20/10/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 18

Bab 18
"Bang anak kita bang." Meraung Puan Airah tatkala melihat keadaan anaknya.
Sejurus menerima panggilan telefon daripada Iqbal, dia dan suami terus bergegas ke hospital. Remuk hati seorang ibu apabila melihat kecederaan yang ditanggung Fazlin. Gadis itu masih tidak sedarkan diri. Wayar berselirat di seluruh bahagian tubuhnya. Wajahnya lebam-lebam. Doktor cakap, kecederaannya agak serius namun begitu mujurlah keadaannya semakin stabil.
Bebola mata Encik Farid seperti mahu berair. Dia sendiri tidak sampai hati melihat apa yang berlaku terhadap anaknya. Kalaulah dia tahu siapa pelakunya, memang sumpah dia akan pancung leher si pelaku itu hidup-hidup. Apa nak jadi, jadilah. Zalim sungguh kerana tergamak melakukan perkara ini kepada darah dagingnya.
"Sabarlah awak. Kita doakan anak kita tak apa-apa."
"Allah..."
Puan Airah sudah tidak mampu berdiri. Mujurlah dia yang hampir tumbang sempat disambut oleh Encik Farid dengan sekuat hati. Encik Farid menuntun isterinya lalu ditempatkan di atas kerusi.
Kebetulan ketika itu, kelibat orang tua Iqbal mula kelihatan. Puan Saadiah terus mendapatkan Puan Airah yang sedang menangis teresak-esak. Encik Rahman segera menghampiri Iqbal dan jirannya untuk bertanyakan perkembangan.
"Apa sebenarnya telah berlaku, Iqbal? Cuba cerita kat ayah." Pantas dia melontarkan persoalan.
"Iqbal tak tahu, ayah. Tadi masa nak tidur, Iqbal tiba-tiba dapat whatsapps daripada Fazlin. Dia ada hantar location. Iqbal cuba call tapi dia tak angkat. Lepas tu, Iqbal buat keputusan untuk pergi aje kat location tu.
Sampai aje, Iqbal jumpa Fazlin kat tepi semak. Dia pengsan. Seluruh tubuh dia berlumuran darah. Lepas tu, Iqbal terus bawa dia ke hospital. Dan sekarang doktor masih tengah rawat dia." Iqbal menceritakan apa yang telah terjadi.
Encik Rahman mengangguk tanda mengerti. Ada banyak kemungkinan yang bermain di mindanya sekarang. Tidak mustahil Fazlin menjadi mangsa rompakan ataupun jenayah lain. Zaman sekarang ternyata jenayah berada di mana-mana. Lalai sikit maka terimalah padahnya. Kesian anak jirannya itu.
Encik Farid tidak menjampuk memandangkan dia sudah mendengar sendiri perkara itu semasa awal-awal sampai tadi. Cuma sekarang ini, barulah dia teringat tentang seseorang. Sebab setahu dia, petang tadi Fazlin keluar bersama dengan lelaki itu.
"Habis tu, kamu tak jumpa Hakimi?"
"Tak ada pak cik. Iqbal jumpa Fazlin sorang aje. Mungkin Hakimi tak ada dengan dia." Iqbal memberikan pendapat.
Ada juga dia cuba mencari batang tubuh Hakimi di mana-mana. Tapi kelibat lelaki itu gagal diketemui. Mungkin secara kebetulan sewaktu kejadian itu berlaku, Hakimi tidak bersama Fazlin. Jika tidak, mungkin situasi ini tidak akan menjadi teruk sebegini. Hakimi pasti akan melindungi Fazlin dengan sepenuh hatinya.
Namun begitu dalam masa yang sama, entah kenapa kepalanya boleh teringatkan perbualan sewaktu bersama dengan Hanis tempoh hari.
"Hanis rasa, abang tu sakit. Emosinya mudah berubah-ubah. Kadang dia okey, kadang dia jadi ganas. Hanis pun tak kenapa dia jadi macam tu. Tapi Hanis perasan, kondisinya bertambah teruk selepas mama meninggal."
Iqbal tersentak. Berdebar dadanya memikirkan perkara itu. Jangan-jangan Hakimi yang buat semua ni tak? Hanis kan cakap abang dia tu macam dah tak betul. Tapi... entahlah. Serasa berat bagi Iqbal untuk menerima kenyataan itu bulat-bulat.
Fikir Iqbal lagi, lebih elok jika dia tidak membuat sebarang andaian dengan melulu. Lagipun sewaktu kejadian, Iqbal tak nampak pun bayang Hakimi. Boleh jadi dia tiada langsung kaitan dengan kejadian ini. Dan adalah lebih baik sekiranya dia bertanya sendiri perkara itu kepada Hakimi.
Tatkala itu, Iqbal meminta izin daripada ayah dan bapa Fazlin. Dia melangkah ke arah satu sudut berdekatan dengan tingkap. Telefon dikeluarkan. Lalu nombor Hakimi dipilih lantas ditekan.
"Nombor yang anda dail, tidak dapat dihubungi buat sementara waktu."
Iqbal tidak berpuas hati. Sekali lagi, dia cuba mendail nombor itu. Malangnya hasilnya tetap sama. Hakimi mungkin berada di luar kawasan. Ataupun dia dengan sengaja telah menutup telefonnya.
'Mustahil. Aku tak percaya Kimi yang buat semua ni. Mungkin semua ni hanya kebetulan. Tapi tak apalah. Nanti kalau Lin dah sedar, lebih baik aku tanya perkara ni sendiri kat dia.' Hati Iqbal bergumam sendiri.
Keesokan hari, mereka semua terima berita yang menggembirakan apabila Fazlin telah sedar dengan sepenuhnya. Puan Airah tidak dapat menghentikan tangisan gembiranya. Syukur kerana anaknya itu telah bangun. Begitu juga Encik Farid. Walaupun dia tidak menangis seperti isterinya, hatinya tetap berasa terharu dan sebak.
Iqbal yang turut mendapat berita itu terus bergegas ke hospital. Betapa lega rasa apabila melihat Fazlin sudah membuka mata. Tanpa sedar, bebola matanya mula bergenang. Terbit rasa simpati yang menggunung tinggi melihat pergerakan Fazlin yang begitu lemah.
"Fazlin nak makan ke? Mak suap ye." Puan Airah kedengaran berkata. Di tangannya terdapat semangkuk bubur yang disediakan oleh pihak hospital untuk santapan pesakit.
Fazlin langsung tidak bersuara. Dia hanya menggelengkan kepala bagi mengatakan tidak. Kalau ikutkan, perutnya berkeroncong dan meminta diisi. Tapi dia langsung hilang selera. Tambahan pula dalam keadaan sakit-sakit seluruh badan begini.
"Tapi Fazlin kena makan. Nanti perut kosong. Makanlah sikit. Sikit aje." Puan Airah menghalakan sudu yang berisi bubur ke arah bibir Fazlin.
Fazlin tiada kudrat mahu menolak. Dalam masa yang sama, dia tetap tidak mahu makan. Biarpun sudu itu sudah dekat dengan bibir, namun dia sengaja tidak membuka mulutnya itu. Akhirnya, Puan Airah mengerti. Tiada guna dia mendesak anaknya lagi.
"Bagi kat saya mak cik. Biar saya yang suap." Iqbal meminta perlahan.
Puan Airah mengangguk sebelum mangkuk itu bertukar tangan. Kemudian, dia pun keluar dari wad itu. Mahu memberi ruang kepada kawan baik anaknya untuk memujuk Fazlin makan.
"Hei Lin... makan jom." Iqbal bersuara sambil buat-buat ceria.
Fazlin tetap menggeleng. Kemudian dia segera berpaling lalu membelakangi Iqbal. Tindakannya itu sedikit sebanyak membuatkan Iqbal tergamam. Fazlin seolah-olah tak mahu bertentang mata dengan dia.
"Lin?"
Tiada sahutan yang keluar daripada gadis itu. Sebaliknya hanya esakan tangisan yang kedengaran di cuping telinga. Iqbal tersentak. Dia segera meletakkan mangkuk bubur itu lalu bergerak ke arah sebelah sana.
Hiba hatinya apabila melihat air mata Fazlin bercucuran keluar daripada kelopak mata. Iqbal tahu, Fazlin pasti trauma dengan apa yang berlaku. Ya Allah... kalaulah dia diberikan keajaiban untuk menukar tempat dengan Fazlin, sumpah dia sanggup melakukan semua itu.
"Kenapa menangis ni?" Iqbal bersuara dengan nada yang sedikit bergetar. Dia duduk mencangkung seolah-olah sedang memujuk anak kecil yang terasa hati dengan perbuatannnya.
Fazlin tidak menjawab. Sebaliknya dia hanya menghamburkan tangisan sekuat hati. Kotak suaranya seakan-akan tiada fungsi lagi. Hendak menjerit, tiada daya. Hendak meraung, hilang kudratnya.
Jadi apa yang dia mampu lakukan sekarang, hanyalah dengan menangis. Biarlah air mata menjadi jawapan apa yang sedang dia rasakan sekarang. Dia rasa terkilan. Sedih. Kecewa. Sengsara. Derita. Semua itulah yang dia sedang rasakan saat ini.
"Lin..."
Fazlin masih larut dalam tangisannya. Iqbal dilayan seolah-olah seperti tidak wujud di situ. Kesudahannya, Iqbal mengeluh hampa. Entah kenapa tiba-tiba saja rasa bersalah menghunjam tangkai hati.
Bermacam tanggapan mula bermain di benak Iqbal sekarang. Kalaulah dia tidak terlalu mendesak Fazlin, sudah tentu semuannya takkan jadi begini. Mungkin sebab itu Fazlin tidak mahu melayannya. Fikir Iqbal sendiri.
Tatkala itu, satu keputusan muktamad mula bermain di fikiran Iqbal. Mungkin inilah jalan yang terbaik untuk dia ambil bagi memulihkan Fazlin. Iqbal tahu, dia harus mengembalikan Fazlin yang dulu. Fazlin yang ceria dan tiada masalah dalam hidupnya. Ya. Inilah yang sebaiknya.
"Fazlin, tengok sini." Iqbal menarik dagu Fazlin untuk menghadapnya.
Walaupun pandangan Fazlin kabur dengan air mata, wajah lelaki itu tetap menjadi tatapannya sekarang.
"Tak kiralah apa yang akan terjadi, mulai sekarang aku janji aku akan jaga kau. Aku takkan sesekali biarkan perkara ni berulang lagi. Kau pegang kata-kata aku ni, Fazlin. Aku juga bersumpah akan cari orang yang buat kau ni sampai dapat." Tegas Iqbal mengutarakan kata-katanya.
Ketika itu, Iqbal sudah tidak mahu menoleh lagi. Biarlah jika keputusannya ini bakal mengguriskan hati orang di sekelilingnya. Waima terpaksa melukakan hatinya sendiri. Apa yang penting sekarang, dia akan bertanggungjawab di atas apa yang berlaku kepada Fazlin.

"Kamu ni biar betul Iqbal?" Soal Puan Saadiah dengan terbeliak biji mata.
Bukan setakat dia yang terkejut. Malahan ketiga-tiga orang yang turut berada di ruang tamu rumahnya itu kelihatan turut ternganga sama. Sukar untuk percaya dengan apa yang baru keluar daripada mulut anaknya tadi.
Semalam genap 4 hari Fazlin tinggal di dalam hospital. Hari ini dia sudah dibenarkan keluar. Mana tidaknya, doktor pun jatuh kasihan tengok keadaan dia yang sentiasa muram. Jadi dia diberi pilihan keluar asalkan tidak lupa makan ubat. Mujur tiada kecederaan dalaman yang membelenggu gadis itu.
"Ya ibu. Iqbal dah fikir masak-masak."
Puan Airah sudah tidak terkata apa. Begitu juga Encik Farid sendiri. Baru sebentar tadi, Iqbal memberitahu mereka bahawa dia sudi menikahi Fazlin. Alasannya, mahu menjaga gadis itu di sepanjang pemulihannya.
Iqbal tidak tahu sama ada keputusan ini lahir dari hatinya. Tapi apa yang dia tahu, inilah jalan terbaik yang harus diambil. Sejak kejadian itu berlaku, siang malam dia risaukan keselamatan Fazlin. Dia cuma tidak mahu gadis itu mengambil jalan singkat. Trauma dalam hidupnya tidak memustahilkan Fazlin bertindak di luar kawalan.
"Kamu dah fikir masak-masak ke Iqbal?" Soal Encik Rahman pula.
"Ya ayah. Iqbal dah fikir masak-masak."
"Habis Zara macam mana?"
Iqbal terdiam. Saat itu, barulah dia teringatkan tentang Zara. Ya Allah... kenapalah dia langsung tak fikirkan tentang gadis itu sebelum ini? Kejamkah dia sebab boleh terlupakan fasal tunangnya itu?
Memang sah-sahlah kalau dia beritahu perkara ini kepada Zara, gadis itu pasti akan terkejut sakan. Tapi apa lagi pilihan yang dia ada? Dia tak boleh abaikan Fazlin. Semua yang berlaku disebabkan silapnya juga. Kalaulah dia tidak memperkenalkan Hakimi dengan Fazlin, pasti semua ini takkan terjadi. Fikir Iqbal lagi.
"Ayah, ibu, pak cik dan mak cik tak payahlah risaukan lagi pasal si Zara tu. Pandailah Iqbal uruskan dia nanti." Iqbal cuba menyedapkan hati mereka berempat.
Sedangkan secara jujurnya, dia sendiri tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan Zara. Biarlah dulu. Apa yang penting sekarang adalah kesihatan Fazlin. Gadis itu yang harus menjadi keutamaan mereka sekarang.
Tatkala itu, barulah Encik Farid teringatkan akan bakal menantunya. Tertanya-tanya juga dia. Kenapa sepanjang Fazlin berada di hospital, kelibat lelaki itu langsung tidak kelihatan? Hakimi seolah-olah menghilangkan diri begitu saja.
"Hakimi ni kenapa sebenarnya? Dah lama kami tak tengok muka dia. Ke dia ada buat benda tak elok ni." Encik Farid mengeluarkan pendapat sendiri.
Pernah dia bincangkan perkara ini dengan isterinya sendiri. Kalau Hakimi tiada kaitan, masakan dia langsung tak tunjuk muka. Jangan-jangan Hakimi curang lepas itu teman wanita dia yang pergi belasah Fazlin. Ah, boleh jadi. Bukannya mereka tak pernah tengok penangan orang curang bagaimana. Kalau dekat negara China, dibogelkan tu ibarat hukuman biasa bagi mereka yang curang.
Iqbal terdiam seketika. Dia menghela nafas perlahan. Entahlah. Sebelum ini, bukan dia tak pernah bertanya sendiri kepada Fazlin tentang perkara ini. Adakah Hakimi si pelaku yang menyebabkan kecederaan pada dirinya. Anehnya, Fazlin tidak langsung mengiyakan. Mengangguk tidak. Menggeleng pun jauh sekali. Fazlin seolah-olah mahu menyembunyikan siapa pelaku sebenar.
Hakimi pun satu. Entah ke manalah dia pergi. Kalau jumpa dia, memang sah Iqbal akan menggasaknya agar berterus terang. Biarpun jauh di lubuk hati, dia seperti yakin Hakimi mesti ada kaitan dengan apa yang telah berlaku.
"Kita tak payahlah fikirkan pasal perkara ni lagi, Farid. Lagipun kalau betul dia bersungguh, dah lama dia tunjuk muka. Majlis kahwin pun dah nak dekat ni. Takkan kita nak batalkan macam tu aje. Orang dah jemput. Nanti apa pula mereka cakap." Encik Rahman memberikan pandangannya juga.
"Haah. Betul juga tu. Apa kata, kita buat majlis makan kecik-kecik aje. Janji akad nikah berjalan dengan lancar. Kita pun tak payah nak fikir banyak." Giliran Puan Saadiah menokok juga.
Tatkala itu, Puan Airah dan Encik Farid hanya mengangguk saja. Apa yang dikatakan oleh mereka berdua itu ada benarnya. Mereka sudah tiada masa untuk fikirkan kenduri yang bagai nak rak bagai. Apa yang penting sekarang, keadaan Fazlin. Mudah-mudahan, dia akan kembali pulih seperti sediakala.









2 ulasan: