11/08/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 8

Bab 8
Karenah Fazlin yang sedang menjamah hidangan, ditatap Puan Airah dalam diam. Riak risau jelas terpancar di wajah seorang ibu sepertinya. Sudah lama rasanya dia nak meluahkan perkara ini, tapi bimbang pula jika hati anaknya bakal terguris.
Zaman sekarang ni, bukannya seperti zaman dulu. Patuh apa saja kata orang tua. Kalau emak cakap A, maka A lah pada pandangan mata si anak. Zaman kini? Tak ada maknanya nak macam tu. Tambahan pula kalau jenis sensitif macam anak dia ni.
Tatkala itu, Fazlin terpandang lirikan mata emaknya itu. Lain macam renungannya. Seolah-olah ingin mengatakan sesuatu yang maha berat. Hmm... entah betul ke tidak. Fazlin yakin, ibu mesti ingin mengungkit pasal 'perkara' itu.
"Kenapa ibu pandang Lin macam tu?"
Puan Airah terkejut. Terus mati niat nak menyuarakan isi hati. Bibir dipaksa mengukir senyum walaupun tak menjadi.
"Tak ada apa-apalah."
Fazlin melontarkan senyum. Tercuit hati melihat gelagat sang ibu yang cuba mengaburi pandangan mata. Ala ibu. Kalau orang lain, bolehlah ibu nak tipu. Ini Fazlinlah. Anak kandung yang dah lama hidup bawah ketiak tengik ibu tu.
"Ala cakap jelah bu. Tak payah nak cover-cover bagai." Fazlin menyindir bertujuan untuk bergurau. Lagipun dia tahu, ibu pasti takkan ambil hati.
"Hmm... macam mana nak cakap ek."
"Cakap cakap. Jangan tak cakap."
Puan Airah menarik nafas dalam-dalam. Nak tak nak, terpaksalah dia meluahkan apa saja yang terpendam di dalam kalbu. Alang-alang orang tu dah bagi permit, baik dia teruskan saja. Bukan senang tu nak dapat peluang keemasan macam ni.
"Ibu sebenarnya risau pasal kamu ni."
Fazlin buat-buat tak faham. Sedangkan dia yakin maksud sebenar akan kerisauan yang ibu utarakan itu. 
"Nak risau apanya? Lin okey apa. Ada depan mata ibu lagi ni hah." Fazlin berloyar buruk. Tersengih dia tengok ibu naik angin dengan kata-katanya.
"Bukan risau tang tu. Risau pasal lain."
"Ala ibu. Cakap ajelah apa yang ibu risaukan tu. Tak payah nak berkias-kias. Straight to the point kan senang."
Baiklah. Kalau macam tu, sekarang jugak Puan Airah akan berterus terang.
"Ibu tengok semua orang sebaya kamu ni dah ada anak pinak. Tapi kamu, usahkan nak ada anak, calon suami pun tak tahu ke mana hala lagi. Senang kata, bilanya kamu nak berkahwin Fazlin oii..." Hah, amik kau. Tadi suruh straight to the point sangat kan. Jujur teruslah ni.
Terangkat sebelah kening Fazlin mendengar luahan Puan Airah. Amboi... sekali dia bagi, rasa nak berkudis telinga. Namun begitu, Fazlin memilih untuk bersikap lebih terbuka. Tiada sebab untuk dia melatah waima melenting sekalipun. Kerisauan ibu ada benarnya. Tetapi dia tetap manusia biasa kan. Siapa dia hendak mempersoalkan ketentuan Tuhan?
"Belum ada jodoh, bu. Nak buat macam mana."
"Ya ibu tahu. Jodoh tu memang ketentuan Allah sejak azali lagi. Tapi sebagai manusia, kita tetap kena berusaha. Allah takkan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan mereka mengubahnya dulu. Lin kena faham tu."
Fazlin terdiam. Nasihat ibu itu umpama pahanan tajam menusuk ke hulu jantungnya. Ya, baru dia sedar akan kesilapannya. Selama ini, bukannya tak ada orang yang cuba mendekat. Tapi dia sendiri yang terlebih ringan kaki nak melarikan diri.
Fikir logik akal, sesiapa pun akan menjauh kalaulah berterusan begini perangainya. Aci nak berkenalan, dia dulu yang reject. Hmm... patutlah.
Entah macam mana, tiba-tiba saja wajah Hakimi boleh terbayang di ruang mata. Kalaulah dia tak jual mahal, agaknya dah lama dia dapat berkenalan dengan lelaki itu. Inilah padah apabila tak ada pengalaman dalam percintaan. Kan dah melepas lelaki pujaan. Padanlah muka tu.
Seketika, Fazlin mengeluh perlahan. Dia dilihat membetulkan hoodie yang berada di atas kepala. Baju sweater atau hoodie ala-ala hip hop adalah baju kegemaran yang sering dikenakannya apabila berada di rumah. Selain turut digunakan jika dia mahu melepak dengan kawan terutama si mamat yang kepalanya tiga suku tu. Siapa lagi kalau bukan Iqbal.
Sebab saja pasal mamat tu, Fazlin terus tertanya-tanya. Apa khabar agaknya dia sekarang ya? Lamanya tak jumpa. Ke sedang bahagia sakan dengan kekasih tercinta tu? Hmm. Sebut pula pasal Zara, terus moodnya berubah menjadi sedih. Ah, tak payahlah fikir pasal depa lagi. Fazlin seakan memujuk diri sendiri.
"Oh ya... terlupa pulak ibu nak bagitahu kamu. Pagi tadi mak cik Saadiah ada cakap, Iqbal nak balik rumah hari ni. Kamu tak nak pergi jumpa dia ke? Selalunya kalau dapat tahu berita ni, laju aje kamu terjah rumah dia tu." Puan Airah menyatakan berdasarkan pemerhatiannya.
Masak benar dah karenah dua makhluk tu. Rapat benar. Ibarat isi dengan kuku. Entahlah. Dulu bukan tak pernah dia berfikir. Alangkah bagus kalau dua makhluk itu berkahwin, kan lagi mudah cerita. Tak payahlah nak cari orang jauh bagai. Sebelah rumah lagi tu.
Tapi nak buat macam mana. Cinta tu kan tak boleh dipaksa. Puan Airah sendiri sedia maklum yang kawan baik Fazlin itu sudah pun berpunya. Tak elok jika dia jadi pemusnah walaupun hatinya berkenan jika dapat bermenantukan si Iqbal tu.
"Ala malaslah. Lain kalilah jumpa dia tu." Fazlin memberikan alasan.
Berkerut dahi Puan Airah. Sedikit sebanyak dia berasa terkejut. Aik. Serasa jarang benar perkataan itu keluar dari mulut Fazlin jika hal itu berkaitan dengan Iqbal. Macam ada tak kena aje ni.
"Oh ya... kamu ingat tak cerita pasal anak saudara mak cik Saadiah yang dah lama hilang tu, rasanya dia pun balik jugak. Rupa-rupanya dia menetap kat Amerika selama ni. Syukurlah. Selalu sangat ibu dengar Saadiah rindukan anak buahnya tu."
"Hmm..." Fazlin hanya mengiakan.
Memang dia pernah dengar tapi secara samar-samar. Iqbal pun seperti tak mahu berkongsi apa-apa tentang sepupunya itu. Jadi buat apa dia nak pening kepala sibukkan diri dengan perkara yang tak ada kaitan hidup dengannya.
"Katanya lelaki."
"Hmm..."
"Kacak lagi tu. Putih, berbadan tegap. Kemas lagi smart. Kamu tak teringin ke?" Puan Airah cuba masuk jarum.
Terus Fazlin buat muka. Dalam hati dah membebel geram. Apa ibu ingat anak dia ni mengidam ke sampai teringin-teringin macam tu? Hish ibu ni. Kalau ya pun, agak-agaklah. Entah suami orang ke apa. Ikut suka dia aje nak jodohkan orang dengan lelaki entah dari ceruk mana.
Tapi... ada tapinya juga. Fazlin tak marah jika ibu nak carikan jodoh. Tapi kalau boleh, biarlah mamat tu sebaik lelaki yang pernah dia jumpa semalam. Itu kan lebih afdal orang kata. Kah kah kah. Aku ni dah kenapa? Angau memanjang.
"Dahlah ibu. Orang tak nak bincang lagi pasal ni. Stress tau tak. Tapi ibu tak payah risau, nanti orang akan cari calon menantu terbaik buat ibu tau."  
Puan Airah mendengus sambil membuat muka. Itu jugalah skripnya kalau nak tamatkan perbincangan bab-bab jodoh ni. Lantak kaulah anak. Dah berbuih mulut duk ulang benda yang sama. Biar sampai ke tualah kau duduk macam tu. Dah kau yang pilih. Puan Airah hanya mampu membebel di dalam hati.
"Tu jelah alasan yang kamu tahu kan."
"Hehehe." Fazlin hanya tersengih.
Memandangkan nasi yang dijamahnya sudah pun habis, dia hanya mengambil lauk untuk diratah. Kan bahagia juga kalau dapat hidup macam ni. Duduk bawah ketiak ibu, dapat bermanja selalu. Selain dapat kerjakan masakan dia yang sedap-sedap macam ni.
Kalau harapkan sendiri yang masak, memang tak jadilah. Bukan tak sedap, tapi tak kena langsung dengan selera tekak. Resepinya tetap sama, tapi air tangan ibu tu yang tak ada, itu yang tak jadi. Rasa tak sampai hati pulak dia nak kerat tangan ibu yang tak berdosa tu setiap kali dia nak masak.
Baru saja Puan Airah nak membuka mulut, tiba-tiba saja pandangannya disapa oleh kemunculan Iqbal secara mengejut. Disebabkan kedudukan Fazlin yang membelakanginya, Iqbal mengambil kesempatan dengan memberi isyarat 'diam' kepada Puan Airah.
Puan Airah mengerti. Dia berlakon seolah-olah tiada sesiapa di situ. Malahan, dia sendiri yang mengambil peluang untuk mengenakan Fazlin yang keras kepala.
"So betullah kamu tak pergi jumpa Iqbal ni?"
"Tak naklah ibu. Tak ada mood."
Berubah terus air muka Iqbal. Mencerlang biji mata. Aduh. Tiba-tiba rasa panas telinga. Memang nak kenalah dia ni.
"Tak baik kamu cakap macam tu. Kalaulah dia terdengar, mesti kecik hati dia. Kamu tak kesiankan dia?"
"Biar..." Belum sempat Fazlin menghabiskan ayat, terus kepalanya terdorong ke depan dek tunjalan kasar Iqbal.
"Aduh. Sakitlah." Fazlin merungut, geram.
Saat dia berpaling, rasa nak terkeluar biji apabila tengok wajah Iqbal muncul. Namun cepat-cepat dia berlagak selamba. Hoodie yang sedikit longgar disepit dengan kemas oleh tangan kiri. Bimbang jika terkeluar rambut atau ternampak leher. Tengok, ada faedah jugak kan dia suka pakai baju macam ni.
"Padan muka. Sapa suruh kau tak cakap kat aku kau ada kat rumah?"
Fazlin menjongketkan kening sebelah tanda tak puas hati. Kemudian dia berpaling ke depan semula lalu menyambung aktiviti meratah lauknya tadi. Ternyata kemarahan Iqbal itu langsung tak membuatkan dia gentar.
"Kau tu bukannya mak aku sampai nak kena lapor memanjang." Bidas Fazlin, sinis.
Puan Airah hanya menggeleng tatkala melihat kelakuan anaknya. Masak sangat dah. Adalah tu perselisahan faham atau apa. Patutlah sejak akhir-akhir ni dia perasan emosi anaknya tak berapa betul. Sekejap termenung. Sekejap tersengih pula. Ah, biarkanlah. Nanti dia masuk campur, dengan dia sekali jadi tak betul.
"Iqbal nak makan tak? Kalau nak, mak cik boleh tolong ambilkan pinggan." Puan Airah mempelawa.
"Eh tak apa mak cik. Saya pun sebenarnya baru lepas makan ni."
"Oh ye ke. Kalau macam tu, kamu duduklah dulu ya. Mak cik nak ke belakang sekejap. Nak tengok si ayahnya tengah buat apa. Dari tadi lagi tak masuk-masuk. Bimbang jugak. Takut tersangkut dengan mana-mana janda area sini, mak cik jugak yang susah nanti." Puan Airah kedengaran berseloroh.
Ketawa Iqbal meledak. Tercuit hati mendengar jenaka sensitif bagi kaum perempuan itu. Setelah kelibat Puan Airah hilang dari pandangan, dia segera melabuhkan punggung di atas kerusi kosong di sebelah Fazlin.
"Cuba cerita kat aku dengan jujur. Lin, kau ni sebenarnya ada masalah dengan aku kan? Kau tak puas hati apa dengan aku? Cuba kau cakap."
"Eh mana ada."
"Tak payah bohonglah Lin."
"Betul aku tak tipu."
Iqbal naik geram. Dalam keadaan begini pun, nampaknya dia masih ada hati lagi nak berselindung. Hish, aku gigit sampai lumat karang. Nak tak nak, terpaksalah Iqbal menggunakan ikhtiar terakhir. Kali ini, confirm dia takkan dapat mengelak lagi.
"Sumpah?!"
Fazlin diam tidak berkutik. Bab-bab sumpah, memang dia tak berani berbohong. Takut kena makan sumpah, dia juga yang merana. Iqbal bijak memerangkap dia nampaknya. Punyalah dia cuba berlakon, tak sangka mamat tu bijak menghidunya.
"Entahlah Iqbal. Aku pun tak tahu nak cakap macam mana."
"Kau cakap aje kenapa. Aku dengar ni."
"Kau tak faham Iqbal. Aku..."
Fazlin berada dalam dilema. Patut ke dia berterus terang masalah yang dia hadapi ini berpunca daripada kekasih Iqbal? Baginya, perkara ini ternyata begitu merumitkan. Ibarat nak diluah mati emak, ditelan mati bapak. Kalau begini, baik dia saja yang mati. Kan senang.
Iqbal mengeluh perlahan. Dia seakan dapat merasakan kesukaran Fazlin untuk membuka mulut. Pada fikirannya, pasti ada sebab kenapa Fazlin bersikap begitu. Tiba-tiba hatinya berdetikkan sesuatu. Jangan-jangan semua ni ada kaitannya dengan...
"Zara ke punca semua ni?"
Fazlin hanya mendiamkan diri. Dia tidak mengiyakan. Dalam masa yang sama turut tidak menafikan. Namun begitu, dari reaksi yang dipamerkan Fazlin, Iqbal seolah-olah telah mendapatkan jawapannya.
"Dia buat apa kat kau? Kau cakap Fazlin. Kalau kau tak cakap, aku takkan tahu." Nada Iqbal kedengaran menyinga.
Oh, patutlah sejak akhir-akhir ni dia perasan dengan perangai Zara yang turut berubah. Selalunya dia akan telefon atau mesej Iqbal tak kira masa. Tanya khabar dan dengan siapa dia melepak. Selalu sangat dia serkap jarang sampai marah-marah sebab cemburu. Ingatkan dah faham. Rupa-rupanya Zara ada gunakan jalan pintas.
Memang kalau nak diikutkan, Iqbal tak nak berkeras. Tapi kalau dah sampai nak retak hubungan baik antara dia dengan Fazlin, dia kena lakukan sesuatu. Dia kenal Fazlin dulu kot. Nak tak nak, jika Zara nak bersama dia, Zara harus menerima masa silam dia.
Tatkala itu, Fazlin perasan akan reaksi si Iqbal. Dia tahu, jika dia beritahu cerita sebenar, tak mustahil mamat itu akan melenting. Rasa tak sampai hati pula nak keruhkan keadaan. Sebagai seorang perempuan, dia cuba memahami apa yang Zara rasakan. Lagipun Zara tak salah. Dia ada hak untuk rasa begitu. Cuma Fazlin terkilan apabila gadis itu meluahkan kata-kata yang sedikit sebanyak telah menguris hati perempuannya.
"Dahlah Iqbal. Tak payahlah cakap pasal ni lagi. Aku dah lupakan pun. Tak ada hallah." Fazlin cuba berbohong. Sedangkan sedikit pun dia tak pernah lupa apa yang Zara katakan padanya.
"Tapi..."
"Aku cakap dah, dahlah. Kang aku hempuk pinggan ni atas kepala kau nak?" Fazlin menggertak sambil buat-buat tayang muka bengang. Pinggan diangkat konon acah-acah nak pukul betul-betul.
Ada senyuman terlakar di bibir. Fazlin menarik nafas lega. Akhirnya, dapat juga dia bergurau begini dengan Iqbal setelah sekian lama. Terlepas sudah rasa rindu sebagai seorang sahabat.
"Tak nak, sakit." Iqbal menyeringai, manja.
"Tahu takut."
Serentak itu, meledak tawa kedua-duanya. Iqbal yang mahu membalas, segera mencapai gelas air kosong yang berada berdekatan. Dengan selamba badak, dia mencurah air itu ke atas kepala Fazlin yang bertutup. Habis kuyup satu badan minah tu.
"Mangkuk hayun punya orang!" Bergegar satu rumah dengan jeritan Fazlin. Dia yang bengang bingkas berdiri lalu mengejar Iqbal yang sudah berlari untuk menyelamatkan diri.



2 ulasan:

  1. Pastu Fazlin ligan Iqbal sampai umah Iqbal...kejar punya kejar tetiba terlanggar ngan Hakimi...alahaiiiii....surprise.... :D

    BalasPadam
  2. Haha. Good idea. Tak pulak terfikir sebelum ni. Apa pun terima kasih As sudi baca. :)

    BalasPadam