18/08/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 9

Bab 9
Sejurus menukar bajunya yang basah, Fazlin segera keluar dari bilik. Kepalanya turut siap berbalut sehelai tudung dengan rapi. Saat terpandang kelibat Iqbal, terus dia menonong ke arah dapur. Pinggan yang tak sempat dicuci tadi dibilas dengan air sabun. Hilang terus mood dia nak layan mamat tu.
"La... merajuk ke?" Iqbal kedengaran mengusik.
Rasa nak ketawa tatkala melihat rajukan Fazlin. Macam budak kecil. Sensitif betul. Nak gurau sikit pun takkanlah boleh. Kata bestfried kot.
"Tak ada maknanya." Balas Fazlin dingin.
Wajah langsung tidak ditoleh ke arah Iqbal. Sah, merajuk tahap gaban. Inilah dia perempuan. Mulut kata lain, tapi hati kata lain. Jadi sebagai kaum lelaki, mereka digalakkan untuk berjaga-jaga. Pandai-pandailah baca isyarat agar tak keluar singa betina.
"Ala, gurau sikit je pun. Tu pun nak ambil hati." Iqbal mengherdik, geram.
Sakit pula rasa hatinya sekarang. Dahlah hari ini baru jumpa. Ingatkan dapatlah bergurau mesra, alih-alih jadi macam ni pula. Minah sentap ni kan. Kesalahan orang aje yang dia nampak, tapi kesalahan diri tu campak mana? Banyak cantik.
Mencerlang biji mata Fazlin mendengar herdikan maut Iqbal. Dia yang bengang terus berpaling sambil bercekak pinggang.
"Nak gurau pun agak-agaklah. Ni gurau bodoh namanya."
Iqbal hanya buat muka selenga. Malas nak jawab apa-apa. Perempuan ni kalau disekat angin, buruk padahnya. Silap haribulan, tercabut terus telinga.
"Ala sorrylah. Yelah. Lain kali aku janji tak buat lagi ek." Iqbal memberikan jaminan.
Mulai hari ini, dia janji takkan guna taktik simbah air dari gelas macam tu lagi. Mungkin lain kali, dia harus menukar taktik yang terbaru. Lebih kejam mungkin. Hah, dari baldi pun okey jugak kan.
"Janji?"
"Ye janji."
Akhirnya, Fazlin menarik nafas kelegaan. Sedikit sebanyak, hilang rasa marah yang bertandang. Baru saja dia mahu berpaling nak sudahkan cucian pinggan, suara Iqbal kedengaran lagi.
"Weh, ikut aku kejap. Aku nak kenalkan kau dengan seseorang ni." Iqbal memberitahu.
Ada rasa teruja bersarang di hati Iqbal. Mana tidaknya, baginya pertemuan ini sangat dibutuhkan. Bagi seseorang yang penting seumpama si Fazlin itu, dia harus tahu siapa saudara mara terdekatnya. Begitu juga dengan Hakimi yang mana adalah sepupu yang paling disayangi sepenuh hati.
"Ala siapa?" Fazlin pura-pura bertanya dengan nada tidak berminat.
Sedangkan dia sendiri dapat mengagak siapa yang mahu diperkenalkan oleh Iqbal. Mestilah sepupu dia yang datang dari Amerika tu kan. Hmm... setahu dialah, orang dari oversea ni memang suka berlagak. Nak-nak kalau ala-ala Mariah Carey tu. Mesti buat dia menyampah.
"Adalah. Lepas kau jumpa kau tahulah."
"Hmm..."
"Jomlah. Dia hensem gila weh."
Fazlin rasa keberatan. Sebenarnya jauh di sudut hati, dia seakan dapat menebak tujuan utama Iqbal. Mesti mamat tu cuba nak 'kenenkan' dia dengan lelaki tu. Ah, tak patut betul. Sungguh dia rasa sedang dipergunakan.
Ketika itu, Iqbal perasan dengan keengganan Fazlin. Dia juga seakan dapat menghidu tanggapan yang sedang bermain di minda gadis itu.
"Kita jumpa kejap aje. Tak ada niat apa-apa pun." Iqbal menjelaskan.
Kesian pula apabila tengok Fazlin sekarang. Mesti dia trauma sebab selalu kena paksa cari pakwe. Iqbal sedar dia tak boleh layan Fazlin begini. Dia juga ada hak untuk menentukan arah tuju hidupnya. Dengan siapa dia mahu berkawan.
"Betul tak ada niat apa-apa ni?"
"Betullah."
Fazlin tersenyum puas. Alhamdulillah. Lega hati dia mendengar kata-kata itu.  Nasib baik Iqbal seorang yang memahami. Kalau tak, sampai ke sudah dia akan rasa kekok. Baiklah. Kalau setakat jumpa lepas tu cabut, apalah sangat kan. Jadi Fazlin buat keputusan untuk ikut saja kehendak Iqbal itu.
"Kejap. Aku nak habiskan basuh pinggan ni dulu."
Tatkala itu, wajah Iqbal terus berubah. Dia yang geram dengan sikap dolak-dalih Fazlin, merentap lengan gadis itu agar menurutinya. Sebaliknya berlaku bila mana tiba-tiba saja Fazlin menjerit kesakitan.
"Aduh. Sakitlah." Fazlin mengaduh sambil menarik tangannya semula.
Laju dia menggosok lengan yang mula rasa pedih. Ikutkan keadaan, bukan sakit mana pun tindakan Iqbal tu. Tetapi disebabkan kesan kecelakaan semalam masih belum sembuh sepenuhnya, rentapan itu tetap menimbulkan rasa ngilunya.
"Hah, tangan kau kenapa?" Terbeliak mata Iqbal.
Terbit rasa ingin tahu apabila melihat kerutan di wajah Fazlin. Dia cuba menyelak lengan t-shirt baju gadis itu, tetapi terus saja tangannya yang ditepis.
"Tak ada apa-apa. Tak payah menyibuklah." Fazlin berkata selamba.
Malas dia nak panjangkan cerita. Lagipun bukan sakit sangat pun. Malahan bukan hal darurat pun untuk dia menyelak lengan baju dia untuk ditayangkan kepada Iqbal. Kawan tu kawan jugak. Batasan tetap harus dijaga. Itulah prinsip yang dipegang oleh Fazlin selama mana dia berkawan dengan sesiapa terutama berlainan jantina. Waima kawan rapatnya sendiri.
Nak tak nak, terpaksalah Iqbal mengalah. Biarpun hati melonjak mahu tahu. Apa punca tangannya sakit. Siapa yang buat. Siaplah kalau dia dapat tahu siapa yang terlibat. Akan diluku hidup-hidup kepala si penyebab angkara durjana itu.
"Dah kau yang cakap macam tu, tak apalah." Iqbal berkata sebelum menyambung semula kata-katanya.
"Jomlah kita pergi. Kau ni. Lembap betul."
"Ye jom."
Serentak itu, Fazlin hanya membontoti Iqbal menuju ke rumahnya. Tertanya-tanya juga di dalam hati. Agaknyalah, bagaimana rupa sebenar sepupu Iqbal tu? Betul ke hensem? Mana lebih hensem dari jejaka yang dia ketemui semalam? Fazlin hanya mampu berteka-teki dengan diri sendiri.

"Kenalkan. Inilah sepupu yang aku cakapkan tu." Iqbal bersuara.
Ketika itu, Hakimi dilihat sedang bermain dengan kucing perliharaan keluarga Iqbal. Mendengar suara menyapa dari arah belakang, dia bingkas bangkit. Berjeda diri seketika tatkala memandang wajah insan di hadapan. Langsung tak berkerdip kelopak mata.
"Eh awak?" Suara Hakimi agak tinggi.
Haruslah dia terkejut. Sebab sejak dari semalam, gadis inilah yang sering bermain-main dalam mimpinya. Sehinggakan apabila dia jaga pun, wajah itu masih teringat-ingat. Mahu berjumpa, dia langsung hilang punca. Yalah, gadis itu kan jual mahal.
Saat itu, reaksi Fazlin lagilah mengujakan. Dia yang terlalu kaget tatkala bertemu dengan lelaki itu, terus diam tak berkutik. Sebaliknya, tubuh pula kelihatan menggigil-gigil. Betul ke apa yang dia nampak ni? Jangan-jangan imaginasi dia tak? Hish. Macam tak logik. Takkan bumi Malaysia kecik sangat?
"Eh, korang berdua ni dah kenal ke?" Iqbal bersuara, terperanjat.
Reaksi kedua-duanya seperti sudah lama kenal. Rasanya baru beberapa hari aje Hakimi balik Malaysia. Macam pelik aje. Ke ada perkara yang dia tak tahu? Iqbal seakan bersoal dengan diri sendiri.
 Soalan Iqbal itu langsung dibiarkan sepi. Baik Hakimi mahupun Fazlin, mereka tak teringin pun nak jawab. Sebaliknya, mereka lebih teruja untuk mendapatkan kepastian sesama mereka. Iqbal bagaikan tak wujud. Senang cerita, Iqbal umpama iklan yang tak berbayar di kaca televisyen.
"Awak? Adam kan?" Fazlin bertanya untuk pengesahan.
Disebabkan terlalu gabra, dia langsung terlupa akan pesanan Hakimi semalam. Bukan ke Hakimi kata dia lebih suka dipanggil dengan nama Hakimi. Bukannya Adam. Namun begitu, panggilan itu ternyata membuatkan ketawa Hakimi terhambur.  
"Awak ni, kan saya dah pesan. Panggil Hakimi."
"Oh ya. Saya terlupa." Fazlin tersengih sambil buat-buat garu kepala yang tak gatal.
Hakimi tersenyum sambil menggeleng. Tercuit hati dengan sikap kalut gadis itu. Terus terang, dia rasa sangat gembira hari ini. Mungkin inilah yang dikatakan jodoh. Minta-mintalah dia tak dengar berita tak enak pasal gadis itu. Maksud Hakimi, harapannya agar Fazlin bukanlah kepunyaan orang. Bukan isteri orang. Bukan juga tunang orang. Awek pun bukan.
"Ya. Sayalah ni, Hakimi. Lelaki yang 'buat' awak semalam." Hakimi seperti berkias.
Dia tahu, Fazlin pasti tahu maksudnya. Situasi itu hanya berlaku di antara mereka berdua. Apabila diingatkan balik peristiwa itu, terus Hakimi dipanah rasa bersalah. Kesian dia. Tak pasal-pasal jadi mangsa perlakuannya. Tapi mesti Fazlin tahu dia memang langsung tak sengaja.
Fazlin hanya melemparkan sebuah senyuman tanda memahami. Dalam masa yang sama, entah kenapa tubuh badannya seakan menggeletar hebat. Sumpah, dia tak pernah rasa macam ni.
"Tangan awak dah okey?"
"Er dah. Dah okey pun. Sikit aje ni."
Iqbal yang tidak bersuara dari tadi, mula berasa sakit hati. Bengang rasa apabila diri tak endahkan. Dua-dua ekor itu melayan dia seperti tunggul. Sudahlah dia tak tahu pucuk pangkal cerita. Minta dijelaskan, dua-duanya buat dek aje. Huh, menyampah.
"Woi woi. Agak-agaklah weh. Aku pun nak tahu jugak. Tangan apa ni? Kenapa dengan tangan kau, Lin?" Iqbal melontarkan rasa tak puas hati.
Saat itu, barulah mereka tersedar yang mereka sebenarnya bukan berdua. Bagaikan berpakat, Fazlin dan Hakimi tergelak serentak. Geli hati tengok air muka masam Iqbal. Hahaha. Kasihan, tak ada orang nak layan.
"Tak payah menyibuklah. Ni hal antara kami berdua. Kan Fazlin?" Hakimi cuba memberi isyarat kepada Fazlin untuk mengenakan Iqbal.
Fazlin mengangguk. Bibir tak putus mengulum senyum.
"Haah. Budak kecik tak boleh masuk campur. Ni hal orang dewasa." Ujar Fazlin pula.
Ternyata kata-kata itu membuatkan Hakimi tergelak sakan. Pandai betul dia menyakat. Tanpa sedar, perasaannya terhadap Fazlin semakin berkembang mekar. Memang inilah calon permaisuri hidup yang dah lama dinantikannya.
Tatkala itu, bagi memuji komplot itu berjalan dengan baik, Hakimi telah mengenyitkan sebelah matanya ke arah Fazlin. Dan tindakan itu tiba-tiba membuatkan Fazlin mahu rebah. Jantungnya bagaikan gugur ke bumi. Lutut turut terasa lemah.
Ya Allah. Kenapa pulak dengan dia ni? Adakah ini yang dinamakan cinta? Kenapa pelik sangat reaksinya? Fazlin bersoal sendiri.
"Ah... mana aci." Iqbal masih dengan rasa ingin tahu.
Ketika itu, Fazlin mula rasa tidak senang duduk. Baginya, ini adalah pengalaman pertama dia jatuh cinta. Dia cuba mengawal diri agar berlagak normal. Tapi lain pula jadinya. Wajahnya terus bertukar kemerah-merahan. Macam udang baru lepas kena bakar.
Selain Iqbal, Hakimi turut perasan dengan perubahan yang berlaku pada wajah Fazlin. Tangannya yang menggigil itu jelas menujukkan yang dia sedang gementar. Hati Hakimi kuat mengatakan, gadis itu mesti sedang segan ketika berhadapan dengannya.
Ah. Comelnya. Rasa nak gigit-gigit aje pipi dia yang putih tu. Siaplah kalau jadi bini dia nanti. Sepanjang masa Hakimi akan pastikan gadis itu berada di sisinya.
"Yang kau ni dah kenapa? Macam nak terberak aje aku tengok." Iqbal bersoal dengan lawak yang agak kasar.
Terbeliak mata Fazlin. Bertambah merah muka menahan rasa malu. Iqbal ni tak patut tau. Dahlah dia cuba jaga imej dia depan lelaki pujaan, sampai hati dia sound tepek macam tu. Ah, malas kawan.
Fazlin tahu, jika dia berterusan duduk di sini, pasti tindak-tanduk anehnya dapat dihidu. Seganlah. Jadi nak tak nak, terpaksa dia minta izin untuk bertenang dulu. Rasa nak putus dah nafas dia ni. Tak sangka begini lagak orang terkena panahan cinta.
"Err... aku masuk dululah ye, Bal. Adam... eh silap. Hakimi saya minta diri dulu ye. Lain kali kita jumpa lagi." Lembut lagi perlahan Fazlin berkata ketika meminta izin.
Tatkala itu, kelibatnya terus bergegas keluar daripada rumah. Saat itu juga, Hakimi hanya memandang pemergiaan Fazlin dengan senyuman. Ya, dia akan sabar menantikan detik indah itu.
Menyenget air muka Iqbal tatkala mendengar suara mendayu Fazlin tadi. Eh, macam gediklah pulak minah tu. Ke dia yang salah dengar?
Namun begitu, disebabkan blur Iqbal langsung tak mengesyaki apa-apa. Dia yang lebih ingin tahu pasal bagaimana Hakimi mengenali Fazlin, terus menggasak sepupunya itu untuk bercerita.
"Weh, cepatlah cerita. Macam mana kau boleh kenal dengan dia tu?"
Hakimi hanya menggeleng seketika sebelum menunaikan permintaan Iqbal yang dah macam terdesak gila. Sejurus meluahkan dari mula bagaimana pertemuan antara dia dengan Fazlin terjadi, sekali lagi Iqbal terperanjat. Mulut ternganga luas sambil kepala cuba mencerna cerita itu semasaknya.
"Jadi cerita pasal kau kepit tangan minah tu dengan lif semalam, cerita betullah?" Iqbal bersoal tidak percaya.
"Yelah."
"Mati-mati aku ingat kau tipu aku."
Hakimi hanya ketawa perlahan. Penat berdiri, dia duduk semula di atas kerusi batu yang terletak di bahagian hadapan rumah. Mata meliar ke arah sekeliling. Mahu mencari kucing tadi tapi sayang tak jumpa pula.
"Aku dah cakap, tapi kau tu yang tak nak percaya." Hakimi menempelak geram.
Itulah... orang dah bagitahu dari awal-awal lagi, tapi dia pulak yang tuduh orang mereka-reka cerita. Apa ingat muka dia ni muka penipu ke? Muka stok alim ni tau. Nak jadi imam masjid besar pun bolehlah.
Akhirnya Iqbal mengeluh perlahan. Baru sekarang dia tahu kenapa Fazlin mengaduh sakit tadi semasa tangannya ditarik. Yang Hakimi ni pun satu. Macam dah tak ada tangan orang lain yang dia nak sepit. Tangan minah tu jugak yang jadi mangsa.
Hish... ikutkan hati ni, nak aje dia luku kepala Hakimi. Tapi rasa tak sampai hatilah pulak. Fazlin ni pun satu. Langsung tak cakap apa-apa. Nasib baik dia tergerak hati nak pergi rumah minah tu tadi.
Ketika itu, Iqbal turut melabuhkan punggung di atas kerusi kosong. Dia perasan air muka Hakimi yang seperti sedang tersenyum-senyum sambil memandang ke arah rumah sebelah. Dia tengok siapa? Fazlin ke?
"Woi! Kau tengok sapa tu weh? Hati-hati, anak dara orang tu." Iqbal mengingatkan.
Dia bukannya apa. Bimbang jika Hakimi mempunyai niat tak elok atau apa. Memanglah Hakimi tu sepupunya, tapi sebagai kawan baik kepada Fazlin, dia harus memastikan keselamatan gadis itu terjaga.
"Iqbal... aku ingat aku nak berkenalan dengan dialah. Aku rasa aku dah jatuh cinta kat dia."
Terkejut beruk Iqbal dengan pengakuan berani mati Hakimi itu. Serasa sukar untuk dia percaya. Takkanlah baru semalam berjumpa, hari ini terus jatuh cinta? Macam tak logik aje. Jangan-jangan dia ada niat tak baik. Hish tapi takkanlah. Hakimi ni kan sepupu dia.
"Kau biar betul."
"Betullah ni. Aku serius."
"Kau tak main-main kan?"
"Sumpah tak."
Tatkala itu, Iqbal hanya terdiam tak berkutik. Kalau betullah Hakimi ikhlas, memang dia tak kisah. Malahan dia lagi suka jika Hakimi benar-benar tulus cintakan Fazlin. Tapi masalahnya di sini, Fazlin nak ke kat Hakimi tu?
Tengok sajalah tadi. Naik gelisah semacam aje minah tu dibuatnya. Apa ingat Iqbal tak perasan? Dia bukannya buta. Lagipula, takkanlah Fazlin boleh berkenan pada orang yang kepit tangan dia pada hari pertama pertemuan? Macam pelik aje.

Bab 8 Klik Untuk Baca







2 ulasan: