6/10/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 16

Bab 16
Pulang saja dari pejabat, Iqbal tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya, dia hanya membawa diri ke sebuah kopitiam. Saja nak hilangkan rasa teringin. Dah lama tak lepak tempat begini sejak semua orang sibuk.
Fazlin, sudah tentulah sibuk dengan persiapan kahwinnya. Begitu juga Hakimi. Zara... hmm... entahlah. Ikutkan hati, memang nak jumpa. Tapi setiap kali teringatkan perangai mengada-ngadanya, bengang juga rasa. Nak tegur, takut pula kecil hati. Jadi, lebih elok dia keluar seorang diri hari ini.
Sambil mencicip kopi arabica yang dipesan, mata meliar ke arah sekeliling. Lama dia begitu memerhatikan gelagat manusia. Sedikit sebanyak, terubat rasa sunyi. Hampir setengah jam, cawannya sudah pun kosong.
Lantas Iqbal pun bangun. Kaki diatur menuju ke kaunter untuk membuat bayaran. Setelah baki bertukar tangan, dia pun bergerak keluar daripada premis berkenaan. Baru saja beberapa langkah, tiba-tiba saja ada seseorang menyapanya dari arah belakang. Dia pun berpaling.
"Abang Iqbal?"
Iqbal terkaku di situ. Tidak berkerdip kelopak mata memandang insan di hadapan. Betulkah apa yang dia sedang lihat sekarang? Masakan dia lupa kerana dia pernah membesar dengan gadis itu suatu ketika dahulu.
"Hanis?"
Begitu juga dengan Hanis Sakinah. Hampir dia tidak percaya dengan apa yang sedang direnungkannya. Sangkanya tadi, dia tersalah orang. Rupa-rupanya lelaki itu memang Iqbal. Satu-satunya sepupu yang dia ada di atas muka bumi ini.
"Ya Allah... Hanis. Abang tak sangka akan jumpa kamu hari ni." Suara Iqbal penuh keterujaan. "Kamu ke mana selama ni?"
"Panjang ceritanya abang Iqbal."
"Kalau macam tu, mari kita minum sambil berbual kat kedai sana. Boleh kan? Atau kamu ada hal penting?"
"Boleh. Jomlah."
Seraya itu, mereka berdua pun melangkah semula masuk ke premis kopitiam yang dimasuki oleh Iqbal tadi. Agak terkejut juga air muka pelayan yang menerima kemunculan Iqbal. Rasanya baru saja pelanggan itu singgah. Tapi takkan secepat itu dia boleh datang lagi. Sedap sangat ke bancuhan air kat kopitiam ni? Kalah starbuck agaknya.
Iqbal menarik kerusi sebelum melabuhkan diri. Begitu juga Hanis. Sempat dia meletakkan beg tangan di atas meja. Ketika itu, seorang pelayan menghampiri untuk meminta pesanan.
"Ya nak order apa?"
"Bagi saya air kosong satu."
"Okey. Cik?"
"Hmm... teh ais satu."
"Makan?"
"Saya tak nak. Hanis nak makan apa?"
"Hanis pun tak naklah abang. Nak minum aje."
Pelayan itu mengangguk faham sebelum berlalu pergi. Buat seketika, sempat Iqbal menilik wajah Hanis dalam diam. Warna kulit kuning langsat. Alis mata diukir tidak terlalu tebal. Bibir tercalit dengan sedikit pelembab berwarna pink. Ah, orangnya memang manis dari dulu.
Cuma ada satu perkara yang tampak baru di wajah gadis itu. Baru Iqbal perasan, di pipi sebelah kirinya terdapat sedikit parut. Rasanya parut itu tak pernah ada dulu. Fikir Iqbal lagi, mungkin ia wujud disebabkan kecelakaan di belakang pengetahuannya. Yalah, mereka kan dah lama tidak bersua muka.
"Hanis pergi selama ni? Emak abang selalu bersungut nak jumpa Hanis. Hanis tahu tak, kami sekeluarga dah lama cari kamu."
"Maaflah abang Iqbal. Hanis bukan tak nak jumpa Pak Long dan Mak Long. Tapi kebetulan Hanis ni sibuk. Ada urusan yang tak dapat dielakkan."
"Oh. Tak apalah kalau dah macam tu. Kalau Hanis tak sibuk hari ni, apa kata kita jumpa mereka nak? Lagipun ada seseorang yang nak sangat jumpa dengan Hanis. Abang Iqbal tahu, Hanis pun mesti teruja nak jumpa dengan dia kan?" Iqbal seakan cuba berteka-teki.
"Siapa?"
"Siapa lagi. Abang Hanislah. Hakimi. Dan untuk pengetahuan Hanis, seminggu dari sekarang, Hakimi akan berkahwin dengan gadis pilihannya. Kebetulan perempuan tu kawan baik abang Iqbal. Elok sangatlah kalau Hanis ada nanti." Iqbal meluahkan hal yang sebenar.
Namun begitu, reaksi yang ditunjukkan oleh Hanis ternyata sangat berbeza. Tiba-tiba saja tubuhnya menggigil hebat. Meliar matanya memantau arah sekeliling. Kepala tertunduk-tunduk seakan mahu melindungi diri. Bagaikan ada ketakutan yang maha luarbiasa sedang membelenggu dirinya sekarang.
"Abang Iqbal. Hanis nak balik." Tidak semena-mena, dia terus berdiri.
Gelagatnya sangat mencurigakan. Hinggakan Iqbal yang menengok pun naik hairan jadinya. Entah kenapa saat itu, Iqbal mula rasa tidak sedap hati. Bagi mendapatkan kepastian, dia segera menghalang gadis itu daripada berlalu pergi.
"Hanis. Kenapa ni? Hanis ada masalah ke?" Iqbal turut berdiri sambil bergerak menghampiri Hanis.
Dia cuba menenangkan keadaan. Hanis kelihatan seperti sedang mengalami keadaan trauma yang sangat dahsyat.
"Hanis takut. Hanis tak nak jumpa dia. Tolong abang Iqbal. Jangan bagitahu dia abang Iqbal ada jumpa dengan Hanis hari ni." Sayu dan bergetar saja suara Hanis sewaktu meluahkan permintaan itu.
"Hanis takutkan siapa?"
"Abang Hakimi."
Buat seketika, kepala Iqbal terasa berdengung. Masakan tidak, terlalu sukar untuk dia mencerna jawapan yang keluar daripada mulut gadis itu. Hanis takutkan Hakimi? Atas sebab apa? Lelaki itu ada buat benda tak baik ke kat adik sendiri? Bermacam tanggapan negatif mula bermain di benaknya. Namun dia memilih untuk tidak membuat tuduhan melulu. Biar telinga ini sendiri mendengar apa sebenarnya yang telah terjadi.
"Baiklah Hanis. Abang Iqbal janji tak bagitahu dia pasal pertemuan kita kat dia. Sebelum tu, Hanis kena buat sesuatu dulu. Abang Iqbal nak, Hanis cuba bertenang. Tarik nafas dalam-dalam." Arah Iqbal yang mula kasihan melihat Hanis.
Hanis hanya menurut. Setelah beberapa kali menarik nafas, rasa bimbang itu mula beransur pergi. Dia duduk semula di atas kerusi. Kebetulan air pesanan mereka pun sampai. Lantas air itu diteguk sepuas-puasnya. Seolah-olah dia kehausan yang amat.
"Abang Iqbal, Hanis tak tahu nak mulakan cerita kat mana."
"Tak apa. Slow-slow. Jangan paksa diri Hanis."
Hanis mendiamkan diri seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam sambil menutup mata. Sebelum bersedia meluahkan apa sebenarnya yang telah berlaku dalam kehidupannya selama ini.
"Abang Iqbal... sebenarnya, Hanis ni melarikan diri daripada abang Hakimi. Abang Hanis tu dah tak macam dulu bang. Dia dah jadi lain."
"Apa maksud Hanis? Abang Iqbal tak faham."
"Hanis rasa, abang tu sakit. Emosinya mudah berubah-ubah. Kadang dia okey, kadang dia jadi ganas. Hanis pun tak kenapa dia jadi macam tu. Tapi Hanis perasan, kondisinya bertambah teruk selepas mama meninggal."
Membulat mata Iqbal sejurus mendengar luahan itu. Ketika ini, dia berasa sangat terkejut. Sakit yang cuba digambarkan Hanis itu bukanlah melibatkan fizikal. Bahkan ia melibatkan rohani. Sakit yang sebenarnya paling bahaya jika nak dibandingkan dengan sakit-sakit kronik yang dialami manusia lain selama ini.
Selalu sangat kita dengar yang sakit inilah yang sering mencederakan orang sekeliling. Ada satu kes dekat ibu negara, seorang lelaki akan menendang mana-mana kaum perempuan yang berjalan seorang diri di stesen keretapi. Negara juga pernah digemparkan dengan berita kematian beberapa ahli keluarga setelah dibunuh oleh salah seorang ahli keluarganya sendiri. Ironi bukan? Masakan manusia waras mampu mengambil tindakan sekejam dan tidak bertamadun seperti itu.
"Maksud Hanis, abang Hanis tu gila?" Iqbal bersoal tidak percaya.
Ah. Mustahillah. Sepanjang tinggal dengan lelaki itu, dia tengok Hakimi okey saja. Jangan-jangan Hanis ni buat cerita tak? Hish... entah-entah, Hanis yang ada masalah peribadi. Saja nak reka alasan sebab nak tutup kesalahan dia.
"Ya abang Iqbal. Hanis tak buat cerita. Sumpah." Hanis perasan kesangsian yang terlakar di wajah Iqbal.
Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Terus tangannya naik lalu menyentuh bahagian pipi yang masih meninggalkan kesan sehingga sekarang.
"Parut ni, abanglah yang buat."
Ternganga luas mulut Iqbal. Tidak berkerdip mata merenung parut yang terlakar di pipi kiri gadis itu. Serasa baru saja dia tertanya-tanya tentang parut itu. Ternyata dia telah mendapatkan jawapannya. Rupa-rupanya Hakimilah yang menjadi punca.
"Abang toreh dengan pisau rambo. Masa tu, kami tengah tengok tv. Cerita pasal lelaki curang dengan teman wanita. Tiba-tiba aje abang terus naik hantu. Dia terus menerkam Hanis. Hanis kena cekik dan kena tumbuk dengan abang Iqbal. Sakit sangat.  Masa tu, Hanis takut sangat sampai tak boleh buat apa." Cerita Hanis sambil mengalirkan air mata kesedihan.
Pedih setiap kali mengimbau kenangan pahit itu. Abang kandung yang paling menyayangi dirinya tiba-tiba berubah menjadi binatang buas. Itu bukan kali pertama dia kena. Malahan dia pernah kena maki tanpa sebarang sebab dan alasan yang munasabah.
"Kebetulan satu hari tu, Hanis dapat berita abang kena tahan kat wad psikiatri. Dengar cerita dia ada menyerang seorang homeless sampai kritikal. Masa tulah, Hanis ambil peluang larikan diri daripada dia. Hanis dah tak tahan abang Iqbal. Tapi Hanis tak salahkan abang Hakimi atas apa yang berlaku. Hanis faham kenapa abang Hakimi boleh jadi macam tu. Semua ni salah papa. Dia yang buat abang jadi macam tu." Suara Hanis seakan berbaur dendam.
Terhenyak perasaan Iqbal sejurus mendengar cerita itu. Sekarang ini, barulah dia memahami segala-galanya. Hakimi menjadi mangsa penderaan emosi ekoran perbuatan seseorang yang bergelar bapa. Begitu juga dengan Hanis.
'Ya Allah Kimi. Kenapa kau tak bagitahu aku pasal ni? Kenapa kau tak kongsi dengan aku Kimi?' Tanpa sedar, bebola mata Iqbal mula terasa hangat.
Betapa beratnya penderitaan jiwa yang terpaksa ditanggung oleh mereka berdua. Sehinggakan ia mampu mengubah perwatakan seseorang daripada normal menjadi tidak waras. Patutlah dia perasan ada botol ubat di studio apartmentnya pagi tadi. Ingatkan itu ubat biasa.
'Ah... aku pun silap tak tanya ubat apa tu kat Kimi.' Iqbal seakan memarahi dirinya sendiri pula.
Saat mahu berbicara lagi, tiba-tiba saja telefon bimbit Iqbal berdering. Pantas tangan mencapai gajet itu lalu melihat ke kaca skrin. Berubah air mukanya. Mana tidaknya, gerangan yang menelefon adalah subjek yang sedang dibincangkan oleh dia dengan Hanis.
Eh dia ni. Macam tahu-tahu aje orang bercakap tentang dia. Jangan-jangan dia memang tahu tak? Ah sudah. Iqbal meneguk liur. Tiba-tiba saja boleh rasa seram sejuk. Namun dia cuba mengawal rasa panik dengan berlagak biasa.
"Helo Kimi."
"Hah Bal, kau ada kat mana?"
"Aku tengah minum ni."
"Sorang je ke?"
Iqbal mengerling ke arah Hanis. Dia perasan air muka cuak Hanis. Terbit rasa kasihan di hati. Sampai begitu sekali Hanis takutkan abang kandung sendiri. Nampaknya Hakimi memang tak boleh tahu pasal Hanis. Bimbang juga keselamatan gadis itu walaupun sedikit sebanyak dia tetap berasa ragu dengan kesahihan cerita itu.
"Err... haah. Sorang aje ni."
"Oh okey. Aku nak pinjam kereta kau ni. Boleh tak?"
"Oh ambiklah. Kau nak pergi mana?"
"Aku nak datinglah. Nak gi mana lagi."
Apabila Hakimi menyebut tentang dating, terus terbayang wajah Fazlin di ruang mata. Tak dapat dibayangkan kalau ada apa-apa perkara buruk berlaku dekat minah tu. Minta-mintalah dijauhkan sama sekali.
Niat di hati, Iqbal mahu menghalang pertemuan itu. Yalah, dia kan baru lepas mendengar kisah hitam tentang sepupunya itu. Tapi terus terang, akalnya buntu mahu meluahkan bagaimana. Hanya doa dan harapan sajalah yang mampu dipanjatkan semoga tidak kejadian buruk yang berlaku pada teman baiknya itu.
Setelah mendapat kebenaran, talian sudah dimatikan. Ketika itu, Hanis pun sudah berdiri. Dia tidak sanggup lagi berada di situ. Bimbang jika abangnya akan muncul pada bila-bila masa. Tambahan selepas tahu abangnya yang menjadi pemanggil sebentar tadi.
"Hanis nak pergi dululah abang Iqbal. InsyaAllah nanti kita jumpa lagi."
"Hmm. Kalau macam tu baiklah. Hati-hati. Nanti kalau nak apa-apa, call abang. Ambil kad abang ni." Iqbal mengeluarkan kad nama lalu diunjukkan kepada Hanis.
Hanis menyambut sambil mengangguk. Sebelum berlalu pergi, dia sempat menitipkan nasihat untuk kebaikan Iqbal dan orang di sekelilingnya.
"Nasihat Hanis, Abang Iqbal kena hati-hati dengan abang Hanis tu. Dia memang okey kalau tak tinggal makan ubat. Paling penting, jangan bagi dia tengok perkara yang menyakitkan hati. Kalau tak, memang dia akan menggila."
"InsyaAllah. Terima kasih sebab ingatkan abang Iqbal ya."
"Sama-sama. Okey. Hanis pergi dulu. Assalammualaikum."
"Waalaikumussalam."
Tatkala itu, Hanis sudah pun melangkah kaki meninggalkan premis tersebut. Iqbal hanya memandang pemergiaan gadis itu sebelum hilang di dalam khalayak ramai. Dan Iqbal tidak terus pergi. Lama dia termenung di situ memikirkan cerita yang baru sampai ke pengetahuan dirinya.

Dan ketika itu jugalah, tidak semena-mena rasa tidak sedap hati mula menjengah sanubari. Minta-mintalah semua itu hanya perasaannya cuma. Semoga tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini akan berlaku. Amin.

Bab 15 Klik Untuk Baca

2 ulasan: