29/01/14

Ulasan Buku Tingkatan Tiga Di Seri Melur

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Google







Baru terperasan ulasan buku sebelum ini, saya telah meletakkan gambar yang salah. Itu cerita berkisarkan tingkatan satu dan ini adalah cerita tentang tingkatan tiga.

Seperti biasa, buku ini ditulis oleh Enid Blyton. Mengisahkan tentang pelajar-pelajar sebelum ini yang sudah meningkat umurnya dan memasuki tingkatan tiga. Kisahnya bermula apabila Sekolah Seri Melur menerima dua orang pelajar baru iaitu Zaidah dan Aminah.

Pada awalnya, Zaidah seorang yang sombong. Dia suka bermekap dan meninggi diri dengan anggapan dia memiliki bakat terpendam dalam bidang lakonan. Dia berada di tingkatan empat. Namun apabila dia sering tercicir dalam pelajaran, Cikgu Sharifah menyuruhnya turun ke tingkatan tiga.

Pelajar yang seorang lagi ialah Aminah. Dia berada di tingkatan tiga. Perwatakannya seperti seorang lelaki dan dia sendiri lebih selesa jika orang memanggil dengan nama Amin. Apa yang menariknya, semasa Aminah mula-mula masuk, dia datang dengan menunggang kuda. Dan dia sangat menyayangi kudanya itu sebab itulah dia terpaksa membawanya ke Sekolah Seri Melur.

Pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang penggal sekolah itu berlangsung. Namun mujurlah segala-galanya berubah menjadi baik. Zaidah tidak menjadi sombong malahan dia mendapat seorang sahabat karib yang bernama Maimunah. Begitu juga dengan Aminah. Dia juga tidak memikirkan lagi pasal kuda ketika belajar kerana mahu membalas jasa Cikgu Laili yang telah membantunya.

28/01/14

Ulasan Buku Misteri Kucing Pantomin

Teks: Siti Khatijah Diana


Buku ini merupakan karya Enid Blyton. Tapi ia bersiri penyiasatan berbanding dengan buku yang pernah diulas sebelum ini.

Buku ini mengisahkan lima penyiasat muda yang suka menyiasat kes-kes misteri yang terjadi di sekitar mereka. Kali ini, mereka menyiasat tentang kes kecurian wang di sebuah panggung pementasan. 

Pada awalnya, mereka menyangkakan bahawa pemakai kucing pantomin itulah yang menjadi dalang kes ini. Tetapi apabila mendapati bahawa orang itu boleh dikategorikan dungu dan bodoh, mereka terus menafikan.

Terdapat halangan sampingan seperti kehadiran Encik Goon yang selalu tidak menyenangi kehadiran mereka berlima. Mana taknya, kelima-lima mereka suka mempermainkan Encik Goon dengan menyamar menjadi orang yang tidak dikenali semata-mata untuk mengenakan Encik Goon.

Selidik punya selidik, akhirnya terbongkar juga siapa sebenarnya yang menjadi dalang dalam kes kecurian itu. Kata Tarmizi, dia melakukan perbuatan ini kerana ingin membalas dendam terhadap pengurus panggung yang sombong dan bongkak. 

Kelima-lima mereka mendapat pujian daripada Inspektor Rustam kerana berjaya menyelesaikan masalah ini dengan jayanya. Dan semakin terbakarlah hati Encik Goon yang tak pernah sukakan mereka.

27/01/14

Ulasan Buku Tingkatan Satu Di Seri Melur

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Google


Buku ini adalah tulisan karya penulis tersohor Inggeris iaitu Enid Blyton. Saya membaca versi yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Buku ini mengisahkan tentang beberapa orang pelajar yang baru mendaftar di sekolah barunya. Antaranya ialah Rozy, Maria, Betty dan beberapa orang lagi. Ia mengisahkan tentang suka duka perjalanan mereka sepanjang bergelar pelajar tingkatan satu di Sekolah Seri Melur.

Rozy adalah watak yang ditekankan dalam naskah ini. Walaupun dia mempunyai kelemahan iaitu memiliki sikap panas baran, namun dia turut memiliki sikap-sikap baik yang lain. Antaranya, prihatin, suka mengambil berat, dan peramah. Dia juga seorang yang berfikiran terbuka dan mengaku jika ada kesilapan yang datang daripadanya.

Dugaan berlaku apabila pada satu hari, Betty yang membuli Maria, telah ditampar oleh Rozy bagi memberi pengajarannya. Dalam masa yang sama, Rozy yang masih dibaluti rasa marah, tidak sengaja telah menengking ketua bilik asrama iaitu Leela. Mujurlah kes itu cepat diselesaikan apabila Rozy mudah meminta maaf daripada Betty dan Leela dan mengaku kesalahannya. Sejak hari itu jugalah, Maria mula senang berkawan rapat dengan Rozy.

Ada beberapa lagi konflik yang timbul di sepanjang pembelajaran mereka. Namun semuanya dapat diselesaikan dengan cara baik. Di samping beberapa kisah lucu yang berlaku, Enid Blyton turut menyelitkan nilai-nilai murni seperti semangat setiakawan, kepercayaan, berhati-hati memilih kawan dan sebagainya. Ia tidak dinafikan mampu membentuk peribadi kanak-kanak yang membacanya.
 







26/01/14

Ulasan Antologi Cerpen Orang Dimensi

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Google


Buku ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB. Mengandungi 16 buah cerpen dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Antara tajuk cerpen yang terkandung dalam buku ini ialah,Emak dan Kasih Ibu - Emak, Ustaz Nordin, Salmah dan Seorang Penulis Muda, Orang Dimensi dan banyak lagi.

Setelah membaca buku ini, saya mengakui bahawa saya sangat kagum dengan cara penulis ini mengolah karyanya. Beliau memasukkan banyak maklumat dalam setiap cerpennya. Walaupun adakalanya maklumat yang dinyatakan agak tinggi arasnya, namun saya boleh memahami apa yang beliau cuba sampaikan.

Penulis ini juga bijak menggunakan perbandingan yang tersirat hingga membuatkan kita sebagai pembaca cuba berfikir apa yang mahu disampaikannya. Paling yang membuatkan saya menghormatinya, beliau juga turut mengetahui ilmu tentang agama Islam walaupun beliau berbangsa India. 

Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dapat membaca karya ini. :)

24/01/14

Ulasan Buku Panduan Menulis Cerpen

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: PTS




Buku ini adalah karya Tuan Jasni Matlani di bawah terbitan PTS. Beliau adalah penulis cerpen yang aktif dan sangat berpengalaman. Selain pernah memenangi beberapa hadiah dalam pertandingan penulisan, beliau juga merupakan seorang juri bagi menilai karya yang dihasilkan oleh para pelajar. Jadi, tidak hairanlah karya ini diterbitkan mengikut apa yang telah dilalui sepanjang beliau bergelar penulis cerpen yang prolifik.

Secara keseluruhan, buku ini mengandungi beberapa perkara penting bagi seseorang yang mahu menghayati karya cerpen dengan baik, sekaligus menjadi penulis cerpen yang tersohor. Banyak tip dan maklumat yang tidak dinafikan akan membantu sesiapa yang mahu bergelar penulis cerpen.

Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian utama. Bahagian satu, di bawah tajuk Persediaan Awal Menghayati Dan menulis cerpen. Penulis mengupas tentang persoalan awal seperti kenapa seseorang hendak menghayati cerpen dan menjadi penulis, perlukan buku panduan bagi menghayati dan menulis cerpen, siapa idola yang memperdalam minat kita dalam bidang penulisan dan sebagainya.

Bahagian dua pula, di bawah tajuk Mendekati Ciri, Unsur dan Teknik Penulisan Cerpen. Terdapat beberapa yang diperincinkan seperti ciri-ciri cerpen yang baik, unsur yang terdapat dalam cerpen, tema dan persoalan dalam cerpen dan sebagainya. Di bawah tajuk ini, kita didedahkan tentang bagaimana cara untuk menghasilkan cerpen yang berkesan dan seimbang dari segala unsur yang ada dalam sesebuah cerpen.

Bahagian tiga pula, di bawah tajuk Tips Sebelum Menghantar Karya ke Penerbitan. Ada beberapa bab yang terkandung dalam bab ini seperti kelemahan umum penulisan cerpen 1 dan 2, menghantar karya ke penerbitan, serta tips tambahan menjadi cerpenis.

Dalam tajuk ini, penulis turut menitipkan nasihat yang sangat penting kepada bakal penulis cerpen sebelum menghantar karya mereka. Misalnya, sebagai bakal penulis cerpen, kita harus mengetahui konsep dan tema yang diperlukan dalam sesebuah rumah penerbitan. Jika kita menulis cerpen berunsurkan orang tua yang sedang terkenangkan sesuatu, cerpen ini sah-sah tidak akan diterbitkan dalam majalah yang berkonsepkan keremajaan. Begitulah sebaliknya.

Oleh yang demikian, sesiapa yang mahu belajar menulis cerpen dengan baik, saya sarankan anda harus mendapatkan buku ini. Naskah ini benar-benar membantu kerana terselit pelbagai maklumat yang tidak akan didapati di dalam buku lain.



20/01/14

Tugasan Ketiga

Teks: Siti Khatijah Diana 
Foto : Kelas Penulisan Online

 

“Jadi macam mana? Sudahkah kamu membuat keputusannya?” Mak Cik Esah yang sedang melipat kain, menyoal anaknya yang bernama Lisa itu.
 

Lisa mengeluh perlahan, “Entahlah mak. Lisa sebenarnya masih keliru nak memilih yang mana. Dua-duanya Lisa sayang.”

“Kamu jangan nak bikin panas, Lisa. Tak pernah-pernah ada dalam sejarah, isteri bersuami dua. Kalau suami beristeri dua, berlambaklah. Contoh terdekat, mak kandung kamu ni hah,” rungut Mak Cik Esah pula.

Nasib baiklah sekarang ini, kemarahan terhadap suaminya sudah pun beransur reda. Jika tak, secara automatik bebelannya akan menjadi semakin panjang pula.

“Itu Lisa tahulah, mak. Maksud Lisa, Iskandar dan Taufik tu kan sama penting dalam kehidupan Lisa. Dua-duanya kawan baik Lisa. Jika Lisa memilih salah seorang daripada mereka, bermakna Lisa akan melukakan hati salah seorang daripada mereka juga. Sebab itulah sampai sekarang, Lisa masih keliru mahu membuat pilihan,” kata Lisa dengan jujur.

“Hmm... betul juga kan kata-kata kamu tu.” Mak Cik Esah mengangguk tanda bersetuju.

Entah macam mana, tiba-tiba terlintas satu perkara di dalam benak Mak Cik Esah. Fikirnya lagi, mungkin hanya inilah jalan penyelesaian yang terbaik yang ada buat anak kesayangannya itu.

“Mak rasa, mak ada satu idea.” Mak Cik Esah kelihatan sudah berteka-teki.

“Apa dia mak? Ceritalah cepat. Lisa dah tak sabar nak tahu, mak,” kata Lisa dengan air muka yang penuh keterujaan.

“Apa kata, kamu terima saja pinangan si Bidin?” Sambil tersengih, Mak Cik Esah kelihatan seolah-olah sangat berbangga dengan cadangannya itu.

Terus Lisa melompat dari keadaan duduknya. “Bidin? Maksud mak, jiran sebelah rumah kita?” soalnya lagi seolah-olah tidak percaya.

“Yalah. Bidin yang tulah. Bukan banyak pun orang yang bernama Bidin kat kampung kita. Tolak nama kambing ayah kau, memang dia seoranglah yang nama Bidin kat sini,” jawab Mak Cik Esah lagi.

Lisa seperti mahu menangis sejurus mendengarkan cadangan tidak masuk akal itu. "Sampai hati mak nak jodohkan saya dengan Pak Cik Bidin tu. Lisa ni masih muda lagilah, mak!”

“Mak cadangkan saja. Dari kau tua sebab asyik tak tahu memilih yang mana, elok sajalah kau rembat saja si Bidin tu. Mak jamin, pasti si Iskandar dan Taufik takkan makan hati dengan pilihan kau nanti. Silap hari bulan, mereka siap boleh gelakkan kau lagi,” ujar Mak Cik Esah sambil cuba menyembunyikan rasa geli hatinya.

Yalah. Kalau susah-susah macam ini, apa salahnya terima saja pinangan si Bidin kelmarin. Memanglah jika nak diikutkan umurnya sudah tua, tapi tak adalah tua sampai terbongkok-bongkok tiga.

Daripada Lisa menyertai kelab si Bidin; kelab bujang terlajak, lebih baiklah dia bernikah terus dengan lelaki itu. Tidak lama selepas itu, Mak Cik Esah sudah masuk ke dalam bilik untuk menyusun baju yang telah selesai dilipatnya.


Ketika itu, Lisa sudah mengeluh panjang. Alahai emak kesayangannya. Ingatkan perbualan dengannya tadi, dapatlah membantu dia membuat pilihan sebaliknya menambahkan lagi tekanan. Antara Iskandar dan Taufik, memang dia keliru memilih yang mana untuk bergelar suaminya. Tapi kalau Pak Cik Bidin, dia memang sangat pasti itu bukan pilihannya!

16/01/14

2 Usahawan

Teks: Siti Khatijah Diana

Sepatutnya, entri ini ditulis semalam. Tapi tak mengapalah. Baru tergerak hati nak tulis pagi ni. Semalam, saya ditakdirkan bertemu dua orang bekas rakan sekolah. Yang pertama, bertemu secara live sebab nak beli produk kecantikan (pesanan dari kakak). Orangnya sangat ramah dan mesra. Bukan calang-calang manusia, sebab saya bertemu dengan pengasas produknya sendiri.

Produk yang diasaskannya bernama AH Beauty. Produk terbaru di pasaran namun apabila kakak saya repeat order semula barang dengannya, saya tahu produk ini mungkin bagus. Sebab kakak saya tu boleh dikategorikan sebagai manusia yang sangat berhati-hati menggunakan sebarang produk sebab kulitnya agak sensitif. 

Ini adalah facebook tuannya. Jika sesiapa mahu mencuba produk ini sendiri, bolehlah menghubungi pemilik facebook berkenaan. Jangan risau. Beliau pasti akan menjawab setiap pertanyaan anda berkenaan produknya dengan mudah.

https://www.facebook.com/sitiasmani

Seorang lagi manusia yang saya ketemui, hanyalah menerusi perbualan biasa di dalam facebook saja. Kebetulan ketika itu, saya bertanyakan harga pasaran sebuah telefon bimbit memandangkan saya pernah melihat dia memuat naik gambar gajet-gajet itu sebelum ini di dalam facebooknya.

Anak muda ini sangat bagus. Dia sempat memberi nasihat kepada saya supaya tidak tersalah membeli produk tiruan yang ada di pasaran. Tiba-tiba, dia beritahu saya bahawa dia sedang berusaha untuk mengembangkan perniagaan sambil mencari ilmu di luar negara. Tujuannya, untuk memastikan telefon bimbit yang dijualnya, akan menjadi gajet yang jauh lebih murah berbanding dengan harga yang ditawarkan oleh peniaga-peniaga lain.

Serius, saya berasa kagum dengan kedua-dua bekas rakan sekolah saya ni. Kalau difikir-fikirkan semula, rupa-rupanya saya telah dihimpit oleh dua kenalan yang sangat hebat. Yalah. Pengasas produk kecantikan tersebut, umurnya hanya setahun lebih tua daripada saya. Yang usahawan telefon bimbit tu pula, umurnya muda setahun daripada saya. Tinggallah saya yang berada di tengah-tengah. Aduhai...

Harapan saya, semoga bidang perniagaan yang diceburi oleh mereka berdua, akan berkembang maju dan pesat. Sama-sama doakan. :)

14/01/14

Salam Maulidur Rasul

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Google


Hari ini hari kebesaran junjungan Rasulullah S.A.W. Selawat dan salam ke atas baginda serta keluarga dan para sahabatnya. Banyakkanlah berselawat, tanda kita mengasihinya. Kenangkanlah segala pengorbanan dan susah payah baginda demi menegakkan syiar agama Islam.

Lakukanlah perubahan, supaya menjadi insan yang lebih baik. Sentiasalah bermuhasabah diri. Cuba renungkan kenapa dan apa sebab kita dilahirkan di atas muka bumi ini. Mesti ada sebabnya.

Semoga kita semua dapat menjadi hamba Allah yang baik. Selalulah mengagumi Baginda, sekaligus cuba berusaha menuruti segala keperibadian mulia Baginda.



Duhai Rasulullah
Tatkala menyebut namamu,
hatiku seakan menjadi gundah,
perasaanku mula bertukar resah,
dadaku terasa berdebar parah,
kerana dirimu, satunya kekasih Allah.

Ya Rasulullah,
Layakkah daku berdampingan denganmu?
ketika sunnahmu aku permudah,
selawatmu jarang benar membasah,
sirahmu adakalanya aku tidak kisah,
kerana asyik mengejar barakah yang fana.

Wahai kekasih Allah,
tataplah wajah kami seandainya sudi,
syafaatkanlah seandainya kami rugi,
terimalah kami sebagai umatmu,
agar kami mampu bersamamu, 
di akhirat kelak.

13/01/14

Kangkung

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Google



Hari ini tak tahu kenapa, tetiba sayur kangkung boleh jadi terkenal. Dengar-dengar kata, trending kat twitter. Apa salah kangkung sebenarnya? Hahaha.

Memandangkan tak tahu nak tulis apa, saya cipta puisi spontan kepada kangkung. Maaflah kalau tak menarik. Sebab saya tak makan kangkung sangat. Ngee...

Kangkung Oh Kangkung

Wahai kangkung, 
aku tak tahu mana asal usul sebenarmu,
tapi aku selalu terlihatmu di tepi longkang sebelah rumahku.
Kenapa kamu selalu melata di situ?
Tak ada tempat lainkah yang mahu kamu tuju?

Wahai kangkung,
Dengar-dengar cerita hanya dirimu yang berjaya diturunkan,
tapi aku tak menantikan dirimu kangkung.
Untuk mendapatkanmu, aku hanya perlu mengangkung di belakang rumahku.
tapi tak tahulah kalau-kalau mengangkung di rumah jiran-jiranku,
silap-silap,
aku yang terkena pelangkung.

Ayuhlah kangkung.
Bodeklah tuanmu lagi,
biar trending pula ubi kayu, cili, betik yang ada kat belakang rumah aku. 
Agar aku dan mereka bahagia,
maka hilanglah segala derita.




12/01/14

Ulasan Buku Hardy Boys : Misteri Panggung Bangsawan Lama

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto : Koleksi Peribadi




Versi yang saya baca ni adalah versi bahasa Melayu. Tak tahu macam mana buku ini boleh berada dalam koleksi peribadi. Terbitan tahun 1987, tahun kelahiran saya. Pelik dan sangat menakutkan. Patutlah cari covernya dalam internet pun dah tak ada.

Buku ini mengisahkan tentang siri penyiasatan popular yang melibatkan anak-anak Encik Hadi iaitu Faruk dan Johar. Pada satu hari, mereka ditugaskan untuk menyiasat tentang kejadian aneh yang menimpa Encik Zani yang merupakan ahli silap mata. Sebelum ini, dia mahu membuat persembahan di Panggung Bangsawan Lama. Apabila berlaku kejadian-kejadian aneh dan kebakaran di situ, persembahan terpaksa dilakukan di tempat lain.

Zani menuduh Mat yang merupakan seterunya dalam silap mata. Pada awalnya, memang nampak ketara bahawa Mat adalah dalangnya. Tapi memandangkan tidak mempunyai bukti yang kukuh, dan Mat turut menafikan, maka Faruk dan Johar tidak dapat berbuat apa-apa.

Dalam masa yang sama, Encik Hadi turut menyiasat satu kes yang agak besar. Ia melibatkan penculikan seorang menteri Malaysia. Rupa-rupanya, setelah diselidiki satu-persatu, rupa-rupanya kedua-dua kes itu saling berkaitan. Lebih mengejutkan, Encik Zani adalah merupakan dalang di sebalik semua kejadian itu. Dia sengaja mencipta masalah bagi menutupi kegiatannya. Panggung bangsawan lama itulah yang menjadi tempat persembunyian dia setelah menculik menteri untuk mendapatkan wang tebusan.

Secara keseluruhan, cerita ini bergerak sangat pantas. Sebagai pembaca, kita akan leka membelek satu-persatu muka suratnya. Ceritanya ala-ala Sherlock Holmes gitu, tapi ini versi untuk remaja dan kanak-kanak. Sangat mudah menghadamnya. 


11/01/14

Penarikan Balik 2 entri

Teks: Siti Khatijah Diana

Mula-mula sekali, saya nak minta maaf sebab terpaksa ambil keputusan macam ni. Saya bukan berniat nak buatkan pengunjung blog saya marah. Cuma saya rasa saya dah tak mampu nak tipu diri sendiri lagi. 

Tak tahu di mana silapnya, selepas saya memuat naik entri bab 1 dan bab 2 sebelum ni, hidup saya macam serba tak kena. Apa saya nak buat serba tak menjadi. Fikir punya fikir, mungkin ni adalah jalan penyelesaiannya. Sebab tu, saya terpaksa tarik semula entri 2 bab tersebut.

Tapi blog ni takkan ditutup. Saya akan fokuskan semula kepada tugasan penulisan saya. Tengoklah jika saya akan merapu dengan cara lain pula. Mungkin buat sajak, atau puisi, atau pantun tak cukup kerat. Contohnya, 

Buah epal, buah lai,
Tak apa la.

Apa pun, terima kasih yang sanggup menjadi kawan-kawan saya. Kalau ada salah silap, mohon tunjuk ajar ya. :)

Peace No War
Do Not Litter

9/01/14

Kreatif... hmm...

Teks: Siti Khatijah Diana

Rasanya sebelum ini saya pernah baca artikel tentang meja yang bersepah, adalah meja bagi seseorang yang kreatif. Ini ialah meja saya. Okey bye.




p/s : abaikan mainan yang ada. I'm the nanny, okey. hihihi.

8/01/14

Tugasan Kedua

Teks: Siti Khatijah Diana



"Amboi, seronoknya ketawakan orang lain, ya!" Anis menegur dua rakan sekelasnya iaitu Minah dan Joyah

Ketawa yang terhambur tadi, serta-merta terhenti. Minah dan Joyah cuba berlagak biasa. Seolah-olah tidak mahu orang lain mencampuri urusan mereka berdua.

Beginilah rutin Minah dan Joyah hari-hari. Sambil mengisi perut pada waktu rehat, mereka akan menjadi pengkritik tidak berbayar. Sesiapa jua yang melintasi, jika dapat dikesan kelemahan akan mereka, maka secara automatik mereka akan menjadi bahan ketawa kedua-dua sahabat itu.

Jika ada pelajar comot, tanpa berfikir panjang mereka berdua akan menggelarkan pelajar itu seperti peminta sedekah. Kalaulah ada pelajar yang jalan terkepit-kepit, dengan selambanya mereka akan cakap pelajar itu sedang menahan sebab nak buang air besar. Dan bermacamlah lagi yang boleh mereka bandingkan jika mereka ternampak sebarang kelemahan di depan mata.

"Sebenarnya, saya tahu apa yang awak berdua sedang buat. Maaflah kalau saya nak cakap ni. Perbuatan awak mengetawakan kekurangan orang lain, adalah satu perbuatan yang tidak wajar," kata Anis lalu menyambung lagi.

"Sebab tu orang bijak pandai pernah berkata, satu jari kita tuding pada orang lain, sembilan jari lagi akan menuding ke arah kita semula," beritahu Anis dengan maksud yang penuh tersirat. Rasanya tidak perlu untuk dia menjelas apa maksudnya. Biarlah Minah dan Joyah mentafsirkan sendiri.

Perlahan-lahan, Minah dan Joyah menundukkan kepala. Kata-kata Anis itu terasa tepat ke atas batang hidung sendiri. Mana tidaknya, mereka sendiri sedar bahawa mereka juga serba-serbi kurang.

Joyah dengan jerawat konkritnya. Penuh satu muka pula. Kalau ditakdirkan hantu mahu mengusik dia pun, silap-silap hantu yang lari lintang-pukang. Manakala si Minah pula, dengan kulit hitam legamnya. Guna satu tangki pencuci muka pun, belum tentu boleh putih.

"Yalah... saya minta maaf. Saya sedar kesalahan saya," Joyah menyatakan dengan nada berbaur kekesalan.

"Saya pun sama," balas Minah juga.

Anis tersenyum. "Baguslah kalau macam itu. Saya tegur, sebab saya sayang kawan-kawan saya. Kalau saya tak sayang, memang saya buat tak tahu saja."

"Terima kasih Anis. Terima kasih sebab tolong sedarkan kami," jujur Joyah mengucapkannya.
"Saya pun sama. Kalau awak tak cakap, alamatnya sampai ke tualah kami bawa perangai tak semenggah kami ni," kata Milah lagi.

Anis hanya tersenyum. Tidak lama kemudian, loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudahpun tamat. Mereka bertiga berjalan menuju ke kelas. Sejak hari itu, mereka mula berkawan rapat dan saling tegur menegur di antara satu sama lain.

7/01/14

Ulasan E-book Kompilasi Cerpen Rautan Takdir

Teks: Siti Khatijah Diana

E-book ini mengandung 15 buah cerpen hasil garapan penulis novel Kabus Rindu iaitu Puan Monalita Mansor. Secara jujurnya, ini adalah kali pertama saya membaca hasil tulisan beliau. Pandangan pertama saya, wow. Beliau adalah seorang penulis yang hebat dalam berkarya.

Cara beliau menggunakan bahasa dalam keseluruhan cerpen, ternyata begitu mengagumkan. Tidak dengan itu, boleh dikatakan semua cerpennya mengandungi nasihat-nasihat dan ilmu yang sangat berguna. 

Selain itu, saya dapat kategorikan penulis Puan Monalita Mansor adalah seorang yang sangat berpengetahuan luas dan suka berfikir. Bayangkan, beliau boleh memperolehi idea menulis dengan hanya melihat objek di sekelilingnya saja. Bagi saya, cerpennya sangat berisi dan sangat sesuai untuk mengubah diri sendiri supaya menjadi lebih baik.

Kesimpulannya, saya berasa sangat berpuas hati kerana dapat memiliki e-book ini. Banyak ilmu yang bermanfaat dapat diperolehi setelah saya membacanya. Serius, lenggokan bahasanya memang memukau diri saya sehinggalah sekarang. Daebak!!!

Cubalah dapatkannya sekarang. Anda pasti takkan menyesal setelah memilikinya.



6/01/14

Muhasabah Diri

Teks: Siti Khatijah Diana

Pejam celik, sudah empat tahun saya tinggal di rumah. Sepanjang duduk saja, saya banyak bermuhasabah diri sendiri. Saya cuba mencari semula apa yang telah saya hilang selama ini. Bukan satu perjalanan yang mudah, namun pertolongan-Nya tetap ada.

Alhamdulillah... secara merangkak, saya cuba mengenali apa yang paling penting bagi seseorang yang bergelar umat Islam. Insyaallah, saya memilih untuk terus berada di landasan ini. Semoga dapat mengistiqamahkan diri.

Satu saja pesanan saya, jika sesiapa berasa dirinya kebuntuan arah, maka cubalah kembali semula ke jalan yang diredhai-Nya. Dan seandainya anda diberikan pertolongan oleh-Nya, maka bersyukurlah. Bersyukur dengan cara menunaikan segala semua suruhan-Nya. Dan tinggalkanlah segala larangan-Nya. Insyaallah hidup akan menjadi setenang-tenangnya.

5/01/14

Kisah Seorang Adik


Teks: Siti Khatijah Diana

Saya ada seorang adik. Namanya terpaksa dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu. Dia ini adalah masalah sikit. Masalah dileksia bahasa mungkin.

Selama 18 tahun hidup di atas muka bumi, dia masih tak faham apa itu beng? Orang kelantan, kalau nak pesan air milo ais, dia akan tukarkan ais itu kepada perkataan 'beng'. Selalunya dia nak pergi kedai, dia akan cakap macam ni. Nak milo beng yang ada ais. Kita yang duduk dekat sebelah ni, tahan malu sajalah. 

Mungkin sebab takut kena gelak lagi, setiap kali nak order, dia akan berbisik dulu di telinga kami adik-beradik. "Milo beng tu yang ada ais ke tak?" Kita orang jawab sajalah ada. Nasib baik dia sedar diri lalu tak memalukan keluarga kami lagi.


p/s : tak malu pun. Lucu adalah. : p Cool ya sis Tiah. (aiyak! Terdedah juga nama)

Ulasan Buku 101 Tip Penulisan Novel

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: http://mazliamurat.blogspot.com/






Buku 101 Tip Penulisan Novel ini saya terima bersama pakej buku Asas Blog Penulisan. Ia merupakan hasil nukilan guru saya sendiri iaitu Puan Mazlia Murat.

Secara keseluruhan, buku ini mengisahkan tentang bagaimana sesebuah novel boleh dihasilkan oleh seseorang yang mahu bergelar penulis. Pelbagai tip yang dikemukakan seperti tip memulakan langkah, inti pati novel, teknik penceritaan dan sebagainya. 

Semua tip ini sangat berguna dan sangat membantu bagi sesiapa yang mahu bergelar novelis. Penulis juga bijak memberi contoh untuk membuatkan kita faham dengan jelas apa yang ingin disampaikan. Contohnya, Tip yang ke 50 : Apabila dialog diakhiri dengan perkataan seperti "kata Ahmad...", "...soal...", semuanya dimulakan dengan huruf kecil.

Selain itu, penulis juga sengaja memasukkan 3 buah cerpen sebagai rujukan dan bahan bacaan. Antara ketiga-tiga cerpen yang disertakan, saya paling suka dengan cerpen yang bertajuk Lara Hati. Membaca cerpen ini, membuatkan saya dapat merasai apa yang sedang dirasakan oleh watak utama iaitu Aireen.

Untuk sesiapa yang mahu bercita-cita menjadi penulis, bolehlah mendapatkan e-buku ini kerana ia sangat membantu. Tidak rugi pun melaburkan wang untuk mendapat ilmu yang sangat bermanfaat ini.






4/01/14

Tugasan Pertama

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Cover Photo Siti Khatijah Diana




Ini ialah gambar Adik masa kecil-kecil dahulu. Dulu, Adik sangat suka pergi pantai. Adik main-main di gigi air. Adik juga selalu kutip kulit siput dan kulit kerang lalu bawa balik ke rumah.

Setelah itu, Adik akan menyuruh emak buatkan Adik rantai denga
n semua hasil yang Adik kutip itu. Walaupun kawan-kawan adik selalu mengejek bahawa rantai Adik tak ada harga, tetapi Adik sayang sangat dengan rantai Adik. Sebab Adik tahu, emak buatkan rantai Adik dengan penuh rasa kasih.

Satu hari, ayah dan emak tiba-tiba bergaduh besar. Emak tak benarkan ayah turun ke laut. Kata emak, musim itu adalah musim tengkujuh. Bahaya jika ayah masih berkeras mahu turun.

Ayah menengking memarahi emak. "Kalau saya tak turun, kita sekeluarga nak makan apa? Dah tiga hari kita berlapar. Awak tak kesian ke dekat anak kita? Awak tak perasan ke dia dah semakin kurus?"

"Tapi abang, laut kan sedang bergelora. Dalam tv pun dah bagi amaran banyak kali. Bot-bot kecil kecil dilarang untuk turun ke laut." Emak masih membantah keras.

"Ah... bukannya orang dalam tv itu yang bagi kita makan. Percaya sangatlah dengan tv tu. Dahlah awak. Saya nak pergi juga. Awak jaga diri dan anak baik-baik. Kalau saya tak balik, awak buatlah apa yang patut," kata ayah sebelum pergi meninggalkan emak dan Adik.

Ternyata, petang itu ayah balik jua. Tapi Adik pelik. Ayah balik dalam keadaan tidur. Adik tak faham. Kenapa ramai orang yang usung ayah naik ke atas rumah? Ayah sudah tidak boleh berjalan sendiri? Kenapa ayah macam mengantuk sangat sampai tak nak buka mata tengok Adik di sebelah?

"Abang...bukankah saya dah cakap abang jangan turun, tapi abang degil. Abang tengoklah apa yang dah jadi? Saya nak buat apa sekarang ni abang?" Emak menangis-nangis di sisi ayah yang sedang berbaring.

Adik masih tak faham lagi dengan apa yang sedang terjadi. Selepas orang tidurkan ayah dalam tanah, emak langsung dah tak hiraukan Adik. Semua kulit siput dan kerang yang Adik kutip, sudah mula bertimbun di depan rumah.

Selepas kejadian itu, emak terus menghilang. Emak dinaikkan di atas kereta putih sebab selalu nyanyi-nyanyi dan bising-bising terutama pada waktu tengah-tengah malam.

Sekarang ini, apa yang adik tahu, Adik sudah tinggal dengan ramai kawan-kawan. Mereka semua sukakan Adik dan selalu memuji-muji bahawa rantai Adik sangat cantik. Adik gembira walaupun adakalanya, adik akan menangis juga.

p/s : cerita ini adalah rekaan semata-mata. Isha jangan marah ye... Kita kan kawan baik. 

Sebelum guna... sila bezakan dulu.

Teks : Siti Khatijah Diana
Foto: google

Kisah ini adalah sebuah kisah benar. Ia berlaku pada satu  malam yang kelam. Sedang lena diulit mimpi, tiba-tiba sang suami mengejutkan si isteri. Bangunlah si isteri dengan mata yang terpisat-pisat.

"Ada apa bang?" soal isteri dalam keadaan mengatuk.
"Mata abang gatallah. Boleh tak tolong letakkan eye-mo?"
"Boleh. Eye-mo berada kat mana?" Menguap hingga hampir terkoyak rahang.

Dengan penuh yakin, sang suami menunjukkan ke arah satu tempat.Si isteri pun bangunlah untuk memberi khidmat yang terbaik buat sang suami. Sejurus eye-mo diambil, lalu dititikkan ke dalam mata sang suami yang gatal, tiba-tiba mata sang suami mula berasa pedih.

"Kenapa pedih pula mata saya ni?" Sang suami menenyeh matanya. 

Berasa tidak selesa, sang suami segera berlari ke arah dapur. Matanya dibasuh dengan air yang banyak. Apabila matanya tiba-tiba berkatup rapat, sang suami yang panik terus mengoyak hingga terbuka semula kelopak mata. Setelah sang suami melihat botol sebenar eye-mo yang telah digunakan tadi, saat itu juga sang suami telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Mujurlah keadaan terkawal setelah sang suami diberikan rawatan. Seorang jururawat datang untuk meninjau keadaan semasa sang suami. Sambil tergelak-gelak, jururawat itu berkata-kata,

"Pak cik... seumur hidup kami, inilah kali pertama kami terima kes seperti pak cik. Tak pernah ada orang letakkan gam 3 saat dalam mata sebelum ni, pak cik. Pak ciklah orang pertama."

Sang suami pun tergelak juga. Sejak dari hari itu, eye-mo terus menjadi alat yang menakutkan buat pak cik dan keluarganya.



3/01/14

Alkisahnya... jatuh juga nasi ke perut.


Teks : Siti Khatijah Diana

Tak silap saya, bermula 28 Disember 2013, saya dah mula tak sentuh nasi. Diet sebab faktor-faktor sekeliling. Timbang-timbang, tak turun juga. Gemuk angin agaknya. Hahaha.

Nak dijadikan cerita, pada 1 Januari 2014, pada pukul 7 lebih waktu senja, (macam cerita mak lampirlah pula), akhirnya nasi masuk juga ke dalam perut. Sebab lapar ? Taklah. Sebab terliur? Lagilah tak. Habis, sebab apa? Sebab tercekik tulanglah. Padah nak ratah lauk tanpa nasi.

Nak dekat lima kepal nasi saya telan. Hasilnya... tak keluar-keluar lagi tulang ikan tu. Nasiblah badan. Tak menjadi juga nak diet. Alahai... tapi, mujurlah hasil usaha yang gigih dan tidak berputus asa, tulang itu berjaya juga dikeluarkan. Tepat-tepat pada waktu isyak. Alhamdulillah. Allah bantu.

Tapi secara totalnya, saya dah dapat pengajaran baru bermula daripada kejadian itu. Saya bertekad takkan 'bertemu' lagi dengan mana-mana ikan mulai hari ni. Nyah kau ikan dari hidup aku! Puas hati aku!

2/01/14

Ulasan Ebook Asas Blog Penulisan

Teks : Siti Khatijah Diana
Foto :  http://mazliamurat.blogspot.com/



Buku ini diperolehi setelah saya menyertai Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif di bawah guru Mazlia Murat. Sebenarnya, ini adalah kali kedua saya menghabiskan bacaan buku ini. Bukan kerana tidak bagus, tapi kerana tidak fokus semasa membaca. Jadi, agak sulit bagi saya untuk menghadamnya.

Ini adalah komen daripada saya. Secara keseluruhan buku ini menceritakan tentang bagaimana untuk mencipta blog yang baik dan berpengaruh. Banyak tips yang boleh didapati demi membangunkan sebuah blog yang berguna, baik kepada diri sendiri mahu pun masyarakat, agama dan bangsa.

Menerusi blog juga, seseorang boleh menjana pendapatan sampingan. Terutama bagi golongan suri rumah, golongan yang mahu berniaga online dan sebagainya. Buku ini mengajar apa yang perlu ditulis untuk meningkat pembaca sekali gus dapat menjadikan pembaca itu sebagai pelanggan di kemudian hari.

Antara semua isi yang diberikan di dalam buku ini, ada satu isi yang membuatkan saya terkesan sehingga sekarang. Iaitu, untuk menulis blog yang baik, seseorang penulis perlulah menulis dengan jujur. Saya tak pernah terfikirkan perkara ini sebelum ini. Mungkin sebab itu saya tak ada idea dalam keseluruhan penulisan blog-blog saya selama ini. 

Namun begitu, suka saya sarankan bahawa buku ini akan menjadi lebih baik jika memiliki nombor muka surat. Sebab banyak tips yang berguna yang tidak sempat saya catat kerana terlupa di mana kedudukannya.

Apa pun, buku ini sangat membantu bagi seseorang yang ingin membina sebuah blog yang baik. Anda boleh dapatkannya menerusi penulis ebook ini sendiri iaitu Puan Masayu Ahmad.