Ulasan Buku Kanak-kanak : Cef Pastri Senior

Teks oleh : Siti Khatijah Diana
Foto : Portal PTS





Buku ini dibeli selepas selesai menderma darah tempoh hari. Kebetulan, saya ada baucer dari SMO. Cari punya cari, terjumpalah buku ini.

Sejujurnya, ini adalah kali pertama saya membaca hasil tulisan Hayati Hanif. Guru online sayalah yang telah mencadangkannya.

Buku ini mengisahkan tentang tiga sekawan yang bernama Aina, Tini dan Zati. Aina ialah seorang peminat kek coklat yang tegar. Malahan, dia dikurniakan bakat dalam membuat kek. Maklumlah, ayahnya sendiri adalah pemilik kedai roti juga.

Satu hari, Tini menyatakan hasratnya untuk belajar membuat kek kepada Aina. Tini meminta pertolongan Aina untuk menyampaikan hasratnya untuk belajar bersama dengan Zati. Aina bersetuju namun ada beberapa syarat yang harus dipenuhi. Di sini, kita dapat melihat betapa licik dan comelnya perwatakan Aina yang cuba digambarkan oleh penulis.

Setelah syarat dipenuhi, Aina mengutarakan permintaan itu kepada ayahnya yang bernama Tuan Danial. Ternyata, Tuan Danial jauh lebih bijak. Dia menyuruh Aina saja yang membantu rakan-rakannya itu. Ada sesuatu yang mahu diterapkan oleh Tuan Danial kepada Aina.

Pada awalnya, Aina sangat keberatan. Pelbagai alasan yang dia berikan semata-mata untuk mengelat. Sehinggalah Tuan Danial menegur perbuatannya. Aina yang insaf, segera mengajar Tina dan Zati cara membuat kek.

Timbul masalah baru apabila tujuan asal Tini mahu belajar kek terbongkar jua. Aina menjadi marah kerana berasa tertipu. Dia yang mahu membalas perbuatan Tini yang telah menipunya, cuba mengaturkan satu pertandingan di antara mereka bertiga tetapi rancangannya tidak berjaya. Namun begitu semuanya tetap membuahkan pengakhiran yang manis buat ketiga-tiga mereka.

Secara keseluruhan, saya rasa cerita ini sangat comel. Tersenyum-senyum saya semasa membaca naskah ini. Watak-wataknya sangatlah lucu. Gaya bahasa dan cara olahan yang digunakan oleh penulis juga sangat sempurna dan lancar. Serius! Saya sendiri pun kagum dan terpegun dengan kebijaksaan penulis Hayati Hanis menyusun cerita.

Buku ini sangat sesuai untuk bacaan adik-adik. Ia mengajar erti persahabatan dan kerjasama. Bacalah. Anda pasti tidak akan rugi jika memilikinya.






Ulasan