14/10/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 17

Salam guys. Mula-mula sekali nak minta maaf sebab baru update hari ni. Semalam penat sangat. Harap korang enjoy. Tq sudi baca ek.

Bab 17
Usai menunaikan solat isyak, Iqbal membuatkan keputusan untuk berbaring di atas katil. Mahu menghilangkan penat setelah seharian bekerja. Entah kenapa, tubuhnya rasa begitu berat pada waktu ini. Jarang dia rasa begini. Selalunya, waktu-waktu begini dia masih mampu merayap atau melepak di mana-mana kedai mamak atau warung. Sama ada untuk pekena teh tarik ataupun sekadar menonton bola.
Baru saja seminit kepala melentokkan di atas bantal, rasa kantuk mula menguasai diri. Dia fikir untuk terus tidur. Lampu meja dicari lalu suisnya dipetik. Gelap gelita kamar tidurnya. Hanya cahaya bulan saja yang mencuri masuk samar-samar melalui cermin tingkapnya.
Tiba-tiba...
Tik! Tik! Tik!
Iqbal yang baru saja melelapkan mata terus terjaga. Ingatkan nak buat tidak endah saja tapi tangan ini yang gatal dah terpegang gajet berbunyi itu. Sambil menguap, dia terus membuka pesanan yang masuk.
Berkerut dahi seketika apabila melihat pesanan whatsapp yang diterima. Bukan mesej atau sebarang kata-kata. Sebaliknya hanya satu location yang Iqbal sendiri tidak pasti di mana kedudukannya. Sudahlah tiada caption apa-apa. Paling membingungkan, pengirimnya ialah manusia yang telah disimpankan nama sebagai 'Lin Poyo'.
Spontan Iqbal terduduk. Dada mula rasa berdebar-debar. Dia yakin ada sesuatu sedang berlaku. Fazlin tidak pernah buang tebiat begini. Tak ada angin tak ada ribut, tetiba hantar location bagai. Mereka bukannya sedang main running man kot.
Pantas tangan mendail nombor minah tu. Hairan, berjaya disambung tetapi tidak pula dijawab. Mungkin dia tidak perasan atau mungkin saja dia tetapkan dalam mood senyap. Pulak dah. Jari cuba mendail sekali lagi namun jawapannya tetap sama.
"Kau ni dah kenapa Lin oii. Jawablah kalau aku call ni." Iqbal membebel seorang diri.
Dalam masa yang sama, Iqbal tidak betah berdiam diri. Dia segera bangkit dari katil lalu menuju ke almari. Seluar jean hitam dicapai lalu dipakai. Sehelai baju t-shirt berwarna oren terus diambil lalu menutupi badan.
Iqbal sendiri tidak yakin dengan apa yang dia lakukan sekarang. Dia hanya menuruti kata hati. Hatinya menyuruh dia pergi saja ke location yang telah dihantar itu. Bagi menyedapkan hati, dia memberitahu mungkin saja Fazlin ingin bergurau dengannya. Apa orang kata, gurau biawak. Siapa tahu kan.
Selesai memakai kasut, Iqbal terus berlari ke arah lif. Pintu terbuka dia pun bergegas masuk. Tidak sampai seminit, lif turun ke tingkat parking. Sekali lagi dia berlari untuk mendapatkan kereta. Nasib baiklah Hakimi tidak gunakan keretanya hari ini. Sebelum berdecit bunyi tayar kereta lalu meninggalkan kediaman bujangnya itu.
Sementara itu, di dalam sebuah bangunan terbiar, Hakimi baru terjaga daripada pengsan. Kepalanya terasa berpinar-pinar. Tangan menyentuh bendalir panas yang mengalir ke pipi. Terbeliak matanya. Darah?
"Lin..." Suaranya memanggil lemah.
Seingat Hakimi tadi, dia sedang keluar bersama tunang kesayangan. Bila masa pula dia boleh tercampak kat sini?
Bagi mendapatkan gambaran jelas, Hakimi cuba menarik nafas dalam-dalam. Dia berusaha menenangkan diri terlebih dahulu. Mata dipejamkan barang seketika. Terimbaslah segala detik sewaktu mula-mula dia keluar bersama dengan gadis itu tadi.
Tepat pukul 6 petang tadi, mereka berdua pun tiba di sebuah restoran Nandos. Makan di sini jarang-jarang bolehlah. Kalau selalu, muak anak tekak juga rasanya. Fazlin memilih ayam peri-peri bersama nasi. Hakimi hanya mengambil hidangan sampingan.
Entah macam mana, sewaktu sedang menunggu pesanan siap, tiba-tiba saja ada ketegangan berlaku di hadapan mata mereka. Seorang lelaki dilihat sedang memarahi seorang perempuan yang sedang menangis. Di samping lelaki itu, turut terdapat seorang perempuan lain yang nyata lebih seksi dan cantik daripada perempuan yang dimarahi itu.
"Abang... kenapa abang buat saya macam ni? Abang tak kesiankan saya ke?"
"Aku cakap kau balik, baliklah."
"Abang, saya sayangkan abang. Dulu abang janji nak jaga saya baik-baik. Mana janji abang dulu? Siapa perempuan ni abang?"
"Dia ni isteri baru aku. Dan untuk pengetahuan kau Miah, aku sebenarnya dah bosan gila dengan kau. Sebab tu aku cari perempuan lain. Kau tak ada hak nak campur urusan hidup aku. Kalau kau tak nak kena cerai, lebih kau balik Miah. Aku cakap balik, baliklah!"
"Abang..."
Fazlin yang menyaksikan babak menyedihkan itu hanya mampu tumpang simpati. Hendak campur tangan, sumpah dia tidak berani. Itu urusan rumah tangga orang. Silap haribulan, niat yang baik boleh disalahtafsirkan.
Ketika itu, kepalanya sudah tertoleh ke arah Hakimi. Terdiam sejenak tatkala melihat telatah Hakimi sekarang. Lelaki itu kelihatan seperti sedang berpeluh-peluh. Tangannya laju menggagau ke dalam seluar seolah-olah sedang mencari sesuatu.
"Kimi? Awak tak apa-apa?"
"Babilah. Kat mana pulak aku letak ni." Hakimi membebel sendiri.
Lantas dia bingkas berdiri. Sekali lagi, tangan menyeluk kocek seluar. Kiri kemudian kanan. Bahagian belakang pun turut digagau sedang mustahil tempat itu muat untuk sebuah botol berukuran sederhana. Melainkan dia tidak kisah jika terpaksa duduk dalam keadaan pelik.
Fazlin terkedu. Terus dia teringatkan saat sewaktu dia dimarahi tanpa sebab oleh Hakimi dulu. Sedikit sebanyak, dia mula rasa takut. Namun dia cuba melawan perasaan itu demi mengetahui apa sebenarnya yang sedang berlaku.
"Siallah."
Seraya itu, Hakimi pun segera bangun. Dia terus keluar daripada restoran itu lalu berlari menuju ke tempat letak kereta. Manalah tahu barang yang dicari ada di sana. Dia kena cepat. Sebelum kepala tidak berfungsi lalu hilang pertimbangannya.
Fazlin yang melihat Hakimi pergi turut bergegas mengekori lelaki itu. Bimbang jika ada perkara yang tidak diingini berlaku.
Klik!
Kunci kereta ditekan. Sepantas kilat Hakimi melompat ke dalam perut kereta. Ruang tempat letak barang berdekatan gear terus diselongkar. Tiada. Laci di tempat duduk sebelah penumpang turut diterjah. Tiada juga.
Kebetulan ketika itu, Fazlin pun masuk ke dalam kereta. Bingung dia tengok tindak-tanduk Hakimi sekarang. Dia cari apa sebenarnya? Macam terdesak sangat aje. Orang tanya, tak jawab. Hish...
"Kimi?"
"Diamlah kau."
Fazlin langsung terkedu. Remuk hati apabila Hakimi melayaninya begitu. Kenapa dengan dia? Ada apa yang berlaku? Kenapa dia tiba-tiba boleh berubah begini? Belum sempat soalan itu bermain di minda, Hakimi terus menghidupkan kereta. Terbeliak mata Fazlin.
"Aku kena balik sekarang."
"Tapi kita tengah order makanan tu."
"Ah lantaklah."
Belum pun selesai memujuk dan menenangkan lelaki itu, kereta sudah memecut pergi. Menggigil tubuh badan Fazlin. Mana tidaknya, pintu pun dia tak sempat tutup sepenuhnya tadi. Dia cuba untuk bersuara tapi entah kenapa kata-katanya bagaikan tersekat di kerongkong. Dia buntu mahu melakukan apa sekarang.
Dan segalanya berlalu dengan sungguh pantas. Hakimi tidak sedar bila masa dia mengheret Fazlin masuk ke dalam sebuah bangunan yang ditinggalkan. Tubuh wanita itu disepak dan diterajang. Tidak cukup dengan itu, pipi putihnya ditampar berkali-kali hingga mengalirkan cecair pekat yang berwarna merah. Hakimi seperti mahu melepaskan amukannya. Semua gara-garanya terlihatkan situasi yang berlaku di hadapan matanya tadi.
"Kimi... tolong... berhenti..." Suara Fazlin kedengaran merayu-rayu sambil menahan kesakitan.
Berjurai-jurai air matanya membasahi pipi. Sungguh dia tidak menduga musibah ini akan menimpa dirinya. Apa salah dia? Kenapa Hakimi tergamak melakukan perbuatan kejam sebegini terhadapnya?
Namun begitu, segala rayuan tersebut ternyata tidak mampu pun mengubah sifat haiwan Hakimi. Dia yang terlalu kerasukan, dilihat menujahkan tumbukan bertalu-talu ke arah cermin kaca pula. Berderai pecah kaca dek penangannya. Tangan yang berlumuran darah langsung tidak dipedulikan rasa sakitnya.
Dalam ketidaksedaran akal itu, entah macam mana satu suara mula menyusup masuk ke benak fikirannya.
'Kimi, ingat tu janji kau dengan aku.' Mata Hakimi bagaikan terpejam-pejam.
Suara Iqbal bagaikan berbisik di sebelah telinga. Hakimi seperti berada di dalam keadaan separa sedar. Tiba-tiba saja, bayangan Iqbal seperti berada di hadapan matanya sekarang.
'Janji kau takkan pernah sakitkan hati dia.'
Tubuh Hakimi menggigil. Dia cuba mengusir bayangan Iqbal tapi ternyata dia tidak mampu. Bagaimana imej lelaki itu tidak mengganggu mindanya sekarang. Boleh dikatakan hampir setiap malam dia menerima pesanan itu daripada mulut Iqbal. Jika tidak menerusi suara, pasti melalui whatapps atau pun mesej.
'Apa-apa pun yang berlaku, aku nak kau pertahankan dia ibarat kau jaga nyawa kau sendiri.' Pesanan lain pula bermain di ingatan.
'If kau usik dia, samalah macam kau usik aku. Faham?!'
Badan Hakimi menggeletar lagi. Sepatutnya, hanya dengan ubat saja yang mampu mengembalikan dia dalam keadaan normal semula. Tetapi ternyata segala ingatan Iqbal yang cukup keras itu telah mengubah segala-galanya. Dan apa yang pernah dia janjikan demi kebahagiaan gadis mula bermain di ruang fikiran.
'Ya Bal. Aku akan janji aku akan jaga dia.'
'Aku bersumpah aku takkan sesekali sakiti dia.'
'Lin... saya akan pastikan awak takkan menyesal pilih saya dalam hidup awak.'
Ketika itulah, akal fikiran Hakimi sudah mulai waras. Tergamam dia tatkala melihat Fazlin terbaring lemah berlumuran darah di satu sudut. Lutut mula terasa goyang. Seluruh sendi mula menggeletar hebat.
"Lin..." Hakimi menggagahkan diri untuk menghampiri Fazlin.
Dia tidak faham apa yang sebenarnya yang telah berlaku. Bukan ke tadi mereka ada dekat restoran ke? Kenapa tiba-tiba dia dan Fazlin boleh tercampak kat sini? Hakimi cuba meraih ingatan namun dia gagal mengingati apa-apa.
"Lin, awak tak..."
"To... tolong jangan seksa saya lagi. Saya merayu..." Suara Fazlin kedengaran lemah.
Dia merayu agak dirinya dikasihani. Di matanya, lelaki itu bukan lagi Hakimi yang dia kenali. Melainkan manusia penuh naluri kebinatangan. Manusia yang tidak berhati perut. Kejam lagi menakutkan.
Ya Tuhan... kenapa perlu dia dipertemukan dengan lelaki sebegini? Apa salah dia? Apa dosa dia? Hiba dadanya merintih akan nasib diri.
Terhenyak perasaan Hakimi sejurus mendengar kata-kata Fazlin. Sedarlah dia bahawa bukan orang lain yang menjadi punca Fazlin cedera parah sebegitu rupa. Perlahan-lahan tangan diangkat ke atas. Hakimi memandang kedua-dua belah tangan itu dengan rasa tidak percaya. Lama dia merenung sambil menggigil seluruh tubuh.
"Maafkan saya Lin. Saya tak berniat nak buat awak macam ni." Hakimi mula menangis semahu-mahunya.
Tatkala itu, Fazlin sudah tidak mampu bersuara. Badannya terasa semakin lemah. Nafasnya mula menjadi semakin perlahan. Dia tahu, dia tiada daya untuk buat apa-apa lagi. Mungkin di sini pengakhiran hidupnya.
"Lin... saya sakit Lin. Maafkan saya."
Sebak hati Hakimi tatkala melihat keadaan Fazlin. Sumpah langsung tidak terniat dihatinya mahu melakukan tunang kesayangannya begitu. Kalaulah dia tahu dari awal lagi begini jadinya, takkan sesekali dia dekati Fazlin.
Perasaan bersalah mula memukul-mukul diri. Hakimi tahu, dia harus mendapatkan balasan yang setimpal. Tatkala itu, dipandang dinding batu yang tebal binaannya. Tanpa berfikir panjang, dia melurukan kepalanya di situ dengan sepenuh hati.
Bam!
Hakimi terus rebah di situ. Darah mula membasahi ke seluruh mukanya.

Bab 16 Klik Untuk Baca









Tiada ulasan:

Catat Ulasan