2/01/17

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 24

Salam. Ini mungkin bab terakhir yang akan diupload. Sebelum tu nak minta maaf pasal bab sebelum ni. Tak perasan ada banyak kesalahan terutama pasal jarak. Bab 23 tu ditulis pada tablet, tu yang jadi tak betul tu. Tapi aku dah repair. Adalah ubah sikit-sikit. Okey, selamat membaca.


Bab 24
Sejurus dikejutkan Fazlin untuk menunaikan solat asar, Iqbal segera bergegas melaksanakan kewajipannya itu sebagai seorang hamba kepada sang pencipta. Tekun dia memuji kebesaran ilahi. Segala anasir keduniaan cuba dilenyapkan biarpun sesukar mana mengganggu dirinya.
Di dalam sujudnya, dia tak berhenti memohon ampun. Mudah-mudahan segala kekhilafan yang tak disengajakan dilenyapkan daripada buku catatan. Turut tak dilupakan, dia turut memanjat doa agar diberikan petunjuk dan jalan yang benar. Sebaik mana pun dia merancang, hanya Dia yang berhak menentukan apa yang bakal terjadi.
"Ya Allah ya Tuhanku. Kau tetaplah iman di dalam dadaku. Kau kuatkan jiwaku dari segala cubaan dan dugaan. Berikan aku kesabaran ya Allah. Amin ya rabbal alamin." Terketar-ketar dia mengaminkan doa terakhirnya.
Macam manalah dia tak menggelabah sekarang. Tadi sewaktu Fazlin mengejutkannya, hampir-hampir saja jantungnya terlucut dari tangkai. Bangun dari tidur, mata terus terpaku ke arah seorang perempuan yang berambut lepas paras bahu. Lurus dan lembut. Amboi, macam iklan syampulah pulak.
Bukan setakat itu aje, pakaian dikenakan oleh perempuan itu turut membuatkan dia tergamam. Baju kaftan yang paras tangannya setakat lengan cuma. Berwarna merah jambu dengan corak bunga yang agak cantik dan memikat. Serius, ini kali pertama Iqbal tengok Fazlin berpernampilan seperti itu. Jujur dia cakap, sumpah cantik. Nampak ala-ala perempuan melayu terakhir gitu.
'Tak sangka betul aku. Lawa jugak kau rupanya, Fazlin.' Getus Iqbal di dalam hati.
Haruslah dia berfikiran sebegitu. Sebab selama ini, mana pernah dia melihat aurat perempuan itu depan mata. Masa kecil tu lainlah. Lagipun dulu rambut dia tak adalah lurus macam ni. Nak kata ikal pun tak. Kerinting maggie agaknya. Sah, buat teknik rebonding punyalah.
Demi tak mahu hanyut dibuai perasaan, dia cepat-cepat menyedarkan diri sendiri. Nafas ditarik dalam-dalam sambil melipat sejadah yang baru selesai digunakan. Sedaya upaya Iqbal memaksa dirinya agar berlagak selamba. Ah, normal agaknya semua ni. Esok lusa mungkin dia dah tak rasa macam ni kot.
"Woi!!!"
"Oh mak kau hijau." Iqbal melatah.
Gila tak terkejut. Punyalah kuat suara minah tu menyergahnya. Dahlah dia tengah kalut dibelasah perasaan sendiri tadi.
"Hahaha. Perlu ke terkejut sampai macam tu?" Fazlin tergelak kecil.
Dia yang sedang berada di ruangan dapur sudah menggeleng-geleng. Lama dah tak dengar lelaki itu melatah. Selalu asyik nak cover aje. Jaga imejlah konon. Eleh, bukan masa kau kecik dulu, kau selalu kencing malam ke Iqbal?
"Kau ni pun Fazlin. Agak-agaklah. Dahlah suara tu macam suara king kong."
"Aik mengata aku pulak. Ni aku nak buat air. Kau nak tak?"
Iqbal terdiam sejenak. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa dihargai. Mungkin Fazlin tu sebenarnya tak berniat apa-apa pun. Sekadar nak buat baik sesama teman rumah. Tapi kenapa perasaan yang dia rasakan begitu lain sekarang? Ah sudah.
"Kau pandai ke buat air tu? Bukan ke masak nasi pun kau fail ke?" Ejek Iqbal.
"Hah ungkitlah. Aku mengaku aku tak pandai masak. Tapi sekurang-kurangnya, aku tak kencing malam." Giliran Fazlin membalas dendam.
Iqbal tayang muka bengang. Ini semua salah emak dialah. Macam tak ada benda baik yang nak dikongsikan dengan kawan baik dia a.k.a ibu si Fazlin tu. Sah-sahlah akan sampai ke telinga anak dia pulak.
"Ah apa-apalah." Malas nak layan, Iqbal terus duduk di atas sofanya.
Walaupun pandangan sudah tertancap pada skrin televisyen yang sedang terpasang, namun fokusnya hilang entah ke mana. Bau wangi yang tak pernah ada dalam rumah bujangnya selama ni, sikit sebanyak membuatkan sanubarinya runsing. Ah, mencabar betul. Boleh tak kalau dia usir minah tu keluar? Mana aci guna taktik keji macam ni.
"Nah." Satu gelas tiba-tiba terpacul di hadapan mata Iqbal.
Sekali lagi Iqbal tersentak. Naik biru muka. Fazlin muncul dengan rambut ekor kuda pula. Aik, bila masa pulak dia ikat? Tapi, serius. Cantik siot. Ah minah tu dah kenapa? Tetiba buat fesyen show rambut dalam rumah dia pulak ni.
"Kau ni dah kenapa? Macam baru lepas tengok hantu aje aku tengok." Tegur Fazlin pelik.
Tengok dekat, baru dia perasan muka Iqbal seperti berpeluh-peluh. Tindak-tanduknya pun agak mencurigakan. Nampak panik dan cuak aje. Hah, ni mesti ada buat salah. Kalau tak, tak adanya macam cacing kepanasan macam tu.
"Eh tak adalah. Aku okey aje." Bohong Iqbal.
Tangan turut mencapai gelas yang berisi air kopi 3 dalam 1 bancuhan Fazlin. Sambil tak lupa mengucapkan terima kasih.
Tatkala itu, Fazlin hanya berdiri di sebelahnya. Tangan memeluk sebelah tubuh sambil menyisip sedikit minuman panas tu. Mata tak lepas memandang ke arah siaran tv yang sedang beraksi.
Iqbal tahu, Fazlin masih ingat pesanannya. Kalau tak, takkanlah dia nak berdiri macam patung cendana kat situ. Tanpa sedar, hatinya tersenyum dengan karenah perempuan itu. Macam comellah pulak. Rasa tak sampai hati pulak nak buatkan dia terus berdiri macam tu.
"Ala duduk ajelah."
Spontan Fazlin berpaling sambil tersengih. Hah, faham pun. Ingatkan dah buta perasaan.
"Terima kasih."
"Tapi jangan buat macam harta sendiri pulak ya."
"Aku tahulah."
Sejenak, kedua-duanya menyisip kopi itu sambil menonton. Sesekali, ada tawa terhambur dek lawak Jep dan Shuib dari kumpulan Sepahtu. Dalam kesemua pelawak yang ada kat Malaysia ni, kumpulan nilah yang menjadi kegemaran mereka berdua. Lawak mereka berisi dan ada maksud. Bukan lawak spastik jauh sekali lawak bodoh.
Dalam pada sedang menonton itu, sesekali Iqbal dilihat menjeling ke arah Fazlin yang ada di sebelah. Tajam betul pandangannya. Seolah-olah nak terkam minah tu hidup-hidup.
'Aduhai. Yang kau pergi duduk sebelah aku tu kenapa Fazlin? Dahlah aku tengah tak sedap badan ni.' Bisik Iqbal di dalam hati.
Sekejap dia dilihat membetul-betulkan duduknya. Kalau anda lelaki, mungkin anda faham apa yang sedang Iqbal rasa. Silap haribulan, ada yang jadi mangsa hari ini. Janganlah kau buat hal, Iqbal. Bagi menyembunyikan apa yang patut, sebiji bantal diambil lalu diletakkan di atas pahanya.
"Kau kenapa ni, Bal? Macam orang tengah sakit perut aje aku tengok." Tegur Fazlin curiga.
Iqbal mengesat peluh di dahi. Sekali lagi dia cuba berlagak selamba. Sekarang baru dia faham kenapa perempuan tu boleh dikategorikan sebagai penggoda. Fazlin yang tak buat apa-apa pun dia boleh rasa semacam. Inikan kalau minah tu cuba buat aksi yang bukan-bukan, memang masaklah.
'Ni tak boleh jadi. Aku kena buat sesuatu.' Iqbal berkata di dalam hati.
Saat itu, dia segera mengerahkan akalnya supaya berfikir. Lagi lama dia duduk sini, lagi ketaralah apa yang dia sedang tempuhi. Malu dia kalau Fazlin dapat hidu. Silap-silap kena bahan memanjang.
"Err... aku nak keluar kejap. Kau ada nak kirim apa-apa tak?"
"Kau nak ke mana pulak?"
"Aku nak pergi rumah urut. Eh bukan. Aku nak pergi stesen minyak kejap. Baru aku ingat, tangki minyak kereta aku tu dah nak kosong."
Fazlin berkerut dahi. Cara Iqbal tersasul sebut rumah urut tu, macam dia pernah pergi aje. Hish... Takkanlah dia pergi tempat yang tak senonoh macam tu. Kau jangan buat hal Iqbal. Aku repot kat orang tua kau baru tahu.
"Oh... tak ada apa kot. Tapi kalau rajin, belilah asam boi ke apa. Aku nak makan. Lama tak sentuh benda tu."
"Okey.
Saat itu, sepantas kilat Iqbal berdiri. Sejurus menukar seluar dan baju yang santai, dia pun bergegas keluar dari rumah. Fuh, nasib baik Fazlin tak syak apa-apa. Kalau tak, tak tahulah apa yang akan jadi. Selamat selamat.

Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Puas Fazlin cuba untuk tidur namun matanya tetap tidak mahu pejam. Mungkin kerana persekitaran yang baru, membuatkan dia masih tak biasa. Sekejap dia mengiring ke arah kiri. Tak lama kemudian, badan berpaling ke sebelah kanan pula.
"Lin? Kau tak tidur lagi?" Tiba-tiba suara Iqbal kedengaran menyapa.
Dia pun sama macam Fazlin. Tak boleh lelapkan mata gara-gara keberadaan wanita itu di rumahnya. Satu lagi sebab, takut tak sedar bila masa pergi panjat katil dan tidur di sebelah minah tu. Dahlah seharian dia tak sedap badan hari ni.
"Tak tahulah Bal. Kelopak mata ni liat sangat nak tutup." Fazlin berterus terang. "Yang kau tak tidur lagi tu apahal?"
"Macam manalah aku nak tidur Fazlin oii... Kau tu buat bising dari tadi lagi. Bunyi katillah, selimutlah. Telinga aku ni bukannya pekak kot." Iqbal berbohong. Saja berpura-pura garang demi menutup penipuannya.
"Hahaha. Ye ke? Maaflah Bal. Aku tak sengaja."
Ketika itu, Iqbal yang tengah berbaring di atas sofa tadi sudah pun berada dalam keadaan duduk. Alang-alang dah dua-dua tak boleh tidur, apa kata mereka buat aktiviti berfaedah bersama-sama? Hah, bijak kan dia.
"Dah kalau kau pun tak boleh tidur, apa kata kita tengok tv nak?"
Fazlin tertarik dengan cadangan itu. Serta-merta dia bangkit sambil mengemas selimut yang berkeronyok penangannya sebentar tadi. Sebiji bantal diambil lalu dia pun berjalan menuju ke arah Iqbal. Satu senyuman simpati sengaja ditayangkan.
Iqbal yang duduk di tengah sofa itu kelihatan faham isyarat Fazlin. Tanpa dipaksa, dia pun beralih ke hujung sofa untuk memberi ruang kepada wanita itu.
'Aik?! Bukan ke semalam kau berkeras ke tak nak bagi dia duduk atas sofa kau ni. Tapi pagi ni, orang tak minta pun kau siap pelawa lagi? Habislah kau Iqbal.' Suara hati Iqbal seakan berbisik sendiri.
Fazlin terus melabuhkan diri di atas ruang kosong. Tangan memeluk bantal sambil mata ditalakan ke arah tv yang sedang bertukar-tukar siaran.
"Nak tengok cerita apa ni?" Soal Iqbal sambil menekan alat butang kawalan.
"Apa-apa aje. Tak kisah pun."
Saat itu, dokumentari haiwan bersiaran di kaca tv. Seekor zirafah dilihat sedang menjilat-jilat tubuh anaknya yang baru dilahirkan. Begitu kasihnya seorang ibu terhadap zuriatnya. Tapi yang peliknya, kenapa zaman sekarang banyak manusia yang tergamak buang anaknya merata-rata? Tak rasa ke zirafah tu lagi mulia daripada mereka?
"Tukar cerita lainlah. Macam tak kena aje tengok cerita ni." Fazlin memberikan pendapat.
Iqbal ni pun satu. Ada ke patut tengah pagi macam ni tengok cerita haiwan? Agak-agaklah. Tak mencabar langsung. Lainlah kalau esok mereka ada aktiviti nak melawat zoo ke apa. Itu bolehlah dikira persiapan kan.
Saat itu, Iqbal mendengus kecil. Tadi dia juga yang kata ikut, tak kisah. Belum apa-apa dan merungut. Inilah salah satu tabiat perempuan. Mulut kata lain, tapi hati kata lain. Banyak songeh betul.
Tatkala itu, giliran Triple H dan Steve Austin sedang bergumpal. Sekejap Triple H kena humban ke udara. Kemudian Steve Austin pula yang diterajang di kepala.
"Gusti?"
"Yup."
"Hell no."
"MTV?"
"Bisinglah."
"Twilight?"
"Tak best langsung."
Iqbal menepuk dahi. Kepala sudah digeleng-gelengkan. Geram pula dengan perangai mengada-ngadanya. Menyampah dengan sikap itu, dia terus menyerahkan alat butang kawalan kepada Fazlin. Kau pilih sendirilah. Itu tak boleh ini tak boleh.
"Hah, ni baru best."
Cerita hantu pocong versi lucu bermain di kaca tv. Fazlin ketawa mengekek. Apa saja cerita lawak memang sangat digemarinya. Tambahan kalau filem itu berasal dari hong kong. Memang tak kering gusilah dibuatnya.
Ketika itu, Iqbal langsung tak teringin pun untuk menonton. Ajakan tadi sebenarnya adalah taktik untuk dia memulakan sesuatu. Sebenarnya, sudah lama dia ingin bertanyakan satu perkara dengan Fazlin. Selagi dia tak tahu jawapannya, selagi itulah hidupnya tak tenteram. Jadi, sudah tiba masanya dia bertanyakan hal ini sendiri kepada Fazlin.
"Lin..."
"Apa dia?"
"Boleh tak kalau aku tanya kau sesuatu?"
"Tanyalah. Kau nak tanya apa?"
Iqbal menghela nafas dalam-dalam. Inilah peluang keemasannya. Tak mungkin dia akan lepas peluang sebaik ini.
"Apa yang jadi kat kau dulu... tu semuanya angkara Hakimi kan?"
Fazlin terus terdiam. Langsung tak menyangka Iqbal akan membangkitkan soal ini. Rasanya sebelum ini, dia sudah memberi penjelasan yang dirasakan dapat memuaskan hati semua pihak. Bahkan bukan setakat itu, dia siap menarik balik lagi laporan polis yang telah dibuat susulan kejadian tersebut. Semuanya kerana tak mahu memikirkan balik trauma yang pernah ditempuhinya suatu ketika dahulu.
"Jawablah Fazlin. Terus terang dengan aku please. Aku rasa aku berhak untuk tahu." Iqbal kedengaran mendesak pula.
Saat itu, tiba-tiba saja rasa amarah mula menguasai diri Fazlin. Dia seperti dapat rasa Iqbal mula menggunakan status suami demi mengugutnya. Itu baru kena desak buka mulut. Kalau dia kena paksa buat benda lain macam mana?
"You know what? Sebab tulah aku tak suka hubungan kita macam ni." Fazlin berkata-kata dingin.
Seraya itu, dia yang sudah hilang mood, bingkas berdiri lalu menuju ke arah katil semula. Tubuhnya terus dicampakkan ke atasnya. Fikir Fazlin lagi, daripada dia serabut otak tengok Iqbal, lebih baik dia tidur. Lagi bagus.

 








1/01/17

Selamat Tahun Baru 2017

Foto : Google



Salam. Lama betul tak kemaskini blog. Dekat setahun kot. Hahaha. Tak adalah. Maaf buat kawan-kawan tertunggu. Harap den tak buat lagi. Ngee...

Sebelum tu, aku nak ucap selamat tahun baru buat semua. Harap tahun ni akan jadi lebih baik buat kita. Semoga segala impian korang tercapai. Amin3x.

Apa azam aku tahun ni? InsyaAllah akan cuba menulis dengan lebih banyak. Oh ya. Lupa nak bagitahu. Novel Bukan Maksudku Memilihmu akan dihentikan buat sementara waktu. Tapi aku akan usahakan untuk upload terakhir satu bab untuk korang. 

Sebab apa berhenti? Sebabnya nak buat jalan ceritanya balik. InsyaAllah kalau idea datang, aku akan post balik. Oklah. Itu aje. Terima kasih sudi singgah. 


9/12/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 23

Bab 23
Hampir satu jam Fazlin berdiri menghadap tingkap. Jauh dia merenung keluar. Entah apalah yang ada di dalam benaknya. Iqbal yang ada serumah pun langsung tak dihiraukan. Seolah-olah dia sedang berada di dalam dunianya sendiri.
Tatkala itu, Iqbal berhajat mahu menegur. Namun begitu, apabila melihat kedinginan Fazlin, terus mati niatnya. Aneh. Bukan depan orang tua mereka tadi, dia bukan main rancak ke? Tapi kenapa sekarang macam orang mati anak pula? Jangan-jangan, dia ni dah tak waras kot. Fikir Iqbal bukan-bukan.
"Lin?" Iqbal cuba memanggil.
Ternyata Fazlin tak menyahut. Bahkan bukan setakat itu, dia terus menoleh ke arah lain sambil kaki bergerak ke arah muka pintu. Panggilan Iqbal tadi seperti masuk telinga kanan lalu keluar ikut telinga kiri. Tombol pintu ditekan, daun pintu dikuak lantas dia pun melangkah keluar daripada kediaman Iqbal itu.
Iqbal tercengang sejenak. Terkebil-kebil dia memandang pemergian Fazlin dengan rasa tak percaya. Biadap sungguh! Kenapa kelakuan Fazlin boleh berubah menjadi sepincang itu? Tanpa mampu ditahan, satu keluhan berat terlepas daripada mulutnya.
"Lin oh Lin. Kenapalah kau jadi teruk macam tu?" Iqbal bersoal dengan diri sendiri.
Apabila difikir-fikirkan balik, Iqbal seperti dapat rasa mesti ada sebab kenapa Fazlin sanggup melayannya dingin begitu. Agak-agaknya, dia marahkan Iqballah kot. Ah boleh jadi. Tapi kalau betul pun marah, kenapa dia tak suarakan terus? Kan dia ada mulut?
Saat itu, Iqbal tahu dia harus melakukan sesuatu. Rasa tak senang duduk jika dia menerima layanan berterusan macam tu. Dia bukannya tunggul kayu dalam rumah ni. Walau apapun yang berlaku, nak tak nak dia harus bersemuka dengan Fazlin. Apa nak jadi, jadilah. Dia tak peduli.
'Kau ke mana, Fazlin? Baliklah... aku ada hal penting nak bincang dengan kau ni.' Suara hati Iqbal seakan berbisik.
Sambil itu, dia turut berharapkan sesuatu. Minta-mintalah, Fazlin tak buat sebarang perkara bodoh. Manalah tahu, tiba-tiba dia buat keputusan nak check in hotel ke apa. Yalah, ada kemungkinan minah tu takut nak tidur sini. Iqbal bukannya nak sangat Fazlin duduk dengan dia. Tapi sekurang-kurangnya, biarlah orang tua mereka balik ke kampung dulu. Barulah mereka takkan syak yang bukan-bukan.
Setengah jam kemudian, tiba-tiba saja pintu itu dikuak oleh seseorang dari arah luar. Iqbal yang sedang leka membelek telefon di tangan terus tersentak. Spontan dia memandang ke arah gerangan tersebut. Saat itu, kelibat Fazlin muncul sambil membawa satu beg pakaian di tangannya.
'Sah. Memang aku dah agak dah. Minah tu pasti nak buat kerja bodoh. Kalau tak, tak ada maknanya dia nak bawak beg baju bagai. Hish... susahlah kalau nak menghadap orang tak faham bahasa macam dia ni. Silap haribulan, aku yang mati dulu.' Gerutu Iqbal di dalam hati.  
Akibat terlalu bengang, tiba-tiba saja perasaan Iqbal jadi meluap-luap. Tajam dia merenung Fazlin dari atas ke bawah. Kalaulah dia ni ular sawa, memang dah lama dia telan minah tu hidup-hidup. Menyusahkan orang betul.
"Kau ni kan Fazlin, memang suka sangat buat orang marah kan? Kau bahagia ke simpan perangai macam tu? Hish. Tak faham betul aku." Bebel Iqbal dengan nada menyindir.
Fazlin memandang Iqbal dengan kening yang berkerut. Aik? Kenapa pula dengan Iqbal tu? Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba nak marah orang ni. Ke dia marah sebab aku bawak baju datang sini? Habis tu, aku nak pakai apa? Baju dia? Oh tidak!!!
"Yang kau nak perli-perli aku tu kenapa pulak? Cakap elok-elok tak boleh ke?" Bidas Fazlin pula.
Haruslah dia marah. Tak pasal-pasal dia yang jadi mangsa.
"Kau tulah. Aku tahulah kau bawak beg tu sebab nak pergi tempat lain kan. Kau nak check in mana? Hotel? Homestay? Hei Fazlin. Cubalah kau buka otak kau tu sikit. Orang tua kita kan ada kat sebelah. Bila-bila masa aje depa boleh terjah sini. Kalaulah depa tahu kau tak ada, apa aku nak jawab nanti hah?"
"La, bila masa pulak aku cakap nak tidur lain?"
"Habis tu? Beg baju tu apa?"
"Dah tu? Kau nak suruh aku duduk sini sehelai sepinggan ke? Banyak cantik muka kau. Kot-kot lah kau ada hobi pakai baju kelawar masa tidur tu. Mana tahu boleh bagi aku pinjam kan." Sindir Fazlin, bengang.
Saat itu, muka Iqbal terus bertukar kemerah-merahan. Rasa nak sorok aje kepala dalam baju yang dipakai. Hah, tulah. Pandai sangat nak serkap jarang kan. Mendapatlah kau, Iqbal.
Malas melayan karenah lelaki itu, Fazlin pun berjalan ke arah satu sudut untuk meletakkan beg pakaiannya. Setelah itu, dia mengatur langkah ke arah sofa. Punggung dilabuhkan di atasnya. Sambil tangan mencapai alat kawalan televisyen lalu skrin pun dihidupkan. Langsung tak menoleh ke arah Iqbal yang turut berada di sebelahnya.   
Buat seketika, Iqbal hanya mencuri pandang Fazlin dengan ekor matanya. Hajat di hati, mahu mengotakan apa yang dia katakan masa awal-awal tadi tentang permasalahan di antara mereka. Namun apabila melihat kebisuan yang dipamerkan oleh wanita itu, hilang terus segala kata-katanya.
Entah macam mana, dengan masih tak memalingkan wajah dari kaca televisyen, tiba-tiba saja Fazlin memuntahkan bicara.
"Aku rasalah, apa yang kita buat semua ni salah, Iqbal. Biar aku terus terang dengan kau kenapa aku jadi macam ni. Sepatutnya, perkahwinan ni tak harus berlaku dari awal lagi. Aku dapat rasa yang kita sebenarnya sedang seksa hati masing-masing. Aku cuma sayang kau sebagai kawan aje. Dan untuk lebih daripada tu, jujur aku cakap aku memang tak mampu, Bal." Fazlin memutuskan untuk meluahkan segala-galanya.
Sejak termeterai ikatan pernikahan itu, boleh dikatakan setiap detik batin Fazlin menjerit. Mana mungkin dia akan menyerahkan jiwa dan raga kepada lelaki yang langsung tak dicintai. Dia rela membujang sampai ke tua daripada hidup dalam keterpaksaan begini. Semuanya plastik. Penuh kepura-puraan.
Iqbal turut merasakan hal yang sama. Jauh di lubuk hati, dia sendiri dapat rasa hidupnya mula rasa sengsara. Tambahan pula dengan sikap Fazlin yang semakin hari semakin menjeruk hati. Lagi elok jika mereka berkawan seperti biasa. Daripada status hubungan suami isteri yang entah ke mana macam ni.
"Ya aku tahu, Lin. Mungkin salah aku jugak sebab buat keputusan terburu-buru. Tapi terus terang aku cakap, masa tu aku cuma fikirkan kau aje. Aku tak nak ada apa-apa perkara buruk jadi kat kau, Fazlin. Kau kan kawan baik aku." Luah Iqbal dengan jujur.
Satu senyuman nipis kelihatan terukir di bibir Fazlin. Kalau Iqbal tak cakap pun, memang dia sudah tahu itulah tujuan lelaki itu menikahinya.
"Terima kasih Iqbal. Terima kasih sangat sebab selalu ambil berat pasal aku. Serius, aku betul-betul hargai segala apa yang kau dah buat untuk aku. Cuma sekarang ni, aku dah tak nak tipu diri sendiri lagi. Aku tak boleh terima kita ada hubungan macam ni. Rasa kekok, hipokrit. Aku pun tak tahu kenapa."
"Aku faham apa yang kau rasa, Lin. Jadi sekarang ni, kau nak aku buat apa?" Bagi mendapatkan kepastian, Iqbal cuba bertanya sendiri apa sebenarnya yang terbuku di kalbu Fazlin.
Biarpun sebenarnya jauh di lubuk sanubari, Iqbal seperti dapat meneka apa yang dimahukan oleh gadis itu. Semuanya sudah terlalu jelas. Jika tidak, masakan dia terlalu bersungguh-sungguh menekankan hal ini.
Saat itu, Fazlin pun berpaling untuk merenung dalam-dalam anak mata Iqbal. Iqbal turut membalas pandangan itu. Tanpa sebarang perasaan. Tiada langsung percikan api cinta pada anak mata mereka. Jadi, untuk apa lagi diteruskan pernikahan ini?
"Boleh tak kalau aku nak minta jasa baik kau, tolong bubarkan pernikahan kita ni?" Fazlin meminta dengan sepenuh hati.
Iqbal dilihat menarik nafas sedalam-dalamnya. Tepat sekali jangkaannya tadi. Memang itulah kemahuan Fazlin yang sebenarnya.
"Boleh tu memang boleh, Lin. Tapi buat masa sekarang ni, aku rasa elok kita bersabar dulu. Aku bukannya apa, aku pun fikirkan pasal orang tua kita tu. Kau bayangkan, kita nikah tak sampai 2 minggu. Tup-tup kalau dengar kita bercerai, apa pula mereka cakap? Sah-sahlah terkejut beruk dorang nanti.
Itu baru mak bapak kita. Cuba kalau jiran-jiran tahu yang kita nikah kejap macam ni. Aku berani kerat jarilah, mesti akan ada cakap-cakap buruk pasal kita berdua. Bukan setakat kita yang jadi mangsa, orang tua pun terkena tempiasnya nanti. Kalau boleh, jagalah air muka dorang tu. Kecik hati dorang karang, kita jugak yang jadi anak derhaka." Iqbal memberikan pendapat yang difikirkan terbaik dari segenap sudut.
Fazlin mengangguk kepala. Rasanya tak sampai hati nak conteng arang kat muka orang tua. Kalau begitu, mungkin dia terpaksa bertahan dahulu. Tunggu sehingga keadaan kembali reda, masa tulah keinginannya untuk mengakhiri pernikahan ini akan tercapai jua.
"Baiklah. Kalau macam tu, kau kena janji dengan aku dulu. Nanti kalau semuanya dah okey, kau janji kau akan lepaskan aku." Fazlin menuntut daripada Iqbal.
Janji itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga. Manalah tahu takut-takut Iqbal tak ingat ke apa. Maklumlah, lelaki ni bukannya boleh percaya sangat. Mulut kata lain, tapi hati kata lain.
Fazlin dilihat menaikkan jari kelingkingnya ke udara. Simbolik agar Iqbal takkan lupa dengan apa yang telah dijanjinya kelak. Dan tak berfikir panjang, Iqbal pun memaut jari Fazlin itu tanpa rasa ragu.
"Okey aku janji. Tapi dengan satu syarat."
"Aik? Ada syarat jugak ke?"
"Yelah. Mana aci kalau aku aje yang ikut cakap kau, bahlol."
"Hahaha. Tak baik cakap macam tu kat isteri kau."
Iqbal buat muka menyampah. Faham sangat Fazlin bukan maksudkan pun. Ala, dia pun tak kisah sangatlah. Dah ni jalan yang terbaik buat mereka, terpaksalah dia terima dengan hati yang terbuka.
"Dah tu, apa dia syaratnya?"
"Syaratnya, aku nak kau layan aku macam dulu. Ala macam sebelum kahwin tu. Sumpah aku tak suka setiap kali kau buat dek aje. Aku tanya tak jawab. Aku tegur kau tak balas. Sakit hati woo. Kita bukannya musuh kot. Agak-agaklah sikit."
"La, bila masa pulak aku layan kau macam tu? Mana ada. Sama aje aku rasa." Fazlin cuba menafikan.
"Taik kucinglah kau. Yang aku pergi ketuk rumah kau buat tak tahu tu? Aku call pun kau tak angkat. Baru kejap tadi aku tegur, tapi kau senonong aje blah macam tu. Tu apa?" Iqbal mengungkit.
Alang-alang dah masuk sesi luahan perasaan, baik dia bantai terus. Harap-harap terbukalah biji mata Fazlin tu luas-luas.
"Oh ye ke? Tak perasan pulak aku. Hehehe." Fazlin buat-buat sengih. "Kalau macam tu, deal. Aku terima syarat kau Iqbal. Aku janji aku tak layan kau macam tu lagi. Kita bersahabat sama macam dulu."
Akhirnya, Iqbal menarik nafas lega. Lapang rasa di dada kerana dapat memulihkan semua hubungan keruh di antara dia dengan Fazlin.
"So sekarang ni, apa perancangan kita?" Iqbal menyoal Fazlin.
"Hmm..."
Sejenak, Fazlin menjulingkan mata untuk berfikir. Sambil itu, dia turut memandang ke arah sekelilingnya. Oh ya. Baru sekarang dia teringatkan sesuatu. Memanglah kalau diikutkan, mereka sudah duduk serumah, tapi itu bukanlah bermakna semua barang harus dikongsi bersama.
"Okey. Memandangkan katil tu hanya ada satu, jadi aku rasa lebih baik aje aku yang tidur atas tu." Selamba badak Fazlin memberikan cadangan.
Apalagi, terbeliak teruslah biji mata Iqbal. Buruk gila punya perancangan.  
"Amboi-amboi, meriahnya hidup kau. Habis tu, aku ni nak tidur mana? Takkanlah atas lantai kot." Marah Iqbal kerana tak puas hati dengan cadangan Fazlin itu.
Seketika, Fazlin memandang ke arah sekitar. Hish, takkanlah dia kejam nak bagi Iqbal tidur atas lantai. Setakat rumah sebesar ini, apa sangatlah yang muat. Melainkan sofa yang sedang didudukinya sekarang.
"Kau tidur atas ni pun boleh, Bal. Lembut apa kat sini. Aku berani jaminlah, nanti kau pasti akan tidur nyenyak. Siap mimpi dapat jumpa artis hollywood lagi. Kau nak sapa, Kristen Steward, Britney Spears, atau J.Lo?"
"Ah banyaklah kau punya artis. Itu kan katil aku. Aku beli dengan duit aku sendiri tau. Jadi sepatutnya, akulah yang lebih berhak tidur atas katil tu. Apa kata, kau aje yang tidur atas sofa ni. Hah amacam, bijak tak cadangan aku?"
Saat itu, Fazlin terus tarik muka. Satu jelingan maut langsung dihadiahkan kepada Iqbal. Mak aih. Berkira betul. Kata sayang, tapi nak minta katil pun susah. Sayang kepala paiplah kalau macam ni.
Iqbal perasaan dengan rajukan Fazlin itu. Akhirnya, satu keluhan berat terlepas daripada mulutnya. Nak tak nak, terpaksalah dia mengalah. Lagipun, malas nak cari pasal. Mereka kan baru aje berbaik sebentar tadi.
"Yelah yelah. Kau ambillah katil aku tu. Puas hati?" Ucap Iqbal dengan nada geram.
Giliran dia pula menjeling. Tengok dari gaya, macam merajuk. Tapi tulah. Kalau lelaki merajuk, memang sah takkan ada orang yang pujuk. Tak sesuai agaknya.
Fazlin tersengih lebar meraikan kemenangan. Ceh, senang aje nak psiko mamat ni rupanya. Tarik muncung sikit, lembik terus.
"Yeay. Tq Bal. Sebab tu aku sayang sangat kat kau."
"Hmm...." Sakit hati punya pasal, Iqbal mencari jalan untuk mengenakan Fazlin.
"Dah tu, tak reti-reti lagi ke? Blahlah. Aku nak tidur dah ni. Kita kan dah bagi tempat. Ini sofa aku. Jadi kau tak payahlah nak menyibuk kat sini." Iqbal menolak paha Fazlin dengan kakinya. Sampai terkesot-kesot Fazlin dibuatnya.
"Ala, aku nak tengok tv ni. Bagilah aku duduk kejap. Nanti habis cerita, aku blahlah." Fazlin kedengaran separuh merayu.
"Ah takde. Kalau tak nak blah jugak, aku pergi tidur atas katil tu. Ingat Fazlin. Mulai sekarang, sofa ni port aku faham! Kau nak tengok tv ke, nak lepak ke, kau punya hal. Jangan sesekali sentuh sofa aku. Kalau kau berani cubalah. Aku tak teragak-agak nak rampas katil tu nanti. Kau nak?"
Fazlin terus mencebik muka. Balas dendam nampak. Dasar taik hidung masin. Nak duduk sikit pun tak boleh. Bukannya luak pun. Baik, nampaknya kau nak main cop kawasan ya? Aku terima. Kalau aku tengok kau sentuh katil aku nanti, nahaslah kau aku kerjakan, Iqbal. Ingat tu.
"Yelah. Aku pergilah ni."
"Good. Oh ya, sebelum aku terlupa, nanti pukul 5 tolong kejutkan aku. Aku tak solat asar lagi ni. Penat gaduh dengan kau." Pesan Iqbal sebelum dilihat menutup matanya.
Fazlin hanya mengiyakan. Tatkala itu, dia bangun lalu bergerak ke arah katilnya. Sempat beg pakaian miliknya dicapai sama. Alang-alang dah tak ada benda yang nak dibuat, apa kata dia berkemas.
Tapi persoalannya di sini, di mana harus dia letakkan segala baju miliknya? Mata terpandang sebuah kabinet baju yang pastinya terisi dengan segala jenis pakaian kepunyaan Iqbal. Kepala dipaksa berfikir untuk mencari jalan.
'Ah. Pandai-pandailah nak hidup. Nasib baik jugak kau tidur Iqbal. Tak payah aku nak sorok semua barang-barang aku kat kau ni.' Gumamnya di dalam hati.
Saat itu, tangan sudah mengeluarkan tuala wanita, bra, seluar dalam yang datangnya dari dalam beg pakaian tersebut.


1/12/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 22

Salam readers. Maaf sangat-sangat sebab tak update cerita. Tak ada idea nak tulis macam mana. Ni pun rasa kurang. Apa pun, harap korang terhibur. :)

Bab 22
"Ibu bawak apa sampai besar gedabak macam ni?" Tegur Fazlin sejurus terlihat bagasi yang terletak di sebelah Puan Airah.
Baru sebentar tadi, dia berpura-pura seolah-olah baru lepas balik dari spa. Berpakaian ala-ala nak pergi jogging. Dengan sweater berhud di kepala beserta seluar sukan. Sah, lepak gim.
"Bawak apanya. Bawak baju kamilah. Penuh satu beg tu tau."
"Hah, banyaknya. Nak buat apa baju banyak-banyak macam tu? Ke ibu dan ayah nak pergi bercuti lepas ni? Kat mana? Thailand? Singapura? Hah, Paris pun best jugak. Nak ikut boleh?"
"Tak ada maknanya nak cuti jauh-jauh tu Fazlin oii... kami ni pun bukannya muda lagi." Sangkal Puan Airah.
Tiba-tiba giliran mertuanya pula menjampuk. Puan Saadiah bersuara bagi menjawab persoalan yang dikemukan oleh menantunya itu.
"Kami semua dah berpakat nak tinggal di rumah kamu ni. Mungkin dalam masa seminggu kami duduk sini. Betul tak abang?"
"Hah betul dah tu." Jawab Encik Rahman.
Serentak dengan itu, Iqbal dan Fazlin berpandangan sesama sendiri. Apa? Mereka cakap nak duduk sini? Biar betul. Dahlah rumah kecik macam ini. Mana nak muat semua orang. Tak sampai 500 kaki persegi kot. Senang cerita, lebih kurang garaj kenderaan aje keluasan rumah mereka ni.
"Hahaha. Pandai dah ibu buat lawak kan sekarang. Bagus-bagus. Ada peningkatan." Fazlin buat-buat tergelak sakan.
Masakan orang tua itu sanggup berhimpit. Ingat lagi masa beli rumah ini dulu-dulu. Puan Airah dan Encik Farid yang menjadi orang pertama yang rasmikan rumah ini. Tak silap, mereka menginap selama 2 hari 1 malam.
Tup-tup balik aje rumah dia, habis dileterkan Fazlin. Katanya rugi beli rumah sekangkang kera macam tu. Lebih baik buat rumah di kampung. Dapat banglo sebiji. Masalahnya, takkanlah dia nak berulang alik daripada Hulu Selangor ke pusat bandar KL kot. Makan jammed lah hari-hari.
"La. Bila masa pulak ibu buat lawak ni? Tak. Ibu cakap betul ni. Sumpah."
Terbeliak mata Fazlin. Ibu kalau dia sebut sumpah, maknanya dia memang serius. Alahai... aci tak kalau dia cakap tak boleh?
Sebabnya?
Entahlah. Tetiba dia rasa macam keempat-empat orang tua itu sedang berpakat untuk mengintip kehidupannya. Nak intip apa? Buat 'maksiat' dengan Iqbal? Hish... tak ada maknanya dia nak buat kerja tak berfaedah dengan mamat mulut banyak tu. Tak kuasa.
"Mana muat ibu. Rumah kami ni kan kecik. Katil pun satu aje. Takkanlah ibu dan mak cik Saa.." Terhenti ayatnya apabila melihat Puan Airah mencelikkan mata ke arahnya.
Opss...
"Maksud Lin, ibu, mak, ayah dan abah sekali. Mana muat ibu."
"Yang tu kamu tak perlu risau. Kami dah undi sapa yang kena tidur bawah. Ibu dan mak Iqbal tidur atas katil. Ayah dan abah tu tidurlah atas sofa ke. Alah, bukannya tak biasa pun. Dekat rumah tu, dua-dua selamba aje tidur simen. Betul tak Saadiah?"
"Hah betul-betul. Kulit batu agaknya dorang ni."
Memang itulah yang terjadi. Suami mereka pantang baring kat mana-mana, memang mudah sangat lelapnya. Encik Rahman tak payah cakap. Sedang tengok tv pun kadang-kadang dia boleh tidur macam tu aje. Begitu juga Encik Farid. Biasalah, orang dah berumur.
"Dia mengata kat kita Rahman oii... awak tu yang bersolek sangat."
"Hah betul. Kita tidur tak rasa apa pun. Manjalah konon. Kalau baby tu tak apa lagi. Ni dah tua berkematu."
Mencerlang biji mata Puan Airah dan Puan Saadiah. Ingatkan dapat kenakan si suami masing-masing. Alih-alih mereka berpakat nak kenakan mereka balik. Susahlah kalau dah ada geng macam ni.
"Okey. Kalau ibu dan mak tidur atas katil, habis Fazlin nak tidur mana mak? Katil tu mana muat tiga orang."
"La, kamu kan dah ada suami. Kenapa nak tidur dengan kami pulak?" Puan Airah bersoal hairan.
"Apa ibu?"
"Hish... susahlah cakap dengan kamu ni. Macam ni, memandangkan rumah kamu ni sempit, kamu pinjamlah satu rumah tu kat kami berempat ni. Duduk ramai-ramai nanti jadi sardin pulak. Lagipun buat apa kami nak ganggu pengantin baru macam korang tu. Ah, bijak tak idea kitaorang?"
Spontan jatuh rahang Fazlin. Terkebil-kebil kelopak mata kerana tak percaya. Haih... ni yang tak seronok ni. Memandai aje buat keputusan tak bincang dengan orang dulu.
Dalam pada itu, bukan setakat Fazlin yang tidak bersetuju. Malahan Iqbal yang hanya membisu sejak tadi turut meluahkan rasa tidak puas hati.
"Hmm... Iqbal rasa tak best macam tu. Haaa, apa kata kita buat macam ni. Geng perempuan, duduk dengan geng perempuan. Yang laki, kita lepak sekali. Baru best borak-borak. Kan Fazlin kan?"
Naik turun naik kepala Fazlin mengangguk. Laju macam burung belatuk. Punyalah dia bersetuju dengan cadangan Iqbal tu. Bijak juga kau rupanya Iqbal. Tak sia-sia aku kawan dengan kau selama ni.
"Betul ibu, mak. Nanti kita boleh bual-bual pasal hal-hal wanita. Gosip artis ke. Banyak betul benda nak borak ni. Tak sabar pulak rasanya." Usul Fazlin dengan penuh teruja agar kedua-dua mereka bersetuju.
Puan Airah dan Puan Saadiah berkerut dahi. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Hampir-hampir saja mereka mahu mengangguk. Namun suara salah seorang daripada suami mereka mula menerpa ke gegendang telinga.
"Ah takde takde. Jangan nak mengarut boleh tak. Tak payah nak gosip ke apa. Kita datang sini bukan nak buat dosa. Tak ada pekdahnya duk ambil tahu hal dalam kain orang tu. Jaga hal sendiri sudah." Tegas Encik Farid dengan prinsipnya.
Memang agak pantang baginya kalau dalam bab-bab macam ni. Gosip pun boleh diibaratkan seperti mengumpat juga. Buat apa nak ambil tahu pasal dunia artis tu. Lantak dialah nak bercerai ke nak putus nyambung putus nyambung ke. Bukan ada kaitan dengan dia pun.
Encik Rahman pun dilihat mengangguk. Mungkin dia sendiri pun setuju dengan pandangan Encik Farid itu.
"Hmm... nampaknya kami dah tak boleh buat apa Iqbal, Fazlin. Ala, nak takut apanya. Kami kan ada kat sebelah tu aje. Iqbal? Ke kamu takut Fazlin apa-apa kan kamu hah?" Sakat Puan Saadiah sambil tersengih kerang.
Terperanjat terus Iqbal. Ada ke patut cakap dia takutkan Fazlin? Tak mungkin tak mungkin. Perempuan tu, sekali dia 'HA!', baru dia tahu langit tinggi ke rendah. Ini Iqballah. Ada darah keturunan pahlawan bugislah. Ah tak best bugis. Hang tuah okey sikit.
"Mana ada. Dia ni..." Iqbal memandang wajah Fazlin sambil mencemik muka. "Huh. Tak kuasa pun nak layan."
Fazlin menjegil mata. Turun naik dada menarik nafas. Kecik besar kecik besar aje dia pandang mamat tu sekarang. Argghhh... sakitnya hati. Mulut dia ni kan, aku cili karang baru tahu.  
"Eleh. Ingat aku pun takut kat kau ke? Sekali..." Belum sempat Fazlin membalas, Puan Airah pun membuka mulut.
"Hish, apa cakap aku kau ni. Tak eloklah guna bahasa macam tu kat suami. Dah, ibu tak nak dengar lagi Fazlin beraku kau dengan Iqbal tu. Faham?" Marah Puan Airah bertujuan untuk menegur.
Memanglah dia sediamaklum bahawa anaknya itu pernah berkawan rapat dengan Iqbal. Tapi itu bukanlah alasan dia untuk membenarkan perkara yang kurang sopan.
Tersengih Iqbal mendengar Fazlin dimarahi oleh ibunya. Sempat dia menjelirkan lidah untuk membakar perasaan minah tu. Itulah, bajet bagus sangat. Kan dah kena marah. Padan muka.
Fazlin hanya mampu menghadiahkan jelingan maut. Terus terang, hatinya rasa menggelegak sekarang. Kenapalah semakin lama semakin menyampah pula dia dengan Iqbal. Kalaulah Iqbal tak pandai-pandai ambil tempat Hakimi, tentu semuanya takkan jadi macam ni kan? Hish...
"Dah tu Fazlin ikut ajelah." Jawabnya dengan nada tak rela.
Puan Airah dan Puan Saadiah memandang muka masing-masing sambil tersenyum. Akhirnya, selesai juga masalah mereka. Baiklah. Memandangkan kata putus sudah dicapai, eloklah jika mereka berehat bagi menghilangkan penat sangkut dalam jammed semasa nak datang sini tadi.
"Okeylah. Kami berempat pun dah penat ni. Nak berehat dulu. Kalau macam tu, mehlah kita gerak ke rumah sebelah."
Terbeliak mata Fazlin. La, kenapa rumah dia pulak yang jadi mangsa? Duduklah sini. Malas betul dia nak angkut barang ke rumah Iqbal. Lelaki tak apalah. Kudrat dia kan kuat. Datang sehelai sepinggan pun tak jadi masalah rasanya.
"Kenapa? Ada masalah ke?" Tegur Puan Airah yang perasan dengan reaksi terkejut anaknya.
"Err... kalau semua duk sini tak boleh ke?"
"Boleh tu memang boleh. Tapi takkanlah kamu nak angkut barang kamu masuk rumah kamu balik. Satu kerja pulak kan."
Sejenak, Puan Airah cuba memerhati keadaan sekeliling. Baru sekarang dia perasan tak ada satu pun barang anaknya di sini. Jangan-jangan betul telahan dia yang anak dan menantunya masih duduk asing-asing? Sebab itulah tujuan utama dia berkunjung ke rumah mereka hari ini. Mahu menyiasat apa sebenarnya yang berlaku.
"Mana barang kamu, Fazlin? Ibu tak nampak pun."
Fazlin tergamam. Soalan itu bagai menjerut lehernya dengan Iqbal. Iqbal yang panik kerana telah berbohong segera mencari jalan untuk mengaburi pandangan mata mereka. Takut juga kalau orang tua kecil hati dengan sikapnya yang tak berterus terang.
"Ada aje ibu. Dalam almari. Tapi Fazlin tak bawak banyak sangat barang dia. Baju-baju gitu ajelah. Tak sempat, sibuk sangat agaknya." Iqbal buat-buat yakin semasa menipu.
Kalau boleh digambarkan, yakinnya Iqbal itu ibarat penjual mlm yang berjaya tipu mangsanya. Tunjuk kereta mewah bagai sedangkan itu cuma sewa aje. Tak percaya, cuba kaji skim-skim mlm yang ada kat Malaysia ni.
"Ohh... patutlah."
"Dah tu, jomlah kita gerak dulu. Nanti kalau ada apa-apa, bagitahulah kami ya. Tengok ayah dan abah kamu tu. Tak habis cakap lagi pun dua-dua dah tidur. Penat sangatlah tu. Tak biasa jalan lama atas jalan agaknya." Puan Saadiah berkata sambil melihat suami dan besannya yang tertidur di atas sofa.
Setelah itu, masing-masing mengejutkan Encik Farid dan Encik Rahman. Dengan berat hati, Fazlin terpaksa juga menyerahkan kunci rumahnya. Beg bagasi diambil lalu mereka berempat pun menuju ke rumah sebelah untuk berehat buat seketika.
Saat itu, tak ada siapa yang sangka dari kawan baik, bertukar menjadi suami isteri. Dulu masing-masing berebut nak kumpul harta sama-sama. Kalau kau beli rumah situ, aku pun nak jugak. Ingatkan sebab nak jaga hubungan persahabatan hingga ke akhir hayat. Rupa-rupanya, ada percaturan lain yang lebih indah buat mereka berdua.