Bab 1
Kring!!!
Kurus semangat! Terkejut gila aku
dibuatnya. Rasa macam terbelah empat bahagian jantungku tadi. Dahlah waktu tu,
aku tengah bermimpi kena kejar dengan perompak. Fuh. Nasib baik.
Sejenak, mataku lama memandang ke atas.
Merenung beberapa kata-kata yang sengaja aku bingkaikan untuk tatapan diri.
Rasanya kat Malaysia ni, jarang orang amalkan apa yang aku buat. Tapi untuk
pengetahuan, inilah cara aku memotivasikan hidup.
Setiap pagi, sejurus saja buka mata,
memang 3 senarai kata itu adalah perkara pertama yang aku pandang. Tajam tepat
hingga menusuk ke hulu hati. Seolah-olah semua itu memberikan aku satu kuasa
dan semangat baru untuk meneruskan hari-hariku.
Tidak lama selepas itu, barulah tubuhku
mula menggeliat malas. Mulut yang ternganga luas, dikatup dengan tangan kanan.
Tak payah kerling pun, aku dah masak pukul berapa sekarang. 6 pagi. Memang aku
selalu kunci jam awal untuk bangun. Nak kata bangun awal sebab nak berjemaah di
masjid, nampak sangat berbohong.
Tapi dalam malas-malas pun, dua rakaat
tetap aku laksanakan. Bak kata orang yang nyanyi lagu Sepohon Kayu,
Walaupun
hidup seribu tahun,
Kalau
tak sembahyang,
Apa
gunanya.
Nak tak nak, solat itu wajib. Solat itu
tiang agama. Solat dapat mencegah diri daripada melakukan kemungkaran. Agaknyalah
kan, kalaulah aku ni jenis manusia tak jaga solat, dah lama kot aku ni jadi
penyamun. Tak pun perompak yang macam dalam mimpi aku tadi. Hish...
nauzubillah.
Okeylah. Tak naklah nak membebel
panjang-panjang. Badan pun rasa melekit semacam dah ni. Aku pantang kalau badan
sendiri bau busuk. Badan orang lain, memang aku tak ambil tahu. Terpulang nak
bau tuak masam ke, pahit peria ke, aku tak kisah. Janji, badan aku bau wangi.
Batang tubuh sudah berdiri tegak di
birai katil. Sempat aku melakukan senanam kecil untuk meregangkan otot. Tuala
yang tersangkut di dinding, segera aku capai. Lalu kakiku mula mengatur langkah
menuju ke bilik air.
Bam!
Okey. Pintu ditutup. Setakat ni dulu
cerita pasal aku. Hal privasi macam ni, rasanya tak payah nak kongsi lebih-lebih.
Manusia ni, bukannya boleh percaya sangat. Lebih kuah dari sudu. Bukan sekali
dua aku kena dengan orang macam tu. Dah berkali-kali. Naik cemuih.
Lalalala....
Beberapa minit kemudian...
Pintu bilik air, kubuka perlahan. Fuh...
nyaman dan segar rasa tubuh. Kemudian, aku keluar dari bilik air menuju ke satu
sudut. Setelah tuala digantikan dengan kain pelekat, dan tubuh berbalut t-shirt
lengan pendek berwarna putih, aku segera mengangkat takbir. Maka selesailah
satu urusanku pada pagi itu.
Selesai saja solat, aku terus menuju ke
arah cermin besar yang tergantung di dinding kamar. Deoderan dikenakan. Pewangi
jenama Polo aku sembur ke sekitar tubuh. Selepas itu, barulah aku mengenakan
kemeja lengan panjang yang dah siap bergosok kemas. Dipadankan dengan seluar
slack berwarna hitam.
Tapi jangan ingat semua benda dah
settle. Tang yang lepas ni aku paling
malas nak hadap sekali. Nak tahu apa? Tunggu... nanti aku turun ke bawah, kamu
tahulah apa yang aku maksudkan.
“Morning Arash...”
Aku tersentak. Celah mana pulak mama
datang ni? Tiba-tiba saja boleh muncul. Menakutkan orang betul.
“Pagi ma... awal bangun.” Aku membalas
ala kadar.
Sepintas lalu, wajah mama yang manis,
kupandang dengan penuh kasih. Mama, walaupun umurnya hampir melepasi setengah
abad, tapi air mukanya tetap menawan dan cantik. Aku tak pastilah aku yang ikut
baka dia ke atau dia yang ikut baka aku.
“Mestilah
mama bangun awal. Ni semua kamu punya pasallah.” Tak semena-mena, pernyataan
itu keluar daripada mulutnya.
Aku tergamam sambil berkerut dahi.
Haish... dia dah mula dah. Pagi betul enjinnya panas hari ni. Tahan telingalah
aku kali ni. Sabar Arash.. itu mak kau. Bukan orang lain.
“Apahal salah Arash pulak?”
“Yalah... kalau Arash tak pergi office
awal, tak adalah mama perlu bersusah payah bangun awal macam ni.” Dia berkata
sambil menyapu roti yang baru lepas dibakarnya.
Ada senyuman kulihat meleret di bibir
mama. Aku tak pasti, mama sedang menyindir atau menegur. Tapi apa yang aku
tahu, hati aku sebak dengan jawapan itu.
Walaupun mama sama seperti ibu orang
lain yang memiliki ciri-ciri semulajadi iaitu suka membebel, tapi aku tahu mama
sangat menyayangi aku. Sudah banyak kali aku pesan padanya agar tak perlu bersusah payah untuk aku. Tapi mama
tak pernah mengendahkan.
Dia selalu bangun awal sama dengan aku
semata-mata mahu menyediakan sarapan buatku. Sedangkan bukannya rumah kami tu
tak ada orang gaji pun. Kalau ya pun masakan orang gaji rumahku tak boleh
ditelan, bukannya aku tak boleh makan di luar.
Entahlah... kadangkala aku terharu
tengok pengorbanan mama terhadapku. Dia seakan masih menganggap aku ni seperti
anak kecilnya sedangkan umur aku ni dah besar panjang. Mungkin sebab hanya aku
ni seorang aje zuriat dari rahimnya. Sebab itulah dia sayang gila kat aku.
“Mama... Arash bangun awal, sebab nak
kerja. Cari duit untuk kita sekeluarga. Kalau duit tak ada, siapa juga yang
susah? Mama jugak kan? Arash tak sanggup tengok makan batu dan kayu.”
Tiba-tiba aku terdengar mama ketawa. Dia
siap cubit lagi pipiku dengan air muka geramnya.
“Kamu ni, Arash. Pagi-pagi lagi buat
lawak jenaka dengan mama. Tak ada maknanya mama nak makan kayu dan batu,
sayang. Harta papa kamu ni melambak dah. Tak habis makan untuk berapa keturunan
pun. Mengaku ajelah. Kamu tu yang workaholic sangat.”
Aku tersenyum mendengar jawapan mama.
Nampaknya perempuan yang bernama Sarimah Abdul Wahab itu benar-benar ibu
kandungku. Masak benar dah dia dengan perlakuan aku. Ya. Aku mengaku aku
seorang yang kuat bekerja.
“Okeylah tu mama. Dari Arash buat benda
yang bukan-bukan, mama jugak yang sakit kepala,” kataku seraya melabuhkan
punggung di sebelahnya.
Pinggan yang berisi beberapa roti yang
sudah disalut jem dan mentega, disuakan ke arah aku. Aku mengucapkan terima
kasih kepadanya. Mama hanya membalas dengan anggukan dan senyuman. Tidak lama,
roti bersalut jem strawberi menjadi pilihanku untuk dimasukkan ke dalam mulut.
“Arash...”
“Ya ma.”
“Mama nak cakap satu perkara dengan
kamu, nak.”
Pandangan mama sudah terlontar
sepenuhnya terhadapku. Dia tidak menjamah mana-mana pun juadah yang terhidang.
Bermakna, hal yang ingin dibincangkan bukan satu perkara santai.
Jauh di sudut hati, aku seperti dapat
menghidu apa yang mahu diperkatakan itu. Kerap juga dia mengulang hal tersebut
sejak kebelakangan ni. Namun aku cuba berlagak tenang dan menyedapkan hati
sendiri. Manalah tahu kali ni dia nak sebut tentang perkara lain pulak kan.
Siapa tahu.
“Bila Arash nak mengakhir zaman bujang?”
Saat itu, jem strawberi yang berada
dalam mulut tiba-tiba rasa seperti racun tikus. Terus aku terbatuk-batuk. Berair-air
mata sebab bergelut nak telan roti yang tak sempat kunyah tadi. Nayalah. Mama
ni memang ada niat nak bunuh anak kandung dia sendiri ke?
“Arash... kamu tak apa-apa?” Laju tangan
mama mengusap belakang badanku. Suaranya bernada cuak tanda bimbangkan
keselamatanku. Oh. Tahu takut, tadi beria nak pendek nyawa anak sendiri tu
kenapa?
“Mama... kan Arash dah pesan banyak
kali, jangan bincang pasal ni lagi. Tengok kesannya. Sampai tersedak-sedak
Arash. Nasib baik tak mati.” Aku mengambil kesempatan untuk membebel pula.
Inilah yang aku paling tak suka jika
bersua muka dengan mama. Bukan sebab aku bencikan mama. Tapi aku sangat tak
gemar jika mama mengungkitkan perkara yang sememangnya menjadi pantang buat
aku. Sebelum ini, mama sendiri sedia maklum akan perkara itu. Tapi kali ni, dia
seperti tak mahu endahkan pula.
“Mama bukannya apa, Arash. Mama cuma nak
tengok hidup kamu terjaga. Takkanlah asyik mama aje yang nak pantau makan dan
minum kamu? Kalau kamu ada isteri, sekurang-kurangnya isteri kamu boleh
tengok-tengokkan nanti.”
“Ala mama ni... tak ada isteri pun Arash
boleh buat semua tulah. Baju kerja Arash pun, Arash yang gosokkan. Setakat
sarapan, makan tengah hari, sambil tutup mata pun Arash boleh buatlah, mama.”
“Eleh. Berlagak. Ni apa ni? Gosok apa
berkedut lagi ni?” Mama menunjukkan bahagian lengan baju aku yang jelas
berkerenyut. Macam baru lepas kena langgar lari. Agaknya aku terlepas pandang.
Sebabnya setahu aku, dah habis penghayatan dah aku gosok semalam.
“Oh... ini memang Arash sengaja tak
kosong. Kan Arash pakai kot. Mana nak nampak kedutan tu nanti.” Dengan mudah,
aku mematahkan kata-kata mama dengan jawapan yang entah apa-apa.
Mama terus buat muka. Nampak sangat dia
tak termakan dengan jawapan aku tadi. Lagipun memang dah banyak kali pun dia
dah kena tipu dengan aku selama ni. Alasan dan dalih pun dah banyak kali dia
telan. Sebab tulah dah kalis gamaknya.
“Banyak betul cekadak kamu ni kan,
Arash.”
“Hehehe. Ala mama... mama jangan
risaulah. Kalau ada jodoh nanti, Arash kahwinlah. Lagipun sekarang ni, Arash
nak tumpukan sepenuh perhatian pada kerja Arash dulu. Urusan kat syarikat tu
banyak sangat. Nanti kalau kahwin, kena jaga bini. Lepas berbini, anak pula
muncul. Bosanlah mama. Arash tak bersedia ke arah tu lagi.”
“Nak bersedia apa lagi, Arash? Kamu tahu
tak, umur kamu dah berapa? Takkanlah nak tunggu tua ganyut baru nak berbini?
Nanti semuanya terlepas.” Tinggi suara mama sebab tak senang dengan penolakan
aku kali ini.
Tapi seperti biasa, aku tak pernah ambil
hati dengan mama. Malahan, aku mampu berdepan dengan segala kemarahan dengan
penuh ketenangan lagi sabar. Tidak lama selepas itu, belakang mama aku usap
perlahan. Bebola matanya aku renung dalam-dalam.
“Mama... Arash tahu mama tertekan sebab
fikirkan masa depan Arash. Arash juga tahu, mama sebenarnya sibuk nak menantu
sebab mama bosan. Sekurang-kurangnya kalau ada menantu, dapat jugak dia jadi
peneman mama masa berbual. Betul tak?”
Sarimah Abdul Wahab memandang aku sambil
tersipu malu. Nampak sangat aku telah membaca niat hatinya dengan tepat. Tapi
tak boleh salahkan dia juga. Dia kan memang ada hak ke atas aku. Jadi dia boleh
buat apa saja yang dia rasakan mahu.
“Ya... memang itulah sebenarnya salah
satu tujuan mama. Tapi kamu jangan salah anggap, Arash. Mama buat semua ni
untuk kepentingan kamu juga. Mama nak tengok kamu bahagia.”
Mama nak tengok aku bahagia?
‘Mama... kalau mama nak tahu, kahwinlah
yang akan membuatkan hidup Arash sengsara. Arash tak suka orang yang Arash tak
kenal masuk dalam hidup Arash. Arash tak suka hidup dikongkong.
Kalau dapat bini baik, tak apalah jugak.
Cuba mama bayangkan, kalau Arash dapat bini yang suka gusti Arash? Mama tak
kesiankan Arash? Mama suka tengok anak mama ni lebam-lebam biji mata keesokann
harinya?’ Aku bermonolog di dalam hati.
“Jadi macam mana?”
Soalan mama itu menyentakkan aku
daripada terus berkata-kata. Hajat di hati, nak mengeluarkan monolog itu dalam
bentuk suara. Biar mama dengar isi hatiku apa. Tapi takut pula kena pulas
telinga dengan mama. Nak tak nak, aku kenalah tolak secara baik dan halus.
“Tak ada calon lagilah mama.” Aku
berkata sambil meneguk air susu rendah lemak. Hendak sambung makan roti pun,
rasa macam dah tak berselera. Siapa suruh mama bangkitkan hal macam ni masa aku
tengah makan? Mama oh mama.
“Yang tu kamu jangan risau, Arash. Mama
sendiri ada calon-calon yang sesuai buat kamu. Ramai. Anak kawan-kawan mama,
semuanya beratur nak tunggukan kamu. Cakap aje kamu on, bila-bila masa aje masa
wassap kawan-kawan mama suruh anak dia orang bersedia.”
Mak aih?! Bersedia? Main lumba lari ke
apa ni. Takkanlah semua anak kawan mama tu boleh beratur sebab nakkan aku? Apa
yang dah berlaku sebenarnya ni? Adakah sebab aku ni hensem sangat, sampai
mereka sanggup beratur macam tu? Hish. Tak logik, tak logik.
Buat seketika, kami berdua tidak
bersuara apa-apa. Namun mama langsung tidak mengalihkan pandangannya daripada
memandang wajahku. Aku tahu, dia terlalu mengharapkan jawapan yang mampu
memuaskan hatinya daripada mulutku.
“Mama... Arash nak tanya mama sesuatu.”
Aku berpaling lalu menghadapnya yang berada di sebelah.
“Apa dia sayang?”
“Mama pernah masuk bilik Arash kan?”
“Yang tu tak payah tanya pun tak apa.
Setiap hari mama masuk bilik kamu. Kalau bukan mama yang kemaskan, siapa lagi
yang nak buat. Dah orang gaji, kamu pulak yang tak nak bagi masuk.”
Aku tersengih malu. Selamba badak aje
mama bidas aku lagi. ‘Ikhlas’ betul dia memarahi aku pada hari ni. Sabarlah
duhai hati. Tahankan telinga. Kuatkan dada.
“Arash nak tanya, mama ada nampak tak
prinsip yang Arash letakkan dalam frame kat katil Arash tu?”
“Mestilah nampak. Disebabkan prinsip
tulah, kamu semakin berjaya sekarang. Mama rasa bangga sangat dengan kamu, nak.
Selepas papa meninggal, kamu berjaya ambil alih tugas syarikat dengan sangat
baik. Mama yakin, papa pun mesti bangga dengan kamu.”
Pujian yang mama berikan langsung
membuatkan aku tersengih lebar. Nasib baik tak kembang. Baguslah kalau mama sedar
tentang perkara tu. Tak perlu aku susahkan diri meraih pujian melambung
daripadanya.
“Memang dengan prinsip itulah, Arash
pegang sampai sekarang. Satu, bekerja sungguh sampai mati. Dua, biar gila
kerja, jangan gila betina. Yang terakhirnya...” Aku menggantung ayat di situ.
Saat ni, entah kenapa aku dapat rasa
yang hormonku mula tak stabil. Sebab dalam-dalam banyak prinsip yang ditulis,
aku paling tak suka dengan prinsip yang ketiga. Ada sebab kenapa aku terlalu
bencikan prinsip itu walaupun ia tak dinafikan menjadi pembakar semangat untuk
aku teruskan hidup.
“Yang terakhirnya apa?” Mama buat-buat
bertanya. Sedangkan bukannya dia tak pernah baca pun sebelum ni.
“Tak payah cakaplah. Buat sakit hati.”
Terus suaraku berbunyi garang.
Tiba-tiba, mama bersuara ke arahku
dengan nada turun naik. Ada nada menyindir jelas kedengaran. Sajalah tu mahu
bakar perasaan aku.
“Yang terakhir tu berbunyi, jauhi
makhluk hantu bernama Rizzana. Yang tu, memang sampai sekarang mama tak faham.
Kenapalah kamu buat moto macam tu, Arash? Siapa budak yang bernama Rizzana tu?”
Mama segera bertanyakan soalan itu kepadaku.
Terdengar saja nama itu disebut, terus
leherku rasa berbahang. Darahku tiba-tiba rasa mendidih. Kalaulah tuan punya
nama ada depan mata, memang dah lama aku ganyang puas-puas. Sekurang-kurangnya,
biar lega sikit rasa sakit hatiku ni.
Kalau semua nak tahu, inilah salah satu
sebab kenapa aku begitu anti dengan makhluk bernama wanita. Sebab itulah sampai
sekarang aku tak kahwin-kahwin. Semuanya gara-gara dia. Dialah yang membuatkan
aku jadi takut untuk berhadapan dengan makhluk dari spesis hawa ni.
“Mama... Arash nak gi kerja dululah. Dah
lewat ni.” Mahu mengelak daripada menjawab soalan itu, aku segera berdalih. Aku
bangunkan tubuh lalu menundukkan ke arah mama. Pipinya kucium kiri dan kanan.
Aku menuju ke tempat letak kasut yang
terletak berdekatan pintu. Kasut jenama Dr.Cardin aku kenakan.
“Ala... nantilah dulu. Mama tak habis
cakap lagi ni. Macam mana dengan soal kahwin tu?”
“Arash tak nak bincang lagi. Tak pun
macam ni, kalau mama still rasa bosan, apa kata mama aje yang kahwin. Boleh juga
Arash dapat daddy baru. Arash tak kisah, asalkan mama tak paksa Arash lagi.”
Pantas aku memberikan cadangan.
Mata mama terjegil. Barangkali dia
terkejut dengan jawapan aku. Ketawaku mahu terburai tapi aku berusaha untuk
menahannya. Mama, mama... bertahanlah ya dapat anak macam Arash ni.
“Bertuah punya anak. Lain yang disuruh,
lain pula yang dapat.” Mama merungut memarahi aku.
Saat itu, aku sudah meloloskan diri ke
dalam kereta. Tak perlu panas enjin, aku terus memecut laju meninggalkan mama.
Mama ni sungguhlah... dia yang bosan, aku juga yang kena kahwin. Tak patut
betul.
Sedang leka memandu, nama yang tak ingin
diingati tadi terus bermain di fikiranku. Rizzana. Jujur, memang aku benci nama
tu sangat-sangat. Kalaulah mama tidak menyebutnya tadi, pasti sekarang aku
takkan terkenang-kenang.
Pin!!!
Tengok. Buta-buta aje aku kena hon
dengan orang. Entah bila masa aku cross double line. Macam manalah pengguna
jalan raya lain tak mengamuk.
“Sorry!” Aku jerit sambil mengangkat
tangan ke arah pemandu itu. Cepat-cepat aku pandu ke arah laluan yang
sepatutnya.
Haila... daripada aku merisikokan diri
ke lembah kebinasaan, lebih baik aku kerah akalku supaya berhenti memikirkan
pasal dia. Lantak dialah. Aku tak harus ambil tahu pasal dia lagi. Dia pun dah
lama tak munculkan diri. Entah hidup ke mati.
Cuma balik dari pejabat nanti, aku harus
lakukan sesuatu. Aku kena beli salotape atau liquid paper atau apa-apa saja
untuk memadamkan nama itu dalam senarai prinsip aku nanti. Taklah sakit hati
aku memandangnya.
Apapun, prinsip ketiga itu tetap akan
berada di situ sampai bila-bila. Sebab hanya itulah moto hidup sebenar seorang
lelaki yang bernama, ARASH HAQMI.
Salam ukhwah, terima kasih sudi singgah blog saya....sebenarnya, gambar pada entry saya tu ialah gambar pemandu2 motosikal yang berhenti sebentar untuk menghormati detik satu saat semasa Malaysia Berkabung pada 22 Ogos yang lepas....minta maaf kerana entry mengelirukan ya :p
BalasPadamOh, begitu. Terima kasih atas pencerahan. Insyaallah akan singgah sentiasa jika ada masa terluang. :)
PadamWow... best ni. Panjang juga 1 bab yer.... kalau As la, jenuh nak cari idea. Good job:)
BalasPadamBerdenyut jugak kepala nak karang. T_T
PadamTerima kasih As sudi baca. :)