E-novel (Kisah Mia) - Bab 2

Teks: Siti Khatijah Diana

Seminggu sebelum hari peperiksaan.

"Perlu ke sampai jumpa kat sini? Kenapa tak bagi aje semasa dalam kelas?" Aku meluahkan rasa tak puas hati. Berkerut campur berurat dahi aku memandang manusia di hadapanku sekarang.

Sewaktu rehat tadi, Haikal datang berjumpa dengan aku. Dia mengajak aku untuk bertemu di tangga bangunan makmal sains. Alasannya, dia ingin memulangkan semula buku rujukan matematik yang dipinjamnya pada 3 hari lepas. Macamlah tak ada tempat lain yang boleh dipilih.

Lain kali, pilihlah port seperti perpustakaan ke, bawah pondok ke, medan perhimpunan ke. Barulah orang tak salah anggap memandangkan tempat-tempat yang aku cadangkan tadi, semuanya berada di laluan orang ramai. Berbanding dengan tempat yang Haikal pilih ni.

Serius, aku sangat anti dengan tangga bangunan makmal sains ni. Bukan sebab aku pernah tersadung lalu tergolek-golek macam Kajol dulu. Tapi sebab laluannya agak tersorok sikit. 

Tangga ini popular sebagai tempat pelajar bercinta-cintun. Yang nak tambah bilangan ahli keluarga cara mudah pun, secara automatik akan berangkat-angkat di sinilah. Adik angkatlah, kakak angkatlah, abang angkatlah. Sampai nenek dan atuk pun dia orang nak angkat jugak. 

Lagi satu kenapa aku begitu berat hati saat ini, sebabnya terpaksa berjumpa all the time favourite pelajar yang bernama Haikal tu. Terus terang, aku tak suka digosipkan dengan dia. Wah! Bajet retislah pulak aku ni. Tapi memang aku tak suka. Tak tahu kenapa. Mungkin sebab pandangan aku dengan pandangan pelajar lain, sangat berbeza. Alienkah aku? Entah. Aku pun tak tahu.

Siapa tak kenal Haikal? Semua orang kata dia kacak, pintar dan yang paling penting, dia adalah anak kepada orang tua dia. Bukan yang tu sebenarnya aku nak cakap. Maksud aku, dia anak kepada pasangan yang berjaya. Senang cerita, dia datang daripada keluarga yang kaya raya gitu. Itu orang cakaplah. Aku malas nak ambil tahu.

Dia memang ramai peminat. Macam mana orang minat tudung Fareeda yang mana mereka perlu ambil nombor baru boleh masuk dalam kedai tu, macam tulah ramai orang yang minat dengan Haikal. Tidak terkecuali dengan Sarah sendiri. Sahabat baik aku. Orang yang paling aku sayang selain diri aku sendiri. Tapi maaflah. Aku tak suka Haikal. Sebab dia bukan citarasa aku.

Macam mana aku nak suka dia. Kau orang bayangkan sendiri. Setiap kali dia berjalan, mukanya mana pernah menunduk. Asyik melenggak aje ke atas. Macam kerbau dirabit mulut, macam tulah dia berjalan. Sombong. Bajet tayang muka hensem dialah tu. Yang peliknya, orang sekeliling selalu puji dia cool sebab jalan macam tu. Tapi aku menyampah.

Yang paling tak menahan, masa-masa dia sebak rambut ala-ala westlife dia tu ke belakang. Lepas tu, adalah seorang dua yang tenganga mulutnya. Siap puji-puji lagi. Hensem tahap membunuhnya Haikal buat macam tu. Tapi bagi aku, rasa nak bunuh-bunuh aje dia. Punyalah poyo lagi eksyen.

"Saya sebenarnya... sukakan awak, Mia." Haikal berterus terang semasa aku menghulurkan tangan untuk meminta buku rujukan aku. 

Automatik mata aku terus membuntang. Sumpah terkejut gila aku rasa. Haikal sukakan aku? Salah dengar ke apa ni?

Mesti kau orang ingat sekarang hati aku sedang berbunga-bunga kan? Huh! Tak ada maknanya. Apa yang aku tahu, hati aku ni macam semak-samun adalah. Eii... tak sukalah. Mamat ni gatal rupa-rupanya. Rasanya baru tahun lepas dia masuk jawi. Ada hati pulak nak bercinta tahun ni. Periksa pun tak ambil lagi tuh.

"Awak merepek apa ni, Haikal?"
"Saya tak merepek, Mia. Saya berkata jujur. Saya betul-betul sukakan awak. Tak ada orang lain dalam hati saya sekarang, melainkan awak seorang. 

Selama ni, walaupun saya tahu saya banyak peminat, tetapi saya tak pernah serius dengan mereka semua. Saya main-main aje sebab hati saya hanya ada awak aje sekarang ni." Panjang lebar Haikal mengarang ayat jiwangnya.

Aku mencebik bibir. Rasa nak muntah hijau dengar dia cakap macam tu. Tak ada maknanya aku nak rasa terharu. Rasa nak hempuk kepala orang adalah. Haikal ni, dia ciplak skrip filem mual mana ni? 

"Awak jangan main-main Haikal. Kalau Sarah dengar apa awak cakap tadi, tentu kecik hati dia." Aku mengingatkan Haikal. Bukannya aku tak tahu, Sarah sering mengutus surat dengan mamat ni. Besar sungguh harapan dia pada Haikal. Jadi sebagai kawan yang paling baik, aku tak boleh potong line Sarah. Lagipun aku memang tak nak potong jika Haikallah orangnya. Bagi percuma pun, aku terus bagi kat orang lain.

"Saya tak pernah sukakan dia, Mia. Untuk pengetahuan awak, saya dekat dengan dia pun, sebab nak dekat dengan awak. Bukannya saya nak layan sangat dengan dia tu. Saya buat semua ni, sebab nak berkenalan dengan awak. Cuma saya tak faham, kenapa awak terlalu jual mahal dengan saya." Kata-kata Haikal itu aku sambut dengan mulut yang ternganga luas. 

Ya Allah. Kalaulah Sarah dengar benda ni dengan telinganya sendiri, pasti hatinya akan remuk-redam. Baru saja aku memikirkan, tiba-tiba telinga aku menangkap satu bunyi yang datang dari arah belakangku. Segera aku berpaling. Membuntang mataku melihat kelibat itu.

"Sarah?!" soal aku, terkesima.

Saat itu, aku dapat lihat Sarah menggelengkan kepala. Ada ketawa sinis yang cuba dibuat-buat di bibirnya. Aduh... mesti dia sangka yang bukan-bukan fasal aku.

"Mia, terima kasih sebab buat saya macam ni. Selama ni, saya betul-betul percayakan awak. Tapi tak sangka pula awak akan tikam saya dari belakang."

"Sarah? Awak cakap apa ni? Saya rasa awak dah salah anggap. Sebenarnya saya dan Haikal tak ada..." Aku tidak sempat menghabiskan ayat bilamana Sarah memintas.

"Cukup Mia! Saya tak nak dengar apa-apa lagi. Hati saya hancur sangat sekarang." Sarah melontarkan pandangan ke arah Haikal. "Haikal, terima kasih sebab berterus terang. Baru saya sedar bahawa saya seorang yang terhegeh-hegeh selama ni. Tapi jangan risau. Mulai dari hari ni, saya takkan kacau awak lagi."

Sarah berpaling pula ke arah aku. Entah kenapa, aku rasa mahu menangis aje masa tu. Jantung aku berdebar-debar. Jangan Sarah. Jangan ucapkan apa yang saya tak mahu dengar.  

"Kita putus kawan, Mia." Sarah mengucapkan lalu meninggalkan aku. 

Saat itu, terasa bagai ada tujahan kilat menikam tepat ke jantung aku. Sakitnya hanya Allah saja yang tahu. Aku  terus melurut ke bumi. Sesak sungguh rasa nafasku. Tanpa mampu aku tahan, air mata sudah mengalir laju. Sejak hari tu, hubungan kami terus menjadi dingin.

'Sarah... aku betul-betul rindukan kau.' Aku bermonolog di dalam hati. Hanya helaan nafas berat yang mampu aku hembuskan saat ni.






Ulasan