3/11/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 20

Bab 20
Tuk! Tuk! Tuk!
Bunyi ketukan yang bertalu-talu itu membuatkan Fazlin membuka selimut. Pintu utama itu dipandang dengan rasa kosong. Langsung tak berkeinginan pun untuk mengetahui siapa gerangan yang hadir. Kesudahannya, dia mencapai sebiji bantal untuk menekup telinga sebelum selimut ditarik lalu membaluti sepenuh tubuhnya.
"Buka pintu ni, Lin. Aku ni. Iqbal." Jerit Iqbal dengan kuat.
Termasuk dengan kali ini, sudah hampir berpuluh kali dia mengetuk pintu itu. Tangan pun dah naik sakit ni. Ikutkan hati, mahu diterajang saja pintu itu biar roboh. Tapi nak ke roboh pintu tu? Macam keras aje. Silap haribulan, kaki dia yang tercabut.
Iqbal mengeluh perlahan. Sehingga ke hari ini, sudah dua hari dia tidak mendengar sebarang khabar berita daripada minah itu. Orang telefon tak nak jawab. Hantar mesej jauh sekali nak balas. Whatsapps tak payah cakaplah. Naik jenuh jari dia menaip tapi jawapannya tetap sama. Dia buat dek aje.
Berasa bengang dengan keadaan itu, Iqbal pun berlalu ke arah kediamannya. Tempat menyimpan kunci yang tergantung di dinding segera dihampiri. Kunci pendua yang mana telah diamanahkan oleh Fazlin agar menjaga rumahnya jika ketiadaannya terus dicapai. Seraya itu dia pun mendapatkan pintu rumah Fazlin. Kunci dimasukkan lantas dipulas. Berjaya. Tidak berlengah, tombol pintu pun terpulas.
"Astagfirullahalzim."
Terbeliak mata Iqbal tatkala melihat apa yang ada di hadapannya. Susun atur perabot tunggang terbalik. Kain baju bersepah di sana sini. Baunya pulak, huh. Tak payah ceritalah. Hapak bukan main. Ini rumah ke kapal karam ni?
Saat itu, matanya terus meliar mencari kelibat seseorang. Ternyata tidak sulit baginya untuk menemukan batang tubuh itu apabila terpandangkan satu bungkusan besar yang sedang meringkuk di atas katil. Fazlin membungkus dirinya dengan selimut. Dia ada cita-cita nak jadi hantu bungkus ke apa ni?
"Ya Allah kau ni... Fazlin! Kau dah kenapa?!" Iqbal bersoal dengan nada terkejut.
Tangan cuba menyelak kain selimut yang membaluti tubuh gadis itu. Tapi tindakannya gagal apabila Fazlin dilihat cuba melawan. Kejap sungguh dia memaut selimut itu dari bahagian dalam.
Iqbal sudah menyinga. Terlupa terus dia akan statusnya sebagai suami kepada Fazlin. Di matanya sekarang, gadis itu adalah sahabat baiknya. Orang yang dia akan sound direct jika ada sesuatu yang tak kena di matanya.
"Kau bangun sekarang! Aku bilang sampai tiga. Kalau kau tak nak bangun jugak, aku tak teragak-agak nak campak kau kat balkoni sana. Jangan ingat aku tak berani!" Memetir suara Iqbal memberikan amaran.
Fazlin rasa terkejut. Tiba-tiba dia jadi takut mendengar kemarahan Iqbal itu. Habislah. Iqbal kalau dia marah, memang tak ada can nak cari fasal. Silap langkah, boleh benjol kepala kena penangannya.
Pernah suatu ketika dulu, ketika Fazlin curi bawa kereta abah senyap-senyap semata-mata untuk ke bandar. Sedangkan masa itu dia masih tak ada lesen. Apalagi, selepas Iqbal tahu, terus dia luku kepala Fazlin berkali-kali. Aduh. Sakit bukan main.
"Kalau eksiden sapa susah?"
"Tak eksiden pun kan."
"Oh, menjawab. Nah, upah."
Kuk!
Fazlin menyeringai kesakitan. Bengang memanglah bengang. Abah dia pun tak marah sampai tahap macam tu pun, tapi Iqbal ini pula yang lebih-lebih. Belum habis leteran itu, dia kedengaran menyambung lagi.
"Dengan lesen tak ada. Kalau polis tahan, kau nak buat apa? Kau nak meringkuk dalam penjara?"
