Ulasan Novel 13 Jam A380

Teks oleh : Siti Khatijah Diana
Foto : Karyaseni



Buku ini dibeli semasa pesta buku. Dapatlah diskaun sikit-sikit. Okeylah kan. Kalau dapat banyak-banyak, tidak mencabarlah pula. Dapat percuma, terus sakit jantung. Lagi teruk.

Secara keseluruhan, buku ini mengisahkan tentang perjalanan seorang gadis yang bernama Hana. Hana memuja seorang lelaki bernama Haydar. Seorang lelaki yang super cool. Hebat serba-serbi. Tidak hairanlah kalau Hana memasang impian untuk bersama lelaki itu. Sampai sanggup jadi stalker tu. Hebat betul.

Hendak dijadikan cerita, Hana ditakdirkan untuk bertemu dengan Haydar semasa dalam perjalanan ke oversea sebab mahu sambung belajar. Entah macam mana, mereka berdua boleh jadi rapat. Sepanjang perjalanan yang memakan masa 13 jam di atas pesawat yang bernama A 380, mereka saling mengenali. Mereka berdua seolah-olah berada di dunia mereka sendiri. Gembira, ceria, indah, pendek kata, semua rasa ada.

Apabila tiba ke destinasi yang dituju, mereka terpaksa berpisah. Lagipun mereka berdua memiliki komitmen masing-masing. Haydar sudah berpunya dan bekerjaya besar. Manakala Hana hanya seorang pelajar. Namun semenjak kejadian itu, Hana tidak pernah mampu melupakan Haydar. Namun dia sedar yang dia harus berpijak di bumi yang nyata. Kenangan manis bersama lelaki itu hanya mampu dipahatkan di dalam hati.

Timbul kisah baru apabila Hana bertemu dengan Fawwaz. Seorang lelaki yang banyak memiliki rahsia besar di dalam hidupnya. Walaupun pada awalnya Hana tidak berkenan dengan Fawwaz, namun selepas mengenalinya, hati Hana mula terpaut kepada lelaki itu. Dengan Fawwaz dan keluarganya jugalah, Hana banyak belajar tentang Islam dengan lebih dalam.

Untuk mengetahui dengan siapa yang menjadi pilihan Hana, anda kenalah baca sendiri buku ini. Secara jujurnya, buku ini adalah buku terbaik yang pernah saya baca. Cara tulisan diolah dan gaya bahasa yang mudah, mampu membuatkan kita terbuai pada ketikanya.

Dalam masa yang sama, segala info dan maklumat turut diselitkan sama. Bukan sikit tapi banyak. Ternyata Evelyn Rose adalah seorang penulis yang berbakat besar dan hebat. (Patutlah ada master. Otak berapi dia ni).

Untuk penggemar novel, saya cadangkan novel 13 Jam A 380 adalah novel yang wajib dibeli. Anda tidak akan menyesal jika memilikinya. Percayalah. Saya lepas baca buku ini pun, siap peluk lagi bukunya. Memang gempak!


Ulasan