22/09/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 14

Bab 14
"Amboi. Kuat termenung. Teringatkan pakwe lah tu." Tegur Iqbal secara sinis.
Menyampah pulak dia tengok Fazlin sekarang. Asyik berangan aje kerjanya. Tahulah tengah dilamun cinta. Tapi tak perlulah macam orang gila talak. Tengok. Majalah yang dia tengah pegang pun dalam keadaan terbalik. Memang tak patut sungguh.
Ketika ini, Fazlin sedang bersantai di atas buaian depan rumah. Maklumlah, hari cuti. Ingatkan boleh keluar dating hari ini. Tapi Hakimi pula ada urusan lain. Katanya mahu ke hospital. Melawat kawan agaknya.
"Eh kau Bal. Masa bila kau muncul? Tak perasan pulak aku."
"Mana nak perasannya kalau dah kau pun macam orang terkena sakit angau."
Fazlin ketawa. Merona merah kedua-dua belah pipinya. Iqbal ni memang. Kalau menyakat orang memang dialah nombor satu.
"Mana ada. Aku okey aje." Fazlin cuba menepis tuduhan itu.
Sedangkan dari tadi, memang dia mengaku yang dia sedang teringatkan buah hatinya. Secara rasmi, dia dan Hakimi sudah pun bergelar pasangan kekasih. Sudah beberapa kali mereka keluar bersama. Selain makan, adakalanya mereka akan menonton wayang, atau sekadar pergi bersiar-siar. Ala. Sama macam rutin pasangan lainlah.
"Okey kau cakap? Jadi, sejak bila kau ada kebolehan membaca secara terbalik ni?" Iqbal menyindir lagi.
Fazlin tersentak. Terkejut dia tatkala melihat wajah Mingguan Wanita yang dipegang berada dalam keadaan songsang. Cepat-cepat dia membetulkan semula kedudukannya. Alahai... Hakimi oh Hakimi. Apa yang kau dah buat kat aku ni? Fazlin bersoal sendiri.
"Hehehe. Aku saja aje."
"Ptuih... tak payah nak gebang sangatlah. Tak jadi."
"Hahaha. Marah ke?"
"Huh. Tak ada maknanya. Lagi serabut adalah. Orang lain pun bercinta jugak. Tapi tak adalah sampai sewel otak macam kau ni."
Berubah terus air muka Fazlin. Ini dah melebih ni. Mentang-mentanglah dia tak melawan, ikut suka aje mamat tu nak pijak kepala. Memang nak kenalah ni. Geram punya fasal, automatik jarinya memulas sideburn Iqbal yang agak panjang itu. Apa lagi, menyeringailah dia menahan sakit.
"Aduh aduh. Sakitlah." Jerit Iqbal.
Dia meronta untuk meleraikan hukuman Fazlin itu. Namun begitu semakin dia bergerak, semakin kuat pulak minah tu tarik. Habislah kau kali ni Hakimi. Pandai-pandailah kau handle bakal bini kau ni nanti.
"Time aku, sedap aje kau kutuk kan. Kau lupa ke, masa dulu pun kau lebih kurang sama. Pakai kasut pun boleh tertukar." Balas Fazlin lagi.
Dia masih ingat lagi. Minggu pertama sewaktu Iqbal mula-mula bercinta dengan Zara. Fazlin inilah yang jadi jadi tukang kritik jika penampilannya tidak sesuai setiap kali mereka mahu berjumpa. Kebetulan ada satu hari tu, Fazlin ada urusan yang tak dapat dielakkan. Jadi nak tak nak Iqbal terpaksalah bergantung kepada dirinya sendiri.
Tup tup balik aje dari dating, memanjang mukanya merah padam. Kata Iqbal, dia telah memalukan diri sendiri kerana tak sedar bahawa kaki kanannya mengenakan snickers. Sebelah lagi bedal kasut bola. Gila tak gila. Seharian jugaklah dia kena gelak dengan Zara hari itu.
"Ye ye aku salah. Aku minta maaf. Lepaslah. Sakit ni." Iqbal sudah kedengaran merayu.
Menyenget-nyenget sebelah mukanya menahan kepedihan. Fazlin ni sekali dia marah, memang tak ubah macam mak lampir. Garang bebenar. Macam manalah nak jadi bini Hakimi kalau macam ni. Sah-sah kena buli mamat tu nanti.
"Nak buat lagi?"
"Tak nak dah. Sakit."
Setelah berpuas hati, barulah tangannya merelaikan pulasan yang dibuat. Namun begitu, tiba-tiba saja membulat matanya tatkala melihat kesan akibat perbuatannya. Sampai berpulas kerinting rambut mamat tu. Bahagian pipi berdekatan dengan kawasan sideburn tu pun siap ada merah-merah lagi.
Alamak. Kuat sangat ke dia pulas sideburn Iqbal tadi? Alahai Bal, aku tak sengaja. Maaflah ye. Aku terfeeling lebih tadi. Namun begitu, Fazlin lebih memilih untuk menyembunyikan saja perkara itu.
Setelah reda dari kesakitan, Iqbal tidak mahu menunggu lama. Sudah lama dia ingin bertanyakan hal ini sendiri kepada Fazlin. Yalah. Nak tahu jugak macam mana perkembangan semasa dia dan Hakimi. Kalau dari Hakimi, memang dia sudah sedia maklum tentang hal itu. Yalah, mereka kan serumah. Jadi bila dia balik kerja aje, teruslah dia berborak pasal hal ni dengan sepupunya itu. Kali ini, giliran Fazlin untuk bercerita dari sudut pandangannya pula.
"So macam mana? Kau boleh masuk tak dengan dia?"
Fazlin menguntum senyum. Sudah diagak, Iqbal pasti akan bertanyakan hal itu. Biasalah. Hal-hal macam ini, selalunya orang yang paling rapat pasti ingin tahu juga. Dan Fazlin sendiri pun tiada niat langsung untuk berahsia apa-apa daripada lelaki itu.
"Honestly... seumur hidup aku, tak pernah lagi aku rasa bahagia macam ni."
Iqbal hanya menadah telinga untuk mendengar. Ada waktu tertentu, dia memilih untuk menjadi pendengar setia. Tidak elok rasanya jika dia selalu mengusik.
"He's so caring, Bal. Dia faham kemahuan dan kehendak aku. Macam hari tu, kami keluar pergi jalan-jalan kat Tasik Putrajaya. Entah macam mana, kaki aku boleh terpelecok kat dalam satu lubang ni. Kalut betul dia masa tu Iqbal.
Aku cakap aku tak apa-apa, tapi dia tak nak dengar. Dia terus hantar aku pergi hospital. Doktor sendiri cakap sikit aje.  Luka pun tak ada. Balik dari hospital tu, dia terus suruh aku rehat. Cakap jangan banyak jalan. Jangan buat kerja berat. Hahaha. Sekali fikir, kelakar jugak. Tapi aku tahu, dia tu sebenarnya risau gila kat aku."
"Hmm... baguslah kalau macam tu. Senang hati aku dengar. Bermakna, tak lama lagi, dapatlah aku makan nasi minyak kau kan Lin."
"InsyaAllah. Terus terang Bal, dua hari lepas, kami ada bincang pasal perkara ni."
"Serius?!"
"Serius."
Air muka Iqbal nampak begitu teruja. Tak sangka, cepat betul berita ini sampai ke pendengaran telinganya. Mati-mati ingatkan yang dia perlu menunggu lagi. Yalah, Hakimi dan Fazlin tu pun baru kenal tak sampai 2 minggu aje.
"Aku tahu, selama ni pun kau tangguh perkahwinan kau dengan Zara sebab aku kan? Jadi tak salah jika cepatkan perkahwinan aku. Aku sendiri yang tebalkan muka bangkitkan perkara ni depan Hakimi dan mujurlah dia tak menolak.
Iqbal, kau dah banyak buat baik dengan aku. Aku tak tahulah sama ada aku mampu ke tak nak balas segala pengorbanan kau kat aku. Aku harap sangat, lepas kita kahwin nanti, hubungan kita tetap akan sama seperti dulu. Jangan ada sesiapa antara kita berubah. Boleh kan Iqbal." Tiba-tiba saja Fazlin mengutarakan kenyataan itu.
Nada suaranya seakan penuh berharap. Berharap agar hubungan yang terjalin dari dulu akan tetap berkekalan sehingga ke akhir hayat. Biarpun jika ada kemungkinan di antara mereka yang bakal terpisah jauh ekoran terpaksa mengikut keluarga masing-masing.
Ketika itu, segarit senyuman kelihatan tercalit di bibir Iqbal. Dia merenung dalam-dalam anak mata gadis yang berada di sebelah. Kepala dianggukkan tanda mengiyakan.
"Terima kasih Fazlin. Terima kasih sebab faham dengan keadaan aku." Ucap Iqbal dengan sejujurnya.
Haruslah Iqbal rasa terharu. Langsung dia tak menduga. Fazlin sanggup merendahkan martabat diri demi untuk kebahagiaan dia dan Zara. Tak dapat dibayangkan, betapa Fazlin cuba menguatkan diri sewaktu mengajak Hakimi berkahwin. Fazlin sanggup telah meletakkan dirinya ibarat perigi cari timba. Sedangkan bukankah pepatah itulah yang menjadi kepantangan bagi seseorang yang bergelar kaum hawa selama ini?
"Aku janji dengan kau, walau apa pun yang berlaku, aku takkan lupakan kau Fazlin. Kita tetap kawan sampai bila-bila."
Tidak semena-mena, hati Fazlin terasa bergetar. Rasa sebak mula menggigit sanubari. Tidak tahu kenapa, perasaannya menjadi sayu tiba-tiba. Ini bukan air mata kesedihan. Sebaliknya air mata kegembiraan mengenangkan persahabatan dia dengan Iqbal.
Ketika itu, Iqbal turut rasa mahu menangis. Namun begitu, dia cuba menahan diri daripada menumpahkan air matanya. Cukuplah jiwanya tahu apa yang sedang berlaku. Air mata itu lebih layak buat sang perempuan. Jika lelaki sepertinya turut menggambarkan emosi menggunakan air mata, maka jatuhlah martabatnya sebagai seorang lelaki. Tak gitu?
Buat seketika, tiada siapa pun di antara mereka yang seakan mahu bersuara. Buaian yang diduduki oleh mereka hanya bergerak mengikut hayunan kaki sang penumpang. Ketika itulah, telefon bimbit Iqbal yang terletak di dalam kocek tiba-tiba berdering. Pantas dia mencapai gajet itu lalu melihat ke kaca skrin. Panggilan daripada Zara.
"Lin. Kejap ye. Aku nak jawab telefon ni kejap."
Fazlin hanya mengangguk tanda membenarkan. Kamudian dia memandang pemergian Iqbal yang bergerak ke arah sebuah penjuru untuk menjawab panggilan itu. Dan kebetulan ketika itu jugalah, kereta milik Iqbal yang dipandu oleh Hakimi masuk ke perkarangan rumah. Emosinya yang terlalu sentimental tadi terus bertukar menjadi ceria. Cepat-cepat dia menyeka air matanya lalu menuju ke arah Hakimi untuk mendapatkannya.
"Hai awak. Baru balik ke?" Sapa Fazlin sambil tersenyum ketika Hakimi keluar daripada kereta.
Namun begitu, reaksi balas yang diterimanya agak mengejutkan. Hakimi bukan saja tidak senyum, malahan dia dilihat terus menghempas pintu keretanya. Riak wajahnya ternyata keruh. Ada dengusan kasar kedengaran. Bebola matanya jelas kemerah-merahan.
"Hakimi, awak tak apa-apa?"
"Jangan kacau aku. Aku nak masuk rehat sekarang." Beritahu Hakimi dengan suara yang agak meninggi.
Terdiam terus Fazlin. Terkejut dia tatkala melihat perubahan Hakimi yang tidak semena-mena. Kenapa dengan lelaki tu? Kenapa dia seperti marah-marah? Dia bergaduh dengan siapa semasa kat hospital tadi? Fikir Fazlin sendirian.
Ketika itu, lelaki itu dilihat terus menonong masuk ke dalam rumah. Langsung tak dipedulikan Fazlin yang merupakan insan yang disayanginya. Apa yang dia tahu, jiwanya berkecamuk sekarang. Jadi, daripada buat hal, lebih baik dia menenangkan dirinya sendiri.
"Eh dah balik dah Kimi?" Sapa Iqbal dari arah belakang.
Barangkali dia baru selesai berbual dengan Zara di hujung talian. Ceria saja air mukanya. Mungkin dia sendiri telah sampaikan berita gembira itu kepada Zara sebentar tadi.
"Err... haah. Dia ba... baru aje balik."
"Eh yang kau ni dah macam baru ternampak hantu tu kenapa pulak?" Iqbal bersoal hairan apabila melihat air muka Fazlin seolah-olah terkejut.
Fazlin bagaikan kebingungan. Sesungguhnya, dia masih lagi kaget dengan cara Hakimi melayannya tadi. Ikutkan hati, dia mahu berkongsi perkara itu dengan Iqbal. Yalah. Tak ada angin tak ada ribut, tetiba beraku kau dengan dia tadi. Haruslah dia pelik.
Namun apabila difikir-fikirkan semula, Fazlin rasa lebih elok saja jika dia berlapang dada. Mungkin kali ini Hakimi ada masalahnya sendiri. Fikirnya lagi, mungkin selepas jika perasaannya beransur tenang, tidak mustahil Hakimi akan berkongsi semua itu dengan Fazlin.
Fazlin seakan cuba memujuk diri sendiri. Dia tahu, dia tidak harus cepat melatah. Dia juga sedar bahawa dia tidak boleh merajuk. Semua masalah, boleh diselesaikan secara baik jika masing-masing cuba berkompromi. Lagi pula, hubungan mereka kan masih baru. Masa inilah dia harus mengenali kelebihan dan kekurangan pasangannya.
Sementara itu, di dalam bilik, Hakimi sudah kelihatan lesu tidak bermaya. Entah berapa biji pil penenang yang telah ditelan demi menghilangkan kekusutan yang melanda dirinya.   




2 ulasan:

  1. La...pasepa pulak si Hakimi tu...? Adeh la...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Entah mamat ni. Nak start tunjuk perangai dah. Hahaha

      Padam