Tugasan Pertama

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Cover Photo Siti Khatijah Diana




Ini ialah gambar Adik masa kecil-kecil dahulu. Dulu, Adik sangat suka pergi pantai. Adik main-main di gigi air. Adik juga selalu kutip kulit siput dan kulit kerang lalu bawa balik ke rumah.

Setelah itu, Adik akan menyuruh emak buatkan Adik rantai denga
n semua hasil yang Adik kutip itu. Walaupun kawan-kawan adik selalu mengejek bahawa rantai Adik tak ada harga, tetapi Adik sayang sangat dengan rantai Adik. Sebab Adik tahu, emak buatkan rantai Adik dengan penuh rasa kasih.

Satu hari, ayah dan emak tiba-tiba bergaduh besar. Emak tak benarkan ayah turun ke laut. Kata emak, musim itu adalah musim tengkujuh. Bahaya jika ayah masih berkeras mahu turun.

Ayah menengking memarahi emak. "Kalau saya tak turun, kita sekeluarga nak makan apa? Dah tiga hari kita berlapar. Awak tak kesian ke dekat anak kita? Awak tak perasan ke dia dah semakin kurus?"

"Tapi abang, laut kan sedang bergelora. Dalam tv pun dah bagi amaran banyak kali. Bot-bot kecil kecil dilarang untuk turun ke laut." Emak masih membantah keras.

"Ah... bukannya orang dalam tv itu yang bagi kita makan. Percaya sangatlah dengan tv tu. Dahlah awak. Saya nak pergi juga. Awak jaga diri dan anak baik-baik. Kalau saya tak balik, awak buatlah apa yang patut," kata ayah sebelum pergi meninggalkan emak dan Adik.

Ternyata, petang itu ayah balik jua. Tapi Adik pelik. Ayah balik dalam keadaan tidur. Adik tak faham. Kenapa ramai orang yang usung ayah naik ke atas rumah? Ayah sudah tidak boleh berjalan sendiri? Kenapa ayah macam mengantuk sangat sampai tak nak buka mata tengok Adik di sebelah?

"Abang...bukankah saya dah cakap abang jangan turun, tapi abang degil. Abang tengoklah apa yang dah jadi? Saya nak buat apa sekarang ni abang?" Emak menangis-nangis di sisi ayah yang sedang berbaring.

Adik masih tak faham lagi dengan apa yang sedang terjadi. Selepas orang tidurkan ayah dalam tanah, emak langsung dah tak hiraukan Adik. Semua kulit siput dan kerang yang Adik kutip, sudah mula bertimbun di depan rumah.

Selepas kejadian itu, emak terus menghilang. Emak dinaikkan di atas kereta putih sebab selalu nyanyi-nyanyi dan bising-bising terutama pada waktu tengah-tengah malam.

Sekarang ini, apa yang adik tahu, Adik sudah tinggal dengan ramai kawan-kawan. Mereka semua sukakan Adik dan selalu memuji-muji bahawa rantai Adik sangat cantik. Adik gembira walaupun adakalanya, adik akan menangis juga.

p/s : cerita ini adalah rekaan semata-mata. Isha jangan marah ye... Kita kan kawan baik. 

Ulasan