Jangan Benci Aku Bab 3



Bab 3
“So, macam mana dengan tender pembekalan bahan binaan kita, Nisa? Ada masalah tak?” Aku bertanya tanpa melontarkan pandangan pun ke arah PA aku. Sekarang ni, tumpuan aku lebih terarah kepada fail yang berada di atas meja.
“Setakat ni, semuanya berjalan dengan lancar bos. Klien sangat berpuas hati dengan kerja kita. Mereka siap puji lagi. Syarikat kita antara syarikat bumiputera yang menyediakan perkhidmatan yang terbaik. Top class.” Nisa memberikan laporannya.
Aku terus mengangkat muka. Sebuah senyuman mekar aku hadiahkan kepadanya. Memang inilah yang aku mahu dengar. Jika klien berpuas hati, bermakna akan ada kerjasama lagi di lain hari nanti.
Lebih elok lagi, aku harap klien aku tu akan memperkenalkan syarikat aku kepada rakan-rakan bisnes mereka yang lain. Biar mereka cari syarikat aku untuk bekerjasama. Aku untung, mereka pun untung. Sama-sama bahagia. Hilanglah sengsara. Ceh. Poyo ayat, nak muntah rasa.
“Bagus. Berita macam nilah saya mahu dengar daripada mulut awak, Nisa. Tak sia-sia saya bersengkang mata siang malam untuk kebaikan syarikat kita.” Aku ternganga sejenak. Baru tersedar aku telah tersilap cakap.
“Eh bukan syarikat kita. Maksud saya, syarikat saya. Awak mana ada saham pun dalam syarikat ni kan?”  Aku berkata dengan nada sarkastik.
Dalam hati, aku terus mengutuk diri sendiri. Sejak bila aku jadi baik hati nak kongsi syarikat aku dengan orang lain pulak? Ini harta, papa aku yang punya. Papa dah wasiatkan pada aku, jadi sekarang ni, akulah pemilik mutlak segala harta semua tu kan? Muahahaha. Dalam hati, aku dah gelak jin.
Air muka Nisa berubah menjadi keruh. Ada cebikan mulut sedang dilakukannya. Senget-senget hidungnya seolah-olah menggambarkan rasa tak puas hati. Agaknya sekarang ni, dia sedang menyumpah seranah aku dalam hati.
Okey. Aku mengaku ini memang satu kelemahan aku. Aku sendiri perasan, sejak bergelar bos besar di syarikat, aku sedar yang kepala aku ni jadi berangin sikit. Senang cerita, aku ni boleh dikategorikan sebagai garang dan pemarah. Selain itu, aku sendiri pernah jugak terdengar khabar angin ada yang menggelarkan aku sebagai mamat puaka. Agaknya sebab mulut aku nilah kot.
Korang bayangkanlah sendiri. Macam mana aku tak mengamuk kalau dah beberapa kali aku boleh terserempak mereka sedang bergayut dengan telefon syarikat sesuka hati? Kalau urusan pejabat tu tak apalah juga. Ini telefon suamilah, anaklah, bangla jual karpetlah sebab nak minta tangguh bayar hutang.
Aku ni dah kira baik sangat sebab sembur guna bisa lidah aje. Kalaulah aku jadi puaka betul, memang dah lama dorang aku berhentikan. Terus terang, aku memang tak tergamak nak buat semua tu. Takut pula jejaskan pendapatan dorang. Tapi mereka tulah yang aneh. Ada hati lagi nak kutuk aku. Hish... sabar ajelah.
Letih memikirkan karenah para pekerjaku, aku memalingkan wajahku ke arah skrin komputer pula. Tengah kusut macam ni, selalunya aku redakan dengan bermain game komputer untuk seminit dua. Baru rasa tenang sikit otakku ni.
“Oh ya. Terlupa pulak. Nisa, kamu boleh keluar sekarang.” Aku segera memberikan arahan kepada Nisa. Boleh pulak aku tak terperasankan dia tadi. Hish... nasib baik tak korek hidung lepas tu sapu.
Anehnya, Nisa tidak segera menuruti arahanku seperti selalu. Nampaknya, dia seperti ada perkara lain yang mahu dibincangkan dengan aku lagi.
Aku mula rasa tak senang hati. Hah sudah... jangan-jangan, dia nak minta kenaikan gaji tak? Mentang-mentanglah projek syarikat aku asyik untung aje sejak akhir-akhir ni, pandai betul dia mencari peluang untuk pau aku.
“Bos...”
Takut mendengar permintaan seperti itu, aku segera buat pekak badak. Tanganku laju melarikan tetikus bagi memberi gambaran bahawa aku sedang asyik bermain. Harap-harap dia fahamlah aku tak mahu diganggu. Sebenarnya bukan aku tak mahu diganggu, aku cuma tak mahu dengar dia minta kenaikan gaji.
Bukannya aku tak tahu. Kalau aku tergerak hati nak naikkan gaji dia, pasti berita ini akan sampai kepada para pekerja lain pula. Lepas tu, mulalah mereka nak mengendeng-ngendeng nak bodek aku suruh naikkan gaji mereka pulak. Kesudahannya, sampai jaga pintu pun jumpa aku. Elok-elok syarikat untung, terus rugi sebab semua pekerja nak minta naik gaji. Banyak cantik.
“Bos...”
Sekali lagi suara Nisa kedengaran memanggil. Maka sekali lagilah aku buat-buat pekak. Haih. Tak reti bahasa ke? Orang dah tak sudi nak layan, pergilah. Karang nak halau, tak tergamak pulak. PA aku tu.
“Bos, saya nak berhenti.”
Luahan Nisa itu, ternyata membuatkan aku tergamam. Terus aku larikan pandangan untuk menatap wajahnya.
Saat itu, Nisa bergerak merapati meja. Dia mengeluarkan sepucuk surat lalu diletakkan di atas meja berhadapan denganku. Air mukanya tampak sedih bercampur dengan serba salah. Benarkah apa yang dimaksudkan dengan kenyataannya tadi? Aku tertanya-tanya.
“Awak cakap apa ni, Nisa? Saya tak faham.”
“Saya nak berhenti kerja, bos. Ni notis 24 jam saya.”
Serius, berita ini sangat mengejutkan aku. Aku tak sangka Nisa akan berhenti secara mendadak macam ni. Setahu aku, dia dengan aku tak ada masalah pun. Dia buat kerja dia, aku buat kerja aku. Kebajikan dia pun, rasanya tak pernah aku abaikan.
Selama ini pun, aku sendiri tak pernah dengar Nisa ada merungut pasal aku. Tapi belakang aku, aku tak tahulah pulak.
“Tapi kenapa? Awak dah tak suka bekerja dengan saya? Atau awak ada tawaran kerja yang lebih baik daripada saya?” Lirih suaraku bertanya.
Timbul sikit rasa menyesal dalam hati. Agaknyalah, kalaulah aku tak garang macam sekarang, pasti Nisa takkan ambil tindakan drastik macam tu. Salah akulah ni. Memang salah aku.
“Bukan macam tu bos.”
“Habis tu macam mana?”
“Sebenarnya bos, jujur dari lubuk hati saya, saya sangat senang hati dapat bekerja dengan orang macam bos. Walaupun mulut bos ni adakalanya macam nak kena cabai, tapi saya tahu hati bos baik. Bos selalu jaga keperluan dan kebajikan saya.” Nisa meluahkan dengan nada penuh keikhlasan.
Aku terharu bercampur sakit hati mendengar ucapan daripada mulut Nisa. Sempat lagi dia mengutuk dalam pujian yang diberikan. Ikutkan hati, nak aje aku melenting. Tapi mengenangkan isu perletakan jawatan Nisa, aku jadi tak tergamak nak marahkan dia.
Apa yang lebih penting sekarang ni, aku harus menggagalkan niat Nisa untuk meletakkan jawatan. Aku akan melakukan apa saja untuk membuatkan dia stay bawah aku. Bukan senang nak cari pekerja sekarang ni. Terutama PA yang dah lama bekerja dengan kita.
“Saya berhenti sebab suami saya yang suruh. Suami saya nak sambung belajar kat Sabah. Jadi nak tak nak, terpaksalah saya ikut dia.”
Alahai... suami dia rupanya dalang di sebalik semua ni. Mati-mati ingat dia dapat tawaran menarik dari syarikat mana-mana tadi. Tapi perlu ke sampai berhenti kerja? Biarlah kalau suami dia nak belajar pun, tapi tak perlulah heret isteri sekali.
“Awak tak payahlah berhenti, Nisa. Awak kerja aje kat sini. Kalau suami awak nak belajar, biarlah dia. Dia berhak nak majukan diri dia.” Aku cuba menasihati walaupun aku sendiri tak pasti sama ada betul atau tidak tindakan aku ni.
Nisa memandang aku dengan wajah yang berkerut. Tajam bebola matanya menikam anak mataku. Aku dapat rasa mataku mula pedih-pedih. Nampak gayanya, aku telah menempah maut.
“Eh bos. Overlah pulak bos ni. Mana lebih penting untuk saya ikut? Arahan suami ke, arahan bos?” Ada nada perlian maut di situ.
Aku tersengih mendengar kata-kata sinis Nisa. Hidup-hidup aku kena ‘bantai’ dengan dia hari ni. Mujurlah orang lain tak dengar. Kalau tak, jatuh air muka aku sampai ke tapak kaki.
Namun begitu, aku tetap tidak mahu mengalah. Nisa harus aku pujuk sedaya upaya agar dia tetap menjadi PA aku.
“Macam nilah... apa kata saya naikkan gaji awak? Saya...” Aku tak sempat habis berkata-kata apabila Nisa mula menjampuk.
“Bos...”
Kan aku dah cakap aku takkan mengaku kalah. Jadi, aku jampuklah kata-kata dia balik. Kalau dia nekad nak berhenti, aku lagilah nekad nak halang dia daripada berhenti. Kita tengoklah siapa yang akan menang nanti. This is War.
“Dengar dulu apa saya nak cakap ni. Saya akan naikkan gaji awak sebanyak seratus peratus. Hah. Banyak tak? Tak pernah dibuat orang kan. Rugi tau kalau awak tolak offer saya ni,” kataku diiringi dengan sebuah senyuman kemenangan.
Ikutkan hati, berat hati, jantung dan limpa nak tawarkan peratusan macam tu. Tapi nak buat macam mana. Aku memang dah terdesak sangat nakkan Nisa stay jadi PA aku. Bukannya tak boleh aku gaji orang lain. Cuma aku tak mahu buang masa. Nanti kalau ambil orang baru, kena ajar itulah, inilah. Kan makan masa tu.
Nisa kedengaran mengeluh. Wajahnya berubah menjadi semakin tertekan. Aku tahu dia sedang tersepit dengan keadaan. Kalau dia menolak tawaranku, maka rugi besarlah dia. Ala... apa nak dikisahkan. Nanti dah ada gaji besar macam tu, bolehlah melawat suami dia selalu kat Sabah tu. Tak gitu?
“Bos... bos dah buat saya serba salah tahu tak?” Nisa merungut.
Tahu. Sebab kalau bab-bab duit, memang tak ada satu manusia pun yang akan tolak. Kalau tolak, memang hebatlah. Aku yang ni pun kalau tersepak duit sepuluh sen tengah jalan pun, masih lagi kutip tau. Duit tu... tak kiralah banyak ke sikit.
Saat itu, aku mula rasa Nisa pasti akan jatuh ke dalam perangkapku. Aku yakin dia akan membatalkan niat dia untuk berhenti kerja lantas menerima tawaranku. Tapi jangan ingat Nisa bijak.
Sebabnya sekarang ni, dalam kepala aku ni dah rangka satu rancangan baik punya. Kalaulah ditakdirkan lepas ni si Nisa tu ada buat silap sikit pun semasa bekerja, akan aku pastikan gajinya yang dah mencanak naik tu ditolak sikit demi sikit. Huhuhu. Nasib baiklah dia tak dapat baca fikiran aku.
  “Saya minta maaf bos. Saya tetap mahu berhenti.”
Hajat mahu meraikan kemenangan terbantut serta-merta. Sumpah aku tak percaya dengan kata-kata yang baru diluahkan Nisa tu. Aku ingat aku dah hampir berjaya memerangkapnya, rupa-rupanya tidak. Cis... macam manalah boleh jadi macam ni? Takkanlah dia tak terkesan langsung dengan tawaran menarik yang aku bagi tu?
“Duit boleh cari bos, tapi keberkatan tu payah. Kalaulah saya ingkar arahan suami saya, mesti saya kena laknat dengan Tuhan. Apabila kena laknat, dah tentu rumah tangga saya akan huru-hara. Itu tak kenalah, ini tak kenalah. Kesudahannya, saya kena tinggal dengan suami saya. Saya tak nak perkara macam tu berlaku pada saya, bos.”
Aku mengurut dada. Lain yang aku harapkan, lain pulak yang dapat. Percuma aje dapat khutbah daripada seorang pekerja bawahan hari ni. Nasib kaulah Arash. Siapa suruh cari pasal?
Saat itu, aku hanya mendiamkan diri untuk berfikir. Rasa tak wajar dah jika aku terus mendesak lagi. Nisa pun dah nekad gila dengan keputusannya. Betullah kata dia. Arahan suami perlu diutamakan. Lagipun, aku tak mahu dipersalahkan sekiranya hubungan dia dengan suaminya berantakkan nanti.
“Hmm... kalau dah macam tu keputusan awak Nisa, saya boleh buat apa lagi. Saya terima ajelah surat perletakkan jawatan awak ni.” Aku berkata dengan nada yang tak rela.
Surat itu aku capai lalu dibaca sepintas lalu. Ikutkan hati, rasa mahu keronyok surat tu lalu lempar ke luar tingkap. Tapi takut pulak dituduh perangai macam budak-budak. Aku ni masih ada maruah dan kemachoan.
Wajah Nisa berubah ceria-secerianya. Lebar sungguh senyumannya sampai ke telinga. Sekali tengok, macam orang menang peraduan dapat hadiah kereta mercedes lagi. Dia ni betul ke berhenti sebab terpaksa? Macam gembira tahap dewa aje lepas aku benarkan dia pergi ikut suami dia tu.
“Terima kasih, bos. Terima kasih sebab memahami. Saya tahu, bos memang seorang majikan yang paling baik di atas muka bumi ni.”
“Hmm ye lah.” Aku buat muka seposen. Sempat lagi dia nak puji lepas kecewakan aku. Tak guna betul.
“Bos ada perlukan apa-apa daripada saya? Kalau ada, cakaplah. Boleh saya buatkan sebelum saya menamatkan tugas saya hari ni.”
“Baguslah kalau awak dah tanya Nisa. Ingatkan awak nak balik rumah terus.” Sempat lagi aku perli Nisa.
Nisa buat-buat senyum. Senyuman pahit tanpa gula. Mungkin melindungkan apa yang tersirat di dalam dadanya.  Aku tahu, sekarang ni pasti dia tengah menggerutu marahkan aku. Yalah. Siapa suruh dia sakitkan hati aku? Satu kerja pulak aku kena cari orang lain untuk gantikan tempat dia. Macam manalah aku tak bengang.
“Hmm... saya nak awak iklankan jawatan yang awak tak nak ni dekat mana-mana. Lagi cepat saya dapat pekerja baru, lagi bagus. Lepas tu, pastikan awak settlekan semua urusan awak sebelum awak tinggalkan pejabat. Saya tak nak buang masa nak call awak bagai.” Aku berkata dengan tegas. Hilang terus kelembutan lidah sama yang seperti aku gunakan sewaktu untuk memujuk dia tadi.
Apa orang tua selalu kata. Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Orang tak nak, aku lagilah tak ingin. Pergilah. Aku pasti akan cari orang yang seribu kali baik daripada hang, Nisa. Pergi! Pergi!
“Baiklah bos. Saya akan laksanakan secepat mungkin. Ada apa-apa lagi bos?”
“Tak ada. Dah, pergi cepat. Saya ada banyak kerja ni. Saya tak mahu diganggu.” Aku terus melarikan pandangan ke atas meja. Fail aku belek-belek laju tanda mahu menumpukan perhatian pada urusan kerjaku pula.
Kedengaran Nisa mengeluh perlahan. Aku tahu dia seperti mahu berbicara lagi dengan aku. Mungkin dia rasa bersalah. Tapi lantak dialah. Aku tak mahu ambil tahu lagi.
“Saya pergi dulu ya bos.”
Aku langsung tak menyahut kata-kata Nisa. Nisa yang dah faham, segera pergi meninggalkan pejabat ini.
Hilang saja kelibat minah tu, aku terus mengeluh perlahan. Aku mengangkat wajah lalu memandang jauh ke hadapan. Pintu pejabat aku pandang lama.
Entah kenapa tiba-tiba saja, pemergian Nisa itu mengingatkan aku pada seseorang. Seseorang yang dah lama menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita.
“Elis... awak kat mana? Saya...” Sekali lagi, aku mengeluh hampa. Wajah indah pemilik nama itu, mula tergawang-gawang di ruang mata.






Ulasan

Catat Ulasan