15/09/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 13

Bab 13
"Jomlah, ikut sekali." Fazlin kedengaran merayu di talian.
Ajakan Hakimi petang tadi ternyata telah membuatkan Fazlin berasa tidak senang duduk. Semakin waktu berjalan, semakin berdebar perasaan. Bermacam tanggapan bermain di benak. Mampu ke dia keluar berdua dengan lelaki itu? Agak-agaknya, nak berbual pasal apa nanti? Awak dah makan? Gila. Kan mereka tengah makan tu. Awak ni tinggal kat mana? Lagi bengong. Dah sah-sah dia tinggal dengan Iqbal. Ah sudah.
Demi mengelakkan daripada memalukan diri, sejurus selesai menunaikan solat maghrib tadi Fazlin segera menelefon Iqbal. Tujuannya satu. Apa kata dia ajak Iqbal join sekali. Hah, baru ada geng. Sekurang-kurangnya ada Iqbal, hilang sikit rasa segannya itu.
"Kau dah gila? Ini dating korang berdua. Apasal pulak libatkan aku?" Iqbal kedengaran menyinga.
Yalah. Tak pernah dibuat orang dating minta berteman. Mereka pergi bukan jauh mana pun. Setakat kawasan selayang tu aje. Agak-agaklah. Kalau oversea tu, bolehlah dia pertimbangkan nak ikut sekali.
"Ala... aku takutlah." Fazlin memberikan alasan. Malu sebenarnya.
"Nak takut apa? Hish kau ni. Tak ada apanya. Pergi ajelah."
"Please Iqbal."
"Ah tak de tak de."
Baru saja nak merayu lagi, tiba-tiba pintu biliknya diketuk seseorang. Kelibat emak muncul dalam pandangan. Tak perlu buka mulut pun, dia tahu apa tujuan wanita itu terpacak di sini. Bertambah berdebar perasaannya sekarang.
"Lin... Hakimi dah ada kat depan tu." Puan Airah memberitahu.
Tersenyum dia tatkala melihat anaknya sudah bersiap. Agaknya dia sendiri pun tak sabar nak keluar. Maklumlah. Tak pernah ada teman lelaki. Dia sendiri pernah merasai betapa nikmatnya alam bercinta zaman dulu-dulu. Jadi tak salah jika mahu anaknya mengecapi perasaan yang sama.  
"Oh ye ke mak. Suruh dia tunggu kejap. Lepas ni Lin keluar."
"Baiklah." Kata Puan Airah. Seraya itu, dia pun berlalu dari situ.
Hilang saja kelibat emak dari pandangan, Fazlin baru teringat yang Iqbal masih berada di talian.
"Weh, dia dah datang tu. Macam mana ni???"
"Astaghfirullahalazim. Aku cepuk kepala kau karang. Dah dah. Aku tak ada masa nak layan kau lagi. Aku nak gi berak ni. Jangan kacau aku." Pap! Talian terus dimatikan.
Fazlin tarik muka masam. Tak guna. Nak minta tolong sikit pun tak boleh ke?! Iqbal ni lupa ke apa? Bukan ke masa dia mula-mula nak dating dengan Zara dulu pun, dia yang tolong temankan? Memang tak boleh harap betul.
Sejenak, nafas dihela dalam-dalam. Mata dipejam barang seketika. Kepala cuba dikosongkan daripada memikirkan sebarang masalah yang bakal timbul. Baiklah. Inilah saatnya. Kalau yang ni pun kau tak mampu nak tempuh, jangan haraplah kau nak kahwin nanti Fazlin oii...
"Aja-aja fighting." Bagai mendapatkan satu kekuatan luar biasa, spontan mulutnya menyebut kata-kata semangat versi Korea itu.
Ketika itu, Fazlin sudah pun berdiri. Tegap dan mendada. Kaki segera melangkah menuju ke arah cermin solek. Penampilan direnung buat kesekian kali.
Tudung. Done.
Baju kurung. Done.
Mekap. Done.
Pendek kata, semuanya dah selesai. Setelah betul-betul berpuas hati, dia segera mencapai beg tangannya. Tangan sempat menutup suis penghawa dingin dan lampu. Sebelum dia mula melangkah keluar dengan penuh semangat waja.
Namun begitu, saat terpandangkan Hakimi yang sedang berbual dengan ayah di ruang tamu, terus lututnya terasa lembik. Lelaki itu dilihat mengenakan baju t-shirt lengan panjang berwarna hijau merah. Ada sedikit corak ekslusif di dadanya. Seluar jean biru tua. Rambut berkilat mungkin sentuhan pomade atau gel jenama mahal.
'Hensemnya...' Fazlin berkata di dalam hati. Tidak berkerdip matanya merenung lelaki itu untuk seketika.
"Jadi sekarang ni kamu kerja kat Amerika lah ye?" Encik Farid sekadar mendapatkan pengesahan setelah diberitahu Hakimi sebentar tadi.
"Ya pak cik."
Kalau tadi, beranilah dia panggil Puan Airah dengan panggilan emak. Sebab wanita itu nampak ramah dan boleh bergurau. Tapi dengan ayah Fazlin ni, terus terang dia tak berani. Nampak macam garang aje. Tengok misainya pun dah tahu. Kalah misai A. Galak dalam cerita Gerak Khas.
Cubalah kalau dia buang tebiat nak panggil ayah juga. Silap haribulan, terus dituduh lelaki miang oleh Pak Cik Farid tu. Terus tak jadi nak buat menantu. Hah, masa tu menangis tak berlagulah dia.
"Jadi balik Malaysia ni kira bercutilah ye?"
"Hmm... boleh dikatakan macam tulah pak cik."
"Oh. Ingatkan nak cari calon bini." Pak Cik Farid berkata seraya tersengih.
Terus hilang keraguan yang bersarang dalam hati Hakimi tadi. Wah! Tak sangka betul. Rupa-rupanya Pak Cik Farid pun dah tahu cerita. Mesti bini dia dah bagitahu fasal hal ini. Baguslah kalau macam tu. Tak payah dia nak buat kerja 2 kali.
"Kalau ada jodoh, apa salahnya pak cik." Hakimi sudah mula berbicara dengan lebih selesa.
"Tapi kalau boleh, pak cik tak naklah anak pak cik duduk jauh dari pak cik. Kamu faham kan maksud pak cik?"
"Faham pak cik. Sebab tulah saya nak cari calon dari Malaysia ni. InsyaAllah kalaulah ditakdirkan jadi, mungkin saya akan terus menetap kat sini. Lagipun ini kan kampung halaman saya. Saya pun pernah tinggal kat rumah ni dulu." Begitu petah Hakimi menyusun bicara.
Ternyata kata-kata Hakimi itu membuatkan Pak Cik Farid tersengih lebar. Bertambah sukalah dia jika dapat bermenantukan lelaki tersebut. Sekurang-kurang kalau ada cucu nanti, tak perlulah dia berebut dengan keluarga belah sana. Eh lupa pula. Hakimi ni kan anak yatim piatu.
"Elok sangatlah kalau macam tu. Lagi cepat, lagi bagus." Selamba Pak Cik Farid memberikan pendapat sambil gelak setan. Lebih-lebihlah pulak dia kali ni.
Hakimi turut ketawa sama. Ketika itu, pandangannya tiba-tiba terarah sebatang kelibat yang sedang tegak berdiri. Serta-merta senyumannya mati. Dada mula rasa berdebar-debar. Dalam anak matanya sekarang, ibarat tertera seorang bidadari yang baru turun dari atas kayangan. Cantiknya...
"Hah yang kamu duk tercegat lagi kat situ kenapa Fazlin? Dari tadi lagi Hakimi ni tunggu tau." Pak Cik Farid kedengaran menegur.
Fazlin bagaikan tersedar daripada mimpi. Dia cuba mencari kelibat emak. Tadi ingatkan dia tumpang borak sekali. Tapi tak nampak pun.
"Mak mana ayah?"
"Ada kat dapur."
Fazlin perasan renungan Hakimi yang tak putus terhadapnya. Cepat-cepat dia berlalu ke arah dapur. Selain untuk menghilangkan rasa gelabah, dia harus bertemu dengan emak terlebih dahulu. Mahu melaksanakan rutin setiap kali dia keluar rumah. Ketika sampai di dapur, emak kelihatan sedang menyediakan kuih dan air teh.
"Mak, Fazlin pergi dululah ya."
"Eh dah nak pergi ke? Tak nak makan dulu ke?"
"Haah. Nak makan buat apanya. Fazlin kan memang nak keluar makan dah ni."
"Ye tak ye jugak. Lupa pulak mak."
Fazlin hanya tersenyum. Dia menyuakan tangan untuk bersalaman sebelum mengucup kedua-dua belah pipi emak kesayangan. Puan Airah turut tersenyum. Sejuk hati melahirkan anak yang patuh begini.
Kemudian, Fazlin pun melangkah keluar daripada dapur. Dituruti dengan Puan Airah yang hanya mengekori dari belakang. Mengerti dengan keadaan itu, Hakimi pun turut bangkit. Dia mendapatkan tangan bakal bapa mertua lalu bersalaman.  
"Kami pergi dululah ye."
"Jaga diri elok-elok." Pesan Puan Airah kepada kedua-duanya.
"Baiklah mak." Jawab Fazlin. Hakimi hanya mengangguk sambil tersenyum.
Baru saja mereka mahu melangkah, Pak Cik Farid bersuara kepada anak daranya. Yalah. Bimbang katakan. Biarpun Fazlin tu dah besar panjang, tetapi gadis itu tetap 'baby' di matanya.
"Beg tu ingat sikit. Sekarang ni kat mana-mana musim ragut ni banyak. Perhatikan kiri dan kanan tu sebelum melintas jalan. Jangan main langgar aje. Kalau kamu gemuk tak apa jugak. Kereta nampak. Ini dengan tiang pun lebih kurang aje." Sindir Pak Cik Farid.
Lelaki memang begitu. Adakalanya sesetengah daripada golongan mereka tidak pandai menunjukkan rasa kasih terutamanya kepada insan tersayang. Baik kepada anak mahupun isteri.
Tatkala itu, Hakimi sudah tergelak. Tercuit hati mendengar sindiran manja kepada Fazlin. Dikerling wajah gadis itu yang sudah masam mencuka. Siap ada muncung itik lagi di bibirnya.
"Ala ayah ni. Tak patut tau cakap macam tu kat anak."
"Dah anak aku, ikut suka akulah." Dia berterusan menyakat. Sempat dikenyitkan mata ke arah Hakimi. Hakimi hanya ketawa.
Ketika itu, Puan Airah sudah masuk campur. Makin lama dibiarkan, makin lamalah pulak drama kedua-dua makhluk ni. Nanti terlambat makan, entah masa mana pula mereka akan pulang ke rumah.
"Dah dah. Tak payahlah layan ayah kamu ni. Dia ni kan memang suka menyakat dari dulu lagi. Hakimi, bawak kereta elok-elok. Fazlin nanti dah sampai whatsapp mak ye."
"Baik mak. Bye ayah." Dia menyalami tangan lelaki itu sebelum menuruti Hakimi masuk ke dalam perut kereta.
Kereta mula bergerak membelah jalan raya. Sepanjang perjalanan, ternyata Fazlin langsung tak bersuara. Telinga hanya mendengar lagu hindustan yang dimainkan di radio kereta. Tak sangka, lelaki pun ada juga minat hindustan.
Tiba-tiba, Hakimi bersuara. Dia tahu, selagi dia tak memulakan perbualan, selagi itulah gadis di sebelahnya akan tetap membisu.
"Kelakar jugak ye ayah awak tadi."
"Haah. Dia memang macam tu. Suka menyakat saya. Maklumlah, anak tunggal."
"Tapi dia sayang awak kan?"
Fazlin mengangguk seraya tersenyum. Benar. Dia tidak menafikan perkara itu. Teringat suatu ketika dulu. Dia pernah dimarahi ayah teruk-teruk sebab keluar rumah tanpa meminta izin. Jika nak diikutkan, hal itu remeh aje. Tapi kemarahan ayah itu ibarat dia buat kesalahan menghisap gam.
Kesudahannya, Fazlin merajuk. Jauh dia melarikan diri. Langsung tak fikir apa lagi. Sehinggalah dia sampai di sebatang sungai. Menangisi hatinya yang kecewa dengan tindakan ayah dirasakan langsung tak masuk akal.
Mujurlah ketika itu, ada seorang lelaki datang menghampiri. Masa tu, punyalah Fazlin cuak. Dia ingatkan lelaki itu mahu mengapa-ngapakannya. Manalah tahu takut-takut perogol bersiri ke apa. Rupa-rupanya lelaki itu hanya memujuknya balik. Dan dialah satu-satunya kawan baik yang Fazlin ada sehinggalah sekarang.
"Fazlin?"
Diam.
"Fazlin? Awak tak apa-apa?
Fazlin tersentak. Langsung tak sedar bila masa dia boleh mengelamun. Cepat-cepat dia berpaling ke arah sebelah. Dilihat Hakimi sesekali menjenguk ke arahnya dengan air muka tertanya-tanya.    
"Hah? Awak cakap apa tadi?"
"Awak okey?"
"Err okey."
"Ke awak nak balik? Kalau awak nak balik, saya boleh hantar. Kita keluar lain kali." Hakimi cuba berdiplomasi.
Bimbang juga takut-takut dia terlalu memaksa. Kalau boleh dia tidak mahu buatkan Fazlin rasa tidak selesa biarpun hatinya melonjak mahu dating dengan gadis itu pada malam ini.
"Eh tak. Saya okey." Fazlin menolak cadangan Hakimi.
Mungkin salah dia juga. Terlalu bimbang dan gelisah tak kena tempat. Hakimi bukan nak buat apa pun kat dia. Malu? Habis sampai bila nak usung perasaan malu tu? Kalau macam ni, memang patutlah tak ada orang nak kat kau, Fazlin. Dia bagaikan mengutuk diri sendiri.
Saat itu, tiba-tiba saja Fazlin bagaikan mendapat semangat semerah padi. Rela ataupun tidak, dia harus melawan rasa malunya. Tapi tak adalah sampai tahap dia akan menjatuhkan maruah sendiri. Tidak sama sekali. Pendek kata, mulai sekarang dia akan cuba jadi dirinya sendiri di hadapan Hakimi.
"Awak. Boleh tak kalau malam ni, kita makan kat restoran Thai? Saya teringinlah. Masakan tom yan dia sedap tau."
Terkejut beruk Hakimi. Ingatkan dah tak ada perasaan tadi. Hah, macam inilah baru betul. Baru dia syok keluar dengan bakal isterinya tu. Hish. Manja pula dia buat permintaan macam tu. Baiklah, akanku turuti segala kemahuanmu wahai bidadariku, Fazlin.
"Boleh. No problem. Tapi saya tak tahu kat mana restoran tu. Saya kan orang baru kat sini."
"Tak apa. Awak ikut aje cakap saya. Kalau saya cakap kiri, terus belok kiri tau." Bagai bos Fazlin mengarah, yakin.
Spontan Hakimi tersenyum lebar. Nampaknya Fazlin dah mula serasi dengan dia. Baguslah. Inilah yang dia harap-harapkan. Memang tak salah dia buat keputusan nak ajak gadis itu keluar pada malam ini.
Dan setelah beberapa minit menggunakan bantuan GPS tidak bertauliah a.k.a Fazlin, mereka pun sampai ke destinasi. Agak merumitkan juga kedudukannya. Sekejap masuk lorong, sekejap menyelit celah kawasan sunyi. Kalau terlepas simpang, boleh tahan juga dia membebel. Dalam hati, Hakimi mahu ketawa saja dengan ulah gadis itu.
"Okey dah sampai."
"Oh. Besar jugak kedainya. Ramai pulak tu pelanggan." Hakimi menjelaskan menurut pemerhatian awalnya.
"Yelah. Sebab tu ramai. Tadi saja saya bawak awak ikut jalan pelik. Kalau nak tahu, tu semua shortcut. Kalau nak hadap jalan besar tu, memang tak sampailah kita. Sangkut jem."
"Bijak awak ni rupanya."
"Of course i am." Ujar Fazlin, bangga.
Hakimi ketawa seraya menggeleng. Kemudian cepat-cepat dia keluar dari kereta lalu bergerak ke arah tempat duduk Fazlin di sebelah. Pintu kereta segera dibuka. Fazlin hanya tersenyum sambil mengucapkan terima kasih. Dia keluar sambil menyangkut beg tangan ke bahunya. Namun baru saja dia nak melangkah, tiba-tiba suara Hakimi menghalang.
"Eh kejap."
Fazlin berpaling. Dia mahu tahu kenapa Hakimi menahannya. Kenapa? Tudungnya tak elok ke? Ke lipstick dia terkeluar dari landasan? Ke ada bajunya yang koyak? Ah sudah. Bermacam-macam tanggapan liar bermain di dalam benak Fazlin sekarang.
"Bagi saya bawak beg awak tu. Saya tak nak awak jadi mangsa nanti. Kalau saya bawa, insyaAllah mana-mana peragut tu fikir 2 kali nak ragut." Hakimi menjelaskan niat sebenar.
Fazlin terpaksa akur dengan jawapan itu. Dalam masa yang sama, betapa dia mula rasa bahagia berada di sisi Hakimi. Lelaki itu bukan saja seorang yang prihatin, malahan dia juga memiliki rasa tanggungjawab. Dalam hati, Fazlin bagaikan menjerit.
'Mak!!! Fazlin nak kahwin sekarang jugak, mak.'
Mereka pun berjalan seiringan melangkah masuk ke dalam restoran itu. Dan itulah permulaan temu janji pertama antara Fazlin dan Hakimi.

Bab 12 Klik Untuk Baca

Tiada ulasan:

Catat Ulasan