Entri Pengenalan

Teks : Siti Khatijah Diana

Assalammualaikum dan salam sejahtera.


Nama diberi Siti Khatijah Diana. Saya dilahirkan pada 15 Febuari 1987. Sekarang ini, saya menetap di tempat kelahiran asal saya iaitu Kelantan Darul Naim. Saya merupakan lulusan dari Universiti Putra Malaysia. Bidang yang saya ambil ialah Bahasa dan Linguistik Melayu.

Selepas bergraduat tahun 2010, saya bergelut untuk mencari pekerjaan yang sesuai. Ada beberapa temu duga yang telah saya hadiri, namun rezeki tidak memihak kepada saya. Persaingan ketika itu sangatlah kuat sampaikan saya memilih untuk tinggal di rumah saja. (alasan mungkin. hihihi.)

Namun begitu, saya bukan boleh dikategorikan sebagai penganggur terhormat. Saya membantu ibu saya menjaga budak kecil. Senang cerita, saya ini boleh digelar sebagai baby-sitter terhormat. Okeylah kan? Dari tidak buat apa-apa.

Bermula dari situ, minat terhadap kanak-kanak mula bercambah. Namun harus juga saya maklumkan, saya tiada niat untuk membuka nursery. Saya tidak suka terlalu terikat. Takut tertekan. Silap-silap, bukan saya saja yang teraniaya, tapi kanak-kanak itu juga. Takut terbaling semua baby itu ke udara, esoknya saya masuk tv3. Tak mahulah saya.

Berikutan dari situasi itu, saya terfikir untuk melakukan satu pekerjaan yang dapat dilakukan di rumah saja. Terdetik di hati untuk melakukan dua perkara. Sama ada bisnes ataupun menulis.

Saya ada belajar tentang bisnes tapi sampai sekarang saya masih tidak faham apa-apa. Apa itu dropship? Consignment? Pre-order? Barang apa yang sesuai untuk dijual dan bermacam-macam lagilah. Banyak blog yang saya singgah. Ada ebook yang sudah saya khatamkan, namun saya masih tidak dapat memahami apa-apa. Fikir saya lagi, mungkin bisnes bukan satu bidang yang sesuai buat saya.

Akhirnya, saya buat pilihan kedua. Kenapa tidak menjadi penulis saja? Pokoknya di sini, untuk menjadi penulis, kita perlukan ilmu menulis. Satu lagi benda, kita kenalah kerap membaca. Masalah utama saya ialah, saya sangat tidak suka membaca. Bagi memudahkan cerita, saya boleh dikategorikan sebagai slow reader.

Namun saya tahu, semua itu tidak harus dijadikan alasan. Saya paksa diri saya beli buku macam-macam. Dari buku budak kecil sampailah ke buku orang tua. Sukar memang sukar. Mahu habis sebutir buku, rasanya memakan masa berhari-hari.

Sebelum menetapkan matlamat untuk menjadi penulis buku kanak-kanak dan remaja, saya ada cuba menulis cerita orang dewasa. Tapi rasanya cerita dewasa sangat tidak kena dengan jiwa saya. Saya pula yang akan tertekan setiap kali mengarang cerita. Sadis sungguh!

Apabila sudah menetapkan matlamat untuk menjadi penulis buku kanak-kanak dan remaja, terdapat pula masalah lain yang timbul. Tip dan maklumat berkenaan penulisan kanak-kanak dan remaja sangatlah tidak banyak. Jika ada bengkel pun, saya pula yang ada kekangan peribadi dan masalah kewangan. Semua itu sedikit sebanyak telah menggugatkan impian saya untuk menjadi penulis.

Mujurlah pada satu hari, saya ternampak satu status facebook yang telah ditulis oleh seorang rakan facebook saya. Namanya ialah Puan Mazlia Murat. Beliau mempromosikan kelas asas blog dan penulisan kreatif. Saya bertanya kepada beliau terlebih dahulu, jika saya masuk ke kelasnya, apakah saya akan mampu menjadi penulis buku kanak-kanak dan remaja?

Jawapan yang diberikan olehnya sangat mengejutkan saya. Mana tidaknya, beliau adalah seorang penulis buku kanak-kanak yang prolifik juga. Nama penanya, ialah Aizam Aiman. Beliau cakap, beliau boleh memberi bimbingan menurut pengalamannya. Terus saya mendaftar untuk masuk ke kelas online ini.

Berjaya atau tidak saya untuk bergelar penulis buku kanak-kanak dan remaja, bergantung kepada kesungguhan saya dan juga bimbingan daripadanya. Dan yang paling penting, jika ada rezeki saya dari Allah Taala, maka adalah. Yang penting, saya tidak boleh berputus asa. 

Sekian, itu saja daripada saya.

Ulasan