E-novel (Kisah Mia) - Bab 1

Teks: Siti Khatijah Diana

Bab 1

Yeay!

Akhirnya. Umur aku genap juga pada hari ini. Bermakna pada saat ini, aku, Mia Farida, telah berumur 18 tahun dengan rasminya. Gembiranya rasa hati. Rasa nak melompat-lompat biar sampai ke langit. Tapi takut pula tertembus kapal terbang. Batalkan sajalah niat tak senonoh macam tu.

Minggu lepas, aku baru saja lepas mengambil keputusan peperiksaan SPM. Sekali lagi aku gembira. Gembira fasal result kah? Hish. Tak ada maknanya. Gembira sebab dapat jumpa kawan-kawan aku. Ada yang masih sama macam dulu. Pendek takat itu jugak. Ada yang tinggi tu, naiklah seinci dua.

Yang paling tak tahan, tengok beberapa orang pelajar dari kelas lain. Kawan juga tapi tak berapa rapat. Suam-suam kuku gitu. Apa yang aku cakap tak tahan tu? Tengok gaya dan cara pemakaian mereka hari tu. Berubah terus. Macam mak datin. Ada seorang tu, adalah sikit-sikit macam model. Model keropok lekor gitu. Tapi lantak dialah. Malas aku nak fikir. Takut termengumpat pula. (biar dah umpat pun tadi). Haih.  

"Mia!!! Hidup lagi kau rupanya." Suara seseorang kedengaran di cuping telinga. Tak payah tengok pun aku tahu suara siapa. Memang dia seoranglah manusia yang tak berlapik mulut dalam sekolah ni.

"Haah. Kau pun sama kan. Aku ingat kau tak sempat datang hari ni." Orang bergurau macam tu, aku balaslah dengan macam tu jugak. Baru adil lagi saksama.

Oh ya. Biar aku kenalkan siapa manusia yang bermulut 'manis' tadi. Kalau mahu tahu, namanya Misiah. Kita orang selalu panggil dia Misi. Tapi dia tu, tak ada bakat pun nak jadi misi. Sebab dialah boleh dikatakan manusia paling takut dengan darah. 

Baru ni, entah macam tangan dia boleh tercucuk paku dekat meja guru. Apalagi. Tengok saja darah, dia tak bertempik pun. Tapi terus pitam. Memang haru betul. Tentang urusan bulanannya itu, aku rasa aku tak perlu tahu. Memang tak ada kerjalah kalau aku nak ambil tahu. 

Si Misi ni, boleh dikatakan kawan aku juga. Sama-sama mereng. Tapi dia lebih gila sikit dari aku. Kalau kegilaan dia bertambah sikit lagi, aku yakin dia dah boleh tempah awal-awal borang kat hospital bahagia tu. Nak suruh aku tolong ambilkan pun boleh. Anytime.

"Kau dapat berapa?" Misi terlebih dahulu bersoal. Tersengih-sengih dia. Kepala tak boleh duduk diam. Mahu mengintip sampai dapat keputusan yang berada di tangan aku.

"Sikit aje. Bolehlah cukup-cukup makan. Kau?"

Terus berubah air muka Misi apabila disoal aku. Muram betul. Macam orang baru lepas kena saman dengan bapak polisi. Muka tak rela tapi pasrah. 

"Tak payah tanyalah." Misi berkata sambil mengeluh, kecewa.

"Aik? Kau tanya aku, tak apa pulak. Takkan aku nak tanya kau tak boleh. Cepatlah cakap! Kau dapat berapa?" Aku mendesak dengan sesungguh hati. Nak terkeluar anak tekak aku menekan. Lantaklah... tapi aku tahu, itu sahabat aku. Memang begini cara kami meluahkan ekperesi diri. Cewah.

"1 C," jawab Misi sepatah.

Terus aku ternganga. 1 C aje? Benaknyalah hai... atau jangan-jangan dia ni sebenarnya jadi penembak ke masa jawab periksa hari tu.  Dengan kertas esei pun dia tembak jugak ke? Hahaha. Aku agaklah kan, mesti dia melukis. Tak pokok kelapa, mesti muka Cikgu Zainab. Cikgu bahasa Inggeris yang paling ditakuti di seluruh alam raya. Mesti punyalah.

Apabila teringatkan sesuatu, dahi aku berkerut hairan. Aik! Setahu akulah, Misi ni boleh dikategorikan dalam otak geliga. Kalau dia mati, pendek kata otak dia boleh dibuat  mata cincin. Antara calon-calon harapan kat sekolah. Jadi, macam mana pulak dia boleh dapat 1 C aje?

"Serius ke kau ni? Takkanlah 1 C aje."

"Seriuslah. Yang lain aku dapat... semuanya A." Misi berkata tanpa perasaan.

Aku tertepuk dahi sendiri. Punyalah kaw-kaw aku kutuk dia dalam hati tadi. Rupa-rupanya aku tertipu. Saspenlah minah ni seorang. Buat ngeri orang saja.

"Nah amik ni!" Geram berasa diri dipermainkan, aku terus menunjal kepala Misi. Terdorong dia ke depan. Itu nasib baik aku buat perlahan. Kalau aku buat kuat, memang sah hilang ingatan dia hari ni.

"Aduh! Sakitlah. Sampai hati kau buat aku macam ni." Misi buat-buat merajuk. Ada sengihan yang cuba disembunyikan olehnya. Sah... memang berniat pun nak buat gimik tadi. Hampeh punya kawan. 

"Padan muka. Main-main dengan aku lagi." Marah aku sambil mencerlang mata memandangnya. Kemudian, aku terus mendepangkan tangan. Senyuman turut terukir sama di bibir. "Apapun, tahniah kawan. Aku tahu kau memang dilahirkan pandai."

Tersengih-sengih Misi sebab dipuji. Dia turut membalas pelukan aku. Aku dapat rasa tubuhnya mula mengembang sakan. Banggalah tu sebab dapat keputusan cemerlang hari ni. Kena puji lagi. Aku harap, kau jangan meletup sudahlah, Misi.  

Buat seketika, kami diam membuat hal masing-masing. Misi tidak lepas memandang slip keputusannya. Sekali tengok, macam nak buat magic biar C yang sebiji tadi, bertukar menjadi A. Dan aku... pandangan aku dilontarkan ke arah sekeliling. Berusaha untuk mencari kelibat seseorang yang mahu diketemui sangat ketika ini.

"Ada nampak..." Aku menarik nafas berat. Rasa berat lidah pula mahu menyebut nama itu. Saat ini, tidak dinafikan aku berasa sedikit gementar. Aku tertanya-tanya sendiri. Apakah dia masih memarahi aku lagi dek peristiwa sebelum peperiksaan dulu?

"Sarah?" Misi cuba menduga. Lembut mata dia memandang bebola mata aku. 

"Haah."

"Ada. Tapi dia dah balik. Lepas dapat slip, dia terus berlari entah ke mana. Katanya, ada hal kecemasan. Tak sempat pulak aku tanya dia," kata Misi lagi.

Aku mengeluh kekecewaan. Ingatkan dapatlah berjumpa dengan dia hari ini. Rupa-rupanya tak ada rezeki lagi. 

"Oh. Tak apalah macam tu. Aku balik dululah. Rasa tak sabar pula nak tunjukkan keputusan ni kat orang tua aku. Kalau aku jadi kau, memang aku tak tunggu lama kat sini. Aku balik terus sebab nak tuntut hadiah. Bukan senang nak dapat 8 A tu. Apa pun, tahniah kawan." Sekali lagi, aku mengucapkan penghargaan itu kepada Misi.

Misi tersenyum lebar. Selepas bersalaman dan berlaga pipi, kami pun pulang menuju ke rumah masing-masing. Terhasut juga Misi dengan saranan aku. Cepat-cepat dia balik rumah dan tak mahu tunggu lagi. Entah apalah agaknya yang diminta sebagai ganjaran daripada orang tuanya nanti. Cemburunya...

Namun begitu, bukan rasa cemburu yang aku mahu fikirkan sekarang. Kepala aku hanya berfikirkan tentang diri seseorang. Siapa lagi kalau bukan si Sarah. Perlukah dia pulang awal tadi? Kenapa dia tak menunggu saja untuk bertemu dengan aku dulu? Kan masing-masing boleh berkongsi pasal keputusan ini.

Kepalaku berfikir lagi. Benarkah dia ada hal kecemasan? Jangan-jangan itu hanyalah alasan dia semata-mata. Dia pulang awal kerana tidak mahu bertemu dengan aku. Aku tahu dia cuba mengelakkan diri daripada terserempak dengan aku. 

Akhirnya, satu keluhan terlepas daripada mulutku. Nampaknya, Sarah masih lagi berdendamkan dengan perkara itu. Jadi, apa yang harus aku buat sekarang? Terus terang, aku sendiri tidak tahu.


p/s : tulisan ini hanya rekaan semata-mata. Tak ada kaitan langsung dengan sesiapa walau di mana jua anda berada. Juga tak pasti sama ada mahu diteruskan ataupun tidak. Hanya sebagai latihan untuk menulis. Selamat membaca. :)







 


 


Ulasan

  1. T_T... Insyaallah. Terima kasih sebab sudi singgah. :)

    BalasPadam
  2. Balasan
    1. Akak tak pandai main fb sangat. Hehehe. Lagipun, tak tahu nak update apa. Aktif di blog aje sekarang. Akak dah bergraduan dah dari kelas online. Hahaha. Dah cukup 44 entri. :)

      Padam
  3. iyeke...tahniah! boleh jadi guru penulisan dah..hehe..kak buat apa sekarang

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hehe. Terima kasih. Tak buat apa sangat. Edit manuskrip sikit-sikit. Cerpen hari yang tu, dah siap?

      Padam
  4. edit manuskrip sendiri ke? novel kedua ya? bestnya. siap dah..dah hantar..tunggu terbit. tapi masih belum puas hati. masih belum jumpa corak penulisan sendiri. identiti sendiri.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tak apa. Kita belajar perlahan-lahan. Lama-lama nanti, jumpalah rentak. Insyaallah. Good luck ya sis. Nanti dah terbit, jangan lupa bagitahu. :)

      Padam
  5. Oh... tahniah! Hari tu dah kira entri akak! Hehehe... sedihnya! TT-TT

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih dik Syahmi. Tak apa, akak tak pergi jauh pun. Ada dekat sekeliling ni. Hehehe

      Padam

Catat Ulasan