"Takkanlah sampai masuk penjara kot. Aku bukannya buat jenayah besar pun." Fazlin dilihat cuba membela diri.
Sebelah tangan mengusap kepala yang dilekuk oleh Iqbal tadi. Masam saja mukanya. Tanda tidak puas hati dengan hukuman yang dirasakan tidak logik buatnya.
Bertambah merah anak mata Iqbal. Pantang baginya kalau ditegur tapi buat-buat tak bersalah. Geram dengan keadaan itu, sekali lagi tangannya sudah naik ke atas lalu singgah di atas kepala Fazlin. Bukan sekali, tapi dua kali berturut-turut.
Kuk! Kuk!
"Fazlin Aufa! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?!" Jeritan kasar itu membuatkan Fazlin tersedar daripada lamunan silam.
Nak tak nak, terpaksalah Fazlin beralah. Tak naklah dia kena campak dek Iqbal. Kena luku hari tu pun sakit gila. Inikan kena buang dari tingkat belas-belas. Kalau tak jadi lempeng, mesti jadi daging burger. Eii... ngerilah.
"Ya aku dengar. Nak bangun dah ni." Fazlin menjawab pasrah.
Sambil bergerak dalam keadaan duduk, dia cuba menggunakan selimut yang ada untuk menutupi kepalanya. Seganlah kalau Iqbal tengok rambut serabainya. Kena kutuk hantu kak Limah, dia jugak yang malu nanti.
"Kau ni dah buang tebiat ke apa? Kenapa rumah kau boleh jadi tunggang-langgang macam ni?"
Fazlin tidak menjawab pertanyaan itu. Malas hendak buka mulut. Terpulang pada Iqbal mahu fikir apa pun. Dia tak kisah. Ini rumah dia, bukannya rumah mamat kaki berleter tu. Rumah dia kan di sebelah sana, jadi jagalah rumah sendiri.
"Hish... susahlah cakap dengan kau ni."
'Aku tak suruh pun kau cakap dengan aku.' Fazlin hanya meluahkan di dalam hati.
Gila ke apa nak cakap depan-depan. Mahu berlubang kepala kena ketuk dengan harimau jadian tu. Iqbal ini kan, sekali dia pamerkan ketegasannya, mahu kalah presiden Korea Utara tu. Kejam, zalim, dan macam-macam lagilah. Menyampah.
'Siapalah yang malang jadi bini dia tu nanti? Eh kejap. Macam pelik aje soalan aku ni. Ah, abaikan.'
"Ni aku datang ni sebab nak bagitahu kau satu perkara. Esok keluarga kita nak datang ziarah. Ibu aku baru aje call kejap tadi. Dia cakap emak kau cuba nak hubungi kau tapi tak dapat-dapat." Iqbal memberitahu tujuan utama kedatangannnya.
Elok juga orang tua dan mertuanya buat keputusan datang secara mengejut begitu. Kalau tidak, memang dia tak tahu pun keadaan Fazlin macam mana. Silap haribulan, boleh mereput dia atas katil tu.
Fazlin mengeluh perlahan. Berat baginya untuk menyambut baik keputusan itu. Dia bukannya apa. Sejujurnya, hinggakan saat ini dia masih belum bersedia mahu berjumpa dengan sesiapa. Tak suka diasak pertanyaan yang bukan-bukan.
Tapi apa pilihan yang Fazlin ada. Sebab setakat inilah, tak ada lagi perancangannya untuk jadi anak derhaka. Takut juga kena sumpah jadi mesin basuh oleh emak. Nak tak nak, terpaksalah dia terima dengan hati yang terbuka kedatangan mereka itu.
"Okey." Sepatah Fazlin menjawab.
Ternganga mulut Iqbal. Tak berkerdip kelopak mata memandang Fazlin dengan rasa tak percaya.
"Okey je? Ya Allah kau ni. Dah tu, kau nak biarkan rumah kau berselerak macam ni?" Iqbal menegur lagi.
"Aku tak laratlah nak kemas. Biarkan ajelah."
"Kalau ye pun tak nak kemas rumah, pergi kemaskan diri kau tu boleh tak? Kau ni dah berapa hari tak mandi? Busuk tahu tak. Ke kau nak aku tolong sental badan kau tu? Aku on aje. Tapi maaflah, selalunya aku sental guna berus besi yang basuh kuali tu. Baru cepat hilang daki dan kotoran kat badan kau tu nanti." Iqbal memperli.
Fazlin tayang muka cemberut. Amboi... mentang-mentanglah dah jadi halal, ikut suka hati nak sental badan orang ya? Kau ingat badan aku ni diperbuat daripada kulit buaya ke apa. Banyaklah kau punya berus besi.
"Yelah yelah. Aku pergilah. Macam mak nenek." Gerutu Fazlin, geram.
Saat itu, dia sudah melangkah turun daripada katil. Baru sekarang dia perasan badannya agak melekit dan berbau. Ah, kenapalah dia jadi macam ni? Kenapa dia tak terus lupakan apa yang berlaku dan mulakan hidup baharu?
Tanpa sedar, Fazlin resah sendiri. Sebenarnya, bukan peristiwa itu yang membuatkan dia jadi teruk begini. Tapi ingatannya terhadap lelaki itu seakan tidak pernah mahu padam.
'Hakimi... awak kat mana? Saya betul-betul rindukan awak. Jumpalah saya. Saya janji tak marahkan awak dengan apa yang dah berlaku.' Di dalam bilik air, tidak semena-mena Fazlin mengelamun lagi.
Maka benarlah kata-kata bahawa cinta itu boleh membutakan. Sebab itulah masih ramai insan di dunia ini sanggup bertahan dengan pasangan masing-masing biarpun dirinya sering tertindas. Isteri bertahan dengan sikap panas baran suami. Lelaki bertahan dengan perangai cemburu buta sang gadis.
Hampir sejam Fazlin berada di dalam bilik mandi, akhirnya dia pun keluar. Alangkah terkejutnya apabila melihat keadaan rumahnya sekarang. Tiada lagi kain baju, seluar dan kasut yang berselerakan. Sofa, almari kecil, serta beberapa lagi perabot rumah nampaknya sudah kembali ke tempat asalnya. Udara dan bau sekitar ruang rumah itu turut segar dan nyaman sekali.
'Aku mimpi ke ni?' Rasa tak percaya membuatkan Fazlin bersoal sendiri.
Tatkala itu, Fazlin yang mengenakan baju tidur semalam berjalan ke arah satu sudut yang menempatkan pakaiannya. Dia mahu menyalin baju kerana bajunya itu sudah berbau. Tatkala melintasi katil, sekali lagi dia tergamam sewaktu melihat sekujur tubuh di atas lantai berbaring kepenatan di situ.
'Iqbal?!' Soal Fazlin di dalam hati.
Ketika inilah, baru dia faham segala-galanya. Apa yang berlaku, bukanlah satu mimpi. Melainkan Iqbal yang melakukan semua itu.
Iqballah yang menyusun atur semua perabot yang telah diterbalikkan semasa buntu mencari telefon demi menanti panggilan daripada seseorang. Iqbal itulah yang juga telah menyidai dan melipat segala baju yang dia biarkan kerana tak ada mood mahu berkemas. Dan Iqbal itulah yang mewangikan segenap rumahnya yang sudah lama hapak dan busuk dek sikapnya melayan perasaan yang entah apa-apa.
 Ya Allah. Baru sekarang ini Fazlin sedar, betapa dia telah menyusahkan lelaki itu. Namun begitu, Fazlin lebih memilih untuk tidak menyalahkan diri sendiri dengan sepenuhnya. Apa yang Iqbal lakukan itu, semuanya adalah atas kerelaan dia sendiri. Bukan Fazlin yang paksa pun.
Seandainya Iqbal berada di tempatnya pun, dia akan tetap melakukan hal yang sama. Bukankah itulah fungsi dalam persahabatan mereka selama ini? Saling menyokong apabila memerlukan. Tak gitu?
Kriuk...
Bunyi yang datang dari dalam perut itu membuatkan Fazlin terus melupakan apa yang telah berlaku. Ah. Tiba-tiba perut berasa laparlah pula. Kaki terus diatur menuju ke arah peti sejuk. Hampa perasaan apabila melihat stok yang ada. Langsung tak menaikkan nafsu untuk makan.
Ketika itu, Fazlin buat keputusan untuk keluar. Dia mahu mencari makanan yang sedap-sedap bagi mengisi perut kosongnya. Tanpa mempedulikan langsung Iqbal yang telah bersusah payah menjaga kebajikan dirinya selama ini.




2 ulasan: