29/09/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 15

Bab 15
Saat ini, Fazlin dan Hakimi sedang berada di dalam kereta. Sebenarnya, mereka dalam perjalanan menuju ke Pavilion sebab sudah berjanji dengan Iqbal untuk bertemu di situ. Zara pun turut serta. Apa orang kata. Luangkan masa bersama. Mana tahu boleh eratkan ukhwah sesama mereka. Tambahan apabila mengenangkan hubungan yang sedia dingin di antara Zara dan Fazlin sebelum ini.
"Hakimi..." Setelah lama berdiam diri, barulah Fazlin mempunyai kekuatan untuk membuka mulut.
Ada sesuatu perkara yang mahu dibangkitkan. Sudah pasti ia berkenaan peristiwa yang terjadi pada hari semalam. Penangan kejadian itu, hampir semalaman dia tidak mampu melelapkan mata. Yalah. Terkejut punya fasal.
"Yes dear. Ada apa?" Hakimi menyoal, teruja. Terselit senyuman di sebalik renungan sekilasnya.
Perlakuan Hakimi itu tidak tumpah seperti sewaktu mula-mula dikenali. Ceria dan suka tersenyum. Sangat berbeza dengan personaliti yang baru diketemui semalam. Aneh. Cepat betul perangainya berubah.
"Awak kenapa semalam?"
Tersentak Hakimi apabila disoal sebegitu rupa. Berubah terus air muka. Dia tak mengerti kenapa tiba-tiba Fazlin mengutarakan pertanyaan seperti itu. Dia ada buat salah kah? Tapi kenapa dia seperti tak ingat apa-apa. Aduh. Janganlah dia ada sakitkan hati buah hati kecintaannya itu. Serasa tak sanggup dia membuatkan hati gadis itu terluka.
"Apa maksud awak? Saya tak faham." Bagi mendapatkan kepastian, Hakimi cuba bertanya.
Manalah tahu takut-takut dia ada terlepas pandang akan kesalahan yang telah dibuat. Tapi sumpah. Dia langsung tak ingat apa yang telah berlaku. Memang itulah yang akan terjadi sekiranya pil-pil diambil.
Fazlin mengeluh perlahan. Berat mulut dia untuk mengungkit hal semalam. Dalam masa yang sama, tidak dinafikan dia turut berasa pelik. Yalah. Takkanlah Hakimi tu langsung tak ingat apa-apa. Fikir Fazlin lagi, mungkin Hakimi ni ada penyakit amnesia kot. Sebab itu dia mudah lupa walaupun kejadian itu baru saja berlaku.
'Ah mungkin jugak kan. Kalau tak, takkanlah dia pergi hospital.' Fazlin memilih untuk membuat tanggapan begitu.
Memandangkan teman lelakinya itu disyaki mengalami penyakit pelupa, maka terpaksalah Fazlin menerimanya dengan hati yang terbuka. Lagipun, apa sangatlah penyakit seperti itu. Lainlah kalau HIV ke, mati pucuk ke, atau mana-mana sakit kronik yang lain, barulah Fazlin pertimbangkan untuk mengambil langkah yang seterusnya.
"Tak de apa-apalah. Lupakan aje."
"Hmm... okey."
Tatkala itu, sepi mula mengambil tempat. Masing-masing memilih untuk diam sambil melayan lagu yang berkumandang di dalam kereta. Setengah jam kemudian, mereka pun tiba di tempat letak kereta. Sebelum kedua-duanya melangkah masuk ke dalam pusat beli-belah yang terkemuka di ibu kota itu.
"Helo Bal. Kau kat mana ni?"
"Aku dalam watson ni. Teman Zara beli barang kejap. Kau kat mana? Jadi tak nak datang ni?"
"Tak."
Berubah terus air muka Iqbal. Punyalah dia teruja nak keluar berempat hari ini. Tup-tup Fazlin kata tak jadi pula. Geram punya fasal, dia cuba menjarakkan diri dari orang sekeliling. Kenapa? Sebab dia nak mengamuk. Apa nak jadi, jadilah.
"Cilakak punya member. Janji macam &#%@*!#. Kau cakap nak keluar sama kan hari ni. Kau ni memang tak guna, Lin. Aku jumpa kau, siaplah bahlol." Marah punya fasal, Iqbal bagaikan tidak dapat mengawal emosi.
Fazlin sudah ketawa terbahak-bahak. Serius, dia tak ambil hati pun kena maki teruk macam tu. Dah biasa katakan. Kalau dia marahkan Iqbal pun, macam tu jugaklah. Habis semua binatang dalam zoo keluar.
"Haha rilekslah sikit. Aku tipu kau je. Aku dah ada kat sini. Baru lepas park kereta tadi."
Iqbal menyeringai geram. Digigit-gigit bibir mulut sebab sakit hati. Hish minah tu. Sempat lagi nak main-main.
"Hakimi ikut tak tu?"
"Of course. Aku ni kan mana boleh pisah dengan dia." Fazlin menggedik sambil menjeling manja ke arah Hakimi di sebelah.
Hanya Tuhan saja yang tahu betapa bahagia perasaannya sekarang. Ada di samping lelaki yang paling dia cintai selain ayah. Mudah-mudahan, Hakimi turut merasakan hal yang sama. Ah, tak sabar pula rasa nak naik pelamin. Nanti bolehlah dia jalan-jalan sambil pimpin tangan dengan 'suami'nya itu.
"Wek. Nak muntah aku dengar. Dah dah. Tak payah cakap banyak lagi. Terus naik atas. Nanti kita jumpa kat sini. Aku dah ambil satu troli kosong untuk kau. Lepas shopping, baru kita makan. Okey?"
"Ok bos."
Spontan Iqbal tergelak. Tak dinafikan, adakalanya minah tu memang pandai menceriakan keadaan. Terus hilang mood marahnya tadi. Setelah itu, talian sudah dimatikan. Iqbal hanya menunggu kemunculan Fazlin bersama Hakimi sambil memerhatikan Zara yang sedang leka memberi barangan keperluannya.
Tidak sampai 15 minit menunggu, kelibat Fazlin dan Hakimi mula kelihatan. Iqbal melambai-lambai tangan. Mereka membalas sambil kaki diatur mendekati Iqbal. Dalam masa yang sama, Zara baru saja selesai membuat pembayaran. Dia turut melontarkan pandangan terhadap kedua-dua manusia itu.
"Iqbal." Sapa Hakimi seraya tersenyum.
"Wow. Hensem kau hari ni."
"Biasalah. Keluar dengan bakal isteri katakan."
"Untunglah orang tu." Iqbal menyindir Fazlin yang kelihatan menyengih saja dari tadi.
Mentang-mentanglah orang puji teman lelaki dia, siap tunjuk riak bangga bagai. Ptuih. Menyampah.
Ketika itu, Zara agak tidak berkelip memandang ke arah Hakimi. Ya. Tak sangka, boleh tahan juga rupa sepupu Iqbal ni. Ingatkan biasa-biasa aje. Jauh disudut hati, dia tidak menafikan yang lelaki itu sebenarnya jauh lebih kacak daripada teman lelakinya.
'Hmm... seronoklah kau kan. Dapat lelaki bukan calang-calang orangnya.' Hati Zara menggerutu dalam diam.
Sedikit sebanyak, Zara bagaikan tercabar. Kalau orang lain, dia tak kisah jika dapat memiliki lelaki sekacak itu. Tetapi tidak bagi Fazlin. Entahlah. Dia sendiri pun tak tahu kenapa dia begitu anti dengan perempuan tu. Mungkin sebab terlalu sakit hati dengan segala karenahnya sampai kehidupan Zara sendiri boleh terjebak sama. Sudah pasti Zara tak boleh lupakan lagi tentang perjanjian bodoh antara dia dengan Iqbal tu.
"Oh ya. Lupa pulak aku nak kenalkan dengan kau, Kimi. Nilah belahan jiwa aku. Zara namanya." Iqbal memperkenalkan.
Hakimi segera menoleh ke arah Zara. Dia menguntum senyum seraya mengangguk. Zara turut dilihat membalas senyuman itu.
"Oh. Cantik rupanya belahan jiwa kau ni, Iqbal." Hakimi berkata ikhlas.
Merah pipi Zara apabila dipuji begitu. Rasa kembang semangkuk lubang hidungnya. Secara spontan, dia menjeling perempuan yang berada di sebelah Hakimi. Fazlin yang perasan dengan jelingan itu, segera melarikan pandangan. Dia buat-buat melihat ke arah lain. Malas nak ambil pusing dengan provokasi daripada minah tu.
"Eh mestilah. Sebab tu aku takut sangat nak kenalkan awal-awal dulu. Takut kau rembat dia dari aku."
"Hahaha. Aku bukan jenis macam tulah bro. Lagipun, aku dah ada pilihan hati aku sendiri. And the truth is, i'm really fall in love with her. Nobody can replace her in my heart. Even Emma Watson yang famous tu pun." Hakimi memberi pujian luhur dari hatinya.
Ketika itu, Fazlin tak tahu nak sorok mana wajahnya. Siapa lagi kalau bukan dia yang Hakimi maksudkan. Agak-agaklah nak bandingkan dia dengan Emma Watson pun. Perempuan itu bertaraf dunia. Beza sangat dengan dia. Dia sedar dia ni siapa. Dengan Zara pun, jauh panggang daripada apilah.
"Apasal muka kau merah gila, Lin?" Iqbal cuba menyakat sahabat baiknya itu.
"Mana ada."
"Hahaha. Malulah tu."
Fazlin terus tarik muka. Iqbal ni memang. Pantang ada peluang, ada saja buah fikirannya. Kenapa kalau dia malu? Salah ke?
Hampir beberapa minit berbual di situ, mereka pun mula melaksanakan aktiviti membeli-belah bersama-sama. Mula-mula mereka singgah di pasaraya. Barangan keperluan seperti barang dapur, sabun mandi, syampu menjadi pilihan.
Selesai membayar semua, mereka berjalan mengitari kedai-kedai dan premis yang tersedia di dalam Pavillion ini. Alang-alang sudah datang ke sini, Fazlin tidak lupa membeli barangan untuk dijadikan hantaran kepada Hakimi nanti. Berbeza sekali dengan Hakimi. Dia menyerahkan semua tugasan itu kepada seorang perancang perkahwinan khas yang telah diupah olehnya. Orang ada duit, biasalah. Lagipun dia anak yatim piatu. Sengaja dia memilih cara itu kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarga Iqbal.
Hajatnya, majlis akad nikah itu akan berlangsung sebulan dari sekarang. Fazlin hanya perlu menyudahkan persiapan di sebelah pihaknya. Terpulang kalau dia nak buat majlis yang macam mana. Nak jemput seberapa ramai orang pun dia tak kisah. Apa yang terbaik di mata Fazlin, itulah yang akan menjadi keutamaan buat Hakimi jua.
Hampir 2 jam berjalan ke sana ke mari, akhirnya keempat-empat mereka pun kepenatan. Iqbal mengajak mereka untuk terus ke medan selera. Dia mengambil pesanan untuk Zara dan dirinya sendiri. Begitu juga dengan Hakimi yang memesan mee sizzling buat Fazlin dan dirinya.
Ketika itu, Fazlin dan Zara hanya tinggal berdua. Masing-masing dilihat tidak mahu bercakap sesama sendiri. Bagi pihak Zara, dia rasa tiada keperluan untuk dia membuka mulut lantas berbicara dengan gadis itu. Dia lebih rela membuka telefon lalu melayari laman sosial yang dirasakan lebih menarik perhatian.
Di pihak Fazlin pula, apabila menyedari Zara menjual mahal, dia lagilah tak ada mood nak ajak berbual. Bak kata orang tua-tua, pinggan tak retak, nasi tak dingin. Sekali kau tak nak, seribu kali pun aku tak ingin.
  Tidak lama kemudian, Hakimi pun muncul sambil membawa dua hidangan mee sizzling. Diikuti oleh Iqbal yang dilihat membawa masakan panas berupa nasi goreng pattaya dan nasi goreng tom yam yang mana merupakan menu kegemaran sepanjang hayatnya.
Selesai membaca doa, masing-masing pun makan. Mungkin disebabkan terlalu lapar, mereka hanya mengisi perut tanpa banyak bicara. Sehinggalah selesai semuanya. Baru saja mereka buat keputusan untuk nak pulang, tiba-tiba Iqbal membuat satu permintaan.
"Boleh tak korang berdua tunggu sini kejap?"
"Kau nak pergi mana?" Hakim bertanya.
"Aku nak pergi Toy r Us kejap. Nak cari figurine. Kau kan tahu, aku ni pengumpul figurine superhero."
Riak wajah Fazlin berubah teruja. Bersinar-sinar biji matanya. Betullah. Dia pun dah lama tak masuk kedai tu. Sebenarnya, hobi dia dengan Iqbal ini boleh dikatakan sama. Mereka pengumpul figurine tegar. Cuma sejak bercinta ni, masing-masing jarang punya masa nak luangkan terhadap minat mereka itu.
Ingat lagi. Sewaktu Iqbal dan Fazlin masih solo dulu. Mereka punya waktu untuk membeli mainan binaan blok lego. Mereka akan pilih lego sama-sama. Kemudian jika ada waktu yang lapang, mereka akan sudahkan permainan itu bersama-sama. Setakat ini, sudah lebih 10 buah binaan yang terdiri daripada kapal perang besar, stesen kereta formula 1, binaan istana, dan bermacam lagi. Semua itu dibahagikan sama rata diletakkan di kediaman Iqbal dan Fazlin sebagai hiasan.
"Oh."
"Kalau awak nak ikut, jomlah. Tapi korang still tak boleh masuk sebab ada troli." Fazlin menjelaskan kekangan yang ada.
Memang peraturan di kebanyakan premis begitu. Pelanggan dilarang untuk membawa troli kerana bimbang masalah seperti kecurian dan kesukaran bergerak berlaku.
"Hmm... tak apalah kalau macam tu. I tunggu kat sinilah ajelah sayang." Zara memberi kata putusnya kepada Iqbal. Iqbal menggangguk saja.
Lagipun secara peribadi, dia langsung tak berminat nak jejakkan kaki ke dalam kedai budak-budak macam tu. Entahlah. Terus terang dia katakan bahawa dia tak berapa gemarkan hobi Iqbal yang satu itu. Sudah banyak kali dia memberi kritikan tapi Iqbal itulah yang langsung tidak mahu dengar.
"Okey. Saya pun tunggu kat sini jugaklah. Nanti kalau dah siap, cepat datang tau." Beritahu Hakimi kepada Fazlin pula.
"Yes dear." Fazlin membalas, manja.
Meleret manis senyuman di bibir Hakimi. Bahagia rasa mendengar Fazlin berkata begitu padanya. Bertambah-tambah rasa sayang dan cinta terhadap gadis itu. Setelah itu, dia hanya memandang pemergiaan Fazlin dan Iqbal.
"You look so happy with her." Zara tiba-tiba saja bersuara.
Hakimi mengalih pandangan ke arah Zara. Dia mengangguk seraya tersenyum. Walaupun kenyataan Zara itu berbaur penyataan, tapi entah kenapa dia tidak rasa seperti itu. Seolah-olah ada maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh gadis itu terhadapnya.
"Ya. Saya memang bahagia pun dengan Fazlin."
"Tapi sepatutnya, awak harus dapat lebih daripada tu. Manalah tahu, takut-takut awak lebih bahagia daripada apa yang awak kecapi sekarang."
Berkerut terus dahi Hakimi. Dia tak faham apa yang mahu dimaksudkan oleh Zara itu. Lebih bahagia? Kenapa? Fazlin ada masalah yang dia tidak tahu ke? Fazlin lesbian? Ke dia ada buat hubungan rahsia dengan orang lain? Siapa? Iqbal?
"Apa maksud Zara? Saya tak faham."
"Carilah orang yang lebih sesuai dengan awak. Honestly, saya tak rasa pun Fazlin tu layak dengan awak." Kata-kata Zara itu jelas berbaur hasutan.
Air mukanya jelas menampakkan kebencian. Ketika itu, barulah Hakimi faham dengan apa yang berlaku. Patutlah sepanjang mereka bersama tadi, dia tak nampak pun Zara ada berbual dengan Fazlin. Rupa-rupanya mereka berdua ada masalah dalaman.
Ikutkan hati, Hakimi mahu tahu apa sebenarnya yang telah berlaku. Tapi apabila mengingatkan cara Zara cuba menghasutnya tadi, dia bagaikan sudah mendapatkan jawapannya. Ah. Pedulikanlah dengan orang macam ni. Fazlin tak ada kata buruk pun tentang dia, tapi dia pulak yang lebih-lebih.
Saat itu, Hakimi segera mengeluarkan telefonnya. Dia buat-buat sibuk di hadapan Zara tanda tidak berminat pun untuk berbual dengannya.





2 ulasan: