Tugasan Kedua

Teks: Siti Khatijah Diana



"Amboi, seronoknya ketawakan orang lain, ya!" Anis menegur dua rakan sekelasnya iaitu Minah dan Joyah

Ketawa yang terhambur tadi, serta-merta terhenti. Minah dan Joyah cuba berlagak biasa. Seolah-olah tidak mahu orang lain mencampuri urusan mereka berdua.

Beginilah rutin Minah dan Joyah hari-hari. Sambil mengisi perut pada waktu rehat, mereka akan menjadi pengkritik tidak berbayar. Sesiapa jua yang melintasi, jika dapat dikesan kelemahan akan mereka, maka secara automatik mereka akan menjadi bahan ketawa kedua-dua sahabat itu.

Jika ada pelajar comot, tanpa berfikir panjang mereka berdua akan menggelarkan pelajar itu seperti peminta sedekah. Kalaulah ada pelajar yang jalan terkepit-kepit, dengan selambanya mereka akan cakap pelajar itu sedang menahan sebab nak buang air besar. Dan bermacamlah lagi yang boleh mereka bandingkan jika mereka ternampak sebarang kelemahan di depan mata.

"Sebenarnya, saya tahu apa yang awak berdua sedang buat. Maaflah kalau saya nak cakap ni. Perbuatan awak mengetawakan kekurangan orang lain, adalah satu perbuatan yang tidak wajar," kata Anis lalu menyambung lagi.

"Sebab tu orang bijak pandai pernah berkata, satu jari kita tuding pada orang lain, sembilan jari lagi akan menuding ke arah kita semula," beritahu Anis dengan maksud yang penuh tersirat. Rasanya tidak perlu untuk dia menjelas apa maksudnya. Biarlah Minah dan Joyah mentafsirkan sendiri.

Perlahan-lahan, Minah dan Joyah menundukkan kepala. Kata-kata Anis itu terasa tepat ke atas batang hidung sendiri. Mana tidaknya, mereka sendiri sedar bahawa mereka juga serba-serbi kurang.

Joyah dengan jerawat konkritnya. Penuh satu muka pula. Kalau ditakdirkan hantu mahu mengusik dia pun, silap-silap hantu yang lari lintang-pukang. Manakala si Minah pula, dengan kulit hitam legamnya. Guna satu tangki pencuci muka pun, belum tentu boleh putih.

"Yalah... saya minta maaf. Saya sedar kesalahan saya," Joyah menyatakan dengan nada berbaur kekesalan.

"Saya pun sama," balas Minah juga.

Anis tersenyum. "Baguslah kalau macam itu. Saya tegur, sebab saya sayang kawan-kawan saya. Kalau saya tak sayang, memang saya buat tak tahu saja."

"Terima kasih Anis. Terima kasih sebab tolong sedarkan kami," jujur Joyah mengucapkannya.
"Saya pun sama. Kalau awak tak cakap, alamatnya sampai ke tualah kami bawa perangai tak semenggah kami ni," kata Milah lagi.

Anis hanya tersenyum. Tidak lama kemudian, loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudahpun tamat. Mereka bertiga berjalan menuju ke kelas. Sejak hari itu, mereka mula berkawan rapat dan saling tegur menegur di antara satu sama lain.

Ulasan