Ulasan Buku Asam Pedas Untuk Dia

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Google




Ulasan buku kali ini adalah terbitan syarikat gergasi di Malaysia iaitu Alaf 21. Tajuknya ialah Asam Pedas Untuk Dia. Karya ini ditulis oleh penulis yang bernama Nureen Mirza.

Buku ini mengisahkan tentang seorang wanita yang bernama Ainin Sofiya. Ainin ialah seorang wanita yang telah kematian suami. Ainin turut mempunyai seorang anak yang masih kecil. Dan dia juga tinggal bersama emak dan adiknya yang kurang upaya di dalam sebuah rumah sewa yang agak kecil.

Kesempitan hidup membuatkan Ainin terpaksa menjual nasi lemak dan kuih. Apabila pendapatannya itu masih tidak dapat menampung keluarganya, Ainin membuat keputusan untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Kebetulan ketika itu, Hajah Fauziah sangat memerlukan pembantu rumah kerana pembantu rumah sebelum ini telah membuat hal. Dimudahkan cerita, dah memang rezeki Ainin untuk bekerja di rumah Hajah Fauziah itu.

Hajah Fauziah mempunyai tiga orang anak lelaki. Ziyad adalah anak sulungnya dan merupakan hero dalam cerita ini. Pada satu hari, Ziyad memutuskan untuk bernikah dengan Ainin kerana ingin membantu Ainin yang mengalami masalah kewangan.

Ainin bersetuju namun dia turut dikenakan syarat supaya merahsiakan perkahwinan ini. Lama-kelamaan, mereka jatuh cinta namun disebabkan tidak yakin, masing-masing menyembunyikan perasaan sendiri. Masalah timbul apabila Ziyad terpaksa menunaikan janji untuk bernikah dengan kekasihnya, Syafinaz. Ziyad berada dalam dilema untuk membuat keputusan kerana cinta dan sayangnya sudah berpindah kepada Ainin sepenuhnya.

Secara keseluruhan, saya rasa cerita Asam Pedas Untuk Dia ini adalah sebuah kisah yang sangat manis gitu. Gelagat Ziyad dengan Ainin adakalanya sangat mencuit hati. Seorang merajuk, seorang lagi tukang pujuk. Gaya bahasanya juga santai dan plot cerita disusun dengan teratur membuatkan kita mahu menyelak muka surat demi muka surat.

Apapun, cerita ini happy ending. Tahniah kepada penulis. :)

Ulasan