27/10/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 19

Bab 19
Alhamdulillah. Selesai sudah majlis pernikahan mengejut di antara Fazlin dan Iqbal. Tidak dinafikan, banyak orang mempersoalkan apa sebenarnya yang berlaku. Mana tidaknya, mereka dikhabarkan bakal pengantin lelaki itu adalah sepupu Iqbal. Tup-tup Iqbal yang berjabat tangan dengan tok kadi.
Apa yang mampu mereka buat, hanyalah tersenyum. Sambil berkias sikit-sikit sudah namanya jodoh. Kalau tak faham lagi, memang tak tahulah. Takkanlah mereka nak bagitahu cerita sebenar. Itu kerja gila namanya.
"Emak... Lin ingat nak balik KL lah. Lin nak tenangkan fikiran." Fazlin memberitahu Puan Airah.
Sejurus saja majlis akad nikah itu berlangsung, dia segera menyampaikan keputusannya. Perkara itu sudah difikirkan masak-masak. Duduk dikelilingi ramai manusia sedikit sebanyak membuatkan jiwanya bertambah kacau. Baru nak lena, diajak untuk makan. Baru nak reda perasaan, diasak persoalan okey ke tidak. Macam mana nak baik kalau asyik kena terjah macam tu?
Puan Airah terdiam memikirkan kata-kata anaknya itu. Sejujurnya, dia berat hati nak lepaskan Fazlin pergi. Yalah, sejak kejadian itu berlaku, anaknya lebih banyak menyepikan diri. Makan pun kena paksa. Mandi tu kalau tidak disuruh, memang bau kerbaulah gamaknya. Haruslah dia bimbang.
"Mak bukan tak nak bagi. Mak cuma bimbangkan kamu aje, Fazlin." Puan Airah memberitahu apa yang dirasa.
Lagipun, anaknya itu kan baru saja berkahwin. Nanti apa pula kata jiran a.k.a besannya. Nampak sangat macam tidak suka saja dengan pernikahan itu.
"Lin okey, mak. Mak janganlah risau. Pandailah Lin jaga diri."
Puan Airah tahu dia sudah tidak boleh menghalang lagi. Takut didesak, lain pula yang jadi. Biarlah kalau sudah itu keputusannya. Cuma sekarang ini, dia kena cari seseorang untuk memantau keadaan semasa Fazlin semasa berada jauh daripadanya.
'Eh bengap pulak aku ni. Kan Iqbal tu ada.' Puan Airah mengutuk kedunguan sendiri.
Boleh pulak dia terlupa yang si Iqbal itu sudah bergelar menantunya. Itulah. Tadi pandai-pandai serkap jarang Fazlin tak suka bersuamikan Iqbal. Entah-entah dia yang tak berkenankan Iqbal sampai boleh terlupakan status mamat tu. Maafkan mak cik ya Bal. Eh silap. Maafkan emak ya.
"Baiklah kalau Lin dah cakap macam tu. Mak tak halang. Tapi Lin kena tahu. Sekarang Lin bukan kat bawah tanggungjawab mak aje. Jadi mak rasa, lebih elok Lin minta izin dari Iqbal sendiri. Lepas tu, cakap kat keluarga dia elok-elok. InsyaAllah mereka faham dan benarkan."
"Hmm..." Fazlin hanya berdehem.
Apa-apa sajalah. Apa yang penting sekarang, dia cuma mahu lari daripada semua kemelut jiwanya ini.
Keesokan harinya, Fazlin dan Iqbal terus berangkat pulang ke KL. Tiada istilah bulan madu buat mereka berdua. Sepanjang perjalanan, kedua-dua mereka hanya mendiamkan diri. Baik Fazlin mahupun Iqbal, masing-masing seakan tidak mahu bersuara.
Pelik!
Rasanya mereka berdua tidak pernah begini. Kalau dulu, pantang jumpa ada saja yang mahu jadi topik perbualan. Mereka berdua seolah-olah kekok dengan diri masing-masing. Ibarat berada satu kereta dengan orang yang tidak dikenali.
Bagi mengusir kesunyian itu, Iqbal buat-buat berdehem."Ehem..."
Sesekali dia menjeling ke arah sebelah. Manalah tahu, takut Fazlin yang suruh dia mulakan dulu. Perempuan ini kan ada gen pemalu. Beza sangat dengan gen lelaki yang lebih suka main taram aje. Eh, betul ke?
Deheman itu ternyata langsung tidak menarik minat Fazlin. Dia hanya merenung ke arah luar. Biarpun begitu, Iqbal yakin akalnya tidak berada di situ. Melainkan memikirkan sesuatu. Entah apalah yang ada di dalam benaknya sekarang.
Kan lebih elok jika Fazlin meluahkan apa saja yang dia rasa. Sekurang-kurangnya, hilang juga beban yang bersarang di jiwanya itu.
"Ehem..." Sekali lagi, dia berdehem. Sengaja dikuatkan agar dapat membuatkan Fazlin tersedar daripada lamunannya.
Saat itu, Iqbal pula yang menanti respon daripada Fazlin dengan penuh debaran. Bimbang juga takut kena maki. Orang itu sudahlah tertekan. Dia pula nak cucuk angin. Iqbal bukannya apa. Dia mahu tahu sama ada Fazlin perlukan apa-apa.
Dalam pada menantikan Fazlin memberikan maklum balas, tiba-tiba saja telefon Iqbal berdering nyaring. Terkejut beruk dia. Mati-mati ingat itu adalah suara Fazlin. Rupa-rupanya nada dering lagu Nana Sheme berkumandang. Kena pula bahagian 'Kau fikir kau siapa boleh blah.'
Sejenak, Iqbal cuba menarik nafas panjang. Tangan mencapai telefon yang terletak di dalam kocek. Skrin dilihat. Nama Mylove Zara tertera di situ.
"Helo sayang." Sapa Zara, manja.
"Helo mylove."
"U ada kat mana ni?"
"I ada kat atas kereta."
"Oh. Okey. Oh ya sayang. I call ni sebab nak minta maaf dengan u. Semalam i tak dapat datang ke majlis kahwin Fazlin dengan Hakimi tu. Ada hal kecemasan. I harap u faham." Zara memberitahu tujuan dia menelefon.
Selain kebetulan, memang dia tiada hati pun nak ke majlis 'musuhnya' itu. Buat apa nak sakit mata. Daripada dia menyumpah bukan-bukan, lebih baik dia jauhkan diri. Lantaklah orang nak cakap apa.
Tatkala itu, Iqbal bagaikan tertelan pasir. Ya tak ya juga. Patutlah majlis itu berjalan dengan lancar semalam. Rupa-rupanya Zara tiada. Ya Allah. Nasib baik betul. Kalau tidak, entah apalah yang akan jadi. Agaknya, boleh tsunami kampung mereka dek amukan buah hatinya itu.
"U?"
"Err ya ya."
"U tak apa-apa?"
"Eh i okey."
"U tak marah kan?"
"Err tak tak. Tak marah. I okey."
Zara berkerut dahi. Hairan juga dia. Selalunya Iqbal akan menegur jika ada perkara yang tidak berkenan di hatinya. Macam tak logik pula apabila dia tak marah. Itukan majlis bestfriend sehidup semati dia. Hmm... entahlah. Tanya lebih-lebih karang, nanti dituduh cari fasal. Jadi lebih baik biarkan sajalah.
"U, esok kita jumpa tau. I ada hal nak bincang dengan u. Pasal majlis nikah kita."
"Okey okey. Esok kita jumpa."
"Kalau macam tu, i letak telefon dululah ya. I rasa u macam sibuk aje. Nanti kalau free, jangan lupa call i tau."
Iqbal menarik nafas kelegaan. Bukan sibuk pun sebenarnya. Cuma tidak mahu kantoi apa yang berlaku. Nasib baiklah Zara tidak mengesyaki apa-apa. Fuh.
Setelah talian dimatikan, hampir 20 minit perjalanan mereka pun sampai di kawasan apartment milik mereka berdua. Fazlin sudah turun dari kereta. Sempat dia berkata sesuatu ke arah Iqbal tanpa melihat ke arahnya.
"Buka bonet belakang. Nak ambil barang."
Iqbal akur. Walau Fazlin seakan tidak mahu menentang mata, suara wanita itu cukup jelas di pendengaran telinga. Bonet pun terbuka. Fazlin bergerak ke arah belakang kereta lalu mengambil beg pakaian dan beberapa barangan miliknya.
Tanpa menunggu Iqbal, dia segera mengatur kaki menuju ke arah lif. Tidak sampai seminit, kelibatnya sudah hilang daripada pandangan.
Iqbal mengeluh perlahan. Sejujurnya, dia langsung tidak faham. Kenapa Fazlin tiba-tiba boleh berubah dingin begitu? Apa salah dia? Kenapa Fazlin tidak boleh melayannya seperti dulu?
Dalam masa yang sama, matanya turut terpandangkan mangkuk tingkat yang berisi makanan yang telah diletakkan di tempat duduk belakang. Itu adalah pemberian ibu kepada menantunya sebelum mereka bertolak tadi. Kenapa Fazlin tak ambil? Dia terlupa atau memang sengaja tak mahu ambil?
Iqbal terfikir, apalah perasaan ibunya kalau tahu Fazlin buat-buat tak endah dengan pemberiaannya. Pasti kecil hati orang tua itu. Sudahlah dia bangun awal pagi semata-mata mahu siapkan juadah itu kepada Fazlin.
Bagi menyedapkan hati, Iqbal menganggap bahawa Fazlin terlupa tentang mangkuk tingkat itu. Kalau awal-awal terletak dalam bonet tadi, mungkin dia akan capai sekali kot. Tapi apa ke jadah nak letak dalam bonet? Rosaklah makanan itu nanti. Kalau kosong tak apalah.
Jauh di sudut hati, Iqbal tidak dapat menepis rasa terkilannya. Tergamak Fazlin blah macam tu aje. Kalau dulu, minah tu akan setia menanti untuk naik sama-sama ke atas. Sambil berjalan, sambil berbual. Sampai dekat rumah masing-masing baru berpisah.
Tapi kenapa? Kenapa Fazlin tidak melayannya macam dulu? Ke dia marah sebab Iqbal ambil tindakan untuk menikahinya? Habis itu, dia mahu Iqbal buat apa sebenarnya? Tengok dia bersedih lepas itu tepuk tangan? Begitu?
"Lin... kenapa kau buat aku macam ni?" Tanpa sedar, bibir Iqbal mengucapkan.
Apa pun yang berlaku, nak tak nak terpaksalah Iqbal tabah mengharungi semua ini. Dia cuma berharap agar Fazlin kembali pulih seperti sediakala. Biarlah kalau dia dilayan seperti tidak wujud sekalipun. Dia cuma mahukan Fazlin yang dulu.
Setelah itu, Iqbal pun turut dari kereta sejurus kereta dimatikan. Dia mendapatkan beg pakaian dan beberapa barangan peribadi. Tidak lupa juga bekal khas buat menantu ibu. Tidak lama selepas itu, Iqbal mula melangkah untuk menuju ke kediamannya yang bersebelahan dengan kediaman milik wanita itu.

Tuk! Tuk! Tuk!
Fazlin yang sedang lena di atas sofa, terjaga dari tidur. Dia bangun lalu mencapai sehelai tudung. Kaki diatur melangkah ke arah pintu. Kunci pintu dibuka lantas pintu pun dikuak. Wajah Iqbal kelihatan di situ. Di tangannya turut terdapat sesuatu.
"Ini ibu bagi." Iqbal mengunjukkan mangkuk tingkat ke arah Fazlin.
Tanpa perasaan, Fazlin menyambut mangkuk tingkat itu. Hendak menolak, dia rasa tidak sampai hati. Sedangkan jelas dia tak punya selera untuk menjamah apa-apa. Dia hanya mahu tidur. Hmm. Ingatkan datang sini, dapat elakkan diri daripada sebarang gangguan. Tapi tak sangka mamat tu jadi pengacau pula.
Ketika itu, Iqbal cuba mengintai dari celahan pintu yang terbuka. Dia nampak beg pakaian yang Fazlin bawa tadi langsung tidak dibuka dan diusik. Bermakna selepas saja sampai ke sini, Fazlin terus tidur agaknya.
'Hish. Dah solat ke tak dia ni? Karang aku tanya, dia tuduh aku perli pulak. Kalau sedih pun, kenalah solat. Manalah tahu kot-kot hilang rasa sedih tu.' Iqbal berkata di dalam hati.
Namun begitu, Iqbal memilih untuk tidak serkap jarang. Agaknya mungkin dia sudah solat. Fazlin yang dia kenali, memang tidak pernah mengabaikan kewajipan sebagai hamba-Nya. Terlewat sekali apa pun, dia tetap akan melaksanakannya.
Mungkin disebabkan hal itu juga, Tuhan memberikan ujian kepadanya. Bukankah Allah sudah berjanji bahawa Dia tidak akan membebankan hamba-hambanya melainkan daripada kemampuan mereka. Fazlin diuji untuk mengetahui sejauh mana keimanan dan ketakwaannya. Apakah hatinya akan terpesong atau tetap berpegang teguh kepada Sang Pencipta?
Benar, Iqbal yakin dengan semua itu. Semoga satu hari nanti, Fazlin akan dapat menemukan hikmah yang tersembunyi di sebalik semua yang telah berlaku.
Baru saja Iqbal mahu bertanyakan keadaan semasa Fazlin, tidak semena-mena wanita itu mengatup pintu. Iqbal terperanjat. Sikit lagi mahu kena batang hidung. Kalau tidak, sah kemek.
"Kurang asam jawa asam gelugor punya orang. Agak-agaklah. Kalau kena tadi, siapa nak tanggungjawab? Eii sakitnya hati aku. Aku ambik balik makanan tadi baru tahu." Iqbal membebel geram.
Ikutkan hati, Iqbal mahu ke rumahnya untuk ambil kunci pendua rumah Fazlin. Apabila masuk, dapatlah dia bertengkar mulut dengan minah tu. Perangai tak semenggah langsung. Itupun nasib baiklah kawan baik. Kalau orang lain, memang sudah lama dia belasah kaw-kaw.
"Ah... daripada aku bengang layan dia, baik aku blah. Lantaklah kau nak menonggeng ke apa. Pergi mam..." Iqbal tekup mulut sendiri.
Semarah-marah dia pun, tak sampai hati nak memampuskan Fazlin. Kawan baik tu. Mati minah tu, dia jugak yang bertangis teriak. Senang cerita, lebih elok dia abaikan saja Fazlin terlebih dahulu. Apabila keadaan sudah beransur reda, pandai-pandailah dia bersemuka dan menasihatkan apa yang patut.


20/10/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 18

Bab 18
"Bang anak kita bang." Meraung Puan Airah tatkala melihat keadaan anaknya.
Sejurus menerima panggilan telefon daripada Iqbal, dia dan suami terus bergegas ke hospital. Remuk hati seorang ibu apabila melihat kecederaan yang ditanggung Fazlin. Gadis itu masih tidak sedarkan diri. Wayar berselirat di seluruh bahagian tubuhnya. Wajahnya lebam-lebam. Doktor cakap, kecederaannya agak serius namun begitu mujurlah keadaannya semakin stabil.
Bebola mata Encik Farid seperti mahu berair. Dia sendiri tidak sampai hati melihat apa yang berlaku terhadap anaknya. Kalaulah dia tahu siapa pelakunya, memang sumpah dia akan pancung leher si pelaku itu hidup-hidup. Apa nak jadi, jadilah. Zalim sungguh kerana tergamak melakukan perkara ini kepada darah dagingnya.
"Sabarlah awak. Kita doakan anak kita tak apa-apa."
"Allah..."
Puan Airah sudah tidak mampu berdiri. Mujurlah dia yang hampir tumbang sempat disambut oleh Encik Farid dengan sekuat hati. Encik Farid menuntun isterinya lalu ditempatkan di atas kerusi.
Kebetulan ketika itu, kelibat orang tua Iqbal mula kelihatan. Puan Saadiah terus mendapatkan Puan Airah yang sedang menangis teresak-esak. Encik Rahman segera menghampiri Iqbal dan jirannya untuk bertanyakan perkembangan.
"Apa sebenarnya telah berlaku, Iqbal? Cuba cerita kat ayah." Pantas dia melontarkan persoalan.
"Iqbal tak tahu, ayah. Tadi masa nak tidur, Iqbal tiba-tiba dapat whatsapps daripada Fazlin. Dia ada hantar location. Iqbal cuba call tapi dia tak angkat. Lepas tu, Iqbal buat keputusan untuk pergi aje kat location tu.
Sampai aje, Iqbal jumpa Fazlin kat tepi semak. Dia pengsan. Seluruh tubuh dia berlumuran darah. Lepas tu, Iqbal terus bawa dia ke hospital. Dan sekarang doktor masih tengah rawat dia." Iqbal menceritakan apa yang telah terjadi.
Encik Rahman mengangguk tanda mengerti. Ada banyak kemungkinan yang bermain di mindanya sekarang. Tidak mustahil Fazlin menjadi mangsa rompakan ataupun jenayah lain. Zaman sekarang ternyata jenayah berada di mana-mana. Lalai sikit maka terimalah padahnya. Kesian anak jirannya itu.
Encik Farid tidak menjampuk memandangkan dia sudah mendengar sendiri perkara itu semasa awal-awal sampai tadi. Cuma sekarang ini, barulah dia teringat tentang seseorang. Sebab setahu dia, petang tadi Fazlin keluar bersama dengan lelaki itu.
"Habis tu, kamu tak jumpa Hakimi?"
"Tak ada pak cik. Iqbal jumpa Fazlin sorang aje. Mungkin Hakimi tak ada dengan dia." Iqbal memberikan pendapat.
Ada juga dia cuba mencari batang tubuh Hakimi di mana-mana. Tapi kelibat lelaki itu gagal diketemui. Mungkin secara kebetulan sewaktu kejadian itu berlaku, Hakimi tidak bersama Fazlin. Jika tidak, mungkin situasi ini tidak akan menjadi teruk sebegini. Hakimi pasti akan melindungi Fazlin dengan sepenuh hatinya.
Namun begitu dalam masa yang sama, entah kenapa kepalanya boleh teringatkan perbualan sewaktu bersama dengan Hanis tempoh hari.
"Hanis rasa, abang tu sakit. Emosinya mudah berubah-ubah. Kadang dia okey, kadang dia jadi ganas. Hanis pun tak kenapa dia jadi macam tu. Tapi Hanis perasan, kondisinya bertambah teruk selepas mama meninggal."
Iqbal tersentak. Berdebar dadanya memikirkan perkara itu. Jangan-jangan Hakimi yang buat semua ni tak? Hanis kan cakap abang dia tu macam dah tak betul. Tapi... entahlah. Serasa berat bagi Iqbal untuk menerima kenyataan itu bulat-bulat.
Fikir Iqbal lagi, lebih elok jika dia tidak membuat sebarang andaian dengan melulu. Lagipun sewaktu kejadian, Iqbal tak nampak pun bayang Hakimi. Boleh jadi dia tiada langsung kaitan dengan kejadian ini. Dan adalah lebih baik sekiranya dia bertanya sendiri perkara itu kepada Hakimi.
Tatkala itu, Iqbal meminta izin daripada ayah dan bapa Fazlin. Dia melangkah ke arah satu sudut berdekatan dengan tingkap. Telefon dikeluarkan. Lalu nombor Hakimi dipilih lantas ditekan.
"Nombor yang anda dail, tidak dapat dihubungi buat sementara waktu."
Iqbal tidak berpuas hati. Sekali lagi, dia cuba mendail nombor itu. Malangnya hasilnya tetap sama. Hakimi mungkin berada di luar kawasan. Ataupun dia dengan sengaja telah menutup telefonnya.
'Mustahil. Aku tak percaya Kimi yang buat semua ni. Mungkin semua ni hanya kebetulan. Tapi tak apalah. Nanti kalau Lin dah sedar, lebih baik aku tanya perkara ni sendiri kat dia.' Hati Iqbal bergumam sendiri.
Keesokan hari, mereka semua terima berita yang menggembirakan apabila Fazlin telah sedar dengan sepenuhnya. Puan Airah tidak dapat menghentikan tangisan gembiranya. Syukur kerana anaknya itu telah bangun. Begitu juga Encik Farid. Walaupun dia tidak menangis seperti isterinya, hatinya tetap berasa terharu dan sebak.
Iqbal yang turut mendapat berita itu terus bergegas ke hospital. Betapa lega rasa apabila melihat Fazlin sudah membuka mata. Tanpa sedar, bebola matanya mula bergenang. Terbit rasa simpati yang menggunung tinggi melihat pergerakan Fazlin yang begitu lemah.
"Fazlin nak makan ke? Mak suap ye." Puan Airah kedengaran berkata. Di tangannya terdapat semangkuk bubur yang disediakan oleh pihak hospital untuk santapan pesakit.
Fazlin langsung tidak bersuara. Dia hanya menggelengkan kepala bagi mengatakan tidak. Kalau ikutkan, perutnya berkeroncong dan meminta diisi. Tapi dia langsung hilang selera. Tambahan pula dalam keadaan sakit-sakit seluruh badan begini.
"Tapi Fazlin kena makan. Nanti perut kosong. Makanlah sikit. Sikit aje." Puan Airah menghalakan sudu yang berisi bubur ke arah bibir Fazlin.
Fazlin tiada kudrat mahu menolak. Dalam masa yang sama, dia tetap tidak mahu makan. Biarpun sudu itu sudah dekat dengan bibir, namun dia sengaja tidak membuka mulutnya itu. Akhirnya, Puan Airah mengerti. Tiada guna dia mendesak anaknya lagi.
"Bagi kat saya mak cik. Biar saya yang suap." Iqbal meminta perlahan.
Puan Airah mengangguk sebelum mangkuk itu bertukar tangan. Kemudian, dia pun keluar dari wad itu. Mahu memberi ruang kepada kawan baik anaknya untuk memujuk Fazlin makan.
"Hei Lin... makan jom." Iqbal bersuara sambil buat-buat ceria.
Fazlin tetap menggeleng. Kemudian dia segera berpaling lalu membelakangi Iqbal. Tindakannya itu sedikit sebanyak membuatkan Iqbal tergamam. Fazlin seolah-olah tak mahu bertentang mata dengan dia.
"Lin?"
Tiada sahutan yang keluar daripada gadis itu. Sebaliknya hanya esakan tangisan yang kedengaran di cuping telinga. Iqbal tersentak. Dia segera meletakkan mangkuk bubur itu lalu bergerak ke arah sebelah sana.
Hiba hatinya apabila melihat air mata Fazlin bercucuran keluar daripada kelopak mata. Iqbal tahu, Fazlin pasti trauma dengan apa yang berlaku. Ya Allah... kalaulah dia diberikan keajaiban untuk menukar tempat dengan Fazlin, sumpah dia sanggup melakukan semua itu.
"Kenapa menangis ni?" Iqbal bersuara dengan nada yang sedikit bergetar. Dia duduk mencangkung seolah-olah sedang memujuk anak kecil yang terasa hati dengan perbuatannnya.
Fazlin tidak menjawab. Sebaliknya dia hanya menghamburkan tangisan sekuat hati. Kotak suaranya seakan-akan tiada fungsi lagi. Hendak menjerit, tiada daya. Hendak meraung, hilang kudratnya.
Jadi apa yang dia mampu lakukan sekarang, hanyalah dengan menangis. Biarlah air mata menjadi jawapan apa yang sedang dia rasakan sekarang. Dia rasa terkilan. Sedih. Kecewa. Sengsara. Derita. Semua itulah yang dia sedang rasakan saat ini.
"Lin..."
Fazlin masih larut dalam tangisannya. Iqbal dilayan seolah-olah seperti tidak wujud di situ. Kesudahannya, Iqbal mengeluh hampa. Entah kenapa tiba-tiba saja rasa bersalah menghunjam tangkai hati.
Bermacam tanggapan mula bermain di benak Iqbal sekarang. Kalaulah dia tidak terlalu mendesak Fazlin, sudah tentu semuannya takkan jadi begini. Mungkin sebab itu Fazlin tidak mahu melayannya. Fikir Iqbal sendiri.
Tatkala itu, satu keputusan muktamad mula bermain di fikiran Iqbal. Mungkin inilah jalan yang terbaik untuk dia ambil bagi memulihkan Fazlin. Iqbal tahu, dia harus mengembalikan Fazlin yang dulu. Fazlin yang ceria dan tiada masalah dalam hidupnya. Ya. Inilah yang sebaiknya.
"Fazlin, tengok sini." Iqbal menarik dagu Fazlin untuk menghadapnya.
Walaupun pandangan Fazlin kabur dengan air mata, wajah lelaki itu tetap menjadi tatapannya sekarang.
"Tak kiralah apa yang akan terjadi, mulai sekarang aku janji aku akan jaga kau. Aku takkan sesekali biarkan perkara ni berulang lagi. Kau pegang kata-kata aku ni, Fazlin. Aku juga bersumpah akan cari orang yang buat kau ni sampai dapat." Tegas Iqbal mengutarakan kata-katanya.
Ketika itu, Iqbal sudah tidak mahu menoleh lagi. Biarlah jika keputusannya ini bakal mengguriskan hati orang di sekelilingnya. Waima terpaksa melukakan hatinya sendiri. Apa yang penting sekarang, dia akan bertanggungjawab di atas apa yang berlaku kepada Fazlin.

"Kamu ni biar betul Iqbal?" Soal Puan Saadiah dengan terbeliak biji mata.
Bukan setakat dia yang terkejut. Malahan ketiga-tiga orang yang turut berada di ruang tamu rumahnya itu kelihatan turut ternganga sama. Sukar untuk percaya dengan apa yang baru keluar daripada mulut anaknya tadi.
Semalam genap 4 hari Fazlin tinggal di dalam hospital. Hari ini dia sudah dibenarkan keluar. Mana tidaknya, doktor pun jatuh kasihan tengok keadaan dia yang sentiasa muram. Jadi dia diberi pilihan keluar asalkan tidak lupa makan ubat. Mujur tiada kecederaan dalaman yang membelenggu gadis itu.
"Ya ibu. Iqbal dah fikir masak-masak."
Puan Airah sudah tidak terkata apa. Begitu juga Encik Farid sendiri. Baru sebentar tadi, Iqbal memberitahu mereka bahawa dia sudi menikahi Fazlin. Alasannya, mahu menjaga gadis itu di sepanjang pemulihannya.
Iqbal tidak tahu sama ada keputusan ini lahir dari hatinya. Tapi apa yang dia tahu, inilah jalan terbaik yang harus diambil. Sejak kejadian itu berlaku, siang malam dia risaukan keselamatan Fazlin. Dia cuma tidak mahu gadis itu mengambil jalan singkat. Trauma dalam hidupnya tidak memustahilkan Fazlin bertindak di luar kawalan.
"Kamu dah fikir masak-masak ke Iqbal?" Soal Encik Rahman pula.
"Ya ayah. Iqbal dah fikir masak-masak."
"Habis Zara macam mana?"
Iqbal terdiam. Saat itu, barulah dia teringatkan tentang Zara. Ya Allah... kenapalah dia langsung tak fikirkan tentang gadis itu sebelum ini? Kejamkah dia sebab boleh terlupakan fasal tunangnya itu?
Memang sah-sahlah kalau dia beritahu perkara ini kepada Zara, gadis itu pasti akan terkejut sakan. Tapi apa lagi pilihan yang dia ada? Dia tak boleh abaikan Fazlin. Semua yang berlaku disebabkan silapnya juga. Kalaulah dia tidak memperkenalkan Hakimi dengan Fazlin, pasti semua ini takkan terjadi. Fikir Iqbal lagi.
"Ayah, ibu, pak cik dan mak cik tak payahlah risaukan lagi pasal si Zara tu. Pandailah Iqbal uruskan dia nanti." Iqbal cuba menyedapkan hati mereka berempat.
Sedangkan secara jujurnya, dia sendiri tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan Zara. Biarlah dulu. Apa yang penting sekarang adalah kesihatan Fazlin. Gadis itu yang harus menjadi keutamaan mereka sekarang.
Tatkala itu, barulah Encik Farid teringatkan akan bakal menantunya. Tertanya-tanya juga dia. Kenapa sepanjang Fazlin berada di hospital, kelibat lelaki itu langsung tidak kelihatan? Hakimi seolah-olah menghilangkan diri begitu saja.
"Hakimi ni kenapa sebenarnya? Dah lama kami tak tengok muka dia. Ke dia ada buat benda tak elok ni." Encik Farid mengeluarkan pendapat sendiri.
Pernah dia bincangkan perkara ini dengan isterinya sendiri. Kalau Hakimi tiada kaitan, masakan dia langsung tak tunjuk muka. Jangan-jangan Hakimi curang lepas itu teman wanita dia yang pergi belasah Fazlin. Ah, boleh jadi. Bukannya mereka tak pernah tengok penangan orang curang bagaimana. Kalau dekat negara China, dibogelkan tu ibarat hukuman biasa bagi mereka yang curang.
Iqbal terdiam seketika. Dia menghela nafas perlahan. Entahlah. Sebelum ini, bukan dia tak pernah bertanya sendiri kepada Fazlin tentang perkara ini. Adakah Hakimi si pelaku yang menyebabkan kecederaan pada dirinya. Anehnya, Fazlin tidak langsung mengiyakan. Mengangguk tidak. Menggeleng pun jauh sekali. Fazlin seolah-olah mahu menyembunyikan siapa pelaku sebenar.
Hakimi pun satu. Entah ke manalah dia pergi. Kalau jumpa dia, memang sah Iqbal akan menggasaknya agar berterus terang. Biarpun jauh di lubuk hati, dia seperti yakin Hakimi mesti ada kaitan dengan apa yang telah berlaku.
"Kita tak payahlah fikirkan pasal perkara ni lagi, Farid. Lagipun kalau betul dia bersungguh, dah lama dia tunjuk muka. Majlis kahwin pun dah nak dekat ni. Takkan kita nak batalkan macam tu aje. Orang dah jemput. Nanti apa pula mereka cakap." Encik Rahman memberikan pandangannya juga.
"Haah. Betul juga tu. Apa kata, kita buat majlis makan kecik-kecik aje. Janji akad nikah berjalan dengan lancar. Kita pun tak payah nak fikir banyak." Giliran Puan Saadiah menokok juga.
Tatkala itu, Puan Airah dan Encik Farid hanya mengangguk saja. Apa yang dikatakan oleh mereka berdua itu ada benarnya. Mereka sudah tiada masa untuk fikirkan kenduri yang bagai nak rak bagai. Apa yang penting sekarang, keadaan Fazlin. Mudah-mudahan, dia akan kembali pulih seperti sediakala.









17/10/16

Review Filem The Secret Of Walter Mitty




Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang bernama Walter Mitty. Bekerja sebagai orang yang proses negatif gambar untuk dijadikan cover majalah popular. Dari mata kasar orang lain, si Walter kira loser lah. Awek tak ada, hidup membosankan. Tapi Walter ni ada satu rahsia. Dia ni kuat gila mengelamun.

Namun begitu, Walter ni jenis orang paling komited dalam kerjanya. Pada satu hari, dia ditugaskan untuk proses segulung gambar. Satu gambar akan dipillih dan dijadikan cover ekslusif sempena berakhirnya siri majalah paling popular tu. Dalam kesemua gambar, gambar bernombor 25 yang dipilih. Malang menimpa apabila gambar tu tiba-tiba hilang. Walter tak pasti hilang sebab kecuaian dia atau pengirim a.k.a si cameraman bebas tu memang tak hantar.

Disebabkan negatif tu penting, Walter buat keputusan nak jejaki si cameraman tu memandangkan dia tak pakai telefon. Bertambah rumit apabila cameraman tu jenis bebas ke sana ke mari. Freelancer katakan. Dipendekkan cerita, terdesak nak jumpa cameraman tu, Walter terpaksa redah lautan dan bergelut dengan jerung. Tapi tak jumpa juga sebab cameraman tu dah blah. Kemudian, dia terpaksa pergi kat kawasan volcano tapi hanya selisih aje.

Lepas aje syarikat tahu si Walter tak ada negatif tu, syarikat terus berhentikan dia. Walter bingung dan loss. Tiba-tiba dia dapat hint daripada mama dia kat mana cameraman tu berada. Walter buat keputusan untuk cari dan dia berjaya bertemu lelaki itu di gunung himalaya. Walter nak sangat tahu gambar apa yang dibidik oleh cameraman tu. Tapi cameraman tu tak jawab. Rupa-rupanya, gambar tu ada cuma terselit kat hadiah yang cameraman tu bagi kat walter masa mula-mula hantar segulung gambar diproses.

Dipendekkan lagi cerita, Walter yang bengang diberhentikan terus hantar gambar nombor 25 kepada syarikat. Lepas tu dia terus blah. Oh ya terlupa nak cerita. Sebabkan sikap dia suka mengelamun tu, dia tersalah anggap pasal seorang perempuan. Dia ingatkan perempuan tu nak balik baik dengan ex suami dia cuma dia yang bayangkan bukan-bukan.

Pada hari dia nak ambil gaji akhir kat syarikat, dia terserempak dengan perempuan tu balik. Mereka berbaik semula lepas tahu yang perempuan tu tak ada apa-apa hubungan dengan ex husband dia. Masa tengah jalan-jalan, tiba-tiba mereka melintasi sebuah gerai majalah. Baru mereka teringat yang majalah akhir tu keluar hari tersebut. Mereka pun cari sebab nak tahu kaver apa yang penting sangat.

Saat terpandangkan kaver tu, Walter mati kata. Mana tidaknya, kaver tu memaparkan gambar dia. Adalah ayat-ayat yang boleh buatkan orang terharu baca. Aku yang tengok ni pun rasa sebak dan tergamam. Wow. Tak sangka langsung.

Secara keseluruhan, aku suka dengan cerita ni. Aku bagi 5 bintang sebab ending dia twist gila. 

16/10/16

Sakitnya lahai...

Salam... Hari ni aku terpaksa pergi klinik. Sakit gigilah katakan. Sebelum ni bukan tak nak pergi. Bukan jugak sebab takut. Tapi sebab gigi nilah yang buat hal. Kejap sakit. Kejap tidak. Pagi petang okey, malam kau buat hal gigi. Ngada-ngada kan. 

So disebabkan tak nak layan karenah kau, aku pergi jugak hari ni. Sebelum ni aku cabut dekat klinik swasta. Servis okey. Cuma mahallah sikit. RM60 sebatang. Beza nau dengan klinik kerajaan. RM2 kot. 

So adalah satu hari tu, aku nak trylah sekali kat klinik kerajaan ni. Pedulikanlah cerita2 seram kena cucuk sampai tembus gusilah. Hahaha. Pendekkan cerita, gigi pun berjaya dicabut. Mengejutkan, rasa lebih kurang macam dibuat kat klinik swasta. Mean, servis okey. Tak sakit tak apa.

Berbalik pada cerita hari ni. Disebabkan dah yakin dengan klinik ni, aku pun pergi cabut hari ni. Tapi aku tak sangka, sakit gilalah pulak. Doktor cucuk dengan agak laju. Sampai ternaik-naik kaki aku. Tangan aku pun hampir2 nak tepis tangan dia. Nasiblah badan dapat doktor yang konfiden macam ni. Adoi... Sebelum ni kena cucuk jugak, tapi tak adalah sampai sakit teruk macam ni. Nasib baik masa cabut tak rasa apa.

Apa yang aku tahu sampai ke saat ni, lepas cabut tu kepala aku agak pening sikit. Harap tak ada apa-apa kesanlah. Good job doc. Laju kerja anda buat. 

15/10/16

Review Filem Orange (Jepun)



Okey ini filem jepun yang diadapatasikan daripada manga yang bergenre fantasi, Kisah bermula apabila seorang pelajar perempuan sedang feeling-feeling dekat deretan bawah pohon sakura sebelum nak ke sekolah. Tiba-tiba dia perasan ada satu surat yang terselit kat celah beg dia. Surat tu daripada masa hadapan yang ditulis oleh dia sendiri. Mula-mula dia ingatkan main-main. Lepas aje ada seorang budak lelaki transfer ke sekolah dia, barulah dia tahu surat tu betul sebab kejadian tu tepat dengan isi kandungan. 

Surat itu berkisarkan tentang pelajar lelaki tadi. Apa yang perlu pelajar perempuan tu buat dan tak buat jika bersama pelajar lelaki tu. Pendek kata, pelajar perempuan tu sukakan pelajar lelaki tu. Kira surat ni merungkaikan masalah apa yang berlaku kat pelajar lelaki tu selama ni.

Susah jugak nak terangkan pasal cerita ni. Dah namanya cerita fantasi. Hahaha. Baik aku ringkaskan ajelah ek. Dimudahkan cerita, pelajar perempuan ni nak halang pelajar lelaki tu daripada bunuh diri. Ini apa yang aku fahamlah. Sebab pelajar lelaki tu dia ada kenangan pahit. Dia salahkan diri sendiri sebab emak dia mati bunuh diri. 

So, pelajar perempuan ni dengan beberapa kawan dia, cuba baik dengan pelajar lelaki. Kira nak elakkan dia daripada bunuh dirilah. Tapi akhir cerita, pelajar lelaki tu tetap akan mati cuma bukan dengan cara bunuh diri. Aku tak pasti dia mati macam mana sebab tak diceritakan.  

Even cerita ni cerita fantasi, tapi aku suka plot ceritanya. Tak perlu raksasa or perang bagai. Cukup mainkan emosi, cerita tu akan jadi bagus dengan sendiri. Overall, cerita ni pasal emosi yang cukup rencah. Ada tema persahabatan, pengorbanan, dan semangat setiakawan. Untuk cerita ni, aku bagi 3 bintang.


14/10/16

Bukan Maksudku Memilihmu Bab 17

Salam guys. Mula-mula sekali nak minta maaf sebab baru update hari ni. Semalam penat sangat. Harap korang enjoy. Tq sudi baca ek.

Bab 17
Usai menunaikan solat isyak, Iqbal membuatkan keputusan untuk berbaring di atas katil. Mahu menghilangkan penat setelah seharian bekerja. Entah kenapa, tubuhnya rasa begitu berat pada waktu ini. Jarang dia rasa begini. Selalunya, waktu-waktu begini dia masih mampu merayap atau melepak di mana-mana kedai mamak atau warung. Sama ada untuk pekena teh tarik ataupun sekadar menonton bola.
Baru saja seminit kepala melentokkan di atas bantal, rasa kantuk mula menguasai diri. Dia fikir untuk terus tidur. Lampu meja dicari lalu suisnya dipetik. Gelap gelita kamar tidurnya. Hanya cahaya bulan saja yang mencuri masuk samar-samar melalui cermin tingkapnya.
Tiba-tiba...
Tik! Tik! Tik!
Iqbal yang baru saja melelapkan mata terus terjaga. Ingatkan nak buat tidak endah saja tapi tangan ini yang gatal dah terpegang gajet berbunyi itu. Sambil menguap, dia terus membuka pesanan yang masuk.
Berkerut dahi seketika apabila melihat pesanan whatsapp yang diterima. Bukan mesej atau sebarang kata-kata. Sebaliknya hanya satu location yang Iqbal sendiri tidak pasti di mana kedudukannya. Sudahlah tiada caption apa-apa. Paling membingungkan, pengirimnya ialah manusia yang telah disimpankan nama sebagai 'Lin Poyo'.
Spontan Iqbal terduduk. Dada mula rasa berdebar-debar. Dia yakin ada sesuatu sedang berlaku. Fazlin tidak pernah buang tebiat begini. Tak ada angin tak ada ribut, tetiba hantar location bagai. Mereka bukannya sedang main running man kot.
Pantas tangan mendail nombor minah tu. Hairan, berjaya disambung tetapi tidak pula dijawab. Mungkin dia tidak perasan atau mungkin saja dia tetapkan dalam mood senyap. Pulak dah. Jari cuba mendail sekali lagi namun jawapannya tetap sama.
"Kau ni dah kenapa Lin oii. Jawablah kalau aku call ni." Iqbal membebel seorang diri.
Dalam masa yang sama, Iqbal tidak betah berdiam diri. Dia segera bangkit dari katil lalu menuju ke almari. Seluar jean hitam dicapai lalu dipakai. Sehelai baju t-shirt berwarna oren terus diambil lalu menutupi badan.
Iqbal sendiri tidak yakin dengan apa yang dia lakukan sekarang. Dia hanya menuruti kata hati. Hatinya menyuruh dia pergi saja ke location yang telah dihantar itu. Bagi menyedapkan hati, dia memberitahu mungkin saja Fazlin ingin bergurau dengannya. Apa orang kata, gurau biawak. Siapa tahu kan.
Selesai memakai kasut, Iqbal terus berlari ke arah lif. Pintu terbuka dia pun bergegas masuk. Tidak sampai seminit, lif turun ke tingkat parking. Sekali lagi dia berlari untuk mendapatkan kereta. Nasib baiklah Hakimi tidak gunakan keretanya hari ini. Sebelum berdecit bunyi tayar kereta lalu meninggalkan kediaman bujangnya itu.
Sementara itu, di dalam sebuah bangunan terbiar, Hakimi baru terjaga daripada pengsan. Kepalanya terasa berpinar-pinar. Tangan menyentuh bendalir panas yang mengalir ke pipi. Terbeliak matanya. Darah?
"Lin..." Suaranya memanggil lemah.
Seingat Hakimi tadi, dia sedang keluar bersama tunang kesayangan. Bila masa pula dia boleh tercampak kat sini?
Bagi mendapatkan gambaran jelas, Hakimi cuba menarik nafas dalam-dalam. Dia berusaha menenangkan diri terlebih dahulu. Mata dipejamkan barang seketika. Terimbaslah segala detik sewaktu mula-mula dia keluar bersama dengan gadis itu tadi.
Tepat pukul 6 petang tadi, mereka berdua pun tiba di sebuah restoran Nandos. Makan di sini jarang-jarang bolehlah. Kalau selalu, muak anak tekak juga rasanya. Fazlin memilih ayam peri-peri bersama nasi. Hakimi hanya mengambil hidangan sampingan.
Entah macam mana, sewaktu sedang menunggu pesanan siap, tiba-tiba saja ada ketegangan berlaku di hadapan mata mereka. Seorang lelaki dilihat sedang memarahi seorang perempuan yang sedang menangis. Di samping lelaki itu, turut terdapat seorang perempuan lain yang nyata lebih seksi dan cantik daripada perempuan yang dimarahi itu.
"Abang... kenapa abang buat saya macam ni? Abang tak kesiankan saya ke?"
"Aku cakap kau balik, baliklah."
"Abang, saya sayangkan abang. Dulu abang janji nak jaga saya baik-baik. Mana janji abang dulu? Siapa perempuan ni abang?"
"Dia ni isteri baru aku. Dan untuk pengetahuan kau Miah, aku sebenarnya dah bosan gila dengan kau. Sebab tu aku cari perempuan lain. Kau tak ada hak nak campur urusan hidup aku. Kalau kau tak nak kena cerai, lebih kau balik Miah. Aku cakap balik, baliklah!"
"Abang..."
Fazlin yang menyaksikan babak menyedihkan itu hanya mampu tumpang simpati. Hendak campur tangan, sumpah dia tidak berani. Itu urusan rumah tangga orang. Silap haribulan, niat yang baik boleh disalahtafsirkan.
Ketika itu, kepalanya sudah tertoleh ke arah Hakimi. Terdiam sejenak tatkala melihat telatah Hakimi sekarang. Lelaki itu kelihatan seperti sedang berpeluh-peluh. Tangannya laju menggagau ke dalam seluar seolah-olah sedang mencari sesuatu.
"Kimi? Awak tak apa-apa?"
"Babilah. Kat mana pulak aku letak ni." Hakimi membebel sendiri.
Lantas dia bingkas berdiri. Sekali lagi, tangan menyeluk kocek seluar. Kiri kemudian kanan. Bahagian belakang pun turut digagau sedang mustahil tempat itu muat untuk sebuah botol berukuran sederhana. Melainkan dia tidak kisah jika terpaksa duduk dalam keadaan pelik.
Fazlin terkedu. Terus dia teringatkan saat sewaktu dia dimarahi tanpa sebab oleh Hakimi dulu. Sedikit sebanyak, dia mula rasa takut. Namun dia cuba melawan perasaan itu demi mengetahui apa sebenarnya yang sedang berlaku.
"Siallah."
Seraya itu, Hakimi pun segera bangun. Dia terus keluar daripada restoran itu lalu berlari menuju ke tempat letak kereta. Manalah tahu barang yang dicari ada di sana. Dia kena cepat. Sebelum kepala tidak berfungsi lalu hilang pertimbangannya.
Fazlin yang melihat Hakimi pergi turut bergegas mengekori lelaki itu. Bimbang jika ada perkara yang tidak diingini berlaku.
Klik!
Kunci kereta ditekan. Sepantas kilat Hakimi melompat ke dalam perut kereta. Ruang tempat letak barang berdekatan gear terus diselongkar. Tiada. Laci di tempat duduk sebelah penumpang turut diterjah. Tiada juga.
Kebetulan ketika itu, Fazlin pun masuk ke dalam kereta. Bingung dia tengok tindak-tanduk Hakimi sekarang. Dia cari apa sebenarnya? Macam terdesak sangat aje. Orang tanya, tak jawab. Hish...
"Kimi?"
"Diamlah kau."
Fazlin langsung terkedu. Remuk hati apabila Hakimi melayaninya begitu. Kenapa dengan dia? Ada apa yang berlaku? Kenapa dia tiba-tiba boleh berubah begini? Belum sempat soalan itu bermain di minda, Hakimi terus menghidupkan kereta. Terbeliak mata Fazlin.
"Aku kena balik sekarang."
"Tapi kita tengah order makanan tu."
"Ah lantaklah."
Belum pun selesai memujuk dan menenangkan lelaki itu, kereta sudah memecut pergi. Menggigil tubuh badan Fazlin. Mana tidaknya, pintu pun dia tak sempat tutup sepenuhnya tadi. Dia cuba untuk bersuara tapi entah kenapa kata-katanya bagaikan tersekat di kerongkong. Dia buntu mahu melakukan apa sekarang.
Dan segalanya berlalu dengan sungguh pantas. Hakimi tidak sedar bila masa dia mengheret Fazlin masuk ke dalam sebuah bangunan yang ditinggalkan. Tubuh wanita itu disepak dan diterajang. Tidak cukup dengan itu, pipi putihnya ditampar berkali-kali hingga mengalirkan cecair pekat yang berwarna merah. Hakimi seperti mahu melepaskan amukannya. Semua gara-garanya terlihatkan situasi yang berlaku di hadapan matanya tadi.
"Kimi... tolong... berhenti..." Suara Fazlin kedengaran merayu-rayu sambil menahan kesakitan.
Berjurai-jurai air matanya membasahi pipi. Sungguh dia tidak menduga musibah ini akan menimpa dirinya. Apa salah dia? Kenapa Hakimi tergamak melakukan perbuatan kejam sebegini terhadapnya?
Namun begitu, segala rayuan tersebut ternyata tidak mampu pun mengubah sifat haiwan Hakimi. Dia yang terlalu kerasukan, dilihat menujahkan tumbukan bertalu-talu ke arah cermin kaca pula. Berderai pecah kaca dek penangannya. Tangan yang berlumuran darah langsung tidak dipedulikan rasa sakitnya.
Dalam ketidaksedaran akal itu, entah macam mana satu suara mula menyusup masuk ke benak fikirannya.
'Kimi, ingat tu janji kau dengan aku.' Mata Hakimi bagaikan terpejam-pejam.
Suara Iqbal bagaikan berbisik di sebelah telinga. Hakimi seperti berada di dalam keadaan separa sedar. Tiba-tiba saja, bayangan Iqbal seperti berada di hadapan matanya sekarang.
'Janji kau takkan pernah sakitkan hati dia.'
Tubuh Hakimi menggigil. Dia cuba mengusir bayangan Iqbal tapi ternyata dia tidak mampu. Bagaimana imej lelaki itu tidak mengganggu mindanya sekarang. Boleh dikatakan hampir setiap malam dia menerima pesanan itu daripada mulut Iqbal. Jika tidak menerusi suara, pasti melalui whatapps atau pun mesej.
'Apa-apa pun yang berlaku, aku nak kau pertahankan dia ibarat kau jaga nyawa kau sendiri.' Pesanan lain pula bermain di ingatan.
'If kau usik dia, samalah macam kau usik aku. Faham?!'
Badan Hakimi menggeletar lagi. Sepatutnya, hanya dengan ubat saja yang mampu mengembalikan dia dalam keadaan normal semula. Tetapi ternyata segala ingatan Iqbal yang cukup keras itu telah mengubah segala-galanya. Dan apa yang pernah dia janjikan demi kebahagiaan gadis mula bermain di ruang fikiran.
'Ya Bal. Aku akan janji aku akan jaga dia.'
'Aku bersumpah aku takkan sesekali sakiti dia.'
'Lin... saya akan pastikan awak takkan menyesal pilih saya dalam hidup awak.'
Ketika itulah, akal fikiran Hakimi sudah mulai waras. Tergamam dia tatkala melihat Fazlin terbaring lemah berlumuran darah di satu sudut. Lutut mula terasa goyang. Seluruh sendi mula menggeletar hebat.
"Lin..." Hakimi menggagahkan diri untuk menghampiri Fazlin.
Dia tidak faham apa yang sebenarnya yang telah berlaku. Bukan ke tadi mereka ada dekat restoran ke? Kenapa tiba-tiba dia dan Fazlin boleh tercampak kat sini? Hakimi cuba meraih ingatan namun dia gagal mengingati apa-apa.
"Lin, awak tak..."
"To... tolong jangan seksa saya lagi. Saya merayu..." Suara Fazlin kedengaran lemah.
Dia merayu agak dirinya dikasihani. Di matanya, lelaki itu bukan lagi Hakimi yang dia kenali. Melainkan manusia penuh naluri kebinatangan. Manusia yang tidak berhati perut. Kejam lagi menakutkan.
Ya Tuhan... kenapa perlu dia dipertemukan dengan lelaki sebegini? Apa salah dia? Apa dosa dia? Hiba dadanya merintih akan nasib diri.
Terhenyak perasaan Hakimi sejurus mendengar kata-kata Fazlin. Sedarlah dia bahawa bukan orang lain yang menjadi punca Fazlin cedera parah sebegitu rupa. Perlahan-lahan tangan diangkat ke atas. Hakimi memandang kedua-dua belah tangan itu dengan rasa tidak percaya. Lama dia merenung sambil menggigil seluruh tubuh.
"Maafkan saya Lin. Saya tak berniat nak buat awak macam ni." Hakimi mula menangis semahu-mahunya.
Tatkala itu, Fazlin sudah tidak mampu bersuara. Badannya terasa semakin lemah. Nafasnya mula menjadi semakin perlahan. Dia tahu, dia tiada daya untuk buat apa-apa lagi. Mungkin di sini pengakhiran hidupnya.
"Lin... saya sakit Lin. Maafkan saya."
Sebak hati Hakimi tatkala melihat keadaan Fazlin. Sumpah langsung tidak terniat dihatinya mahu melakukan tunang kesayangannya begitu. Kalaulah dia tahu dari awal lagi begini jadinya, takkan sesekali dia dekati Fazlin.
Perasaan bersalah mula memukul-mukul diri. Hakimi tahu, dia harus mendapatkan balasan yang setimpal. Tatkala itu, dipandang dinding batu yang tebal binaannya. Tanpa berfikir panjang, dia melurukan kepalanya di situ dengan sepenuh hati.
Bam!
Hakimi terus rebah di situ. Darah mula membasahi ke seluruh mukanya.

Bab 16 Klik Untuk Baca









11/10/16

Review Filem The Descent

Sumber foto : google



Kisahnya bermula apabila 3 orang perempuan yang bersahabat baik sedang melakukan aktiviti lasak. Awal cerita dia dah bagi hint pasal  suami heroin semasa tengah tolong salah kawan dia. Masa on the way nak balik, suami dia macam melangut ingatkan sesuatu lalu heroin pun tegur. Masa tulah kecelakaan berlaku lalu suami dan anaknya pun mati. Di situ, heroin mula trauma.

Beberapa tahun kemudian, mereka berkumpul balik. Kali ini dalam 6 hingga 7 orang. Mereka akan buat aktiviti lasak lain iaitu masuk gua. Tapi rupa-rupanya, gua yang mereka masuk tu tak pernah ada dalam buku. Pendek kata, tak pernah orang jejak. Jadi siapa berjaya jejakkan kaki kali pertama, dia boleh namakan gua tu sempena namanya. Kira ada seorang perempuan ni tipulah kata nak masuk gua yang selamat dan ada hint bagai.

Entah macam mana, masa tengah masuk satu lubang sempit ni, tiba-tiba gua tu boleh bergegar. Maka tertutup pintu lubang yang satu tu. Nak tak nak, mereka kena cari jalan lain untuk keluar. Mereka terpaksa ke seberang dengan menggunakan teknik panjat-memanjat skil tahap tinggi. Fuh, gila kering hati dorang ni.

Lama berjalan, dengan bateri lampu yang dah nak habis lagi, masing-masing mulalah cuak. Lepas tu, ada sorang minah ni dia terlalu excited sebab ingat jumpa jalan keluar. Rupa-rupanya bukan. Tup-tup dia terjatuh lalu patah kaki. Semasa kawan-kawan dia tengah bagi rawatan, heroin pun terdengar bunyi macam suara budak. Dia pun ikut suara tu. Dia ternampak macam kelibat manusia. Bagitahu kawan tapi kawan tak percaya.

Masa selesai rawatan dan nak teruskan perjalanan tulah, mereka tiba-tiba diserang oleh makhluk seperti manusia. Perempuan yang patah kaki ni kena tokak kat leher. Mati terus. Masing-masing panik terus larikan diri. Tapi ada seorang tu cuba lawan dan nak tarik mayat kawan dia. Lepas tu ada seekor lagi makhluk datang dan bergumpal dengan dia. Perempuan tu kira kuat gaklah. Nasib baiklah makluk tu buta. Kira dia bergerak ikut bunyi ajelah. Kalau tak, memang dah kejap aje geng ni arwah.

So, punyalah bergelut melawan, akhirnya perempuan tu berjaya jugak tewaskan makhluk yang seekor tu. Kebetulan ketika itu, dia ingatkan ada lagi makhluk yang nak serang dia. Tak beragak-agak dia hayunkan besi daki tup-tup yang datang dari belakang tu salah seorang kawan dia. Maka berlubanglah leher kawan dia tu. Masa tulah kita sedar perempuan ni bukannya baik sangat sebab dia tinggalkan kawan dia ni macam tu aje. Mujurlah, perempuan yang kena besi tu sempat ambil rantai kat leher perempuan jahat tadi.

So dipendekkan cerita, satu persatu daripada mereka kena bunuh dengan makhluk tu. Kecuali perempuan yang kena besi sebab dia masih hidup lagi. Dia sempat jumpa dengan heroin dan cakap jangan percayakan dengan perempuan jahat tu. Rupa-rupanya, perempuan jahat tu ada skandal dengan suami heroin. Rantai itu adalah buktinya sebab ada kata-kata suami yang selalu isteri pegang. Dan perempuan tu minta tolong heroin untuk habiskan nyawanya sebab taknak mati di tangan makhluk kejam tu.

Di akhir-akhir cerita, heroin dan perempuan jahat ni bertemu. Mereka sama-sama lawan semua makhluk yang kelilingi mereka. Makhluk tu tewas sebelum heroin tu  pun libas kaki perempuan jahat ni. Kira dia tahulah skandal dan perbuatan jahat perempuan tu kat salah seorang kawan dia. Lepas tu, heroin terus tinggalkan minah tu dan minah tu pun kena serbu dengan kelompok yang lain pula.

Masa tengah lari, heroin pun tiba-tiba jatuh ke dalam lubang. Lubang tulah yang bawak dia ke jalan keluar. Cepat-cepat heroin cari keretanya dan tinggalkan kawasan tu. 

Eh kejap! Korang ingat dah habis ke? Belum lagilah. Lepas separuh jalan memandu, perempuan tu pun berhenti menangis. Yalah sedih gilalah kawan-kawan dia dah mati. Kena khianat dengan kawan baik lagi. Semasa berpaling kat tempat duduk sebelah, tiba-tiba member dia yang jahat tu muncul. 

Rupa-rupanya, masa dia terjatuh lubang tadi dia pengsan. Kira bermimpi ajelah dia jumpa jalan keluar tadi tu. Tapi pengakhirannya, masa dia tersedar, dia terbayangkan imej anak dia tengah tiup kek harijadi depan mata. Agaknya, trauma kehilangan anak dan tekanan keadaan buatkan dia jadi gila kat situ.  

Bagi aku, cerita ini sangat mendebarkan. Mula-mula tu memang boring sikit. Tapi okeylah. Overall, aku bagi 3 bintang.