9/12/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 23

Bab 23
Hampir satu jam Fazlin berdiri menghadap tingkap. Jauh dia merenung keluar. Entah apalah yang ada di dalam benaknya. Iqbal yang ada serumah pun langsung tak dihiraukan. Seolah-olah dia sedang berada di dalam dunianya sendiri.
Tatkala itu, Iqbal berhajat mahu menegur. Namun begitu, apabila melihat kedinginan Fazlin, terus mati niatnya. Aneh. Bukan depan orang tua mereka tadi, dia bukan main rancak ke? Tapi kenapa sekarang macam orang mati anak pula? Jangan-jangan, dia ni dah tak waras kot. Fikir Iqbal bukan-bukan.
"Lin?" Iqbal cuba memanggil.
Ternyata Fazlin tak menyahut. Bahkan bukan setakat itu, dia terus menoleh ke arah lain sambil kaki bergerak ke arah muka pintu. Panggilan Iqbal tadi seperti masuk telinga kanan lalu keluar ikut telinga kiri. Tombol pintu ditekan, daun pintu dikuak lantas dia pun melangkah keluar daripada kediaman Iqbal itu.
Iqbal tercengang sejenak. Terkebil-kebil dia memandang pemergian Fazlin dengan rasa tak percaya. Biadap sungguh! Kenapa kelakuan Fazlin boleh berubah menjadi sepincang itu? Tanpa mampu ditahan, satu keluhan berat terlepas daripada mulutnya.
"Lin oh Lin. Kenapalah kau jadi teruk macam tu?" Iqbal bersoal dengan diri sendiri.
Apabila difikir-fikirkan balik, Iqbal seperti dapat rasa mesti ada sebab kenapa Fazlin sanggup melayannya dingin begitu. Agak-agaknya, dia marahkan Iqballah kot. Ah boleh jadi. Tapi kalau betul pun marah, kenapa dia tak suarakan terus? Kan dia ada mulut?
Saat itu, Iqbal tahu dia harus melakukan sesuatu. Rasa tak senang duduk jika dia menerima layanan berterusan macam tu. Dia bukannya tunggul kayu dalam rumah ni. Walau apapun yang berlaku, nak tak nak dia harus bersemuka dengan Fazlin. Apa nak jadi, jadilah. Dia tak peduli.
'Kau ke mana, Fazlin? Baliklah... aku ada hal penting nak bincang dengan kau ni.' Suara hati Iqbal seakan berbisik.
Sambil itu, dia turut berharapkan sesuatu. Minta-mintalah, Fazlin tak buat sebarang perkara bodoh. Manalah tahu, tiba-tiba dia buat keputusan nak check in hotel ke apa. Yalah, ada kemungkinan minah tu takut nak tidur sini. Iqbal bukannya nak sangat Fazlin duduk dengan dia. Tapi sekurang-kurangnya, biarlah orang tua mereka balik ke kampung dulu. Barulah mereka takkan syak yang bukan-bukan.
Setengah jam kemudian, tiba-tiba saja pintu itu dikuak oleh seseorang dari arah luar. Iqbal yang sedang leka membelek telefon di tangan terus tersentak. Spontan dia memandang ke arah gerangan tersebut. Saat itu, kelibat Fazlin muncul sambil membawa satu beg pakaian di tangannya.
'Sah. Memang aku dah agak dah. Minah tu pasti nak buat kerja bodoh. Kalau tak, tak ada maknanya dia nak bawak beg baju bagai. Hish... susahlah kalau nak menghadap orang tak faham bahasa macam dia ni. Silap haribulan, aku yang mati dulu.' Gerutu Iqbal di dalam hati.  
Akibat terlalu bengang, tiba-tiba saja perasaan Iqbal jadi meluap-luap. Tajam dia merenung Fazlin dari atas ke bawah. Kalaulah dia ni ular sawa, memang dah lama dia telan minah tu hidup-hidup. Menyusahkan orang betul.
"Kau ni kan Fazlin, memang suka sangat buat orang marah kan? Kau bahagia ke simpan perangai macam tu? Hish. Tak faham betul aku." Bebel Iqbal dengan nada menyindir.
Fazlin memandang Iqbal dengan kening yang berkerut. Aik? Kenapa pula dengan Iqbal tu? Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba nak marah orang ni. Ke dia marah sebab aku bawak baju datang sini? Habis tu, aku nak pakai apa? Baju dia? Oh tidak!!!
"Yang kau nak perli-perli aku tu kenapa pulak? Cakap elok-elok tak boleh ke?" Bidas Fazlin pula.
Haruslah dia marah. Tak pasal-pasal dia yang jadi mangsa.
"Kau tulah. Aku tahulah kau bawak beg tu sebab nak pergi tempat lain kan. Kau nak check in mana? Hotel? Homestay? Hei Fazlin. Cubalah kau buka otak kau tu sikit. Orang tua kita kan ada kat sebelah. Bila-bila masa aje depa boleh terjah sini. Kalaulah depa tahu kau tak ada, apa aku nak jawab nanti hah?"
"La, bila masa pulak aku cakap nak tidur lain?"
"Habis tu? Beg baju tu apa?"
"Dah tu? Kau nak suruh aku duduk sini sehelai sepinggan ke? Banyak cantik muka kau. Kot-kot lah kau ada hobi pakai baju kelawar masa tidur tu. Mana tahu boleh bagi aku pinjam kan." Sindir Fazlin, bengang.
Saat itu, muka Iqbal terus bertukar kemerah-merahan. Rasa nak sorok aje kepala dalam baju yang dipakai. Hah, tulah. Pandai sangat nak serkap jarang kan. Mendapatlah kau, Iqbal.
Malas melayan karenah lelaki itu, Fazlin pun berjalan ke arah satu sudut untuk meletakkan beg pakaiannya. Setelah itu, dia mengatur langkah ke arah sofa. Punggung dilabuhkan di atasnya. Sambil tangan mencapai alat kawalan televisyen lalu skrin pun dihidupkan. Langsung tak menoleh ke arah Iqbal yang turut berada di sebelahnya.   
Buat seketika, Iqbal hanya mencuri pandang Fazlin dengan ekor matanya. Hajat di hati, mahu mengotakan apa yang dia katakan masa awal-awal tadi tentang permasalahan di antara mereka. Namun apabila melihat kebisuan yang dipamerkan oleh wanita itu, hilang terus segala kata-katanya.
Entah macam mana, dengan masih tak memalingkan wajah dari kaca televisyen, tiba-tiba saja Fazlin memuntahkan bicara.
"Aku rasalah, apa yang kita buat semua ni salah, Iqbal. Biar aku terus terang dengan kau kenapa aku jadi macam ni. Sepatutnya, perkahwinan ni tak harus berlaku dari awal lagi. Aku dapat rasa yang kita sebenarnya sedang seksa hati masing-masing. Aku cuma sayang kau sebagai kawan aje. Dan untuk lebih daripada tu, jujur aku cakap aku memang tak mampu, Bal." Fazlin memutuskan untuk meluahkan segala-galanya.
Sejak termeterai ikatan pernikahan itu, boleh dikatakan setiap detik batin Fazlin menjerit. Mana mungkin dia akan menyerahkan jiwa dan raga kepada lelaki yang langsung tak dicintai. Dia rela membujang sampai ke tua daripada hidup dalam keterpaksaan begini. Semuanya plastik. Penuh kepura-puraan.
Iqbal turut merasakan hal yang sama. Jauh di lubuk hati, dia sendiri dapat rasa hidupnya mula rasa sengsara. Tambahan pula dengan sikap Fazlin yang semakin hari semakin menjeruk hati. Lagi elok jika mereka berkawan seperti biasa. Daripada status hubungan suami isteri yang entah ke mana macam ni.
"Ya aku tahu, Lin. Mungkin salah aku jugak sebab buat keputusan terburu-buru. Tapi terus terang aku cakap, masa tu aku cuma fikirkan kau aje. Aku tak nak ada apa-apa perkara buruk jadi kat kau, Fazlin. Kau kan kawan baik aku." Luah Iqbal dengan jujur.
Satu senyuman nipis kelihatan terukir di bibir Fazlin. Kalau Iqbal tak cakap pun, memang dia sudah tahu itulah tujuan lelaki itu menikahinya.
"Terima kasih Iqbal. Terima kasih sangat sebab selalu ambil berat pasal aku. Serius, aku betul-betul hargai segala apa yang kau dah buat untuk aku. Cuma sekarang ni, aku dah tak nak tipu diri sendiri lagi. Aku tak boleh terima kita ada hubungan macam ni. Rasa kekok, hipokrit. Aku pun tak tahu kenapa."
"Aku faham apa yang kau rasa, Lin. Jadi sekarang ni, kau nak aku buat apa?" Bagi mendapatkan kepastian, Iqbal cuba bertanya sendiri apa sebenarnya yang terbuku di kalbu Fazlin.
Biarpun sebenarnya jauh di lubuk sanubari, Iqbal seperti dapat meneka apa yang dimahukan oleh gadis itu. Semuanya sudah terlalu jelas. Jika tidak, masakan dia terlalu bersungguh-sungguh menekankan hal ini.
Saat itu, Fazlin pun berpaling untuk merenung dalam-dalam anak mata Iqbal. Iqbal turut membalas pandangan itu. Tanpa sebarang perasaan. Tiada langsung percikan api cinta pada anak mata mereka. Jadi, untuk apa lagi diteruskan pernikahan ini?
"Boleh tak kalau aku nak minta jasa baik kau, tolong bubarkan pernikahan kita ni?" Fazlin meminta dengan sepenuh hati.
Iqbal dilihat menarik nafas sedalam-dalamnya. Tepat sekali jangkaannya tadi. Memang itulah kemahuan Fazlin yang sebenarnya.
"Boleh tu memang boleh, Lin. Tapi buat masa sekarang ni, aku rasa elok kita bersabar dulu. Aku bukannya apa, aku pun fikirkan pasal orang tua kita tu. Kau bayangkan, kita nikah tak sampai 2 minggu. Tup-tup kalau dengar kita bercerai, apa pula mereka cakap? Sah-sahlah terkejut beruk dorang nanti.
Itu baru mak bapak kita. Cuba kalau jiran-jiran tahu yang kita nikah kejap macam ni. Aku berani kerat jarilah, mesti akan ada cakap-cakap buruk pasal kita berdua. Bukan setakat kita yang jadi mangsa, orang tua pun terkena tempiasnya nanti. Kalau boleh, jagalah air muka dorang tu. Kecik hati dorang karang, kita jugak yang jadi anak derhaka." Iqbal memberikan pendapat yang difikirkan terbaik dari segenap sudut.
Fazlin mengangguk kepala. Rasanya tak sampai hati nak conteng arang kat muka orang tua. Kalau begitu, mungkin dia terpaksa bertahan dahulu. Tunggu sehingga keadaan kembali reda, masa tulah keinginannya untuk mengakhiri pernikahan ini akan tercapai jua.
"Baiklah. Kalau macam tu, kau kena janji dengan aku dulu. Nanti kalau semuanya dah okey, kau janji kau akan lepaskan aku." Fazlin menuntut daripada Iqbal.
Janji itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga. Manalah tahu takut-takut Iqbal tak ingat ke apa. Maklumlah, lelaki ni bukannya boleh percaya sangat. Mulut kata lain, tapi hati kata lain.
Fazlin dilihat menaikkan jari kelingkingnya ke udara. Simbolik agar Iqbal takkan lupa dengan apa yang telah dijanjinya kelak. Dan tak berfikir panjang, Iqbal pun memaut jari Fazlin itu tanpa rasa ragu.
"Okey aku janji. Tapi dengan satu syarat."
"Aik? Ada syarat jugak ke?"
"Yelah. Mana aci kalau aku aje yang ikut cakap kau, bahlol."
"Hahaha. Tak baik cakap macam tu kat isteri kau."
Iqbal buat muka menyampah. Faham sangat Fazlin bukan maksudkan pun. Ala, dia pun tak kisah sangatlah. Dah ni jalan yang terbaik buat mereka, terpaksalah dia terima dengan hati yang terbuka.
"Dah tu, apa dia syaratnya?"
"Syaratnya, aku nak kau layan aku macam dulu. Ala macam sebelum kahwin tu. Sumpah aku tak suka setiap kali kau buat dek aje. Aku tanya tak jawab. Aku tegur kau tak balas. Sakit hati woo. Kita bukannya musuh kot. Agak-agaklah sikit."
"La, bila masa pulak aku layan kau macam tu? Mana ada. Sama aje aku rasa." Fazlin cuba menafikan.
"Taik kucinglah kau. Yang aku pergi ketuk rumah kau buat tak tahu tu? Aku call pun kau tak angkat. Baru kejap tadi aku tegur, tapi kau senonong aje blah macam tu. Tu apa?" Iqbal mengungkit.
Alang-alang dah masuk sesi luahan perasaan, baik dia bantai terus. Harap-harap terbukalah biji mata Fazlin tu luas-luas.
"Oh ye ke? Tak perasan pulak aku. Hehehe." Fazlin buat-buat sengih. "Kalau macam tu, deal. Aku terima syarat kau Iqbal. Aku janji aku tak layan kau macam tu lagi. Kita bersahabat sama macam dulu."
Akhirnya, Iqbal menarik nafas lega. Lapang rasa di dada kerana dapat memulihkan semua hubungan keruh di antara dia dengan Fazlin.
"So sekarang ni, apa perancangan kita?" Iqbal menyoal Fazlin.
"Hmm..."
Sejenak, Fazlin menjulingkan mata untuk berfikir. Sambil itu, dia turut memandang ke arah sekelilingnya. Oh ya. Baru sekarang dia teringatkan sesuatu. Memanglah kalau diikutkan, mereka sudah duduk serumah, tapi itu bukanlah bermakna semua barang harus dikongsi bersama.
"Okey. Memandangkan katil tu hanya ada satu, jadi aku rasa lebih baik aje aku yang tidur atas tu." Selamba badak Fazlin memberikan cadangan.
Apalagi, terbeliak teruslah biji mata Iqbal. Buruk gila punya perancangan.  
"Amboi-amboi, meriahnya hidup kau. Habis tu, aku ni nak tidur mana? Takkanlah atas lantai kot." Marah Iqbal kerana tak puas hati dengan cadangan Fazlin itu.
Seketika, Fazlin memandang ke arah sekitar. Hish, takkanlah dia kejam nak bagi Iqbal tidur atas lantai. Setakat rumah sebesar ini, apa sangatlah yang muat. Melainkan sofa yang sedang didudukinya sekarang.
"Kau tidur atas ni pun boleh, Bal. Lembut apa kat sini. Aku berani jaminlah, nanti kau pasti akan tidur nyenyak. Siap mimpi dapat jumpa artis hollywood lagi. Kau nak sapa, Kristen Steward, Britney Spears, atau J.Lo?"
"Ah banyaklah kau punya artis. Itu kan katil aku. Aku beli dengan duit aku sendiri tau. Jadi sepatutnya, akulah yang lebih berhak tidur atas katil tu. Apa kata, kau aje yang tidur atas sofa ni. Hah amacam, bijak tak cadangan aku?"
Saat itu, Fazlin terus tarik muka. Satu jelingan maut langsung dihadiahkan kepada Iqbal. Mak aih. Berkira betul. Kata sayang, tapi nak minta katil pun susah. Sayang kepala paiplah kalau macam ni.
Iqbal perasaan dengan rajukan Fazlin itu. Akhirnya, satu keluhan berat terlepas daripada mulutnya. Nak tak nak, terpaksalah dia mengalah. Lagipun, malas nak cari pasal. Mereka kan baru aje berbaik sebentar tadi.
"Yelah yelah. Kau ambillah katil aku tu. Puas hati?" Ucap Iqbal dengan nada geram.
Giliran dia pula menjeling. Tengok dari gaya, macam merajuk. Tapi tulah. Kalau lelaki merajuk, memang sah takkan ada orang yang pujuk. Tak sesuai agaknya.
Fazlin tersengih lebar meraikan kemenangan. Ceh, senang aje nak psiko mamat ni rupanya. Tarik muncung sikit, lembik terus.
"Yeay. Tq Bal. Sebab tu aku sayang sangat kat kau."
"Hmm...." Sakit hati punya pasal, Iqbal mencari jalan untuk mengenakan Fazlin.
"Dah tu, tak reti-reti lagi ke? Blahlah. Aku nak tidur dah ni. Kita kan dah bagi tempat. Ini sofa aku. Jadi kau tak payahlah nak menyibuk kat sini." Iqbal menolak paha Fazlin dengan kakinya. Sampai terkesot-kesot Fazlin dibuatnya.
"Ala, aku nak tengok tv ni. Bagilah aku duduk kejap. Nanti habis cerita, aku blahlah." Fazlin kedengaran separuh merayu.
"Ah takde. Kalau tak nak blah jugak, aku pergi tidur atas katil tu. Ingat Fazlin. Mulai sekarang, sofa ni port aku faham! Kau nak tengok tv ke, nak lepak ke, kau punya hal. Jangan sesekali sentuh sofa aku. Kalau kau berani cubalah. Aku tak teragak-agak nak rampas katil tu nanti. Kau nak?"
Fazlin terus mencebik muka. Balas dendam nampak. Dasar taik hidung masin. Nak duduk sikit pun tak boleh. Bukannya luak pun. Baik, nampaknya kau nak main cop kawasan ya? Aku terima. Kalau aku tengok kau sentuh katil aku nanti, nahaslah kau aku kerjakan, Iqbal. Ingat tu.
"Yelah. Aku pergilah ni."
"Good. Oh ya, sebelum aku terlupa, nanti pukul 5 tolong kejutkan aku. Aku tak solat asar lagi ni. Penat gaduh dengan kau." Pesan Iqbal sebelum dilihat menutup matanya.
Fazlin hanya mengiyakan. Tatkala itu, dia bangun lalu bergerak ke arah katilnya. Sempat beg pakaian miliknya dicapai sama. Alang-alang dah tak ada benda yang nak dibuat, apa kata dia berkemas.
Tapi persoalannya di sini, di mana harus dia letakkan segala baju miliknya? Mata terpandang sebuah kabinet baju yang pastinya terisi dengan segala jenis pakaian kepunyaan Iqbal. Kepala dipaksa berfikir untuk mencari jalan.
'Ah. Pandai-pandailah nak hidup. Nasib baik jugak kau tidur Iqbal. Tak payah aku nak sorok semua barang-barang aku kat kau ni.' Gumamnya di dalam hati.
Saat itu, tangan sudah mengeluarkan tuala wanita, bra, seluar dalam yang datangnya dari dalam beg pakaian tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan