27/10/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 19

Bab 19
Alhamdulillah. Selesai sudah majlis pernikahan mengejut di antara Fazlin dan Iqbal. Tidak dinafikan, banyak orang mempersoalkan apa sebenarnya yang berlaku. Mana tidaknya, mereka dikhabarkan bakal pengantin lelaki itu adalah sepupu Iqbal. Tup-tup Iqbal yang berjabat tangan dengan tok kadi.
Apa yang mampu mereka buat, hanyalah tersenyum. Sambil berkias sikit-sikit sudah namanya jodoh. Kalau tak faham lagi, memang tak tahulah. Takkanlah mereka nak bagitahu cerita sebenar. Itu kerja gila namanya.
"Emak... Lin ingat nak balik KL lah. Lin nak tenangkan fikiran." Fazlin memberitahu Puan Airah.
Sejurus saja majlis akad nikah itu berlangsung, dia segera menyampaikan keputusannya. Perkara itu sudah difikirkan masak-masak. Duduk dikelilingi ramai manusia sedikit sebanyak membuatkan jiwanya bertambah kacau. Baru nak lena, diajak untuk makan. Baru nak reda perasaan, diasak persoalan okey ke tidak. Macam mana nak baik kalau asyik kena terjah macam tu?
Puan Airah terdiam memikirkan kata-kata anaknya itu. Sejujurnya, dia berat hati nak lepaskan Fazlin pergi. Yalah, sejak kejadian itu berlaku, anaknya lebih banyak menyepikan diri. Makan pun kena paksa. Mandi tu kalau tidak disuruh, memang bau kerbaulah gamaknya. Haruslah dia bimbang.
"Mak bukan tak nak bagi. Mak cuma bimbangkan kamu aje, Fazlin." Puan Airah memberitahu apa yang dirasa.
Lagipun, anaknya itu kan baru saja berkahwin. Nanti apa pula kata jiran a.k.a besannya. Nampak sangat macam tidak suka saja dengan pernikahan itu.
"Lin okey, mak. Mak janganlah risau. Pandailah Lin jaga diri."
Puan Airah tahu dia sudah tidak boleh menghalang lagi. Takut didesak, lain pula yang jadi. Biarlah kalau sudah itu keputusannya. Cuma sekarang ini, dia kena cari seseorang untuk memantau keadaan semasa Fazlin semasa berada jauh daripadanya.
'Eh bengap pulak aku ni. Kan Iqbal tu ada.' Puan Airah mengutuk kedunguan sendiri.
Boleh pulak dia terlupa yang si Iqbal itu sudah bergelar menantunya. Itulah. Tadi pandai-pandai serkap jarang Fazlin tak suka bersuamikan Iqbal. Entah-entah dia yang tak berkenankan Iqbal sampai boleh terlupakan status mamat tu. Maafkan mak cik ya Bal. Eh silap. Maafkan emak ya.
"Baiklah kalau Lin dah cakap macam tu. Mak tak halang. Tapi Lin kena tahu. Sekarang Lin bukan kat bawah tanggungjawab mak aje. Jadi mak rasa, lebih elok Lin minta izin dari Iqbal sendiri. Lepas tu, cakap kat keluarga dia elok-elok. InsyaAllah mereka faham dan benarkan."
"Hmm..." Fazlin hanya berdehem.
Apa-apa sajalah. Apa yang penting sekarang, dia cuma mahu lari daripada semua kemelut jiwanya ini.
Keesokan harinya, Fazlin dan Iqbal terus berangkat pulang ke KL. Tiada istilah bulan madu buat mereka berdua. Sepanjang perjalanan, kedua-dua mereka hanya mendiamkan diri. Baik Fazlin mahupun Iqbal, masing-masing seakan tidak mahu bersuara.
Pelik!
Rasanya mereka berdua tidak pernah begini. Kalau dulu, pantang jumpa ada saja yang mahu jadi topik perbualan. Mereka berdua seolah-olah kekok dengan diri masing-masing. Ibarat berada satu kereta dengan orang yang tidak dikenali.
Bagi mengusir kesunyian itu, Iqbal buat-buat berdehem."Ehem..."
Sesekali dia menjeling ke arah sebelah. Manalah tahu, takut Fazlin yang suruh dia mulakan dulu. Perempuan ini kan ada gen pemalu. Beza sangat dengan gen lelaki yang lebih suka main taram aje. Eh, betul ke?
Deheman itu ternyata langsung tidak menarik minat Fazlin. Dia hanya merenung ke arah luar. Biarpun begitu, Iqbal yakin akalnya tidak berada di situ. Melainkan memikirkan sesuatu. Entah apalah yang ada di dalam benaknya sekarang.
Kan lebih elok jika Fazlin meluahkan apa saja yang dia rasa. Sekurang-kurangnya, hilang juga beban yang bersarang di jiwanya itu.
"Ehem..." Sekali lagi, dia berdehem. Sengaja dikuatkan agar dapat membuatkan Fazlin tersedar daripada lamunannya.
Saat itu, Iqbal pula yang menanti respon daripada Fazlin dengan penuh debaran. Bimbang juga takut kena maki. Orang itu sudahlah tertekan. Dia pula nak cucuk angin. Iqbal bukannya apa. Dia mahu tahu sama ada Fazlin perlukan apa-apa.
Dalam pada menantikan Fazlin memberikan maklum balas, tiba-tiba saja telefon Iqbal berdering nyaring. Terkejut beruk dia. Mati-mati ingat itu adalah suara Fazlin. Rupa-rupanya nada dering lagu Nana Sheme berkumandang. Kena pula bahagian 'Kau fikir kau siapa boleh blah.'
Sejenak, Iqbal cuba menarik nafas panjang. Tangan mencapai telefon yang terletak di dalam kocek. Skrin dilihat. Nama Mylove Zara tertera di situ.
"Helo sayang." Sapa Zara, manja.
"Helo mylove."
"U ada kat mana ni?"
"I ada kat atas kereta."
"Oh. Okey. Oh ya sayang. I call ni sebab nak minta maaf dengan u. Semalam i tak dapat datang ke majlis kahwin Fazlin dengan Hakimi tu. Ada hal kecemasan. I harap u faham." Zara memberitahu tujuan dia menelefon.
Selain kebetulan, memang dia tiada hati pun nak ke majlis 'musuhnya' itu. Buat apa nak sakit mata. Daripada dia menyumpah bukan-bukan, lebih baik dia jauhkan diri. Lantaklah orang nak cakap apa.
Tatkala itu, Iqbal bagaikan tertelan pasir. Ya tak ya juga. Patutlah majlis itu berjalan dengan lancar semalam. Rupa-rupanya Zara tiada. Ya Allah. Nasib baik betul. Kalau tidak, entah apalah yang akan jadi. Agaknya, boleh tsunami kampung mereka dek amukan buah hatinya itu.
"U?"
"Err ya ya."
"U tak apa-apa?"
"Eh i okey."
"U tak marah kan?"
"Err tak tak. Tak marah. I okey."
Zara berkerut dahi. Hairan juga dia. Selalunya Iqbal akan menegur jika ada perkara yang tidak berkenan di hatinya. Macam tak logik pula apabila dia tak marah. Itukan majlis bestfriend sehidup semati dia. Hmm... entahlah. Tanya lebih-lebih karang, nanti dituduh cari fasal. Jadi lebih baik biarkan sajalah.
"U, esok kita jumpa tau. I ada hal nak bincang dengan u. Pasal majlis nikah kita."
"Okey okey. Esok kita jumpa."
"Kalau macam tu, i letak telefon dululah ya. I rasa u macam sibuk aje. Nanti kalau free, jangan lupa call i tau."
Iqbal menarik nafas kelegaan. Bukan sibuk pun sebenarnya. Cuma tidak mahu kantoi apa yang berlaku. Nasib baiklah Zara tidak mengesyaki apa-apa. Fuh.
Setelah talian dimatikan, hampir 20 minit perjalanan mereka pun sampai di kawasan apartment milik mereka berdua. Fazlin sudah turun dari kereta. Sempat dia berkata sesuatu ke arah Iqbal tanpa melihat ke arahnya.
"Buka bonet belakang. Nak ambil barang."
Iqbal akur. Walau Fazlin seakan tidak mahu menentang mata, suara wanita itu cukup jelas di pendengaran telinga. Bonet pun terbuka. Fazlin bergerak ke arah belakang kereta lalu mengambil beg pakaian dan beberapa barangan miliknya.
Tanpa menunggu Iqbal, dia segera mengatur kaki menuju ke arah lif. Tidak sampai seminit, kelibatnya sudah hilang daripada pandangan.
Iqbal mengeluh perlahan. Sejujurnya, dia langsung tidak faham. Kenapa Fazlin tiba-tiba boleh berubah dingin begitu? Apa salah dia? Kenapa Fazlin tidak boleh melayannya seperti dulu?
Dalam masa yang sama, matanya turut terpandangkan mangkuk tingkat yang berisi makanan yang telah diletakkan di tempat duduk belakang. Itu adalah pemberian ibu kepada menantunya sebelum mereka bertolak tadi. Kenapa Fazlin tak ambil? Dia terlupa atau memang sengaja tak mahu ambil?
Iqbal terfikir, apalah perasaan ibunya kalau tahu Fazlin buat-buat tak endah dengan pemberiaannya. Pasti kecil hati orang tua itu. Sudahlah dia bangun awal pagi semata-mata mahu siapkan juadah itu kepada Fazlin.
Bagi menyedapkan hati, Iqbal menganggap bahawa Fazlin terlupa tentang mangkuk tingkat itu. Kalau awal-awal terletak dalam bonet tadi, mungkin dia akan capai sekali kot. Tapi apa ke jadah nak letak dalam bonet? Rosaklah makanan itu nanti. Kalau kosong tak apalah.
Jauh di sudut hati, Iqbal tidak dapat menepis rasa terkilannya. Tergamak Fazlin blah macam tu aje. Kalau dulu, minah tu akan setia menanti untuk naik sama-sama ke atas. Sambil berjalan, sambil berbual. Sampai dekat rumah masing-masing baru berpisah.
Tapi kenapa? Kenapa Fazlin tidak melayannya macam dulu? Ke dia marah sebab Iqbal ambil tindakan untuk menikahinya? Habis itu, dia mahu Iqbal buat apa sebenarnya? Tengok dia bersedih lepas itu tepuk tangan? Begitu?
"Lin... kenapa kau buat aku macam ni?" Tanpa sedar, bibir Iqbal mengucapkan.
Apa pun yang berlaku, nak tak nak terpaksalah Iqbal tabah mengharungi semua ini. Dia cuma berharap agar Fazlin kembali pulih seperti sediakala. Biarlah kalau dia dilayan seperti tidak wujud sekalipun. Dia cuma mahukan Fazlin yang dulu.
Setelah itu, Iqbal pun turut dari kereta sejurus kereta dimatikan. Dia mendapatkan beg pakaian dan beberapa barangan peribadi. Tidak lupa juga bekal khas buat menantu ibu. Tidak lama selepas itu, Iqbal mula melangkah untuk menuju ke kediamannya yang bersebelahan dengan kediaman milik wanita itu.

Tuk! Tuk! Tuk!
Fazlin yang sedang lena di atas sofa, terjaga dari tidur. Dia bangun lalu mencapai sehelai tudung. Kaki diatur melangkah ke arah pintu. Kunci pintu dibuka lantas pintu pun dikuak. Wajah Iqbal kelihatan di situ. Di tangannya turut terdapat sesuatu.
"Ini ibu bagi." Iqbal mengunjukkan mangkuk tingkat ke arah Fazlin.
Tanpa perasaan, Fazlin menyambut mangkuk tingkat itu. Hendak menolak, dia rasa tidak sampai hati. Sedangkan jelas dia tak punya selera untuk menjamah apa-apa. Dia hanya mahu tidur. Hmm. Ingatkan datang sini, dapat elakkan diri daripada sebarang gangguan. Tapi tak sangka mamat tu jadi pengacau pula.
Ketika itu, Iqbal cuba mengintai dari celahan pintu yang terbuka. Dia nampak beg pakaian yang Fazlin bawa tadi langsung tidak dibuka dan diusik. Bermakna selepas saja sampai ke sini, Fazlin terus tidur agaknya.
'Hish. Dah solat ke tak dia ni? Karang aku tanya, dia tuduh aku perli pulak. Kalau sedih pun, kenalah solat. Manalah tahu kot-kot hilang rasa sedih tu.' Iqbal berkata di dalam hati.
Namun begitu, Iqbal memilih untuk tidak serkap jarang. Agaknya mungkin dia sudah solat. Fazlin yang dia kenali, memang tidak pernah mengabaikan kewajipan sebagai hamba-Nya. Terlewat sekali apa pun, dia tetap akan melaksanakannya.
Mungkin disebabkan hal itu juga, Tuhan memberikan ujian kepadanya. Bukankah Allah sudah berjanji bahawa Dia tidak akan membebankan hamba-hambanya melainkan daripada kemampuan mereka. Fazlin diuji untuk mengetahui sejauh mana keimanan dan ketakwaannya. Apakah hatinya akan terpesong atau tetap berpegang teguh kepada Sang Pencipta?
Benar, Iqbal yakin dengan semua itu. Semoga satu hari nanti, Fazlin akan dapat menemukan hikmah yang tersembunyi di sebalik semua yang telah berlaku.
Baru saja Iqbal mahu bertanyakan keadaan semasa Fazlin, tidak semena-mena wanita itu mengatup pintu. Iqbal terperanjat. Sikit lagi mahu kena batang hidung. Kalau tidak, sah kemek.
"Kurang asam jawa asam gelugor punya orang. Agak-agaklah. Kalau kena tadi, siapa nak tanggungjawab? Eii sakitnya hati aku. Aku ambik balik makanan tadi baru tahu." Iqbal membebel geram.
Ikutkan hati, Iqbal mahu ke rumahnya untuk ambil kunci pendua rumah Fazlin. Apabila masuk, dapatlah dia bertengkar mulut dengan minah tu. Perangai tak semenggah langsung. Itupun nasib baiklah kawan baik. Kalau orang lain, memang sudah lama dia belasah kaw-kaw.
"Ah... daripada aku bengang layan dia, baik aku blah. Lantaklah kau nak menonggeng ke apa. Pergi mam..." Iqbal tekup mulut sendiri.
Semarah-marah dia pun, tak sampai hati nak memampuskan Fazlin. Kawan baik tu. Mati minah tu, dia jugak yang bertangis teriak. Senang cerita, lebih elok dia abaikan saja Fazlin terlebih dahulu. Apabila keadaan sudah beransur reda, pandai-pandailah dia bersemuka dan menasihatkan apa yang patut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan