16/08/15

Adik Dah Pergi Utara

Malam ini entah kenapa hati tiba-tiba sebak. Masa hantar tadi, tak rasa pun nak nangis. Entahlah. Mungkin tak biasa berpisah jauh dengan dia. Tapi hari ini detik itu berlaku jua. Adik terpaksa balik utara. Bukan sebab PLKN. Belajar pun tidak sebab dia tak minat. Tapi sebab dah bergelar isteri orang.

Serius, perasaan itu dah lain. Masa mula-mula kahwin pun dah nampak perubahan. Adik dah jarang ada dekat rumah walau rumah yang dia duduk dengan suami selang satu baris aje. Yalah. Agaknya dia pun faham saya kekok kalau ada orang lain. Tak biasa lagi. Lagipun tak suka terkejut kena kocoh-kocoh cari tudung, kain, jaket. Kalau dulu, main taram aje. T_T

Kepada adik, marah saya selama ni, bukan tanda benci tapi mahu yang terbaik untuk kamu. Kamulah racun, kamu juga penawar hidup kami sekeluarga. Apa pun yang berlaku, kami sekeluarga tetap menyokong kamu. Kamu tetap 'baby' kami walaupun takdir kamu jauh melangkaui kami semua.

Satu-satunya harapan saya, jadilah isteri yang baik kepada suamimu. Jaga tingkah laku. Jaga niat dan hatimu. Semoga Allah merahmati perjalanan hidupmu, dik. 


4/08/15

Puisi Akulah Pemain Catur Yang Hebat

Teks : Siti Khatijah Diana
Foto : Google


Akulah pemain catur yang hebat
tangan ini bijak mengatur muslihat
segala gerak langkahmu tetap akan tersekat
walau sepintar mana kau menyusun jerat
kerana apa?
Kerana akulah pemain catur yang hebat.

Segala bidak dan buah ada di genggamanku
pion, benteng, kuda,
semua menteri-menteri
kamu tetap akan kecundang
kerana bukan kamu yang terpilih.

Usahlah bertempik,
kerana aku tetap akan memekakkan telinga.
Usahlah menasihati,
kerna takkan terpujuk hati ini.
Mogokkah kamu?
Silakan!
Kalau mahu berjuadah di dalam gelapnya malam.

Takkan kugentar dengan semua ugutanmu
kukira dan maha yakin
Tuhan tetap bersamaku
takkan mati diri ini ; sampai kiamat sekalipun
bersama semua yang menyokong aku
kecuali kamu yang menentang aku.