Ulasan Buku Di Mana Terangnya Bulan

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Google


Buku ini adalah hasil tulisan daripada seorang penulis lelaki yang sangat berkaliber di Malaysia. Siapa yang tidak kenal dengan Bahruddin Bekri? Beliau memang seorang penulis yang prolifik dan sudah banyak menghasilkan novelnya sendiri.

Di Mana Terangnya Bulan ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang bernama Kamarul Bin Zamarul. Dia diterima masuk belajar ke Kolej Melayu Tinggi. Namun begitu, perjalanannya tidak mudah kerana berhadapan dengan pelbagai masalah yang bertandang.

Antara masalah yang terpaksa ditempuhinya ialah pinjaman pelajarannya tidak berjaya, terpaksa berkongsi rumah dengan seorang penjenayah yang bernama Selamat, kemudian kehilangan teman serumahnya. Terdapat juga masalah sampingan yang berlaku namun semuanya berjaya diatasi dengan baik oleh Kamarul.

Apa yang menarik tentang buku ini, ia banyak menyelitkan nasihat sampingan yang dapat membuatkan kita sebagai pembaca berfikir mengenainya. Pendek kata, ia bukan satu cerita yang kosong.

Satu perkara yang tak dapat dinafikan berkenaan dengan penulis yang bernama Bahruddin Bekri ini, beliau sangat bijak menyelitkan humor dalam karyanya. Ada satu ketika, saya menjadi kagum apabila beliau hanya menggunakan nama untuk membuatkan kita sebagai pembaca ketawa. Antara watak yang paling saya tak boleh lupa dalam karya ini ialah Alexander The Great. Memang santai dan spontan gila lawaknya.

Secara keseluruhan, saya suka dengan penulisan Bahruddin Bekri. Kredit juga diberikan kepada cikgu saya kerana menyarankan saya membaca buku ini. Hehehe.

Ulasan