8/09/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 12

Bab 12
"Mak ooo mak."
Ketika panggilan itu kedengaran, Puan Airah sedang berada di ruang tamu untuk mengemas. Dia tidak mengendahkan kerana menyangka orang lain yang dicari. Lalu tangan terus menghayun penyapu untuk membersihkan lantai pula.
"Mak."
Puan Airah berjeda seketika. Suara itu terasa dekat benar dengan telinga. Seolah-olah memang sedang menyeru dia yang ada di situ. Terhenti terus langkahnya. Masakan dia yang dipanggil. Itu kan suara lelaki.
"Hish mak ni."
Tidak semena-mena, muncul kelibat seorang lelaki tepat-tepat depan mata. Terperanjat Puan Airah. Nasib tak gugur jantung.
"Mak?! Kamu panggil saya mak?"
"Yelah mak. Mak kan ni mak saya." Lelaki itu bersuara selamba. Sebelum dia meminta izin. "Mak, nak duduk atas kerusi ni boleh tak mak?"
"Hah du...duklah." Puan Airah dilihat menggaru kepala.
Dia cuba mengingati. Bila masa pula dia ada anak lelaki? Setahu dia, anak dia hanyalah seorang. Itupun perempuan.
"Eh... kamu ni bukan anak sedara Saadiah ke?"
"Yelah mak. Sampai hati mak tak ingat saya." Hakimi buat-buat merajuk.
Memandangkan Iqbal dah bagi kebenaran, inilah masanya Hakimi melaksanakan misi yang seterusnya. Nak dapatkan anak, kenalah pikat orang tuanya dulu. Tak gitu?
Tercengang Puan Airah. Bejat otak memikirkan penyelesaian. Macam mana Hakimi ni boleh jadi anak dia pula?  Hanya ada dua kemungkinan kat sini. Jangan-jangan dia hilang ingatan sebab boleh terlupakan anak sendiri. Satu lagi, mungkin Hakimi tu yang dah sewel agaknya. Mana satu ni?
Hakimi rasa nak tergelak tengok wajah keliru Puan Airah. Terus dia rasa tak sampai hati untuk menyakat wanita berumur itu.
"Mak, meh duduk sini kejap." Hakimi memanggil sambil menepuk tempat duduk kosong di sebelahnya.
Faham dengan isyarat itu, Puan Airah menghampiri lantas melabuhkan duduk di sebelah Hakimi. Melalui firasatnya, dia yakin lelaki itu tak berniat jahat. Tengok sajalah wajahnya. Putih bagaikan tiada cela. Cis, macam iklanlah pula.
"Mak nak tahu sebab apa saya panggil mak mak?" Fuh. Mencabar betul ayat. Nasib baik tak 'Nang nak.' Hantu Thailand kot.
Bagaikan dipukau, Puan Airah hanya menggangguk saja. Ya, memang dia nak tahu sangat-sangat.
"Sebab saya ni, sebenarnya sukakan anak mak."
'Oh... patutlah.' Puan Airah berkata di dalam hati.
Sekarang ini barulah dia faham sikit-sikit ceritanya. Mati-mati ingatkan dia dah nyanyuk ataupun lelaki tu hilang akal. Hish. Buat saspens aje dia ni.
"Saya harap mak izinkan saya berkawan dengan Fazlin ya mak. InsyaAllah kalau ada jodoh, saya akan nikahi dia. Saya serius ni mak. Sebab tu awal-awal lagi, saya rasa elok saya panggil mak terus. Sebab nanti pun, mak cik tetap akan jadi mak saya kan?" Hakimi berkata diiringi dengan senyuman manis di mulut.
Cair terus Puan Airah. Terbit senyuman mekar di bibir. Wah tak sangka. Ada juga pemuda macam ni. Gentlemen gila. Tak macam lelaki-lelaki zaman sekarang. Bercinta bagai nak rak. Orang tua langsung tolak tepi.
"Mak tak kisah. Tapi sebelum kahwin tu, kenalah pandai jaga batasan. Barulah hubungan tu berkat."
"Saya tahu, mak."
"Baguslah kalau macam tu."
"Mak, kalau saya nak ajak Fazlin keluar boleh? Saya ingat nak ajak dia makan. Nak kenal hati budi dia. Dia pun boleh kenal dengan saya."
"Boleh... apa salahnya."
"Dia kat mana mak?"
"Tadi ada kat rumah. Tapi abah dia suruh pergi beli rokok kejap. Tu yang keluar tu." Puan Airah menjelaskan.
Bila diingatkan semula, siapa yang tak sakit hati. Ada ke patut sang suami menyuruh anak perempuannya pergi beli rokok? Tak patut betul. Agaknya dia nak balas dendam tak? Sebab dulu pernah sekali Puan Airah menggesanya pergi kedai tebalkan muka beli pad wanita. Sampai merah padam mukanya.
"Oh, abah merokok ye?"
"Haah. Dah puas mak nasihatkan supaya berhenti. Tapi dia tulah. Langsung tak makan saman. Dah sebati, nak buat macam mana." Puan Airah berkata geram.
Yang dia kisahkan, bukanlah pasal duit terbang disebabkan harga rokok semakin hari semakin mencanak naik. Tapi bimbangkan pasal kesihatannya. Sekarang ini pun, bukannya dia tak perasan suaminya itu sering saja batuk-batuk. Huh. Susahlah kalau berdepan dengan lelaki jenis kepala batu macam ni.
Ketika itu, Puan Airah terus berpaling ke arah Hakimi. Sempat ditilik bibir lelaki itu dalam-dalam. Nampak masih merah lagi bibirnya. Satu kelemahan bagi para perokok, bibir mereka akan kelihatan berwarna hitam. Itulah bibir suaminya yang mana merupakan perokok tegar.
Namun begitu, bagi mendapatkan kepastian, Puan Airah cuba bertanya sendiri. Manalah tahu, Hakimi bantai lipstick ke apa nak datang sini.
"Kamu merokok tak sayang?".
"Tak, mak."
"Alhamdulillah. Lega hati mak dengar."
Hakimi hanya tersenyum. Memang itu adalah pilihan dia sendiri. Baginya, merokok itu bukan saja membahayakan kesihatan, tapi sangatlah membazir. Dahlah keluarkan duit masa nak hisap. Kalaulah ditakdirkan terkena kesan sampingan merokok seperti kanser paru-paru, alzheimer, serangan jantung dan bermacam lagi, satu kerja lagi nak cari duit untuk merawat. Menyusahkan orang lagi tu.
Kebetulan ketika itu, Fazlin baru lepas pulang dari kedai. Saat mahu melangkah ke dalam rumah, dia perasan ada sepasang selipar yang tak dikenali berada di depan pintu. Telinga turut menangkap suara emak yang kedengaran ralit berbual dengan seseorang. Ada tetamu agaknya. Fikir Fazlin lagi.
"Assalammualaikum."
"Waalaikumussalam." Serentak Puan Airah dan Hakimi menjawab.
"Dah balik pun kamu."
"Mak berbual dengan sapa tu? Rancak betul. Sampai kat luar rumah boleh dengar." Fazlin sekadar bertanya.
Dia masih tak melihat gerangan siapa yang datang kerana sedang menyangkut kunci kereta di dinding. Rokok dibeli diletakkan di atas meja berdekatan.
"Dengan anak maklah." Puan Airah membalas. Hakimi hanya ketawa kecil.
Fazlin berkerut dahi. Anak mak? Anak mak yang mana pula ni? Bukan dia seorang saja ke anak mak selama ini? Ini siapa pulak ni. Tak ada angin tak ada ribut, muncul jadi anak emak. Jangan cakap kau datang sebab nak rebut harta sudahlah. Aku parang kau atas kepala nanti. Fazlin menyinga tiba-tiba.
Disebabkan tak puas hati, Fazlin bergegas meluru ke ruang tamu. Namun saat tiba di sana, terus mati langkahnya. Rasa nak terkeluar biji mata apabila melihat batang tubuh Hakimi berada di situ.
"Hah, nilah anak mak ni."
Fazlin diam tak berganjak. Tidak semena-mena tubuh badannya menggeletar hebat. Nak bergerak pun dah tak boleh ni. Matilah dia. Nak buat apa sekarang ni? Serta-merta wajahnya bertukar warna. Merah-semerahnya.
"Yang kamu duk tercegat kat situ lagi kenapa? Mehlah sini."
Fazlin bagaikan tak dapat mengawal perasaan. Sekejap dia rasa nak lari menyembunyikan diri. Sekejap dia rasa nak menangis. Rasa nak terkencing pun ada dah ni. Habislah. Wahai kantung pundi, tolonglah jangan nak malukan tuan badan sendiri boleh?
Bingung Puan Airah melihat kelakuan Fazlin. Lantas dia bangun lalu menghampiri anaknya. Tubuh gadis itu dituntun ke arah kerusi berhadapan Hakimi lalu didudukkan. Haih. Jadi robot ni dah kenapa?
"Hakimi duduklah dulu ya. Mak nak pergi buat air kejap."
"Baiklah mak."
Tatkala itu, kelibat Puan Airah sudah menghilang di dapur.
Buat seketika, hanya sepi yang mengambil alih ruang tamu itu. Fazlin dilihat hanya menundukkan kepala. Manakala Hakimi hanya merenung gadis itu dengan sedalam-dalamnya. Lucu pula tengok telatah Fazlin sekarang.
"Hai..."
Fazlin menggelabah. Aduh. Jangan memalukan diri sendirilah wei. Orang sapa selamba aje kot. Bertenang. Tarik nafas panjang-panjang. Hembus. Tarik. Jangan hembus. Eh hembuslah. Mati karang kalau tak hembus.
"Err... hai..."
"Dah makan?"
"Belum... eh dah dah."
Hakimi rasa mahu ketawa. Boleh pulak confius dah makan ke belum. Comel betullah dia ni. Rasa nak gigit-gigit aje.
"Malam ni kita keluar tau."
Spontan terangkat muka Fazlin. Terkejut apabila Hakimi berkata begitu secara tiba-tiba. Keluar? Nak pergi mana?
"Keluar?"
"Yup. Dinner. Tadi dah minta izin dengan mak. Mak bagi."
Ternganga luas mulut Fazlin. Yang pergi minta izin dengan mak tu kenapa? Kenapa tak tanya dia terus. Hish mak ni... memandai aje buat keputusan bagi pihak orang. Nasib baik mak. Kalau orang lain, dah lama dia siku kat belakang.
"Eh kejap. Kenapa awak panggil mak saya tu mak?" Fazlin melontarkan pertanyaan.
Haruslah dia tertanya-tanya. Sebab dari tadi lagi dengar lelaki itu beremak-emak dengan emak dia. Takkanlah dah ambil orang tua tu jadi emak angkat kot? Emak pun satu. Tua-tua macam ni pun ada hati nak main angkat-angkat dengan orang. Ingatkan zaman sekolah dulu-dulu aje. Trend budak tak cukup umur dan kurang kasih sayang.
"Kenapa? Tak boleh ke?"
"Bukan tak boleh. Saya cuma nak tahu kenapa."
"Oh... emak awak tu kan emak awek saya. Senang cerita, emak kepada bakal isteri saya. Jadi saya kenalah panggil dia mak. Tak gitu?"
Saat itu, terus Fazlin rasa mahu pitam. Dia yang malu, segera berlari masuk ke dalam bilik. Tak tahan weh. Teruk gila kena psiko hari ini. Yang Iqbal buat hari tu pun rasa tak hilang lagi. Alahai...
Namun begitu, jauh di sudut hati, Fazlin rasa sungguh bahagia. Ternyaat cinta yang berputik terhadap lelaki itu rupa-rupanya semakin berkembang mekar. Dia gembira kerana cintanya tidak bertepuk sebelah tangan.
Dan di sebalik pintu bilik itu, dia hanya melayani perasaannya yang berdebar-debar. Tersenyum sendiri kerana memahami maksud tersirat Hakimi pada dirinya hari ini.





3 ulasan: