Sebelum guna... sila bezakan dulu.

Teks : Siti Khatijah Diana
Foto: google

Kisah ini adalah sebuah kisah benar. Ia berlaku pada satu  malam yang kelam. Sedang lena diulit mimpi, tiba-tiba sang suami mengejutkan si isteri. Bangunlah si isteri dengan mata yang terpisat-pisat.

"Ada apa bang?" soal isteri dalam keadaan mengatuk.
"Mata abang gatallah. Boleh tak tolong letakkan eye-mo?"
"Boleh. Eye-mo berada kat mana?" Menguap hingga hampir terkoyak rahang.

Dengan penuh yakin, sang suami menunjukkan ke arah satu tempat.Si isteri pun bangunlah untuk memberi khidmat yang terbaik buat sang suami. Sejurus eye-mo diambil, lalu dititikkan ke dalam mata sang suami yang gatal, tiba-tiba mata sang suami mula berasa pedih.

"Kenapa pedih pula mata saya ni?" Sang suami menenyeh matanya. 

Berasa tidak selesa, sang suami segera berlari ke arah dapur. Matanya dibasuh dengan air yang banyak. Apabila matanya tiba-tiba berkatup rapat, sang suami yang panik terus mengoyak hingga terbuka semula kelopak mata. Setelah sang suami melihat botol sebenar eye-mo yang telah digunakan tadi, saat itu juga sang suami telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Mujurlah keadaan terkawal setelah sang suami diberikan rawatan. Seorang jururawat datang untuk meninjau keadaan semasa sang suami. Sambil tergelak-gelak, jururawat itu berkata-kata,

"Pak cik... seumur hidup kami, inilah kali pertama kami terima kes seperti pak cik. Tak pernah ada orang letakkan gam 3 saat dalam mata sebelum ni, pak cik. Pak ciklah orang pertama."

Sang suami pun tergelak juga. Sejak dari hari itu, eye-mo terus menjadi alat yang menakutkan buat pak cik dan keluarganya.



Ulasan