Tugasan Ketiga

Teks: Siti Khatijah Diana 
Foto : Kelas Penulisan Online

 

“Jadi macam mana? Sudahkah kamu membuat keputusannya?” Mak Cik Esah yang sedang melipat kain, menyoal anaknya yang bernama Lisa itu.
 

Lisa mengeluh perlahan, “Entahlah mak. Lisa sebenarnya masih keliru nak memilih yang mana. Dua-duanya Lisa sayang.”

“Kamu jangan nak bikin panas, Lisa. Tak pernah-pernah ada dalam sejarah, isteri bersuami dua. Kalau suami beristeri dua, berlambaklah. Contoh terdekat, mak kandung kamu ni hah,” rungut Mak Cik Esah pula.

Nasib baiklah sekarang ini, kemarahan terhadap suaminya sudah pun beransur reda. Jika tak, secara automatik bebelannya akan menjadi semakin panjang pula.

“Itu Lisa tahulah, mak. Maksud Lisa, Iskandar dan Taufik tu kan sama penting dalam kehidupan Lisa. Dua-duanya kawan baik Lisa. Jika Lisa memilih salah seorang daripada mereka, bermakna Lisa akan melukakan hati salah seorang daripada mereka juga. Sebab itulah sampai sekarang, Lisa masih keliru mahu membuat pilihan,” kata Lisa dengan jujur.

“Hmm... betul juga kan kata-kata kamu tu.” Mak Cik Esah mengangguk tanda bersetuju.

Entah macam mana, tiba-tiba terlintas satu perkara di dalam benak Mak Cik Esah. Fikirnya lagi, mungkin hanya inilah jalan penyelesaian yang terbaik yang ada buat anak kesayangannya itu.

“Mak rasa, mak ada satu idea.” Mak Cik Esah kelihatan sudah berteka-teki.

“Apa dia mak? Ceritalah cepat. Lisa dah tak sabar nak tahu, mak,” kata Lisa dengan air muka yang penuh keterujaan.

“Apa kata, kamu terima saja pinangan si Bidin?” Sambil tersengih, Mak Cik Esah kelihatan seolah-olah sangat berbangga dengan cadangannya itu.

Terus Lisa melompat dari keadaan duduknya. “Bidin? Maksud mak, jiran sebelah rumah kita?” soalnya lagi seolah-olah tidak percaya.

“Yalah. Bidin yang tulah. Bukan banyak pun orang yang bernama Bidin kat kampung kita. Tolak nama kambing ayah kau, memang dia seoranglah yang nama Bidin kat sini,” jawab Mak Cik Esah lagi.

Lisa seperti mahu menangis sejurus mendengarkan cadangan tidak masuk akal itu. "Sampai hati mak nak jodohkan saya dengan Pak Cik Bidin tu. Lisa ni masih muda lagilah, mak!”

“Mak cadangkan saja. Dari kau tua sebab asyik tak tahu memilih yang mana, elok sajalah kau rembat saja si Bidin tu. Mak jamin, pasti si Iskandar dan Taufik takkan makan hati dengan pilihan kau nanti. Silap hari bulan, mereka siap boleh gelakkan kau lagi,” ujar Mak Cik Esah sambil cuba menyembunyikan rasa geli hatinya.

Yalah. Kalau susah-susah macam ini, apa salahnya terima saja pinangan si Bidin kelmarin. Memanglah jika nak diikutkan umurnya sudah tua, tapi tak adalah tua sampai terbongkok-bongkok tiga.

Daripada Lisa menyertai kelab si Bidin; kelab bujang terlajak, lebih baiklah dia bernikah terus dengan lelaki itu. Tidak lama selepas itu, Mak Cik Esah sudah masuk ke dalam bilik untuk menyusun baju yang telah selesai dilipatnya.


Ketika itu, Lisa sudah mengeluh panjang. Alahai emak kesayangannya. Ingatkan perbualan dengannya tadi, dapatlah membantu dia membuat pilihan sebaliknya menambahkan lagi tekanan. Antara Iskandar dan Taufik, memang dia keliru memilih yang mana untuk bergelar suaminya. Tapi kalau Pak Cik Bidin, dia memang sangat pasti itu bukan pilihannya!

Ulasan