Ulasan Buku Panduan Menulis Cerpen

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: PTS




Buku ini adalah karya Tuan Jasni Matlani di bawah terbitan PTS. Beliau adalah penulis cerpen yang aktif dan sangat berpengalaman. Selain pernah memenangi beberapa hadiah dalam pertandingan penulisan, beliau juga merupakan seorang juri bagi menilai karya yang dihasilkan oleh para pelajar. Jadi, tidak hairanlah karya ini diterbitkan mengikut apa yang telah dilalui sepanjang beliau bergelar penulis cerpen yang prolifik.

Secara keseluruhan, buku ini mengandungi beberapa perkara penting bagi seseorang yang mahu menghayati karya cerpen dengan baik, sekaligus menjadi penulis cerpen yang tersohor. Banyak tip dan maklumat yang tidak dinafikan akan membantu sesiapa yang mahu bergelar penulis cerpen.

Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian utama. Bahagian satu, di bawah tajuk Persediaan Awal Menghayati Dan menulis cerpen. Penulis mengupas tentang persoalan awal seperti kenapa seseorang hendak menghayati cerpen dan menjadi penulis, perlukan buku panduan bagi menghayati dan menulis cerpen, siapa idola yang memperdalam minat kita dalam bidang penulisan dan sebagainya.

Bahagian dua pula, di bawah tajuk Mendekati Ciri, Unsur dan Teknik Penulisan Cerpen. Terdapat beberapa yang diperincinkan seperti ciri-ciri cerpen yang baik, unsur yang terdapat dalam cerpen, tema dan persoalan dalam cerpen dan sebagainya. Di bawah tajuk ini, kita didedahkan tentang bagaimana cara untuk menghasilkan cerpen yang berkesan dan seimbang dari segala unsur yang ada dalam sesebuah cerpen.

Bahagian tiga pula, di bawah tajuk Tips Sebelum Menghantar Karya ke Penerbitan. Ada beberapa bab yang terkandung dalam bab ini seperti kelemahan umum penulisan cerpen 1 dan 2, menghantar karya ke penerbitan, serta tips tambahan menjadi cerpenis.

Dalam tajuk ini, penulis turut menitipkan nasihat yang sangat penting kepada bakal penulis cerpen sebelum menghantar karya mereka. Misalnya, sebagai bakal penulis cerpen, kita harus mengetahui konsep dan tema yang diperlukan dalam sesebuah rumah penerbitan. Jika kita menulis cerpen berunsurkan orang tua yang sedang terkenangkan sesuatu, cerpen ini sah-sah tidak akan diterbitkan dalam majalah yang berkonsepkan keremajaan. Begitulah sebaliknya.

Oleh yang demikian, sesiapa yang mahu belajar menulis cerpen dengan baik, saya sarankan anda harus mendapatkan buku ini. Naskah ini benar-benar membantu kerana terselit pelbagai maklumat yang tidak akan didapati di dalam buku lain.



Ulasan