11/11/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 21

Bab 21
Baru sebentar tadi, kedua-dua orang tua Iqbal dan Fazlin tiba dari kampung. Suasana riuh jelas kedengaran di kediaman bujang milik Iqbal. Bujang? Eh bukan dah kahwin ke? Bekas bujang okey.
Daripada jiran bertukar status kepada besan membuatkan hubungan di antara Encik Rahman, Encik Farid, Puan Airah dan Puan Saadiah bertambah erat. Ibaratnya, perkahwinan itu adalah satu rahmat buat mereka semua.
Tatkala itu, Iqbal meletakkan dulang yang berisi air sejuk di atas meja kopi di hadapan kedua-dua orang tua dan mertuanya. Masing-masing yang kehausan terus mendapatkan air lalu meneguknya perlahan-lahan.
"Tadi mula-mula sampai, kami pergi rumah Fazlin dulu. Puas ketuk tapi tak bukak-bukak. Lepas tu barulah mak teringat. Korang berdua kan dah kahwin. Mestilah korang tinggal sekali kan." Sakat Puan Saadiah.
Ketiga-tiga yang lain dilihat turut menghambur tawa. Sebelum Encik Farid membuka mulut untuk menambah pula.
"Abah tengok muka kamu nampak letih aje. Kamu buat apa hah semalam?" Encik Farid tayang senyum senget.
"Hahaha. Itulah pasal. Ayah pun baru nak tegur tadi. Tapi tak apa. Kami faham." Giliran Encik Rahman pula menokok.
Memerah muka Iqbal seperti udang kena bakar. Aduhai. Mesti depa akan fikir yang bukan-bukan. Apa ingat dia lahap sangat ke dengan anak dia tu? Mandi pun jarang-jarang. Orang kemas rumah dialah. Itu yang penat tak ingat tu.
"Mana ada buat apa pun, ayah, abah." Sangkal Iqbal sambil menahan malu.
"Eleh. Malu-malu kucinglah pulak."
Saat itu, mertua Iqbal perasan perubahan pada air muka Iqbal. Rasa tak sampai hati nak biarkan mereka terus membuli menantunya itu.
"Eh sudah-sudahlah tu. Ni ibu nak tanya kamu. Fazlin mana? Dari tadi batang hidung dia tak nampak." Soal Puan Airah.
Iqbal terkulat-kulat. Buntu dia nak jawab apa. Takkanlah dia nak cakap Fazlin ada kat sebelah? Kalau setakat ketuk macam orang tak makan, memang jangan haraplah dia nak buka pintu tu. Kena gaya gorila mengamuk sakan baru dia sedar gamaknya.
"Di... dia keluar. Ha, dia keluar." Beritahu Iqbal tergagap-gagap.
Inilah kali pertama dia menipu. Semuanya gara-gara minah tak guna tu. Kan semalam dia dah cakap, parent mereka nak datang hari ni. Jadi pandai-pandailah nak hidup.
"Keluar pergi mana?"
Iqbal resah sendiri. Eh banyak tanya pulak orang tua ni. Nak kelentong apa lagi ni? Kepala dikerah untuk berfikir. Hah, dapat pun.
"Dia pergi spa ibu."
Ternganga terus mulut Puan Airah. Pergi spa? Aik. Sejak bila anak dia layan spa? Rasanya nak mekapkan diri sendiri pun punyalah susah.
"Pelik. Sejak bila dia buang tebiat layan spa bagai ni?"
Giliran Puan Saadiah pula menjampuk.
"Hish awak ni. Kan dorang ni dah kahwin. Kenalah jaga penampailan diri, baru suami sayang."
"Oh ya tak ya jugak kan."
Iqbal hanya buat-buat sengih kerang. Bimbang akan diasak lagi, cepat-cepat dia meminta diri untuk ke tandas. Mahu buang air katanya. Dalam pada itu, sempat dia mencapai telefon bimbit sebelum menguncikan diri di dalam bilik air. Pili air segera dibuka bagi mengaburi tindakannya.
"Woi mangkuk!" Sergah Iqbal sejurus Fazlin menjawab panggilan yang dibuatnya.
"Huwargh..."
Terbeliak mata Iqbal. Mak aih. Baru bangun tidur? Anak dara jenis apalah macam ni? Dah agak dah. Patutlah ibu dia ketuk  tapi tak bukak. Anak harun betul.
"Kau ni biar betul? Kau tahu tak dah pukul berapa sekarang ni?"
Fazlin menggeliat malas. Mata terpisat-pisat memandang jam di atas meja. Hek eleh. Baru pukul 9 kot. Jantan ni kecohlah. Nak tidur pun tak boleh. Dia tu tak sedar. Telefon orang terus sound mangkuk bagai. Bukan kata nak bagi salam. Hampeh.
"Kau nak apa Bal? Aku penatlah."
"Ya Allah kau ni Fazlin. Cuba kau bukak telinga kau luas-luas. Sekarang ni, mak bapak kau dan mak bapak aku dah ada kat rumah aku ni. Tadi dorang pergi rumah kau, tapi kau tu yang tak bukak pintu. Itulah, tidurlah lagi."
Spontan Fazlin terduduk. Automatik hilang rasa mengantuknya. Ibu dan abah dah ada kat sini? Alamak. Dia terlupalah.
"Dah tu, dorang tanya aku tak?"
"Gila kau tak tanya. Tanyalah. Masa kau tak bukak pintu tu, dorang ingat kau ada kat rumah aku ni. Tup-tup datang sini, mereka tengok kau tak ada. Terkejut beruk jugaklah ibu kau tu weh."
"Habis tu cakap aku pergi mana?"
"Aku cakap kau tengah terbongkang kat rumah kau tu hah." Iqbal cuba mengusik.
Mahu tengok apa reaksi seterusnya minah tu. Sah mengamuk sakan. Itulah, pandai sangat bangun lambat. Dah bagi pesanan pun boleh tak ingat. Nasib baiklah Iqbal ni jenis baik hati. Tak pasal-pasal tolong cover minah yang tak reti nak balas budi tu. Huh.
Tiba-tiba saja darah Fazlin menggelegak. Turun naik dadanya menahan amarah. Tak guna punya jantan. Agak-agaklah. Mesti ibu datang sini dan berleter kat dia nanti. Ini yang malas ni.
"P_ _ _ _ _ k Iqbal. Kau nak aku kena marah ke?"
Meledak ketawa Iqbal. Amboi bahasa. Tak menahan. Tahu pun takut kena marah. Dah tu? Bawak-bawaklah bertaubat. Asyik duk melayan perasaan tu kenapa? Bukan boleh buat apa pun.
"Aku acah jelah. Aku ni bukannya busuk hati macam kau tu. Aku cakap kau keluar pergi spa."
Fazlin menarik nafas lega. Satu dengusan kecil keluar daripada mulutnya. Fuh... Iqbal pun. Benda macam ni pun dia buat gurau. Cuak gila dah dia tadi.
'Padanlah muka kau kena maki dengan aku tadi. Siapa suruh kau gurau bodoh macam ni?' Bisik Fazlin di dalam hati.
Namun begitu, jauh di sudut hati, rasa bersalah mula bersarang dalam diri. Mungkin kerana sudah terbiasa berbahasa kasar, mudah saja perkataan itu keluar daripada mulut. Berdosakah dia? Bukankah Iqbal tu dah bergelar suaminya? Ah... rumitnya yang bernama kehidupan.
"Okey sekarang ni aku nak kau dengar apa yang aku nak cakap ni. Sebab aku tak nak mereka syak apa-apa. Ke kau nak kena tazkirah berjemaah kat mereka? Mesti tak nak kan?" Iqbal memulakan rencananya.
Fazlin menggeleng. Ya, memang dia tak mahu. Dahlah tengah serabut macam ni. Takut nanti, bukan Iqbal yang baling dia dari balkoni. Tapi dia yang terjun sendiri. Tertekanlah katakan.
"Biarpun kau dengan aku ni tak ada perasaan kat masing-masing, suka ataupun tidak, kita dah pun berkahwin. Dalam pandangan mata mereka, kita ni dah sah bergelar suami isteri. Tadi pun mereka siap cakap, kau dan aku mesti dah duduk serumah. Aku tak dapat bayangkanlah kalau mereka tahu cerita sebenar. Mesti aku yang paling banyak kena sound."
Tidak semena-mena, Fazlin ketawa. Dia pun fikir sebegitu. Ternyata tugas suami itu berat. Selain mencari nafkah buat isteri dan keluarga, dia harus bertanggungjawab dengan apa saja yang berlaku di dalam rumah tangga. Kesimpulannya, memang teruklah Iqbal kena 'bahan' kalau orang tua mereka tahu yang mereka masih tinggal berasingan.
"Hah gelaklah. Gelak puas-puas. Biar aku bagitahu dorang yang kau tu baru bangun tidur. Nak?"
"Eh janganlah. Ya aku tak gelak dah."
"Hah tahu pun takut. Okey kita sambung balik rancangan kita tadi. Sekarang ni, aku nak kau pergi mandi siap-siap. Lepas tu, pakai baju santai-santai sikit. Baju yang kau rasa sesuai untuk pergi spa."
"La... mana aku pernah pergi spa. Aku kena pakai apa ni?"
"Ala kau belasah jelah. Dorang tak tahu pun."
Baiklah. Hentam sajalah. Janji tak kantoi.
"Okey. Lepas tu?" Soal Fazlin lagi.
"Lepas tu, kau keluar dari rumah kau senyap-senyap. Kau turunlah pergi mana-mana. Pergi shopping complex ke apa. Kalau kau tak nak, kau duk diam-diam aje kat dalam gim kat bawah tu. Cukup sejam, kau balik. Balik tu, maknanya kau kena masuk rumah akulah. Jangan memandai-mandai jejak kaki rumah kau pulak."
"Hahaha. Okey aku faham. Wah. Tak sangka betul aku. Rupanya pandai jugak kau buat planning ya. Ke kau ada pengalaman rompak bank sebelum ni hah." Sindir Fazlin sambil ketawa.
Tidak dinafikan, perasaan kagum terhadap Iqbal mula timbul. Nak puji lebih-lebih, takut naik toncang pulak.
"Tengok kakilah weh. Aku ni kan..." Belum sempat Iqbal menghabiskan kata-kata, dia terdengar satu laungan yang datang dari arah luar tandas.
"Iqbal? Kamu buat apa lama-lama kat dalam tu? Berak batu ke?" Laung Encik Rahman dengan muka berkerut.
Mana taknya, dari tadi lagi dia menahan hendak buang air. Inilah satu-satunya risiko studio apartment macam rumah Iqbal ni. Harapkan harga saja yang mahal. Ekslusiflah konon. Tapi bilik air satu aje. Baik duduk kampung macam ni. Kalau darurat pun, tepi-tepi semak pun jadi.
Ternyata suara yang kuat itu turut sampai ke telinga Fazlin. Maka sekali lagi terburailah ketawanya. Berak batu? Hahaha. Kelakarnya ayah Iqbal tu. Padu sungguh dia sound anak jantan dia sendiri.
"Ni kau punya pasallah. Aku pulak yang kena." Marah Iqbal dengan muka masam mencuka.
"Padanlah muka kau tu. Wek..."
"Tak apa. Ada ubi ada batas. Lepas ni, confirm aku balas dendam."
"Eii. Takutnya. Poodah. Macamlah aku takut sangat dengan kau tu. Kita tengok sapa yang menang nanti. Kau tunggu." Cabar Fazlin pula.
Tanpa sedar, satu senyuman tersungging di bibir Iqbal. Akhirnya, Fazlin yang pernah dia kenal suatu ketika dahulu mula menjelma kembali. Ceria dan gembira. Sekurang-kurangnya, pengorbanan dia dengan menikahi wanita itu mula menampakkan hasil positif. Memang inilah yang dimahukan.

Alhamdulillah. Iqbal memanjatkan rasa syukur di dalam hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan