15/02/14

Tugasan Keempat

Teks : Siti Khatijah Diana
Foto : Kelas Penulisan Online



"Marilah makan." 
Tersengih-sengih aku menerima pelawaan itu. Lalu aku dengan bersemangat melangkah menuju ke meja makan. Memang perut aku sudah berdendang sejak pagi tadi. Sekejap lagu rock kapak, sekejap hip hop. Irama balada pun sesekali menyelit. 

Memandangkan hari ini ada jemputan makan tengah hari di rumah kawanku; majlis masuk rumah baru, maka aku dengan bahagianya sengaja mengosongkan perutku. Sejak pagi tadi, aku sudah terbayang-bayang makanan yang enak-enak. Main teka silap mata, agak-agak menu apa yang dihidangkan. Maklumlah, isterinya memang pandai memasak. 

Oh tidak! Katakan semua ini hanya ilusi. Kenapa? Kenapa nasi ayam yang dihidangkan? Serentak tekakku rasa loya. Semuanya gara-gara satu peristiwa yang masih tak dapat aku lupakan.

Begini kisahnya. Aku bertugas sebagai arkitek di sebuah syarikat swasta di ibu
kota. Jawatan ini adakalanya menuntut aku pulang lewat malam pada ketikanya.

Pada suatu malam, aku yang berasa bosan kerana terpaksa melalui jalan yang sama setiap kali pulang ke rumah, membuat keputusan untuk beralih angin dengan menggunakan jalan yang lain. Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba aku ternampak sebuah gerai makanan. Aku dapat rasa gerai itu baru dibuka kerana sebelum ini, aku langsung tidak pernah melihatnya.

Memandangkan ketika itu perut aku sedang galak berkeroncong, tanpa berlengah aku terus berhenti di gerai itu. Tambahan pula selepas melihat iklan nasi ayam yang terdapat pada kain rentang gerainya. Macam sedap aje. Macam lazat aje.

“Mak cik… nak nasi ayam satu.” Aku terus memesan juadah itu apabila terlihatkan kelibat wanita itu.

Dengan suara tersekat-sekat, wanita itu bersuara ke arahku. “Boleh…”

Aku melihat sejenak wajah wanita itu sambil menelan air liur. Hampir-hampir saja aku melompat, namun aku cuba bertahan daripada mengambil tindakan sedemikian. Mungkin ketakutan yang sedang aku rasa itu, hanya mainan perasaanku saja.

Fikirku lagi, mungkin kesan melecur yang ada pada wajah wanita itu disebabkan kecelakaan saja. Ringan saja mulut aku ini mahu bertanya sebabnya, tapi biarlah dulu. Takut nanti, dituduh mahu menjaga tepi kain orang pula.

Sejurus pesanan aku tiba, aku terus makan juadah itu dengan lahapnya. Ya Allah… sedapnya air tangan mak cik ni. Rasa macam boleh pergi jauh kalau dia pandai jual ni. Silap hari bulan, sampai ke oversea terus.

Keesokan hari. Sedang aku leka merenung skrin laptopku, tiba-tiba si Zakir datang. Untuk pengetahuan, Zakir adalah teman baikku. Dia jugalah teman rumahku cuma kami berbeza tempat kerja.

“Weh, kau nak dengar cerita terbaru tak?”

“Apa dia? Fasal apa?”

“Sekarang ni, tengah gempar tentang kisah seram yang berlaku di Jalan Tok Ki. Ala, jalan yang pintas tapi sunyi tu. Takkan kau tak tahu,” kata Zakir yang seperti bermain tarik tali pula.

Aku berdecit geram. Setakat jalan itu, rasanya aku lebih daripada tahu pun. Bukankah baru semalam aku menggunakannya. Walaupun dalam masa yang sama ramai yang berkata bahawa jalan itu keras, namun aku tidak mahu mempedulikannya. Buat apa percaya dengan cerita tahyul macam itu? Kan elok buat tak tahu saja.

“Itu aku tahulah, Kir. Tapi ada apa dengan jalan tu sebenarnya? Cuba kau berterus terang dengan aku. Kan senang sikit.”

“Semalam, adalah member office aku cakap, sepupu dia kena kacau selepas guna jalan tu. Sampai sekarang, demam sepupunya tu masih tak kebah-kebah lagi. Siasat punya siasat, rupa-rupanya dia ada singgah di sebuah kedai makan. Katanya lagi, dia sempat makan nasi ayam kat situ. Lepas balik tulah, terus jadi macam tu.”

“Ala... apa yang nak dihairankan. Entah-entah sepupu member kau tu cuma terkena demam biasa, cuma kebetulan saja nak berlaku pada waktu tu.”

“Tak... bukan demam biasalah. Dah pergi jumpa ustaz pun. Ustaz yang merawat cakap, dia makan benda kotor. Ayam berulat. Masa muntah-muntah tu, habis segala keturunan mak nenek ulat yang keluar.”

Aku hanya mendiamkan diri. Mahu mendengar apa saja yang mahu diucapkan oleh Zakir lagi.

“Yang peliknya, selepas kejadian itu, sepupu member aku cubalah bawa beberapa orang untuk menunjukkan tempat yang dia pergi tu. Masalahnya kat sini, gerai yang dia singgah tu langsung tak wujud.”

“Apa?!” Saat itu, aku sudah berasa lain macam.

“Betul, Fis... ikut logik akal pun, mana ada orang nak buka kedai makan dekat jalan sunyi-sunyi macam tu. Melainkan....”

Tekakku sudah mula rasa mual-mual. Terasa seperti ada makhluk kecil sedang merangkak dari perut dan mahu keluar dari mulutku. Apakah???

“Dengar-dengar cerita lagi, ada kes tragik yang berlaku dekat-dekat situ. Sebuah lori bawa ayam, terbalik sebab terkejut apabila terlihatkan seorang wanita berwajah menakutkan sedang melintas jalan.”

“Kejap aku nak tanya. Muka wanita itu ada kesan melecur kan kat sebahagian mukanya?” soalku mahukan kepastian. Minta-mintalah jawapanya tidak. Sedangkan saat itu, badanku mula rasa tak sedap dan semacam.

“Eh, mana kau tahu? Memang itulah cerita yang disampaikan oleh pemandu lori tu. Mesti kau pun pernah dengar cerita ni kan?”

Lututku mula terasa lemah. Segala sendi dan tulang-belulangku turut bergegar-gegar. “Aku... aku...”

Belum sempat aku berterus terang, kawanku itu menyambung lagi.

“Baguslah kalau kau dah dengar. Sekurang-kurangnya, tak payahlah aku ulang lagi. Orang-orang ada cakap, lain kali kalau nak juga gunakan jalan tu, jangan cuba singgah di mana-mana gerai yang ada di sepanjang Jalan Tok Ki tu.

Kata mereka lagi, wanita itu menggunakan ayam-ayam yang mati eksiden tu untuk menjamu pelanggan yang datang bertandang ke gerainya. Siap yang ada ulat-ulat lagi. Nampak sangatlah kerja-kerja makluk tu. Kalau manusia, tak ada maknanya nak jamu manusia dengan benda kotor,” kata Zakir dengan panjang lebar.

Saat itu, aku terus terjelepok ke bumi. Aku turut diserang demam panas selama seminggu.

Semenjak dari kejadian itu jugalah, setiap kali aku melihat gambar atau juadah nasi ayam, peristiwa itu tergawang-gawang di dalam mindaku. Dan aku bertekad tidak mahu makan nasi ayam lagi lalu menolak pelawaan sahabatku untuk makan, dengan alasan sudah kekenyangan.

Karya Goodbye Dari Saya

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto : Facebook Elee Mardiana (bukan orang yang sama tau)


Assalammualaikum.

Dengan rasa rendah diri, saya memperkenalkan karya selamat tinggal daripada saya. Tajuknya ialah Kerana Dia, Bidadari Syurgaku. Di bawah penerbitan baru iaitu Elee Mardiana Publisher. Beliau juga merupakan seorang penulis yang prolifik.

Kenapa saya katakan buku ini adalah karya goodbye? Sebab mungkin selepas ini saya akan fokuskan untuk capai matlamat saya untuk menulis buku bergenre remaja atau kanak-kanak sahaja. Tapi tak tahulah jika yang Maha Memberikan Rezeki mahu mengurniakan kepada saya sesuatu lagi. Amin ya Rabbal alamin.

Jadi sekarang ini, saya masih berusaha mencari ilmu-ilmu tentang dunia penulisan yang mahu saya terokai. Jika ada rezeki, maka adalah bahagian saya. Mohon tembakan doa-doa daripada pembaca blog dan rakan-rakan alumni ya. Saya masih di tahap belajar lagi.

p/s : buku ini akan berada di pasaran pada bulan Mac. Nanti jika ada pre-order, saya akan uar-uarkan di facebook. :)




14/02/14

Tukar Matlamat

Teks: Siti Khatijah Diana

Semasa berbengkel tempoh hari, saya rasa terkesan dengan salah satu modul yang diberikan. Trainer terlibat bertanya kepada peserta, apa matlamat kita sebagai seorang penulis. Masa diberikan sebanyak 5 minit untuk menjawab persoalan itu.

Saat itu, hanya Tuhan saja yang tahu betapa kosongnya kepala saya. Saya sendiri tak tahu apa matlamat sebenar saya menulis. Fasal royalti kah? Fasal minatkah? Saya keliru.

Tak tahu kenapa, ketika itu tangan saya menulis sesuatu yang saya sendiri tak pernah terfikirkan selama ini. Mahu tahu apa?

Mahu melahirkan masyarakat yang suka membaca.

Kebetulan ketika itu, trainer bengkel tersebut memberitahu sebab kenapa novel islami agak tak laku di negara kita. Rupa-rupanya kerana sikap masyarakat kita yang tidak suka membaca. Saya mengaku, bahawa saya sendiri tak suka membaca.

Novel Islami di Indonesia sangat laku keras kerana penduduknya sangat gemar membaca. Cuba lihat novel Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta bertasbih. Kenapa karyanya bestseller? Kerana masyarakatnya yang gemar membaca. Saya rasa itu adalah salah satu faktornya yang sangat jelas.

Jadi sekarang ni, apa yang boleh saya katakan, mungkin saya kena ubah semula matlamat sebenar saya menulis. Bak kata penulis muda yang sangat berwawasan tinggi iaitu Helmi Effendy, beliau sendiri meletakkan benchmark untuk karya-karyanya. Mahu karyanya diangkat ke martabat yang lebih tinggi. Mungkin ke pasaran luar negara. Didoakan semoga segala urusannya dipermudahkan kelak.

Kesimpulannya, saya juga akan meletakkan satu bench mark diri mulai sekarang. Saya mahu melahirkan masyarakat Malaysia yang suka membaca.Insyaallah.

12/02/14

Seronok Dapat Masuk Bengkel

Teks: Siti Khatijah Diana

Assalammualaikum.

Rasa lama betul tak jenguk blog sendiri. Sibuk dicampur dengan penyakit M lalu didarab blur = jadilah bersawang-sawang.

Sebenarnya saya mahu berkongsi satu peristiwa. Pada 8 dan 9 haribulan Febuari lepas, saya telah menyertai sebuah bengkel penulisan. Teringin nak tahu macam mana suasana bengkel dan ilmu yang bakal diperolehi. Tak silap saya, ini adalah kali pertama saya menyertai bengkel penulisan. Sebab tu saya tak beragak-agak nak turut serta.

Bengkel penulisan ini diadakan di syarikat Karangkraf. Sebuah syarikat penerbitan yang paling popular di Malaysia. Kebetulan semasa aktiviti bengkel berjalan, pihak Karangkraf sendiri telah mengadakan satu karnival. Serius, rasa berbaloi betul sebab pergi bengkel hari itu. Selain beli buku, dapat juga banyak benda free. Itulah momen yang paling membahagiakan. Hahaha.

Berbalik kisah tentang bengkel, ia dikendalikan oleh dua orang penulis berkaliber. Siapa lagi kalau bukan Tuan Zamri Mohamad dan Cik Puan Azzah Abdul Rahman. Secara jujurnya, memang banyak ilmu yang diperolehi sepanjang berbengkel. Kira puas hati sangatlah sebab dapat join.

Pendapat peribadi, saya kagum dengan cara penyampaian daripada kedua-dua trainer itu. Tuan Zamri dengan sikap sporting dan lucunya. Manakala, Cik Puan Azzah dengan personaliti happy dan cutenya. (neomu neomu kyeopta). :)

Secara keseluruhan, memang saya enjoy tahap petala ke-7. Kalau ada rezeki, memang rasa nak pergi lagi. Insyaallah. :)