4/08/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 7

Bab 7
Hampir setengah jam setelah laptop dihidupkan, Fazlin hanya terpaku di situ. Puas dia mencari ilham untuk menyudahkan kertas kerja. Namun entah kenapa, dia seolah-olah mati akal tiba-tiba.
Seketika, dia memalingkan wajah ke sebelah kiri. Berkerut dahi tatkala terpandangkan kelibat manusia secara samar-samar sedang tersenyum ke arahnya. Senyuman itu sangat menggentarkan perasaan. Entah kenapa, hatinya terasa berbunga-bunga.
"Jangan lupa makan ubat ya. Biar cepat sembuh." Suara itu seakan berkata-kata.
Tanpa sedar, kepala Fazlin mengangguk patuh. Bibir mengoyak senyum tanpa dipaksa. Sungguh, jiwanya terasa begitu bahagia. Siapakah gerangan lelaki itu? Apa yang dia dah lakukan padanya?
Serta-merta ingatan Fazlin tercampak pada peristiwa semalam. Sejurus menaiki kereta, lelaki itu terus memandu untuk menghantarnya pulang. Semasa dalam perjalanan, entah macam mana dia seperti diajak berbual pula.
"Nama saya Hakimi Adam. Panggil Hakimi cukup. Kalau Adam tu, saya tak berapa suka sangat. Entahlah. Mungkin tak kena dengan citarasa saya kot. Boleh saya tahu nama awak?"  
Fazlin tidak terus menjawab. Saat ini, entah kenapa tiba-tiba saja dia rasa tak sedap badan. Rasa macam nak menggigil pun ada. Nak kata sejuk, dahi tu dah keluar peluh halus. Dia ni dah kenapa?
"Aik? Bisu dah ke? Hmm... susahlah kalau macam ni." Hakimi menyindir perlahan.
Sakit jugak hati. Orang cuba nak beramah-tamah. Mana tahu boleh berkawan ke apa. Ini tidak, angin memanjang.
"Siapa pulak yang bisu?" Fazlin bertanya, terkejut.
"Awaklah."
Merah padam air muka Fazlin. Bengkak rasa hati apabila dituduh begitu. Amboi amboi. Dahlah kepit tangan orang dengan lif tadi, tiba-tiba ada hati nak sindir kita bagai. Sekali aku cepuk baru tahu.
"Habis yang keluar ni suara sape? Suara hantu?" Fazlin cuba memulangkan buah paku keras.
Namun tindakannya gagal bila mana Hakimi terus membidas. "Habis, yang orang tanya tadi tu, kenapa tak jawab? Tak ke bisu namanya tu?"
Tidak tahu kenapa, tiba-tiba saja hati Fazlin rasa tersentuh. Sumpah dia tak pernah rasa macam ni. Sebak menghunjam tangkai hati apabila dia dimarahi tiba-tiba. Sudahlah tempoh hari, dia baru lepas berselisih faham dengan Zara.
Kemudian, persahabatan dia dengan Iqbal terpaksa digantung sementara. Lepas tu, tak ada angin tak ada ribut, tangan kiri tersepit pintu lif pula. Dan sekarang, manusia yang dia tak kenal turut memusuhinya?
Saat itu, tanpa sedar kepala Fazlin sudah tertunduk ke bawah. Tidak sampai seminit, bahunya sudah terhinggut-hinggut. Terbeliak mata Hakimi tatkala melihat gadis itu menangis secara tiba-tiba.
"Awak?! Kenapa ni? Kenapa awak menangis? Awak sakit ke?" Hakimi mula berasa cuak.
Bermacam tanggapan bermain di benak Hakimi sekarang. Jangan-jangan, sakit yang dialaminya bertambah parah tak? Sebab itulah dia menangis. Hah, boleh jadi. Panik dengan keadaan itu, cepat-cepat dia memberhentikan kereta di tepi jalan.
Berhenti saja kereta, dia segera memusatkan pandangan ke arah Fazlin. Tangan terasa mahu menyentuh bahu wanita itu. Tapi dia bimbang sekiranya gadis itu tersalah anggap. Silap haribulan, boleh dituduh ambil kesempatan.
Ternyata Fazlin masih lagi membisu. Malahan dia berterusan hanyut dengan tangisan sendiri. Puas dia cuba memberhentikan tangisan, tapi ternyata dia tak mampu. Masalah yang membelenggu seakan tiada jalan penyelesaian.
Tiada siapa tahu apa yang dia rasa sekarang. Jiwanya terseksa teruk. Iqbal adalah satu-satu kawan baiknya. Terus terang, dia sayangkan Iqbal. Lelaki itu ibarat pelengkap hidupnya. Umpama kembar seiras yang tak dapat dipisahkan. Sehari jika tak berbual atau bertanyakan khabar, hidup seolah-olah tak lengkap.
Bukan dia tak pernah fikir risiko yang bakal dia tempuhi sekiranya Iqbal bakal berkahwin nanti. Ada kemungkinan Iqbal akan dikongkong sepenuhnya oleh si isteri. Ya, dia tahu semua itu. Malahan, dia sendiri sudah mempersiapkan dari segi mental dan fizikal untuk menghadapinya.
Tapi apabila dah jadi begini, entah kenapa dia rasa begitu lemah. Belum apa-apa lagi, bakal isterinya itu dah buat hal. Kalaulah dah kahwin nanti, silap haribulan Iqbal pasti akan menjauhinya. Lagi ngeri, jika bakal isterinya itu menghasut atau mereka sebarang cerita demi memburukkannya. Tidak mustahil suatu hari nanti, manusia yang dia paling sayang selain ibu dan ayahnya itu akan mula membenci dirinya.
"Awak???"
Baru saja tangan Hakimi yang berkira-kira mahu menyentuh kerana tiada respon daripada gadis itu, tiba-tiba Fazlin mengangkat muka. Tisu yang berada di atas dashboard dicapai lalu air mata dikesat.
"Tolong hantar saya balik sekarang."
"Hah?"
"Please. Saya nak balik sekarang."
"Err. Baiklah."
Hakimi tidak terus berlengah. Gear segera dimasukkan lalu handbrake ditarik. Tidak sampai beberapa saat, kereta sudah meluncur laju di atas jalan.
Terus terang, Hakimi turut bersimpati apabila melihat gadis itu menangis. Dia rasa seperti mahu mengambil berat. Kalaulah gadis itu sudi berkongsi cerita, pasti dia akan cuba membantu selagi termampu. Tapi apakan daya, dia seperti tak rela.
Jujur dari hati, bukanlah niat Hakimi untuk menyindir Fazlin tadi. Dia cuma mahu memulakan perbualan. Ingatkan kalau berbalah mulut, dapat juga dia berkenalan. Sebab dia seakan dapat rasa, hatinya mula terpaut suka pada gadis itu. Nak buat macam mana, bukan jodoh agaknya.
"Lin?! Ooo Fazlin Aufa anak ibu oii..." Rasa nak tercabut anak tekak Puan Airah menjerit memanggil anak dia seorang.
Fazlin tersentak dari lamunan. Terkejut beruk apabila tengok ibunya tiba-tiba terpacak di hadapan mata.
"Eh ibu, bila masuk?"
Puan Airah menggeleng. Naik hairan dia tengok karenah Fazlin sejak semalam. Tak habis-habis melangut. Sampaikan orang ketuk pintu tadi pun dia tak dengar. Ish ish. Anak dia ni dah kenapa?
"Apa kena dengan kamu ni? Dari tadi lagi ibu panggil kamu suruh makan. Tapi kamu buat dek aje. Ingatkan tidur. Datang dekat tengok celik aje mata tu."
"Eh ibu panggil? Bila masa? Tak dengar pun."
"Manalah kamu nak dengar kalau duk asyik termenung macam tu. Kamu ni ada masalah ke Lin? Kalau ada, kongsilah dengan ibu."
Fazlin tersengih bak kerang busuk. Saja mahu menyelindungkan apa yang sedang dia rasakan sekarang. Agaknya mungkin ibu perasan. Ya, masalah tu memang ada. Tapi saja dia tak mahu berkongsi. Malas menyusahkan orang tua.
Tapi tak tahulah. Tak tahu kenapa tiba-tiba hari ini dia dapat rasakan masalahnya seakan bertambah pula. Aduhai... Kenapalah kepalanya asyik terbayangkan mamat semalam tu aje ni?

 Rakus Hakimi menyuap nasi ke dalam mulut. Sampai bulat-bulat pipinya. Nasib baik tak belalak biji mata. Gelojoh gila. Sekali tengok, macam orang kebuluran pun ada. Tersenyum saja bapa saudaranya iaitu Encik Rahman tatkala memandang.
"Ya Allah kau ni Kimi. Masuk hantu ke apa ni? Pelan-pelan lah sikit. Karang tercekik, baru padan muka." Iqbal membebel.
 Sakit mata dia tengok cara Hakimi makan. Tak senonoh gila. Kalau ya pun keempunan, janganlah sampai macam tu. Buat malu aje kalau orang lain tengok. Malu nak mengaku sepupu kalau macam ni.
"Sedap gila weh. Dah lama aku tak makan masakan macam ni." Hakimi membela diri. Langsung tak pedulikan leteran Iqbal. Tangan laju mencapai kuah gulai telur itik. Lantas ikan goreng berlada pula menjadi sasarannya.
Iqbal apa tahu. Dia tak apalah. Duduk Malaysia, setiap hari dapat jamah masakan kampung macam ni. Kalau kat US tu, kalau terjumpa restoran yang jual asam pedas, memang dah rasa heaven gila.
"Ala, biarlah dia nak makan tu. Nah sayang, tambah lagi." Puan Saadiah yang baru keluar dari dapur sambil membawa nasi tambah turut bersuara.
"Terima kasih, mak long."
Ceria betul air muka Saadiah. Mana tidaknya, sudah lama rindu untuk bertemu dengan anak buahnya. Anak yang dianggap seperti darah daging sendiri. Bukan tak pernah dia cuba mencari dulu. Tapi sampai ke sudah dia tak jumpa disebabkan buntu. 
"Entah kau ni Iqbal. Biarlah dia nak melantak tu. Kau tu, kalau seminggu tak balik sini pun dah mengidam sakan. Suruh mak masak itulah, inilah. Tak gitu Saadiah?" Encik Rahman menyelar anak sendiri.
"Betul bang." Saadiah mengangguk sambil ketawa mengekek.
Iqbal tarik muka masam. Ingatkan dapat sokongan tapi dengan tiga ekor sekali komplot nak jatuhkannya. Hmm. Nasiblah badan.
"Tempoh hari korang cakap nak balik semalam, kenapa tak jadi pulak? Penat mak abah tunggu korang tau." Puan Saadiah kedengaran merajuk.
Sebenarnya dia hanya mahukan pencerahan. Sedang elok menanti, tiba-tiba dapat panggilan kata tak jadi balik. Tunda ke hari ini. Mahu tahu juga sebab apa yang mengubah keputusan mereka tu.
"Mak tanyalah dia ni." Iqbal membuat muka.
Mana tidaknya, dekat 2 jam juga dia tunggu mamat tu kat pejabat. Tup-tup cakap tak jadi sebab ada hal kecemasan. Betul ke kecemasan? Ke tidur sampai tak larat nak bangun? Sebab lepas dia balik kerja, tengok mamat tu elok aje bersantai depan tv.
"Maafkan saya mak cik, pak cik. Sebenarnya saya ada hal kecemasan sikit. Masa nak turun lif, entah macam mana saya boleh tak perasankan sorang perempuan ni. Dia nak masuk, tapi saya tertekan butang tutup tu. Tengok-tengok tangan dia dah tersepit. Merah jugaklah tangan dia tu."
Serentak terbeliak mata Encik Rahman dan Puan Saadiah. Naik merinding bulu roma mendengar cerita itu. Tak dapat bayangkan kalau kejadian itu berlaku depan mata mereka. Mesti teringat-ingat. 
"Lepas tu, macam mana? Bawak dia pergi hospital tak?"
"Tak, bawak pergi klinik aje. Tu pun kena paksa. Dia cakap sikit aje."
"Oh... nasib baik tak ada apa-apa."
Iqbal yang hanya mendengar dari tadi mula menjampuk.
"Betul ke cerita kau ni? Macam tak logik aje. Ke saja reka sebab nak tutup kesalahan?" Iqbal bersoal, serius.
Sesungguhnya, dia masih lagi tak percaya dengan cerita yang Hakimi sampaikan tu. Biasa sangat dia dengar alasan begini keluar daripada mulut rakan sekerja sebab terlambat. Itulah, orang suruh keluar awal, dia tak nak. Last-last reka cerita kepit tangan orang pakai lif. Ekstrem betul. Mentang-mentang dari US.
"Terpulanglah Bal kau nak percaya ke tak. Dah, jangan kacau aku lagi. Aku nak makan ni." Hakimi membidas, geram.
Iqbal buat muka. Apabila melihat emaknya melangkah ke dapur, dia turut membontoti wanita itu dari belakang. Ada sesuatu yang mahu ditanyakan kepadanya.
"Mak..."
"Ya Iqbal. Ada apa?"
"Mak ada nampak Lin tak? Dah lamalah Iqbal tak jumpa dengan dia tu."
"Dia ada je kat rumah tu mak tengok. Pagi tadi pun terserempak masa tengah buang sampah kat depan."
Berkerut dahi Iqbal mendengar jawapan itu. Ada kat rumah? Habis, kenapa semasa dia tanya, minah tu cakap dia outstation? Biar betul.
"Tapi semalam dan kelmarin dulu dia tak ada kat sini. Airah cakap dia bermalam kat rumah dia. Ada kerja penting nak buat." Tiba-tiba Puan Saadiah berasa pelik. "Aik, takkanlah dia cakap kat kamu kot?"
Iqbal menggeleng. Bertambah-tambah rasa terkejut di hati. Dah kenapa pulak ni? Selalu nak datang situ, mesti dia bagitahu. Sah, ini mesti ada yang tak kena. Aduh... bodohnya aku tak perasan. Iqbal mengutuk diri sendiri.
"Tak adalah pulak mak. Tak pelah. Iqbal nak pergi rumah dia kejap. Mak layanlah Hakimi tu dulu ye."
"Hah yelah."
Tidak mahu berlengah, dia segera keluar melalui pintu belakang. Harap-harap, minah tu adalah kat rumah. Senang nanti dia nak buat lawatan mengejut.
Rumah yang keluarga Iqbal diami sekarang ni adalah jenis rumah berkembar. Dulu Encik Rahman terpaksa buat begini atas saranan arwah ibunya yang mahu mereka adik-beradik tinggal berdekatan atas alasan tak mahu berpisah. Jadi nak dipendekkan cerita, selepas keluarga Hakimi berpindah dari situ, keluarga Fazlinlah yang mendiaminya.

Bab 6 Klik Untuk Baca

4 ulasan:

  1. Alahai... cepat la sambung...best ni...
    As suka cita ni...

    BalasPadam
  2. Hehe. Tq As sudi baca. Kalau ada komen atau pendapat, bagitahulah ye. InsyaAllah akan cuba diperbaiki. :)

    BalasPadam
  3. bestlah cara awak tulis. saya suka. chaiyok! -dari cawanpink.

    BalasPadam