2/05/14

Rina Oh Rina

Teks: Siti Khatijah Diana

Malam ini sunyi seperti malam-malam sebelumnya. Tiada lagi sebarang bunyi kedengaran. Baik di luar, mahupun di dalam rumah.Yang tinggal, hanya dia. Bunyi dia yang bernafas seorang diri. 

Tapi semuanya sudah terlambat. Kalaulah dulu dia menghargai kehadiran wanita itu, tentu dia takkan jadi begini. Otaknya kosong. Tak ada isi. Tak ada benda yang mampu difikir-fikirkannya lagi. Sama dengan rakan-rakannya yang berada di dalam wad tempoh hari.

Keletang-keletung. Keletang-keletung.

Rina mengeluh kasar. Rasa bengkak benar hatinya sekarang. Dari petang lagi, tak habis-habis hanya bunyi itu yang kedengaran. Mahu apa lagi? Perlu ke sampai ke malam bermain dengan peralatan bodoh tu? Bodohlah sebab tak pernah berikan kekayaan pun. Setakat boleh suap nasi tiga empat mulut, apalah sangat.

"Mak!" Rina menengking. "Apa ni mak? Orang nak belajarlah. Minggu depan orang nak periksa. Mak tahu tak, mak dah ganggu orang. Nak belajar pun tak senanglah."

Emak berpaling takut-takut. Berhenti terus dia dari menguli doh untuk dibuat karipap. Dia tak sangka, perbuatannya telah membuatkan Rina tidak senang hati.

"Mak minta maaf, Rina. Mak tak sengaja. Mak fikir kamu tak apa-apa. Mak buat kuih kesukaan kamu nak. Dan kuih untuk jualan mak esok." Emak bersuara cuak.

Mana mungkin emak memarahi Rina walaupun jelas dia berkurang ajar. Bagi emak, hanya Rinalah satu-satunya buah hatinya sekarang. Jadi kalau boleh, dia mahu menjaga hati Rina sebaiknya. Biarlah dia mengalah. Asalkan Rina gembira dan tidak kacau jiwanya.

"Argh! Mak ni, tak habis-habis dengan karipap bodoh mak tu. Mak ingat orang puji kuih mak tu, mak boleh jadi kaya ke? Tak pun kan? Jadi, dari mak menghabiskan masa buat perkara yang sia-sia tu, lebih baik mak pergi cari kerja lain. Sekurang-kurangnya, mak tak ganggu Rina nak belajar. Ni tak, sepanjang masa asyik duk buat  bising sampai ganggu orang nak belajar" Rina menghamun emak sesuka hati.

Emak memang seorang yang naif. Memandangkan dia buta huruf, jadi dia tak ada keupayaan untuk berfikir seperti manusia-manusia lain yang pernah bersekolah. Cadangan Rina itu disambut tanpa sebarang alasan. Emak turun dari rumah, lalu ke bandar untuk mencari pekerjaan yang sesuai untuk dirinya. Emak mengambil upah sebagai tukang sapu sampah di sebuah pasar basah tidak jauh dari kampungnya.

Hari demi hari berlalu. Rina sangat selesa berkeadaan sebegini. Kan bagus kalau emak tak ada dekat rumah langsung. Rasa bahagia hidup. Tak perlulah lagi dia terganggu dengan perbuatan-perbuatan emak yang menyerabutkan hati. Orang tua memang begitulah agaknya. Sering menyusahkan daripada memudahkahn.

Belum habis pun Rina menikmati hidup bahagia tanpa perlu diganggu sesiapa, tiba-tiba rumahnya dimasuki orang. Ada tiga orang kesemuanya. Dan mereka ialah lelaki. Rina terpinga-pinga. Namun dalam masa yang sama, hatinya sudah berdegup tidak sekata.

"Bos! Saya rasa lebih baik kita sembunyi kat sini dulu. Nampak macam selamat." Lelaki yang ada kesan cedera di mukanya itu, berkata-kata sambil meliarkan pandangan ke arah sekeliling.

Baru sebentar tadi, mereka bertiga telah dikejar oleh pihak polis. Bosnya cedera di kaki sebab ditembak, manakala dia dan sahabat yang seorang lagi, hanya cedera ringan saja.

Saat memandang ke arah sekeliling, ketika itulah pandangan mereka terserempak dengan seorang gadis. Gadis itu sedang memandang mereka dalam keadaan terkejut. Ada riak wajah pucat pada air mukanya. Mereka pun turut pucat kerana wajah mereka turut dikenali sama.

Memandangkan bukan orang baik yang singgah, jadi apalagi yang akan berlaku? Mana logik lelaki yang cedera pada mukanya itu akan masuk ke dapur untuk membuat air. Mana mungkin lelaki yang cedera ditembak itu, akan meminta minyak urut untuk disapu ke lukanya. Lelaki yang seorang lagi, tak payah cakaplah. Dialah yang beri idea awal-awal bahawa peluang baik tidak harus dilepaskan.

Dan semua itu pun berlalu. Rina sudah terkulai layu. Saat ini baru dia sedar, bahawa bunyi-bunyi yang dilakukan oleh emak sebelum ini, sebenarnya tidak patut dihentikan langsung. Jika tak, pasti ketiga-tiga lelaki durjana itu tidak akan menjadikan tempat tinggal dia sebagai tempat persembunyian.

"Mak..." ada air mata yang mengalir dari kelopak mata. Saat ini, hanya wanita itulah yang dimahukannya. Saat ini, hanya wanita itu yang mahu dipeluk olehnya. Saat ini...

"Rina! Oh Rina." Suara ketua kampung, kedengaran jelas di cuping telinga.

Rina cuba untuk bangkit. Namun disebabkan tidak berdaya, dia hanya mampu terduduk. Wajah ketua kampung, dipandang dengan rasa sebal. Sedangkan ketika itu, riak wajah ketua kampung, lebih sebal daripada riak wajahnya.

"Emak kamu kemalangan, Rina. Dia dah meninggal."

Petir seakan memanah tepat ke jantung Rina. Tangannya menggigil menekup mulut sendiri. Nafas Rina sudah tidak sekata. Segala urat sendiri Rina terasa lemah. Tidak sampai sesaat, Rina terjelepok ke bumi.

Sedar-sedar saja, Rina sudah menjadi penghuni di hospital ini.  




3 ulasan: