2/01/17

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 24

Salam. Ini mungkin bab terakhir yang akan diupload. Sebelum tu nak minta maaf pasal bab sebelum ni. Tak perasan ada banyak kesalahan terutama pasal jarak. Bab 23 tu ditulis pada tablet, tu yang jadi tak betul tu. Tapi aku dah repair. Adalah ubah sikit-sikit. Okey, selamat membaca.


Bab 24
Sejurus dikejutkan Fazlin untuk menunaikan solat asar, Iqbal segera bergegas melaksanakan kewajipannya itu sebagai seorang hamba kepada sang pencipta. Tekun dia memuji kebesaran ilahi. Segala anasir keduniaan cuba dilenyapkan biarpun sesukar mana mengganggu dirinya.
Di dalam sujudnya, dia tak berhenti memohon ampun. Mudah-mudahan segala kekhilafan yang tak disengajakan dilenyapkan daripada buku catatan. Turut tak dilupakan, dia turut memanjat doa agar diberikan petunjuk dan jalan yang benar. Sebaik mana pun dia merancang, hanya Dia yang berhak menentukan apa yang bakal terjadi.
"Ya Allah ya Tuhanku. Kau tetaplah iman di dalam dadaku. Kau kuatkan jiwaku dari segala cubaan dan dugaan. Berikan aku kesabaran ya Allah. Amin ya rabbal alamin." Terketar-ketar dia mengaminkan doa terakhirnya.
Macam manalah dia tak menggelabah sekarang. Tadi sewaktu Fazlin mengejutkannya, hampir-hampir saja jantungnya terlucut dari tangkai. Bangun dari tidur, mata terus terpaku ke arah seorang perempuan yang berambut lepas paras bahu. Lurus dan lembut. Amboi, macam iklan syampulah pulak.
Bukan setakat itu aje, pakaian dikenakan oleh perempuan itu turut membuatkan dia tergamam. Baju kaftan yang paras tangannya setakat lengan cuma. Berwarna merah jambu dengan corak bunga yang agak cantik dan memikat. Serius, ini kali pertama Iqbal tengok Fazlin berpernampilan seperti itu. Jujur dia cakap, sumpah cantik. Nampak ala-ala perempuan melayu terakhir gitu.
'Tak sangka betul aku. Lawa jugak kau rupanya, Fazlin.' Getus Iqbal di dalam hati.
Haruslah dia berfikiran sebegitu. Sebab selama ini, mana pernah dia melihat aurat perempuan itu depan mata. Masa kecil tu lainlah. Lagipun dulu rambut dia tak adalah lurus macam ni. Nak kata ikal pun tak. Kerinting maggie agaknya. Sah, buat teknik rebonding punyalah.
Demi tak mahu hanyut dibuai perasaan, dia cepat-cepat menyedarkan diri sendiri. Nafas ditarik dalam-dalam sambil melipat sejadah yang baru selesai digunakan. Sedaya upaya Iqbal memaksa dirinya agar berlagak selamba. Ah, normal agaknya semua ni. Esok lusa mungkin dia dah tak rasa macam ni kot.
"Woi!!!"
"Oh mak kau hijau." Iqbal melatah.
Gila tak terkejut. Punyalah kuat suara minah tu menyergahnya. Dahlah dia tengah kalut dibelasah perasaan sendiri tadi.
"Hahaha. Perlu ke terkejut sampai macam tu?" Fazlin tergelak kecil.
Dia yang sedang berada di ruangan dapur sudah menggeleng-geleng. Lama dah tak dengar lelaki itu melatah. Selalu asyik nak cover aje. Jaga imejlah konon. Eleh, bukan masa kau kecik dulu, kau selalu kencing malam ke Iqbal?
"Kau ni pun Fazlin. Agak-agaklah. Dahlah suara tu macam suara king kong."
"Aik mengata aku pulak. Ni aku nak buat air. Kau nak tak?"
Iqbal terdiam sejenak. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa dihargai. Mungkin Fazlin tu sebenarnya tak berniat apa-apa pun. Sekadar nak buat baik sesama teman rumah. Tapi kenapa perasaan yang dia rasakan begitu lain sekarang? Ah sudah.
"Kau pandai ke buat air tu? Bukan ke masak nasi pun kau fail ke?" Ejek Iqbal.
"Hah ungkitlah. Aku mengaku aku tak pandai masak. Tapi sekurang-kurangnya, aku tak kencing malam." Giliran Fazlin membalas dendam.
Iqbal tayang muka bengang. Ini semua salah emak dialah. Macam tak ada benda baik yang nak dikongsikan dengan kawan baik dia a.k.a ibu si Fazlin tu. Sah-sahlah akan sampai ke telinga anak dia pulak.
"Ah apa-apalah." Malas nak layan, Iqbal terus duduk di atas sofanya.
Walaupun pandangan sudah tertancap pada skrin televisyen yang sedang terpasang, namun fokusnya hilang entah ke mana. Bau wangi yang tak pernah ada dalam rumah bujangnya selama ni, sikit sebanyak membuatkan sanubarinya runsing. Ah, mencabar betul. Boleh tak kalau dia usir minah tu keluar? Mana aci guna taktik keji macam ni.
"Nah." Satu gelas tiba-tiba terpacul di hadapan mata Iqbal.
Sekali lagi Iqbal tersentak. Naik biru muka. Fazlin muncul dengan rambut ekor kuda pula. Aik, bila masa pulak dia ikat? Tapi, serius. Cantik siot. Ah minah tu dah kenapa? Tetiba buat fesyen show rambut dalam rumah dia pulak ni.
"Kau ni dah kenapa? Macam baru lepas tengok hantu aje aku tengok." Tegur Fazlin pelik.
Tengok dekat, baru dia perasan muka Iqbal seperti berpeluh-peluh. Tindak-tanduknya pun agak mencurigakan. Nampak panik dan cuak aje. Hah, ni mesti ada buat salah. Kalau tak, tak adanya macam cacing kepanasan macam tu.
"Eh tak adalah. Aku okey aje." Bohong Iqbal.
Tangan turut mencapai gelas yang berisi air kopi 3 dalam 1 bancuhan Fazlin. Sambil tak lupa mengucapkan terima kasih.
Tatkala itu, Fazlin hanya berdiri di sebelahnya. Tangan memeluk sebelah tubuh sambil menyisip sedikit minuman panas tu. Mata tak lepas memandang ke arah siaran tv yang sedang beraksi.
Iqbal tahu, Fazlin masih ingat pesanannya. Kalau tak, takkanlah dia nak berdiri macam patung cendana kat situ. Tanpa sedar, hatinya tersenyum dengan karenah perempuan itu. Macam comellah pulak. Rasa tak sampai hati pulak nak buatkan dia terus berdiri macam tu.
"Ala duduk ajelah."
Spontan Fazlin berpaling sambil tersengih. Hah, faham pun. Ingatkan dah buta perasaan.
"Terima kasih."
"Tapi jangan buat macam harta sendiri pulak ya."
"Aku tahulah."
Sejenak, kedua-duanya menyisip kopi itu sambil menonton. Sesekali, ada tawa terhambur dek lawak Jep dan Shuib dari kumpulan Sepahtu. Dalam kesemua pelawak yang ada kat Malaysia ni, kumpulan nilah yang menjadi kegemaran mereka berdua. Lawak mereka berisi dan ada maksud. Bukan lawak spastik jauh sekali lawak bodoh.
Dalam pada sedang menonton itu, sesekali Iqbal dilihat menjeling ke arah Fazlin yang ada di sebelah. Tajam betul pandangannya. Seolah-olah nak terkam minah tu hidup-hidup.
'Aduhai. Yang kau pergi duduk sebelah aku tu kenapa Fazlin? Dahlah aku tengah tak sedap badan ni.' Bisik Iqbal di dalam hati.
Sekejap dia dilihat membetul-betulkan duduknya. Kalau anda lelaki, mungkin anda faham apa yang sedang Iqbal rasa. Silap haribulan, ada yang jadi mangsa hari ini. Janganlah kau buat hal, Iqbal. Bagi menyembunyikan apa yang patut, sebiji bantal diambil lalu diletakkan di atas pahanya.
"Kau kenapa ni, Bal? Macam orang tengah sakit perut aje aku tengok." Tegur Fazlin curiga.
Iqbal mengesat peluh di dahi. Sekali lagi dia cuba berlagak selamba. Sekarang baru dia faham kenapa perempuan tu boleh dikategorikan sebagai penggoda. Fazlin yang tak buat apa-apa pun dia boleh rasa semacam. Inikan kalau minah tu cuba buat aksi yang bukan-bukan, memang masaklah.
'Ni tak boleh jadi. Aku kena buat sesuatu.' Iqbal berkata di dalam hati.
Saat itu, dia segera mengerahkan akalnya supaya berfikir. Lagi lama dia duduk sini, lagi ketaralah apa yang dia sedang tempuhi. Malu dia kalau Fazlin dapat hidu. Silap-silap kena bahan memanjang.
"Err... aku nak keluar kejap. Kau ada nak kirim apa-apa tak?"
"Kau nak ke mana pulak?"
"Aku nak pergi rumah urut. Eh bukan. Aku nak pergi stesen minyak kejap. Baru aku ingat, tangki minyak kereta aku tu dah nak kosong."
Fazlin berkerut dahi. Cara Iqbal tersasul sebut rumah urut tu, macam dia pernah pergi aje. Hish... Takkanlah dia pergi tempat yang tak senonoh macam tu. Kau jangan buat hal Iqbal. Aku repot kat orang tua kau baru tahu.
"Oh... tak ada apa kot. Tapi kalau rajin, belilah asam boi ke apa. Aku nak makan. Lama tak sentuh benda tu."
"Okey.
Saat itu, sepantas kilat Iqbal berdiri. Sejurus menukar seluar dan baju yang santai, dia pun bergegas keluar dari rumah. Fuh, nasib baik Fazlin tak syak apa-apa. Kalau tak, tak tahulah apa yang akan jadi. Selamat selamat.

Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Puas Fazlin cuba untuk tidur namun matanya tetap tidak mahu pejam. Mungkin kerana persekitaran yang baru, membuatkan dia masih tak biasa. Sekejap dia mengiring ke arah kiri. Tak lama kemudian, badan berpaling ke sebelah kanan pula.
"Lin? Kau tak tidur lagi?" Tiba-tiba suara Iqbal kedengaran menyapa.
Dia pun sama macam Fazlin. Tak boleh lelapkan mata gara-gara keberadaan wanita itu di rumahnya. Satu lagi sebab, takut tak sedar bila masa pergi panjat katil dan tidur di sebelah minah tu. Dahlah seharian dia tak sedap badan hari ni.
"Tak tahulah Bal. Kelopak mata ni liat sangat nak tutup." Fazlin berterus terang. "Yang kau tak tidur lagi tu apahal?"
"Macam manalah aku nak tidur Fazlin oii... Kau tu buat bising dari tadi lagi. Bunyi katillah, selimutlah. Telinga aku ni bukannya pekak kot." Iqbal berbohong. Saja berpura-pura garang demi menutup penipuannya.
"Hahaha. Ye ke? Maaflah Bal. Aku tak sengaja."
Ketika itu, Iqbal yang tengah berbaring di atas sofa tadi sudah pun berada dalam keadaan duduk. Alang-alang dah dua-dua tak boleh tidur, apa kata mereka buat aktiviti berfaedah bersama-sama? Hah, bijak kan dia.
"Dah kalau kau pun tak boleh tidur, apa kata kita tengok tv nak?"
Fazlin tertarik dengan cadangan itu. Serta-merta dia bangkit sambil mengemas selimut yang berkeronyok penangannya sebentar tadi. Sebiji bantal diambil lalu dia pun berjalan menuju ke arah Iqbal. Satu senyuman simpati sengaja ditayangkan.
Iqbal yang duduk di tengah sofa itu kelihatan faham isyarat Fazlin. Tanpa dipaksa, dia pun beralih ke hujung sofa untuk memberi ruang kepada wanita itu.
'Aik?! Bukan ke semalam kau berkeras ke tak nak bagi dia duduk atas sofa kau ni. Tapi pagi ni, orang tak minta pun kau siap pelawa lagi? Habislah kau Iqbal.' Suara hati Iqbal seakan berbisik sendiri.
Fazlin terus melabuhkan diri di atas ruang kosong. Tangan memeluk bantal sambil mata ditalakan ke arah tv yang sedang bertukar-tukar siaran.
"Nak tengok cerita apa ni?" Soal Iqbal sambil menekan alat butang kawalan.
"Apa-apa aje. Tak kisah pun."
Saat itu, dokumentari haiwan bersiaran di kaca tv. Seekor zirafah dilihat sedang menjilat-jilat tubuh anaknya yang baru dilahirkan. Begitu kasihnya seorang ibu terhadap zuriatnya. Tapi yang peliknya, kenapa zaman sekarang banyak manusia yang tergamak buang anaknya merata-rata? Tak rasa ke zirafah tu lagi mulia daripada mereka?
"Tukar cerita lainlah. Macam tak kena aje tengok cerita ni." Fazlin memberikan pendapat.
Iqbal ni pun satu. Ada ke patut tengah pagi macam ni tengok cerita haiwan? Agak-agaklah. Tak mencabar langsung. Lainlah kalau esok mereka ada aktiviti nak melawat zoo ke apa. Itu bolehlah dikira persiapan kan.
Saat itu, Iqbal mendengus kecil. Tadi dia juga yang kata ikut, tak kisah. Belum apa-apa dan merungut. Inilah salah satu tabiat perempuan. Mulut kata lain, tapi hati kata lain. Banyak songeh betul.
Tatkala itu, giliran Triple H dan Steve Austin sedang bergumpal. Sekejap Triple H kena humban ke udara. Kemudian Steve Austin pula yang diterajang di kepala.
"Gusti?"
"Yup."
"Hell no."
"MTV?"
"Bisinglah."
"Twilight?"
"Tak best langsung."
Iqbal menepuk dahi. Kepala sudah digeleng-gelengkan. Geram pula dengan perangai mengada-ngadanya. Menyampah dengan sikap itu, dia terus menyerahkan alat butang kawalan kepada Fazlin. Kau pilih sendirilah. Itu tak boleh ini tak boleh.
"Hah, ni baru best."
Cerita hantu pocong versi lucu bermain di kaca tv. Fazlin ketawa mengekek. Apa saja cerita lawak memang sangat digemarinya. Tambahan kalau filem itu berasal dari hong kong. Memang tak kering gusilah dibuatnya.
Ketika itu, Iqbal langsung tak teringin pun untuk menonton. Ajakan tadi sebenarnya adalah taktik untuk dia memulakan sesuatu. Sebenarnya, sudah lama dia ingin bertanyakan satu perkara dengan Fazlin. Selagi dia tak tahu jawapannya, selagi itulah hidupnya tak tenteram. Jadi, sudah tiba masanya dia bertanyakan hal ini sendiri kepada Fazlin.
"Lin..."
"Apa dia?"
"Boleh tak kalau aku tanya kau sesuatu?"
"Tanyalah. Kau nak tanya apa?"
Iqbal menghela nafas dalam-dalam. Inilah peluang keemasannya. Tak mungkin dia akan lepas peluang sebaik ini.
"Apa yang jadi kat kau dulu... tu semuanya angkara Hakimi kan?"
Fazlin terus terdiam. Langsung tak menyangka Iqbal akan membangkitkan soal ini. Rasanya sebelum ini, dia sudah memberi penjelasan yang dirasakan dapat memuaskan hati semua pihak. Bahkan bukan setakat itu, dia siap menarik balik lagi laporan polis yang telah dibuat susulan kejadian tersebut. Semuanya kerana tak mahu memikirkan balik trauma yang pernah ditempuhinya suatu ketika dahulu.
"Jawablah Fazlin. Terus terang dengan aku please. Aku rasa aku berhak untuk tahu." Iqbal kedengaran mendesak pula.
Saat itu, tiba-tiba saja rasa amarah mula menguasai diri Fazlin. Dia seperti dapat rasa Iqbal mula menggunakan status suami demi mengugutnya. Itu baru kena desak buka mulut. Kalau dia kena paksa buat benda lain macam mana?
"You know what? Sebab tulah aku tak suka hubungan kita macam ni." Fazlin berkata-kata dingin.
Seraya itu, dia yang sudah hilang mood, bingkas berdiri lalu menuju ke arah katil semula. Tubuhnya terus dicampakkan ke atasnya. Fikir Fazlin lagi, daripada dia serabut otak tengok Iqbal, lebih baik dia tidur. Lagi bagus.

 








2 ulasan:

  1. Congrats Diana...cepat siapkan manuskrip ni...tak sabar nak tahu cerita sampai habis. Nanti dah kuar novel pasti as org yang awal beli...

    BalasPadam
  2. kan kan...terima kasih..tertunggu2 ni cerita selanjutnya.. x sober2

    BalasPadam