29/07/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 6

Salam guys. Selamat membaca. Kalau ada pendapat atau komen, sangat dialu-alukan untuk penambahbaikan. Terima kasih. 

Bab 6
Terbelalak mata Hakimi tatkala melihat jam. Alamak. Dah pukul 10 pagi. Punyalah lama dia tidur. Mungkin kepenatan agaknya.
Apabila teringatkan janjinya dengan Iqbal untuk pulang ke kampung hari ini, cepat-cepat dia bergegas menuju ke bilik air. Mandi ala kadar sudah. Apa orang kata, mandi kerbau. Gigi gosok sebatang dua, jadilah.
Memanglah kalau nak ikutkan, bukan jauh mana pun kampung Iqbal tu. Setakat hulu Selangor, apalah sangat. Tapi sebab dah berjanji, ditambah pula dengan dia sendiri tak sabar nak berjumpa ibu saudara dan bapa saudaranya.
Perancangan mereka sebelum tidur semalam, Iqbal mengambil cuti separuh hari untuk hari ini. Kemudian, Hakimi harus ke pejabat Iqbal untuk menjemputnya lantas mereka akan berangkat terus untuk pulang ke kampung.
Selesai mandi, Hakimi bergegas keluar dengan hanya bertuala. Semasa sedang memakai singlet, tiba-tiba saja telefon bimbitnya berdering. Pantas tangan mencapai gajet itu lalu menjawabnya.
"Helo, Kimi. Kau dah bangun ke tak ni?" Suara Iqbal kedengaran menyapa di hujung talian.
"Dah dah. Baru siap mandi ni." Hakimi bersuara sambil menyapu deoderan pada ketiaknya.
"Cepatlah sikit. Aku takut terlambat ni. Dahlah kau nak redah jammed lagi. Kau pandai ke tak lalu jalan KL ni? Kalau tak aku suruh uber aje yang amik kau." Iqbal seakan memberikan cadangan.
Siapa yang tak kenal jalan kat ibu negara Malaysia ni? Terlalu sesak dengan pelbagai kenderaan. Setakat makan 'jam' atas jalan tu boleh dikatakan perkara biasa. Itu belum termasuk tol yang berlambak-lambak lagi. Silap jalan sikit, alamat memang boleh 'kering'lah poket gara-gara nak patah balik.
"Kau ni, zaman sekarang kan dah maju. Google maps dan waze kan ada." Hakimi memberitahu, berlagak. "Kau dah share location?"
Iqbal mendengus geram.
"Dari pagi buta tadi lagi aku dah bagi. Itulah, sape bangun lewat sangat. Sampai tak sempat nak cek telefon bagai." Marah Iqbal.
Hakimi tersengih bak kerang busuk. Dalam hati merungut sesuatu. Amboi amboi Iqbal. Sejak dah besar panjang ni, aku tengok kau dah lain betullah. Jauh lebih matang dan serius. Sekali membebel, kalah terus mak nenek.
"Yelah yelah. Dah dahlah bagi ceramah perdana tu, nanti bertambah lewat aku karang." Hakimi menyindir sambil bergurau.
Tergelak Iqbal mendengar sindiran itu. Sikit pun dia tak ambil hati. Lagipun bukannya dia tak biasa dengar tuduhan itu dilemparkan terhadapnya. Kalau tak Fazlin, mesti Zara yang menyebut. Entahlah, dia sendiri tak tahu bila masa dia terlekat badi orang-orang perempuan ni.
"Okey. Cepat siap tu. Kunci kereta aku sangkut kat belakang pintu. Kau ingat kan aku park kat mana kereta?"
"Ingatlah. Aku ni bukannya nyanyuk lagi."
"Hahaha. Aku tak cakap pape pun. Terasa ke?" Iqbal mengusik pula.
Hakimi tersengih geli hati. Selesai berbual, talian segera dimatikan. Seraya itu, dia menyambung langkahnya menyarungkan seluar panjang. Baju t-shirt jenama Crocodile dengan corak ekslusif menjadi pilihan.
Akhir sekali, paling tidak dilupakan penampilan rupa yang sentiasa menjadi keutamaan. Selesai menyapu minyak rambut jenama Brylcream, tangan terus menyembur pewangi kesukaan, Davidoff ke sekitar leher dan badan. Serta merta, badan terasa segar bugar.   
"Siap!" Spontan ayat itu terkeluar daripada mulutnya.
Namun begitu, disebabkan terlalu leka memperkemaskan diri, Hakim tak sedar sebenarnya banyak masa yang telah diperuntukkan. Sedar-sedar saja, jam di dinding sudah menunjukkan pukul 11 pagi.
"Alamak!" Hakimi menepuk dahi.
Niat di hati, kalau sempat tadi mahulah juga menjamah sedikit sarapan. Perutnya siap berbunyi-bunyi lagi dah ni. Nak tak nak, terpaksa juga dia berlapar. Serentak itu, kakinya terus berlari ke arah pintu. Tangan sempat mencapai segugus kunci. Sebelum menyelak pintu utama lalu berlari menuju ke lif.
Dalam pada itu, Fazlin yang turut berada di dalam bangunan yang sama kelihatan berada dalam keadaan mencurigakan. Sekejap dia menoleh ke kiri. Sekejap ke kanan pula. Sambil kaki dilihat menjengket-jengket perlahan.
Sebenarnya pada saat ini, dia amat takut akan terserempak dengan seseorang. Fazlin sendiri sedar, sejak akhir-akhir ini, dia memang banyak melarikan diri demi meredakan keadaan.
Apabila Iqbal menelefonnya, sudah banyak kali dia abaikan. Apabila dia mesej atau whatapps pula, lagilah dia tak layan. Konon-konon sibuk memanjang. Sedangkan hakikatnya tidak sama sekali.
Entahlah. Apabila difikir-fikirkan semula, sumpah dia rasa bersalah yang amat. Serasa tak patut dia layan Iqbal macam tu. Iqbal tak buat salah apa pun dengan dia, tapi kenapa dia harus menerima tempiasnya? Hmm... Nak buat macam mana. Keadaan yang memaksa Fazlin mengambil jalan sebegini.
Ikutkan hati yang sedang tertekan ni, Fazlin terasa seperti mahu berterus terang aje. Biar Iqbal yang selesaikan segala-galanya. Lelaki itu kan bijak. Lagipun bukannya Fazlin tak kenal sikap dan cara pemikiran Iqbal tu. Selain pandai auta, dia boleh dikategorikan sebagai seorang penyelesai masalah baik.
Fazlin masih ingat lagi. Ketika dia lari dari rumah dulu kes merajuk dengan abah, Iqballah yang datang memujuk dia. Kata-kata Iqbal banyak membuka matanya. Nasihatnya berjaya menenangkan perasaan. Yalah. Jiwa remaja kan suka memberontak.
Namun begitu dalam masa yang sama, tidak dinafikan Fazlin tetap berasa takut. Bagaimana sekiranya tindakannya itu lebih merumitkan keadaan? Kononlah Iqbal buat tindakan melulu, siapa juga susah? Kalau tak dia, mesti Zara. Jadi demi kebaikan semua, lebih elok jika dia rahsiakan dulu perkara ini.
"Okey, clear." Fazlin berkata sendiri apabila mendapati keadaan sekitarnya selamat.
Sewaktu nak keluar kediaman tadi, sempat dia menjenguk kasut 'suspek' di sebelah. Senang cerita, kasut milik Iqbal. Kosong. Bermakna Iqbal tak adalah kan. Pergi kerjalah tu kot.
Fazlin menghela nafas kelegaan. Fuh, nasib baiklah Iqbal tak tahu dia ada kat sini. Rasanya sudah hampir dua malam dia tidur kat sini. Selalunya jika nak datang, dia memang akan bagitahu mamat tu. Tapi disebabkan ada masalah, sengaja dia rahsiakan.
 Kebiasaannya, jika ada kerja penting yang harus diselesaikan, Fazlin lebih suka menginap di studio apartmentnya ini. Dapat fokus lebih. Hasilnya, kerja yang diselesaikan sering mendapat pujian pihak atasan.
Ting!
Bunyi lif yang kedengaran, membuatkan Fazlin tersentak. Tak sedar bila masa boleh mengelamun. Satu keputusan yang tepat jika dia terus beredar dari situ. Lagi cepat lagi bagus. Manalah tahu takut-takut Iqbal muncul secara tiba-tiba. Jenuh dia nak menjawab dengan mamat tu nanti.
Kedudukan lif yang agak jauh dari pintu rumahnya sedikit sebanyak mencemaskan Fazlin. Mana taknya, sudahlah kediamannya berada di tingkat 15. Kadang-kadang nak tunggu giliran lif sampai, memang anginlah jugak.  
Ah. Ini tak boleh jadi. Nak tak nak, dia kena pecut. Spontan kaki berlari ke arah pintu lif. Bertambah cuak tengok pintu lif yang hampir tertutup. Ya Allah, rezekikanlah lif tu untuk aku.
"Tunggu!"
Kebetulan Hakimi yang sedang kalut dek terlewat, langsung tak mendengar jeritan itu. Dia yang tergesa-gesa segera menekan butang tutup pintu lif tersebut berkali-kali. Sedangkan dia tak tahu, ada pelari pecut cuba untuk masuk ke dalam tu lif jua.
Panik punya pasal, Fazlin yang semakin menghampiri terpaksa menggunakan ikhtiar terakhir bagi menyekat pintu lif itu daripada tertutup. Tangan sengaja dijulurkan melepasi pintu lif berkenaan. Dah hasilnya...
"Adoi... tangan aku."
"Ya Allah."

Bala betul. Elok-elok tubuh dia sihat, tiba-tiba saja dapat kecelakaan. Inilah orang kata, malang tak berbau. Nasib baiklah peristiwa ini berlaku kat Malaysia. Kalaulah terjadi dekat Negara China ; banyak video kegagalan fungsi lif sampai meragut nyawa, memang dah lama dia jalan.
"Nur Fazlin Aufa Binti Farish." Suara pembantu klinik kedengaran menyuruh pesakit mengambil ubat.
Baru saja Fazlin mahu mengangkat punggung, tiba-tiba saja dia ditegah. Terangkat kening dia memandang lelaki di sebelah.
"Eh tak payah susah susah. Biar saya yang ambilkan ye."
Fazlin terpaksa akur. Sebentar tadi, dia baru saja selesai menerima rawatan dek kejadian itu. Tangannya tersepit di antara pintu lif. Mujurlah tidak parah mana. Tak boleh bayangkan kalau terputus. Macam mana dia nak salam dengan abah dan emak pada hari raya nanti?
"Berapa ya cik?"
"Semua sekali RM230."
Hakimi segera mengeluarkan dompet. Riak panik dan risau terlakar jelas di wajahnya. Sungguh, sekarang ini dipanah rasa bersalah yang amat. Kalaulah dia tak tekan butang tutup itu berkali-kali sebab nak cepat, pasti semua ni takkan terjadi.
Sesekali dia menoleh ke belakang. Mahu memastikan keadaan semasa gadis yang menjadi mangsa kebodohannya. Air mukanya kelihatan masam. Adakalanya wajahnya berkerut seribu. Mungkin sedang menahan kesakitan yang terpaksa ditanggung.
"Nah baki encik."
"Terima kasih."
Baki wang sudah bertukar tangan. Hakimi turut mencapai plastik yang mengandungi ubat-ubatan lalu menuju ke arah gadis itu. Punggung dilabuhkan di sebelah. Dia menyuakan ubat itu sambil memandang wajah gadis itu dengan penuh rasa bersalah.
"Awak ni ubatnya. Kena makan tau. Nanti kuranglah sikit sakit awak tu." Hakimi memberi peringatan. Nadanya kedengaran begitu ambil berat.
Fazlin tidak membalas. Tangan hanya mencapai beg plastik itu. Sebenarnya dia tak ada mood nak berbual panjang. Tengah sakitlah katakan.
Memandangkan urusan dia dengan lelaki itu sudah pun selesai, Fazlin bingkas bangkit. Baru saja dia nak melangkah pergi, tiba-tiba dia dihalang lagi. Fazlin menggerutu geram dalam hati.
"Eh kejap. Awak nak ke mana tu?"
"Nak baliklah. Takkan nak pergi kenduri kot."
Hakimi menelan liur. Alamak hai. Garangnya. Ikutkan hati, nak aje dia balas. Tapi malas nak keruhkan keadaan. Lagipun Hakimi sedar, apa yang berlaku disebabkan silapnya juga.
"Awak nak balik naik apa?"
"Teksilah. Takkan naik kapal terbang kot."
Ambik kau. Setepek kena lagi. Ini dah bukan setakat singa betina dah ni. Ini dah termasuk harimau jadian.
"Tak payah. Biar saya hantar."
"Tak payah susah susah."
"Jangan degil boleh tak. Awak tu dahlah 'kudung', jadi buatlah cara 'kudung." Selamba Hakimi membalas.
Rasa mahu tergelak tengok mata gadis itu mencerlang ke arahnya. Oh. Tahu pun marah. Tapi kenapa ya? Kenapa semakin dia marah, nampak semakin menariklah pula. Dalam tak sedar, Hakimi bersoal sendiri.
Nak tak nak, terpaksalah Fazlin akur dengan arahan lelaki itu. Lagipun dia sendiri tak tahu di mana dia letakkan beg duitnya. Mungkin disebabkan terlalu sakit tadi, kepalanya gagal berfungsi dengan baik.
Sejurus keluar dari klinik, Hakimi dilihat berjalan menuju ke arah sebuah kereta. Pintu di sebelah pemandu terus dibuka untuk dimasuki oleh Fazlin. Buat sejenak, Fazlin hanya tercengang. Baru dia perasan, kereta itu adalah milik sahabat baiknya, Iqbal.
Aik? Kenapa pula dia boleh guna kereta Iqbal? Dia ni ada kaitan dengan Iqbal ke? Kalau pun betul dia ada kaitan dengan Iqbal, kenapa pula dia tak pernah tahu? Sebab Iqbal tu kan tak pernah berahsia apa-apa daripadanya.
"Kejap kejap. Awak guna kereta sape ni?" Demi mendapatkan kepastian, Fazlin cuba bersoal terlebih dahulu.
Naik hairan Hakimi apabila dilontarkan pertanyaan begitu. Hajatnya mahu berterus terang kata kepunyaan sepupu. Tapi rasa malaslah pula. Lagipun, bila lagi dia nak up kan diri sendiri di depan awek. Tak gitu?
"Kereta sayalah."
"Bohong."
"Apa pulak bohong. Kalau ni kereta orang lain, takkanlah pulak saya nak bawak."
"Saya nak call polis. Rupa-rupanya awak ni pencuri. Saya kenal siapa pemilik kereta ni. Polis tolong polis. Ada pencuri..." Fazlin tak sempat habiskan ayat bila mana mulutnya terus ditekup Hakimi.
"Ini kereta kawan sayalah. Nama dia Iqbal. Dah. Tutup mulut awak tu. Nanti tak pasal-pasal, saya kena lokap." Hakimi meminta, panik.
Aduhai. Naik pusing kepala Hakimi. Susah jugak nak berdepan dengan kaum hawa ni rupanya. Banyak betul karenah. Sekejap marah, kalut, menyakitkan hati. Apa-apalah. Asalkan dia tak masuk penjara sudahlah.

Bab 5 Klik Untuk Baca


Tiada ulasan:

Catat Ulasan