Bab
3
“So,
macam mana dengan tender pembekalan bahan binaan kita, Nisa? Ada masalah tak?”
Aku bertanya tanpa melontarkan pandangan pun ke arah PA aku. Sekarang ni, tumpuan
aku lebih terarah kepada fail yang berada di atas meja.
“Setakat
ni, semuanya berjalan dengan lancar bos. Klien sangat berpuas hati dengan kerja
kita. Mereka siap puji lagi. Syarikat kita antara syarikat bumiputera yang
menyediakan perkhidmatan yang terbaik. Top class.” Nisa memberikan laporannya.
Aku
terus mengangkat muka. Sebuah senyuman mekar aku hadiahkan kepadanya. Memang
inilah yang aku mahu dengar. Jika klien berpuas hati, bermakna akan ada
kerjasama lagi di lain hari nanti.
Lebih
elok lagi, aku harap klien aku tu akan memperkenalkan syarikat aku kepada
rakan-rakan bisnes mereka yang lain. Biar mereka cari syarikat aku untuk
bekerjasama. Aku untung, mereka pun untung. Sama-sama bahagia. Hilanglah
sengsara. Ceh. Poyo ayat, nak muntah rasa.
“Bagus.
Berita macam nilah saya mahu dengar daripada mulut awak, Nisa. Tak sia-sia saya
bersengkang mata siang malam untuk kebaikan syarikat kita.” Aku ternganga
sejenak. Baru tersedar aku telah tersilap cakap.
“Eh
bukan syarikat kita. Maksud saya, syarikat saya. Awak mana ada saham pun dalam
syarikat ni kan?” Aku berkata dengan
nada sarkastik.
Dalam
hati, aku terus mengutuk diri sendiri. Sejak bila aku jadi baik hati nak kongsi
syarikat aku dengan orang lain pulak? Ini harta, papa aku yang punya. Papa dah
wasiatkan pada aku, jadi sekarang ni, akulah pemilik mutlak segala harta semua
tu kan? Muahahaha. Dalam hati, aku dah gelak jin.
Air
muka Nisa berubah menjadi keruh. Ada cebikan mulut sedang dilakukannya.
Senget-senget hidungnya seolah-olah menggambarkan rasa tak puas hati. Agaknya
sekarang ni, dia sedang menyumpah seranah aku dalam hati.
Okey.
Aku mengaku ini memang satu kelemahan aku. Aku sendiri perasan, sejak bergelar
bos besar di syarikat, aku sedar yang kepala aku ni jadi berangin sikit. Senang
cerita, aku ni boleh dikategorikan sebagai garang dan pemarah. Selain itu, aku
sendiri pernah jugak terdengar khabar angin ada yang menggelarkan aku sebagai
mamat puaka. Agaknya sebab mulut aku nilah kot.
Korang
bayangkanlah sendiri. Macam mana aku tak mengamuk kalau dah beberapa kali aku
boleh terserempak mereka sedang bergayut dengan telefon syarikat sesuka hati?
Kalau urusan pejabat tu tak apalah juga. Ini telefon suamilah, anaklah, bangla
jual karpetlah sebab nak minta tangguh bayar hutang.
Aku
ni dah kira baik sangat sebab sembur guna bisa lidah aje. Kalaulah aku jadi
puaka betul, memang dah lama dorang aku berhentikan. Terus terang, aku memang
tak tergamak nak buat semua tu. Takut pula jejaskan pendapatan dorang. Tapi
mereka tulah yang aneh. Ada hati lagi nak kutuk aku. Hish... sabar ajelah.
Letih
memikirkan karenah para pekerjaku, aku memalingkan wajahku ke arah skrin
komputer pula. Tengah kusut macam ni, selalunya aku redakan dengan bermain game
komputer untuk seminit dua. Baru rasa tenang sikit otakku ni.
“Oh
ya. Terlupa pulak. Nisa, kamu boleh keluar sekarang.” Aku segera memberikan arahan
kepada Nisa. Boleh pulak aku tak terperasankan dia tadi. Hish... nasib baik tak
korek hidung lepas tu sapu.
Anehnya,
Nisa tidak segera menuruti arahanku seperti selalu. Nampaknya, dia seperti ada
perkara lain yang mahu dibincangkan dengan aku lagi.
Aku
mula rasa tak senang hati. Hah sudah... jangan-jangan, dia nak minta kenaikan
gaji tak? Mentang-mentanglah projek syarikat aku asyik untung aje sejak
akhir-akhir ni, pandai betul dia mencari peluang untuk pau aku.
“Bos...”
Takut
mendengar permintaan seperti itu, aku segera buat pekak badak. Tanganku laju melarikan
tetikus bagi memberi gambaran bahawa aku sedang asyik bermain. Harap-harap dia
fahamlah aku tak mahu diganggu. Sebenarnya bukan aku tak mahu diganggu, aku
cuma tak mahu dengar dia minta kenaikan gaji.
Bukannya
aku tak tahu. Kalau aku tergerak hati nak naikkan gaji dia, pasti berita ini
akan sampai kepada para pekerja lain pula. Lepas tu, mulalah mereka nak
mengendeng-ngendeng nak bodek aku suruh naikkan gaji mereka pulak.
Kesudahannya, sampai jaga pintu pun jumpa aku. Elok-elok syarikat untung, terus
rugi sebab semua pekerja nak minta naik gaji. Banyak cantik.
“Bos...”
Sekali
lagi suara Nisa kedengaran memanggil. Maka sekali lagilah aku buat-buat pekak.
Haih. Tak reti bahasa ke? Orang dah tak sudi nak layan, pergilah. Karang nak
halau, tak tergamak pulak. PA aku tu.
“Bos,
saya nak berhenti.”
Luahan
Nisa itu, ternyata membuatkan aku tergamam. Terus aku larikan pandangan untuk
menatap wajahnya.
Saat
itu, Nisa bergerak merapati meja. Dia mengeluarkan sepucuk surat lalu
diletakkan di atas meja berhadapan denganku. Air mukanya tampak sedih bercampur
dengan serba salah. Benarkah apa yang dimaksudkan dengan kenyataannya tadi? Aku
tertanya-tanya.
“Awak
cakap apa ni, Nisa? Saya tak faham.”
“Saya
nak berhenti kerja, bos. Ni notis 24 jam saya.”
Serius,
berita ini sangat mengejutkan aku. Aku tak sangka Nisa akan berhenti secara
mendadak macam ni. Setahu aku, dia dengan aku tak ada masalah pun. Dia buat
kerja dia, aku buat kerja aku. Kebajikan dia pun, rasanya tak pernah aku
abaikan.
Selama
ini pun, aku sendiri tak pernah dengar Nisa ada merungut pasal aku. Tapi
belakang aku, aku tak tahulah pulak.
“Tapi
kenapa? Awak dah tak suka bekerja dengan saya? Atau awak ada tawaran kerja yang
lebih baik daripada saya?” Lirih suaraku bertanya.
Timbul
sikit rasa menyesal dalam hati. Agaknyalah, kalaulah aku tak garang macam
sekarang, pasti Nisa takkan ambil tindakan drastik macam tu. Salah akulah ni.
Memang salah aku.
“Bukan
macam tu bos.”
“Habis
tu macam mana?”
“Sebenarnya
bos, jujur dari lubuk hati saya, saya sangat senang hati dapat bekerja dengan
orang macam bos. Walaupun mulut bos ni adakalanya macam nak kena cabai, tapi
saya tahu hati bos baik. Bos selalu jaga keperluan dan kebajikan saya.” Nisa
meluahkan dengan nada penuh keikhlasan.
Aku
terharu bercampur sakit hati mendengar ucapan daripada mulut Nisa. Sempat lagi
dia mengutuk dalam pujian yang diberikan. Ikutkan hati, nak aje aku melenting.
Tapi mengenangkan isu perletakan jawatan Nisa, aku jadi tak tergamak nak
marahkan dia.
Apa
yang lebih penting sekarang ni, aku harus menggagalkan niat Nisa untuk
meletakkan jawatan. Aku akan melakukan apa saja untuk membuatkan dia stay bawah
aku. Bukan senang nak cari pekerja sekarang ni. Terutama PA yang dah lama
bekerja dengan kita.
“Saya
berhenti sebab suami saya yang suruh. Suami saya nak sambung belajar kat Sabah.
Jadi nak tak nak, terpaksalah saya ikut dia.”
Alahai...
suami dia rupanya dalang di sebalik semua ni. Mati-mati ingat dia dapat tawaran
menarik dari syarikat mana-mana tadi. Tapi perlu ke sampai berhenti kerja?
Biarlah kalau suami dia nak belajar pun, tapi tak perlulah heret isteri sekali.
“Awak
tak payahlah berhenti, Nisa. Awak kerja aje kat sini. Kalau suami awak nak
belajar, biarlah dia. Dia berhak nak majukan diri dia.” Aku cuba menasihati
walaupun aku sendiri tak pasti sama ada betul atau tidak tindakan aku ni.
Nisa
memandang aku dengan wajah yang berkerut. Tajam bebola matanya menikam anak mataku.
Aku dapat rasa mataku mula pedih-pedih. Nampak gayanya, aku telah menempah
maut.
“Eh
bos. Overlah pulak bos ni. Mana lebih penting untuk saya ikut? Arahan suami ke,
arahan bos?” Ada nada perlian maut di situ.
Aku
tersengih mendengar kata-kata sinis Nisa. Hidup-hidup aku kena ‘bantai’ dengan
dia hari ni. Mujurlah orang lain tak dengar. Kalau tak, jatuh air muka aku
sampai ke tapak kaki.
Namun
begitu, aku tetap tidak mahu mengalah. Nisa harus aku pujuk sedaya upaya agar
dia tetap menjadi PA aku.
“Macam
nilah... apa kata saya naikkan gaji awak? Saya...” Aku tak sempat habis
berkata-kata apabila Nisa mula menjampuk.
“Bos...”
Kan
aku dah cakap aku takkan mengaku kalah. Jadi, aku jampuklah kata-kata dia
balik. Kalau dia nekad nak berhenti, aku lagilah nekad nak halang dia daripada
berhenti. Kita tengoklah siapa yang akan menang nanti. This is War.
“Dengar
dulu apa saya nak cakap ni. Saya akan naikkan gaji awak sebanyak seratus
peratus. Hah. Banyak tak? Tak pernah dibuat orang kan. Rugi tau kalau awak
tolak offer saya ni,” kataku diiringi dengan sebuah senyuman kemenangan.
Ikutkan
hati, berat hati, jantung dan limpa nak tawarkan peratusan macam tu. Tapi nak
buat macam mana. Aku memang dah terdesak sangat nakkan Nisa stay jadi PA aku. Bukannya
tak boleh aku gaji orang lain. Cuma aku tak mahu buang masa. Nanti kalau ambil
orang baru, kena ajar itulah, inilah. Kan makan masa tu.
Nisa
kedengaran mengeluh. Wajahnya berubah menjadi semakin tertekan. Aku tahu dia
sedang tersepit dengan keadaan. Kalau dia menolak tawaranku, maka rugi besarlah
dia. Ala... apa nak dikisahkan. Nanti dah ada gaji besar macam tu, bolehlah
melawat suami dia selalu kat Sabah tu. Tak gitu?
“Bos...
bos dah buat saya serba salah tahu tak?” Nisa merungut.
Tahu.
Sebab kalau bab-bab duit, memang tak ada satu manusia pun yang akan tolak.
Kalau tolak, memang hebatlah. Aku yang ni pun kalau tersepak duit sepuluh sen
tengah jalan pun, masih lagi kutip tau. Duit tu... tak kiralah banyak ke sikit.
Saat
itu, aku mula rasa Nisa pasti akan jatuh ke dalam perangkapku. Aku yakin dia akan
membatalkan niat dia untuk berhenti kerja lantas menerima tawaranku. Tapi
jangan ingat Nisa bijak.
Sebabnya
sekarang ni, dalam kepala aku ni dah rangka satu rancangan baik punya. Kalaulah
ditakdirkan lepas ni si Nisa tu ada buat silap sikit pun semasa bekerja, akan
aku pastikan gajinya yang dah mencanak naik tu ditolak sikit demi sikit.
Huhuhu. Nasib baiklah dia tak dapat baca fikiran aku.
“Saya
minta maaf bos. Saya tetap mahu berhenti.”
Hajat
mahu meraikan kemenangan terbantut serta-merta. Sumpah aku tak percaya dengan
kata-kata yang baru diluahkan Nisa tu. Aku ingat aku dah hampir berjaya
memerangkapnya, rupa-rupanya tidak. Cis... macam manalah boleh jadi macam ni?
Takkanlah dia tak terkesan langsung dengan tawaran menarik yang aku bagi tu?
“Duit
boleh cari bos, tapi keberkatan tu payah. Kalaulah saya ingkar arahan suami
saya, mesti saya kena laknat dengan Tuhan. Apabila kena laknat, dah tentu rumah
tangga saya akan huru-hara. Itu tak kenalah, ini tak kenalah. Kesudahannya,
saya kena tinggal dengan suami saya. Saya tak nak perkara macam tu berlaku pada
saya, bos.”
Aku
mengurut dada. Lain yang aku harapkan, lain pulak yang dapat. Percuma aje dapat
khutbah daripada seorang pekerja bawahan hari ni. Nasib kaulah Arash. Siapa
suruh cari pasal?
Saat
itu, aku hanya mendiamkan diri untuk berfikir. Rasa tak wajar dah jika aku
terus mendesak lagi. Nisa pun dah nekad gila dengan keputusannya. Betullah kata
dia. Arahan suami perlu diutamakan. Lagipun, aku tak mahu dipersalahkan
sekiranya hubungan dia dengan suaminya berantakkan nanti.
“Hmm...
kalau dah macam tu keputusan awak Nisa, saya boleh buat apa lagi. Saya terima
ajelah surat perletakkan jawatan awak ni.” Aku berkata dengan nada yang tak
rela.
Surat
itu aku capai lalu dibaca sepintas lalu. Ikutkan hati, rasa mahu keronyok surat
tu lalu lempar ke luar tingkap. Tapi takut pulak dituduh perangai macam
budak-budak. Aku ni masih ada maruah dan kemachoan.
Wajah
Nisa berubah ceria-secerianya. Lebar sungguh senyumannya sampai ke telinga.
Sekali tengok, macam orang menang peraduan dapat hadiah kereta mercedes lagi.
Dia ni betul ke berhenti sebab terpaksa? Macam gembira tahap dewa aje lepas aku
benarkan dia pergi ikut suami dia tu.
“Terima
kasih, bos. Terima kasih sebab memahami. Saya tahu, bos memang seorang majikan yang
paling baik di atas muka bumi ni.”
“Hmm
ye lah.” Aku buat muka seposen. Sempat lagi dia nak puji lepas kecewakan aku.
Tak guna betul.
“Bos
ada perlukan apa-apa daripada saya? Kalau ada, cakaplah. Boleh saya buatkan
sebelum saya menamatkan tugas saya hari ni.”
“Baguslah
kalau awak dah tanya Nisa. Ingatkan awak nak balik rumah terus.” Sempat lagi
aku perli Nisa.
Nisa
buat-buat senyum. Senyuman pahit tanpa gula. Mungkin melindungkan apa yang
tersirat di dalam dadanya. Aku tahu,
sekarang ni pasti dia tengah menggerutu marahkan aku. Yalah. Siapa suruh dia
sakitkan hati aku? Satu kerja pulak aku kena cari orang lain untuk gantikan
tempat dia. Macam manalah aku tak bengang.
“Hmm...
saya nak awak iklankan jawatan yang awak tak nak ni dekat mana-mana. Lagi cepat
saya dapat pekerja baru, lagi bagus. Lepas tu, pastikan awak settlekan semua
urusan awak sebelum awak tinggalkan pejabat. Saya tak nak buang masa nak call
awak bagai.” Aku berkata dengan tegas. Hilang terus kelembutan lidah sama yang
seperti aku gunakan sewaktu untuk memujuk dia tadi.
Apa
orang tua selalu kata. Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Orang tak nak, aku
lagilah tak ingin. Pergilah. Aku pasti akan cari orang yang seribu kali baik
daripada hang, Nisa. Pergi! Pergi!
“Baiklah
bos. Saya akan laksanakan secepat mungkin. Ada apa-apa lagi bos?”
“Tak
ada. Dah, pergi cepat. Saya ada banyak kerja ni. Saya tak mahu diganggu.” Aku
terus melarikan pandangan ke atas meja. Fail aku belek-belek laju tanda mahu
menumpukan perhatian pada urusan kerjaku pula.
Kedengaran
Nisa mengeluh perlahan. Aku tahu dia seperti mahu berbicara lagi dengan aku.
Mungkin dia rasa bersalah. Tapi lantak dialah. Aku tak mahu ambil tahu lagi.
“Saya
pergi dulu ya bos.”
Aku
langsung tak menyahut kata-kata Nisa. Nisa yang dah faham, segera pergi
meninggalkan pejabat ini.
Hilang
saja kelibat minah tu, aku terus mengeluh perlahan. Aku mengangkat wajah lalu
memandang jauh ke hadapan. Pintu pejabat aku pandang lama.
Entah
kenapa tiba-tiba saja, pemergian Nisa itu mengingatkan aku pada seseorang.
Seseorang yang dah lama menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita.
“Elis...
awak kat mana? Saya...” Sekali lagi, aku mengeluh hampa. Wajah indah pemilik nama itu, mula tergawang-gawang di ruang mata.
mamat puaka?
BalasPadamaduhai....
Bestnyaa kalau gaji saya dinaikkan 100% ;D
BalasPadam