika, Iqbal menarik nafas dalam-dalam. Sebelum dia bersedia untuk melontarkan persoalan yang seterusnya pula.
"Jadi sekarang, adik kau Hanis kat mana? Kenapa dia tak ikut kau baliksekali? Lama gila aku tak tengok dia. Makin cantik agaknya budak tu."
"Sebenarnya... lepas aje mama meninggal. Kami terpaksa berpisah. Sekarang ni, aku sendiri pun tak tahu dia kat mana." Hakimi memberitahu.
Sugul air mukanya mengenangkan peristiwa itu. Ikutkan hati, dia tak mahu mengungkit lagi. Tapi apa boleh buat. Dah orang tanya.
Tatkala itu, wajah Iqbal nampak begitu terkejut. Ya Allah... dugaan apa lagi yang menimpa sepupunya itu? Dahlah masa kecil terpaksa berjauhan dengan ayah kandung sendiri. Bila besar terpaksa berpisah pula dengan adik kesayangannya.
'Ya Allah. Aku mohon kepada-Mu. Kuatkanlah imannya. Kurniakan dia kesabaran dan ketabahan yang paling besar. Janganlah Engkau menduga dia melebihi daripada kesanggupannya. Aku mohon ya Allah.' Sempat Iqbal menitipkan doa itu di dalam hati.
Tatkala itu, Iqbal perasan air muka Hakimi yang berubah lain macam. Ada riak tak selesa terpancar di wajahnya. Tangannya seakan menggigil tiba-tiba. Fikir Iqbal, mungkin dia terlalu sedih mengingatkan apa yang telah berlaku di sepanjang kehidupannya.
Demi mengelakkan ketidakselesaan daripada berlaku, Iqbal cuba mengalih topik. Nanti bila keadaan dah reda, pandai-pandailah dia korek lagi kisah kehidupan Hakimi tu.
"Oh ya. Sebelum aku bawak kau jumpa mak dan abah aku, meh aku nak kenalkan dengan seseorang ni." Iqbal segera mencapai telefon bimbit. Dia menghidupkan lalu menggunjukkan telefon itu kepada Hakimi.
Di mata Hakimi, terteralah wallpaper berlatarbelakangkan gambar seorang perempuan yang boleh tahan cantik parasnya. Dahi Hakim berkerut. Dia cuba mengingati wajah itu namun gagal. Sah, wajah itu memang tak pernah dilihatnya sebelum ini.
"Siapa ni?"
"Nilah awek aku. Zara namanya."
"Wah, cantik siot. Bila nak bawak aku jumpa dia ni?"
"Ah takde takde. Kau tak boleh jumpa dia."
"Apasal pulak?" Hakimi meluahkan rasa tak puas hati.
"Nanti aku takut kau akan rampas dia. Hahaha. Poyo tak aku." Iqbal berpura-pura gelak. Sedangkan memang itulah niatnya.
Dia terlalu sayangkan Zara. Sebab itu dia tak nak ambil risiko wanita kesayangannya itu jatuh ke tangan orang lain. Ya, dia mengaku dia cemburu. Nanti apabila tiba masa yang sesuai, barulah dia akan kenalkan Hakimi dengan Zara tu.
"Ceh. Aku ni bukannya jenis tikam belakang oranglah, bro."
"Ah aku tak kira. Tapi... aku ingat aku nak kenalkan kau dengan seseorang ni dulu. Perempuan ni pun boleh tahan penting dalam hidup aku."
Entah kenapa tatkala mendengarkan ayat itu tiba-tiba saja bulu tengkuk Hakimi seakan meremang.
"Woi celaka. Kau pasang dua ke?" Hakimi bagaikan mengamuk tiba-tiba.
Tangan menghempuk meja tanpa sedar. Bebola mata bertukar kemerah-merahan. Urat-urat hijau kelihatan timbul di dahi. Semua pelanggan yang ada di sekitar sudah memandang ke arahnya. Dia seperti dirasuk sesuatu.
Iqbal menelan liur. Sumpah dia terkejut melihat perubahan drastik Hakimi. Rasa macam nak terkucil pun ada. Tak pernah lagi dia tengok Hakimi naik darah begini.
"Eh tak Kimi. Jangan salah faham."
"Habis tu?"
"Dia ni kawan baik aku." Iqbal berterus terang.
Setelah itu, barulah air muka Hakimi berubah tenang kembali. Dia tersenyum puas hati. Dicapai gelas air kemudian diteguknya sampai habis.
"Okey. Yang tu tak apa."
Iqbal menarik nafas lega. Entah kenapa, jauh di lubuk hati, perasaannya mula rasa tak tenteram. Kemarahan Hakimi tadi benar-benar menakutkan. Seolah-olah lelaki itu bukanlah lelaki yang dia kenali dulu.
'Ah. Mungkin tu semua perasaan aku aje. Lagipun tak heranlah kalau dia boleh melenting macam tu. Sebab dia kan dah lalui apa yang papa dia dah buat kat keluarga dia dulu.' Iqbal cuba memujuk hatinya.
"Dahlah Bal. Jom kita balik dulu. Aku ingat nak rehatlah. Kat rumah nanti kita sambung cerita pulak ek." Hakimi berlagak seperti biasa.
Tiba-tiba dia rasa tak selesa apabila melihat keadaan sekeliling. Rasa hairan timbul apabila melihat semua orang sedang tengok ke arah mereka. Macam ada yang tak kena ada. Dia ada buat perkara pelik ke tadi? Hakimi tertanya-tanya sendiri.
"Err... okey okey. Kau tunggu luar. Nanti aku pergi bayar kejap."
"Okey."
Selesai membuat pembayaran, Iqbal terus mendapatkan Hakimi yang sedang menantikannya di luar. Iqbal merancang untuk membawa Hakimi ke studio apartmentnya terlebih dahulu. Biar dia berehat lama-lama di situ.
Kalau terus bawa jumpa mak dan abah nanti, bimbang pula akan diasaknya macam-macam. Dahlah orang tu tengah letih. Penat naik penerbangan berjam-jam katakan.


1 ulasan: