30/08/14

Jangan Benci Aku Bab 3



Bab 3
“So, macam mana dengan tender pembekalan bahan binaan kita, Nisa? Ada masalah tak?” Aku bertanya tanpa melontarkan pandangan pun ke arah PA aku. Sekarang ni, tumpuan aku lebih terarah kepada fail yang berada di atas meja.
“Setakat ni, semuanya berjalan dengan lancar bos. Klien sangat berpuas hati dengan kerja kita. Mereka siap puji lagi. Syarikat kita antara syarikat bumiputera yang menyediakan perkhidmatan yang terbaik. Top class.” Nisa memberikan laporannya.
Aku terus mengangkat muka. Sebuah senyuman mekar aku hadiahkan kepadanya. Memang inilah yang aku mahu dengar. Jika klien berpuas hati, bermakna akan ada kerjasama lagi di lain hari nanti.
Lebih elok lagi, aku harap klien aku tu akan memperkenalkan syarikat aku kepada rakan-rakan bisnes mereka yang lain. Biar mereka cari syarikat aku untuk bekerjasama. Aku untung, mereka pun untung. Sama-sama bahagia. Hilanglah sengsara. Ceh. Poyo ayat, nak muntah rasa.
“Bagus. Berita macam nilah saya mahu dengar daripada mulut awak, Nisa. Tak sia-sia saya bersengkang mata siang malam untuk kebaikan syarikat kita.” Aku ternganga sejenak. Baru tersedar aku telah tersilap cakap.
“Eh bukan syarikat kita. Maksud saya, syarikat saya. Awak mana ada saham pun dalam syarikat ni kan?”  Aku berkata dengan nada sarkastik.
Dalam hati, aku terus mengutuk diri sendiri. Sejak bila aku jadi baik hati nak kongsi syarikat aku dengan orang lain pulak? Ini harta, papa aku yang punya. Papa dah wasiatkan pada aku, jadi sekarang ni, akulah pemilik mutlak segala harta semua tu kan? Muahahaha. Dalam hati, aku dah gelak jin.
Air muka Nisa berubah menjadi keruh. Ada cebikan mulut sedang dilakukannya. Senget-senget hidungnya seolah-olah menggambarkan rasa tak puas hati. Agaknya sekarang ni, dia sedang menyumpah seranah aku dalam hati.
Okey. Aku mengaku ini memang satu kelemahan aku. Aku sendiri perasan, sejak bergelar bos besar di syarikat, aku sedar yang kepala aku ni jadi berangin sikit. Senang cerita, aku ni boleh dikategorikan sebagai garang dan pemarah. Selain itu, aku sendiri pernah jugak terdengar khabar angin ada yang menggelarkan aku sebagai mamat puaka. Agaknya sebab mulut aku nilah kot.
Korang bayangkanlah sendiri. Macam mana aku tak mengamuk kalau dah beberapa kali aku boleh terserempak mereka sedang bergayut dengan telefon syarikat sesuka hati? Kalau urusan pejabat tu tak apalah juga. Ini telefon suamilah, anaklah, bangla jual karpetlah sebab nak minta tangguh bayar hutang.
Aku ni dah kira baik sangat sebab sembur guna bisa lidah aje. Kalaulah aku jadi puaka betul, memang dah lama dorang aku berhentikan. Terus terang, aku memang tak tergamak nak buat semua tu. Takut pula jejaskan pendapatan dorang. Tapi mereka tulah yang aneh. Ada hati lagi nak kutuk aku. Hish... sabar ajelah.
Letih memikirkan karenah para pekerjaku, aku memalingkan wajahku ke arah skrin komputer pula. Tengah kusut macam ni, selalunya aku redakan dengan bermain game komputer untuk seminit dua. Baru rasa tenang sikit otakku ni.
“Oh ya. Terlupa pulak. Nisa, kamu boleh keluar sekarang.” Aku segera memberikan arahan kepada Nisa. Boleh pulak aku tak terperasankan dia tadi. Hish... nasib baik tak korek hidung lepas tu sapu.
Anehnya, Nisa tidak segera menuruti arahanku seperti selalu. Nampaknya, dia seperti ada perkara lain yang mahu dibincangkan dengan aku lagi.
Aku mula rasa tak senang hati. Hah sudah... jangan-jangan, dia nak minta kenaikan gaji tak? Mentang-mentanglah projek syarikat aku asyik untung aje sejak akhir-akhir ni, pandai betul dia mencari peluang untuk pau aku.
“Bos...”
Takut mendengar permintaan seperti itu, aku segera buat pekak badak. Tanganku laju melarikan tetikus bagi memberi gambaran bahawa aku sedang asyik bermain. Harap-harap dia fahamlah aku tak mahu diganggu. Sebenarnya bukan aku tak mahu diganggu, aku cuma tak mahu dengar dia minta kenaikan gaji.
Bukannya aku tak tahu. Kalau aku tergerak hati nak naikkan gaji dia, pasti berita ini akan sampai kepada para pekerja lain pula. Lepas tu, mulalah mereka nak mengendeng-ngendeng nak bodek aku suruh naikkan gaji mereka pulak. Kesudahannya, sampai jaga pintu pun jumpa aku. Elok-elok syarikat untung, terus rugi sebab semua pekerja nak minta naik gaji. Banyak cantik.
“Bos...”
Sekali lagi suara Nisa kedengaran memanggil. Maka sekali lagilah aku buat-buat pekak. Haih. Tak reti bahasa ke? Orang dah tak sudi nak layan, pergilah. Karang nak halau, tak tergamak pulak. PA aku tu.
“Bos, saya nak berhenti.”
Luahan Nisa itu, ternyata membuatkan aku tergamam. Terus aku larikan pandangan untuk menatap wajahnya.
Saat itu, Nisa bergerak merapati meja. Dia mengeluarkan sepucuk surat lalu diletakkan di atas meja berhadapan denganku. Air mukanya tampak sedih bercampur dengan serba salah. Benarkah apa yang dimaksudkan dengan kenyataannya tadi? Aku tertanya-tanya.
“Awak cakap apa ni, Nisa? Saya tak faham.”
“Saya nak berhenti kerja, bos. Ni notis 24 jam saya.”
Serius, berita ini sangat mengejutkan aku. Aku tak sangka Nisa akan berhenti secara mendadak macam ni. Setahu aku, dia dengan aku tak ada masalah pun. Dia buat kerja dia, aku buat kerja aku. Kebajikan dia pun, rasanya tak pernah aku abaikan.
Selama ini pun, aku sendiri tak pernah dengar Nisa ada merungut pasal aku. Tapi belakang aku, aku tak tahulah pulak.
“Tapi kenapa? Awak dah tak suka bekerja dengan saya? Atau awak ada tawaran kerja yang lebih baik daripada saya?” Lirih suaraku bertanya.
Timbul sikit rasa menyesal dalam hati. Agaknyalah, kalaulah aku tak garang macam sekarang, pasti Nisa takkan ambil tindakan drastik macam tu. Salah akulah ni. Memang salah aku.
“Bukan macam tu bos.”
“Habis tu macam mana?”
“Sebenarnya bos, jujur dari lubuk hati saya, saya sangat senang hati dapat bekerja dengan orang macam bos. Walaupun mulut bos ni adakalanya macam nak kena cabai, tapi saya tahu hati bos baik. Bos selalu jaga keperluan dan kebajikan saya.” Nisa meluahkan dengan nada penuh keikhlasan.
Aku terharu bercampur sakit hati mendengar ucapan daripada mulut Nisa. Sempat lagi dia mengutuk dalam pujian yang diberikan. Ikutkan hati, nak aje aku melenting. Tapi mengenangkan isu perletakan jawatan Nisa, aku jadi tak tergamak nak marahkan dia.
Apa yang lebih penting sekarang ni, aku harus menggagalkan niat Nisa untuk meletakkan jawatan. Aku akan melakukan apa saja untuk membuatkan dia stay bawah aku. Bukan senang nak cari pekerja sekarang ni. Terutama PA yang dah lama bekerja dengan kita.
“Saya berhenti sebab suami saya yang suruh. Suami saya nak sambung belajar kat Sabah. Jadi nak tak nak, terpaksalah saya ikut dia.”
Alahai... suami dia rupanya dalang di sebalik semua ni. Mati-mati ingat dia dapat tawaran menarik dari syarikat mana-mana tadi. Tapi perlu ke sampai berhenti kerja? Biarlah kalau suami dia nak belajar pun, tapi tak perlulah heret isteri sekali.
“Awak tak payahlah berhenti, Nisa. Awak kerja aje kat sini. Kalau suami awak nak belajar, biarlah dia. Dia berhak nak majukan diri dia.” Aku cuba menasihati walaupun aku sendiri tak pasti sama ada betul atau tidak tindakan aku ni.
Nisa memandang aku dengan wajah yang berkerut. Tajam bebola matanya menikam anak mataku. Aku dapat rasa mataku mula pedih-pedih. Nampak gayanya, aku telah menempah maut.
“Eh bos. Overlah pulak bos ni. Mana lebih penting untuk saya ikut? Arahan suami ke, arahan bos?” Ada nada perlian maut di situ.
Aku tersengih mendengar kata-kata sinis Nisa. Hidup-hidup aku kena ‘bantai’ dengan dia hari ni. Mujurlah orang lain tak dengar. Kalau tak, jatuh air muka aku sampai ke tapak kaki.
Namun begitu, aku tetap tidak mahu mengalah. Nisa harus aku pujuk sedaya upaya agar dia tetap menjadi PA aku.
“Macam nilah... apa kata saya naikkan gaji awak? Saya...” Aku tak sempat habis berkata-kata apabila Nisa mula menjampuk.
“Bos...”
Kan aku dah cakap aku takkan mengaku kalah. Jadi, aku jampuklah kata-kata dia balik. Kalau dia nekad nak berhenti, aku lagilah nekad nak halang dia daripada berhenti. Kita tengoklah siapa yang akan menang nanti. This is War.
“Dengar dulu apa saya nak cakap ni. Saya akan naikkan gaji awak sebanyak seratus peratus. Hah. Banyak tak? Tak pernah dibuat orang kan. Rugi tau kalau awak tolak offer saya ni,” kataku diiringi dengan sebuah senyuman kemenangan.
Ikutkan hati, berat hati, jantung dan limpa nak tawarkan peratusan macam tu. Tapi nak buat macam mana. Aku memang dah terdesak sangat nakkan Nisa stay jadi PA aku. Bukannya tak boleh aku gaji orang lain. Cuma aku tak mahu buang masa. Nanti kalau ambil orang baru, kena ajar itulah, inilah. Kan makan masa tu.
Nisa kedengaran mengeluh. Wajahnya berubah menjadi semakin tertekan. Aku tahu dia sedang tersepit dengan keadaan. Kalau dia menolak tawaranku, maka rugi besarlah dia. Ala... apa nak dikisahkan. Nanti dah ada gaji besar macam tu, bolehlah melawat suami dia selalu kat Sabah tu. Tak gitu?
“Bos... bos dah buat saya serba salah tahu tak?” Nisa merungut.
Tahu. Sebab kalau bab-bab duit, memang tak ada satu manusia pun yang akan tolak. Kalau tolak, memang hebatlah. Aku yang ni pun kalau tersepak duit sepuluh sen tengah jalan pun, masih lagi kutip tau. Duit tu... tak kiralah banyak ke sikit.
Saat itu, aku mula rasa Nisa pasti akan jatuh ke dalam perangkapku. Aku yakin dia akan membatalkan niat dia untuk berhenti kerja lantas menerima tawaranku. Tapi jangan ingat Nisa bijak.
Sebabnya sekarang ni, dalam kepala aku ni dah rangka satu rancangan baik punya. Kalaulah ditakdirkan lepas ni si Nisa tu ada buat silap sikit pun semasa bekerja, akan aku pastikan gajinya yang dah mencanak naik tu ditolak sikit demi sikit. Huhuhu. Nasib baiklah dia tak dapat baca fikiran aku.
  “Saya minta maaf bos. Saya tetap mahu berhenti.”
Hajat mahu meraikan kemenangan terbantut serta-merta. Sumpah aku tak percaya dengan kata-kata yang baru diluahkan Nisa tu. Aku ingat aku dah hampir berjaya memerangkapnya, rupa-rupanya tidak. Cis... macam manalah boleh jadi macam ni? Takkanlah dia tak terkesan langsung dengan tawaran menarik yang aku bagi tu?
“Duit boleh cari bos, tapi keberkatan tu payah. Kalaulah saya ingkar arahan suami saya, mesti saya kena laknat dengan Tuhan. Apabila kena laknat, dah tentu rumah tangga saya akan huru-hara. Itu tak kenalah, ini tak kenalah. Kesudahannya, saya kena tinggal dengan suami saya. Saya tak nak perkara macam tu berlaku pada saya, bos.”
Aku mengurut dada. Lain yang aku harapkan, lain pulak yang dapat. Percuma aje dapat khutbah daripada seorang pekerja bawahan hari ni. Nasib kaulah Arash. Siapa suruh cari pasal?
Saat itu, aku hanya mendiamkan diri untuk berfikir. Rasa tak wajar dah jika aku terus mendesak lagi. Nisa pun dah nekad gila dengan keputusannya. Betullah kata dia. Arahan suami perlu diutamakan. Lagipun, aku tak mahu dipersalahkan sekiranya hubungan dia dengan suaminya berantakkan nanti.
“Hmm... kalau dah macam tu keputusan awak Nisa, saya boleh buat apa lagi. Saya terima ajelah surat perletakkan jawatan awak ni.” Aku berkata dengan nada yang tak rela.
Surat itu aku capai lalu dibaca sepintas lalu. Ikutkan hati, rasa mahu keronyok surat tu lalu lempar ke luar tingkap. Tapi takut pulak dituduh perangai macam budak-budak. Aku ni masih ada maruah dan kemachoan.
Wajah Nisa berubah ceria-secerianya. Lebar sungguh senyumannya sampai ke telinga. Sekali tengok, macam orang menang peraduan dapat hadiah kereta mercedes lagi. Dia ni betul ke berhenti sebab terpaksa? Macam gembira tahap dewa aje lepas aku benarkan dia pergi ikut suami dia tu.
“Terima kasih, bos. Terima kasih sebab memahami. Saya tahu, bos memang seorang majikan yang paling baik di atas muka bumi ni.”
“Hmm ye lah.” Aku buat muka seposen. Sempat lagi dia nak puji lepas kecewakan aku. Tak guna betul.
“Bos ada perlukan apa-apa daripada saya? Kalau ada, cakaplah. Boleh saya buatkan sebelum saya menamatkan tugas saya hari ni.”
“Baguslah kalau awak dah tanya Nisa. Ingatkan awak nak balik rumah terus.” Sempat lagi aku perli Nisa.
Nisa buat-buat senyum. Senyuman pahit tanpa gula. Mungkin melindungkan apa yang tersirat di dalam dadanya.  Aku tahu, sekarang ni pasti dia tengah menggerutu marahkan aku. Yalah. Siapa suruh dia sakitkan hati aku? Satu kerja pulak aku kena cari orang lain untuk gantikan tempat dia. Macam manalah aku tak bengang.
“Hmm... saya nak awak iklankan jawatan yang awak tak nak ni dekat mana-mana. Lagi cepat saya dapat pekerja baru, lagi bagus. Lepas tu, pastikan awak settlekan semua urusan awak sebelum awak tinggalkan pejabat. Saya tak nak buang masa nak call awak bagai.” Aku berkata dengan tegas. Hilang terus kelembutan lidah sama yang seperti aku gunakan sewaktu untuk memujuk dia tadi.
Apa orang tua selalu kata. Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Orang tak nak, aku lagilah tak ingin. Pergilah. Aku pasti akan cari orang yang seribu kali baik daripada hang, Nisa. Pergi! Pergi!
“Baiklah bos. Saya akan laksanakan secepat mungkin. Ada apa-apa lagi bos?”
“Tak ada. Dah, pergi cepat. Saya ada banyak kerja ni. Saya tak mahu diganggu.” Aku terus melarikan pandangan ke atas meja. Fail aku belek-belek laju tanda mahu menumpukan perhatian pada urusan kerjaku pula.
Kedengaran Nisa mengeluh perlahan. Aku tahu dia seperti mahu berbicara lagi dengan aku. Mungkin dia rasa bersalah. Tapi lantak dialah. Aku tak mahu ambil tahu lagi.
“Saya pergi dulu ya bos.”
Aku langsung tak menyahut kata-kata Nisa. Nisa yang dah faham, segera pergi meninggalkan pejabat ini.
Hilang saja kelibat minah tu, aku terus mengeluh perlahan. Aku mengangkat wajah lalu memandang jauh ke hadapan. Pintu pejabat aku pandang lama.
Entah kenapa tiba-tiba saja, pemergian Nisa itu mengingatkan aku pada seseorang. Seseorang yang dah lama menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita.
“Elis... awak kat mana? Saya...” Sekali lagi, aku mengeluh hampa. Wajah indah pemilik nama itu, mula tergawang-gawang di ruang mata.






28/08/14

Jangan Benci Aku Bab 2


Beberapa tahun lalu...

Suasana dalam kelas begitu bising. Memandangkan cikgu tak masuk, ramai pelajar memilih buat hal masing-masing. Tak terkecuali aku. Tapi aku tak suka buat bising. Tak sopan rasanya. Aku lebih suka buat benda lain.
“Zara, keluar dengan I petang ni nak? I bawak U jalan-jalan dengan kereta sport I.” Aku mempelawa salah seorang paling pelajar paling cantik dalam sekolah. Tidak berkerdip kelopak mataku memandangnya.
Lebar sungguh aku menyengih saat ini. Kerana aku tahu, pasti Zara buta-buta takkan menolak ajakanku. Semua orang dah sediamaklum. Dekat sekolah ni, aku boleh dikategorikan sebagai pelajar paling popular.
Pakej lengkap yang aku ada ; anak orang kaya, muka hensem tak payah taruk plastik, mulut manis pandai mengayat, memang sedikit sebanyak menaikkan sahamku ke paras yang tertinggi.
Disebabkan kriteria-kriteria itulah, aku sememangnya menjadi perhatian sekolah. Ramai awek-awek beratur untuk mengusharku seorang. Pelajar yang lebih muda daripadaku, tak segan-segan mahu mengangkatku sebagai abang mereka.
Tapi aku minta maaf awal-awal. Bab-bab berangkat ni, aku memang tak minat. Cuma apa yang aku buat, aku layan mereka sama rata. Nak bagi hadiah, bagilah. Aku terima. Tapi jangan harap aku nak balas balik. Buang duit dan masa aku. Lagipun bukan aku yang suruh mereka buat aku macam tu.
“Maaflah Arash... I sibuk minggu ni. Lain kali ye.”
Terus mulutku terlopong mendengar jawapan itu. Terkebil-kebil kelopak mata. Aku pandang Zara dengan rasa tak percaya. Agaknya, aku yang tersalah dengar. Oh... baru sekarang teringat nak cuci telinga. Dah dekat sebulan tak korek ni.
“Okey. Nanti I bawak U kat tempat special tau,” kataku sambil tersengih. Tak sabarnya rasa nak jalan-jalan dengan awek. 
Zara memandangku pelik. Dahinya berkerut sambil keningnya turut terangkat sebelah. Kemudian, dia melontarkan semula pandangan ke arah buku teks STPM yang terletak di atas meja.
“Ajak orang lainlah, Arash. I betul-betul sibuk ni. Dah. Jangan kacau I lagi. I nak study.” Zara bersuara tegas. Satu dengusan kasar kedengaran. Menandakan dia bengang apabila aku seakan mendesaknya lagi.
Aku kelu tanpa kata. Dengan persoalan yang bermain di fikiran, aku segera mengatur langkah menuju ke tempat dudukku.
“Apa cerita weh? Dapat tak ajak dia keluar?” Soalan itu terus dilontarkan oleh Taufik. Rakan baikku sejak zaman kecil lagi.
Selain itu, Taufik ni boleh dikategorikan sebagai penasihat aku. Ke mana saja aku pergi, dia mesti ada. Aku dengan dia diibaratkan seperti isi dan kuku.
Dulu dia pernah cakap, dia ikut aku pun bersebab. Katanya lagi, dia kawan dengan aku sebab nak tumpang populariti aku. Aku tak jadi nak marah sebab dia berterus terang awal-awal. Sekurang-kurangnya, Taufik ni tak tikam aku dari belakang.
Untuk pengetahuan, Taufik walaupun nampak dungu, tapi otaknya agak geliga jugak. Sebab tu aku angkat dia jadi penasihat terhormatku. Sebelum rehat tadi, dialah yang menyuruh aku keluar dengan Zara hari ni.
“Dia tak nak, Fik.” Aku berkata dengan nada kecewa.
“Serius?! Zara tak nak?”
Aku mengangguk sedangkan aku sendiri masih lagi bergelut menghadamkan jawapan itu. Zara menolak?! Adakah semua ni mimpi?
Dulu, kalaulah aku tak penuhi permintaan minah tu, dia siap tayang muka manja semedang tanda merajuk. Sekarang ni, boleh pula dia pandang aku sebelah mata aje. Apa sebenarnya yang dah terjadi ni?
Buat seketika, sepi menghiasi perbualan kami berdua. Masing-masing ligat mencari jawapan kepada situasi misteri ini. Mana tidaknya. Minggu ini, bukan Zara aje orang pertama yang menolak ajakan seperti itu. Hani, Mila, Ramona, turut berbuat hal sama padaku.
“Aku tahu apa yang terjadi, Arash.”
Tiba-tiba, suara Taufik berbunyi memecahkan kebisuan. Aku berpaling memandang wajahnya yang berada di sebelah. Air mukanya tampak serius dan berkerut. Kalah kerutan wajah Albert Einstein. Entah apalah yang dia nak cakapkan. Genius ke tidak ni? Aku tertanya-tanya.
“Apa dia, weh?”
“Aku rasa nasib kau bakal berubah...”
Mata Taufik kurenung dengan penuh tajam. Dia turut pandang wajahku tanpa berkerdip. Persis tukang tilik yang bakal memberi khabar buruk terhadap pelanggannya. Serta-merta, aku dapat rasa bulu romaku tegak merinding.
“Kau cakap apa ni? Jangan buat aku takutlah. Kau ni, ada amalkan ilmu salah ke?”
“Hish kau ni. Ke situ pulak.”
“Habis tu?”
“Dari apa yang aku lihat, nasib kau dah tak macam dulu. Bukan ke semalam kau cakap kat aku, pelajar perempuan ramai yang dah tak layan kau sangat. Lepas tu, peminat kau macam dah tak ada kan.” Suara Taufik berbaur menyeramkan.
Taufik aku pandang semacam. Rasa macam nak tokak aje kepala mamat tu sekarang. Perlu ke guna intonansi ala-ala rumah hantu macam tu? Hish... saspens sungguh.
Tapi apa yang Taufik cakap tu, memang aku tak dapat nafikan. Bukannya aku tak perasan, sejak akhir-akhir ni, layanan aku terima daripada orang sekeliling sangat berbeza. Berbanding sewaktu aku menjadi kegilaan dulu.
Kalau dulu boleh dikatakan, setiap kali aku sampai ke sekolah, maka bertimbunlah surat layang ada dalam laci mejaku. Itu tak termasuk dengan hadiah yang diberikan oleh peminat rahsia. Itupun nasib baik aku tak berikan nombor telefonku kepada orang sembarangan. Kalau tak, pasti ‘jammed’ teruk aplikasi wassap, wechat dan sebagainya.
Saat itu, mulut Taufik kelihatan terkumat-kamit sambil memandang ke arah aku. Dahinya turut berpeluh-peluh. Nafasnya turut naik dengan mata yang terpejam sekali-sekala. Dia sekarang ini seolah-olah sedang bergelut secara spirutual dengan makhluk yang ada dalam badanku.
Pap!
Tiba-tiba, tangannya boleh terhempas keras ke atas bahu kananku. Aku terperanjat.  Hampir-hampir aku terhumban ke belakang.
Astaghfirullah dia ni... kalau termati aku tadi macam mana? Ada juga mamat yang nak kena kacau dengan roh aku seumur hidup dia gamaknya. Nasib baiklah yang buat tu kawan baik sendiri. Kalau orang lain, dah lama aku terajang guna jurus ke-18.
“Nasib kau akan malang, Arash. Ada awan hitam akan melingkari sepanjang hidup kau selepas ni.”
Okey. Ini aku terlupa nak cerita detail pasal kawan aku yang bernama Taufik ni. Sebenarnya dia ni, memang obses gila dengan alam mistik. Suka tengok cerita hantu dan misteri. Cita-cita dia pun, tak silap aku dia nak jadi pengkaji kejadian-kejadian paranormal. Paling cikai pun, dukun katanya.
Tapi perlu ke guna ayat misteri macam tu kat aku? Buat orang seram sejuk adalah. Kalaulah sekarang ni aku tak waras, memang dah lama dia ni masuk alam paranormal. Baru tercapai terus cita-cita dia. Tapi tulah. Aku pulak yang tak sanggup nak hilang kawan ‘sakit’ macam si Taufik ni.
“Kau jangan merepek boleh tak, Taufik? Kang tak pasal-pasal, orang makan nasi guna mulut, tapi kau guna hidung.” Aku mengingatkan. Serius, aku dah rasa cuak semacam dengan ayat dia tu.
Mana tidaknya. Ancaman dia tadi telah mengingatkan aku tentang kejadian sewaktu dalam bilik air semasa kat rumah tadi. Selepas siap mandi pagi, aku beransur mahu keluar ke kamar. Entah macam mana, aku boleh tak perasan sebiji sabun terletak tepat-tepat di laluanku.
Lalu, meluncurlah aku macam orang sedang main ice skating apabila terpijak sabun tu. Mujurlah aku sempat berpaut pada tiang katil. Kalau tak, tak tahulah apa yang jadi. Masa tu, tuala melilit pinggang dah tak tahu letak mana.
Belum habis dengan kecelakaan tu, muncul lagi satu musibah lain. Semasa dalam perjalanan nak turun ke bawah untuk bersarapan, tiba-tiba aku tersalah pijak anak tangga. Akibatnya, aku bergolek-golek jatuh sampai ke bahagian bawah. Terus mukaku tersemban ke lantai. Separuh bahagian bawah badan masih berada di anak tangga terakhir.
Sakitnya... tak payah cakaplah. Kalah orang nak beranak kot.
“Kamu ni dah kenapa Arash? Nak jadi budak kecik balik ke sampai kena merangkak-rangkak macam tu?”
Suara papa menegurku secara tiba-tiba. Entah dari mana dia muncul pun aku tak tahu. Soalan berbaur perlian itu, benar-benar menambahkan rasa sakit yang sedang ditanggung. Punyalah tragik cara aku jatuh tadi, boleh pulak dia cakap aku nak jadi budak kecik balik. Tak masuk akal langsung.
“Papa... orang jatuhlah.” Aku bangun lalu menyapu debu-debu yang singgah.
Rasa sakit tadi, terus aku tolak tepi. Baru tadi berniat nak minta cuti sekolah. Tapi disebabkan takut kena hentam dengan papa, terus aku padamkan niat aku tu. Jatuh sikit pun nak minta mc ke?  
“Dah tu, lain kali jalanlah betul-betul. Sepanjang papa hidup, tak pernah lagi papa tersadung macam kamu tu. Nasib baiklah tak patah hidung. Kalau tak, menangislah perempuan-perempuan yang tergila-gilakan kamu tu nanti.” Papa berkata sambil menahan diri untuk ketawa.
Aku tersengih bak kerang busuk. Rupa-rupanya, papa tahu yang aku memang jatuh tadi. Agaknya dia buat macam tu sebab tak mahu manjakan aku. Papa memang selalu macam tu. Walaupun dia selalu tegas apabila berdepan denganku, tetapi jauh di sudut hati, aku tahu dia memang sayangkan aku.
“Semua bangun...”
Suara ketua kelas yang berkumandang, mengejutkan lamunan aku. Akalku segera memproses arahan itu. Lantas aku pun bangun serentak bersama dengan para pelajar lain. Wajah Cikgu Jalal menghiasi anak mata kami semua.
“Assalammualaikum, Cikgu.”
Satu kelas bergema dengan salam yang diberikan kepada cikgu subjek pengajian am itu. Setelah menjawab salam tersebut, Cikgu Jalal tidak terus mengajar seperti selalu. Dia berdiri tegak seolah-olah mahu menyampaikan sesuatu pula.
“Okey. Sebelum saya mulakan kelas, saya ada perkara nak bagitahu kamu semua. Hari ni, kelas 6 Atas 1, akan mendapat seorang pelajar baru.”
Saat itu, baru satu kelas perasan ada kelibat seseorang yang sedang menunggu di balik pintu masuk kelas. Nak tengok rupa dengan jelas, tak nampak sangat sebab wajahnya terlindung di sebalik pintu dan dinding.
“Kamu boleh masuk sekarang.” Suara Cikgu Jalal mengarahkan pelajar tersebut.
Maka, masuklah pelajar itu setelah diarahkan. Tatkala itu, suasana kelas terus menjadi senyap sepi. Ada yang ternganga mulut sampai kerbau pun boleh muat. Siapa lagi kalau bukan si Taufik sebelah aku ni. Dia ni memang pantang kalau bab-bab macam ni.
Selalunya, Taufiklah yang akan menjadi tukang imbas sama ada mana-mana perempuan sesuai digandingkan dengan aku ataupun tidak. Segala komen, teguran, kritikan memang dia akan berikan untuk aku membuat pilihan dengan bijak.
“Wah. Mangsa aku ni.”
Suara mamat tu kedengaran separuh berbisik di telingaku. Aku kehairanan sejenak mendengar pernyataan tadi. Sebab setahu aku, Taufik susah nak cari seseorang untuk dijadikan ‘mangsa’nya. Nampaknya, pelajar kali ni, telah menepati kriteria yang dimahukan olehnya.
Tatkala itu, aku berpaling semula ke arah pelajar baharu tadi. Ketika ini, baru aku jelas dengan penampilan sebenar wajah pelajar tersebut. Gadis itu kelihatan hanya bercelak di matanya. Tidak berlipstik lipbam. Rambutnya dilepaskan melepasi paras bahu.
Macam makhluk Gothic. Patutlah Taufik nak. Memang keturunan dia.
Selepas merenung pelajar baru tu lama-lama, tiba-tiba aku aku dapat tangkap sesuatu. Terdapat gerakan berirama yang sedang berlaku pada mulutnya.
Mataku terbuntang luas. Mak aih! Biar betul! Selamba gila budak ni makan gula-gula getah. Entah kenapa masa tu, aku dah dapat rasa lain macam tentang budak ni. Orang kata, aura buruk. Tapi tak tahulah telahan hatiku ni tepat ke tidak.
“Sila perkenalkan diri kamu kepada rakan-rakan.” Cikgu Jalal berkata dengan nada suara yang seakan di persimpangan dilema.
Aku rasalah, mungkin sebenarnya Cikgu Jalal mahu tegur budak tu supaya berhenti kunyah chewing gum. Tapi disebabkan waktunya masih belum sesuai, sebab tu Cikgu Jalal memilih untuk membiarkan. Budak barulah katakan.
“No problem. Nama aku, Riz. Panggil Riz.”
Mendengar jawapan itu, semua mulut yang ada dalam kelas 6 Atas 1 ternganga. Termasuk dengan mulut aku jugak. Serius. Gila kering hati budak baru ni. Tak ada toma’ninah langsung. Kasar. Langsung tak beradab.
Belum sempat pun aku mengomen, telingaku mula dengar ada beberapa orang dah berbisik sesama sendiri. Siap bergawang tangan bagai. Mesti mereka pun sedang mengutuk perangai tak semenggah budak ni.
“Err... okey. Kamu boleh duduk sekarang.” Cikgu Jalal berkata dengan air muka pasrah.
Mengangguk tidak, menjawab pun tidak. Kemudian, pelajar perempuan yang bernama Riz tu terus berjalan mara ke hadapan. Melintasi satu-persatu pelajar tanpa menghadiahkan sebarang senyuman pun.
Sampai saja kakinya di laluan sebelah mejaku, tiba-tiba saja pelajar itu boleh berhenti. Badannya berpaling sepenuhnya untuk menghadap aku. Dengan air muka bengis, ditambah dengan sebelah kening terjongket, dia bersuara ke arahku.
“Apa tengok-tengok?! Tak pernah tengok orang ke?!” Suara itu melengking tepat-tepat di telingaku.
Aku tersentak lalu terkedu. Merah padam mukaku menahan malu. Aiseyman... kenapa pulak dengan dia ni? Tetiba aje sound aku. Kenal pun tidak.
Salah ke kalau aku tengok celak yang dia pakai? Lagipun, bukan aku seorang aje yang tengok dia. Zara, Aisyah, Hamdan, Iraf pun sama. Taufik sekaki. Apasal aku seorang yang kena? Mana aci macam ni.
Saat itu juga, telingaku dapat mendengar ada suara orang sedang ketawa mengekek. Bukan seorang dua yang ketawa. Hampir satu kelas dilihat sedang menahan kekekan sambil melontarkan pandangan ke arahku.
Oh ya. Baru aku teringat. Seumur hidup akulah, rasanya tak pernah lagi ada orang yang pernah tengking aku. Ini bermakna, budak freshie ni dah cipta sejarah dengan memalukan aku depan orang ramai.
Cis cis... ni bukan tahap kurang asam jawa dah ni. Kurang asam gelugor, asam pedas, asam cuka dan bermacam lagilah. Memang tak patut betul dia buat aku macam ni. Ini tak boleh jadi. Aku harus malukannya semula. Siapa suruh dia mulakan dulu? Silap oranglah kalau cari pasal dengan aku.
Baru saja aku nak buka mulut nak membalas apa yang dia dah buat kat aku, pelajar baru tu terus berjalan untuk meninggalkan aku. Sekali lagi, aku diketawakan rakan sekelas. Bertambah merah mukaku menahan malu. Budak menyakitkan hati tu, mengambil tempat kosong di mana kedudukan itu tepat-tepat berada di belakang kedudukan sekarang aku.
“Okey. Kita sambung pelajaran sekarang.” Cikgu Jalal bersuara setelah memastikan pelajar baharu itu mengambil tempat duduknya. Semua pelajar mula duduk. Termasuk aku yang masih lagi berbahang dengan situasi tadi.
“Garanglah pulak dia tu. Tak jadilah aku nak.” Suara Taufik kedengaran berbisik lagi di telingaku.
Air mukanya kelihatan berubah-ubah seolah-olah menahan sesuatu. Aku yakin, Taufik pun sedang gelakkan aku sebab kena sound dengan minah tu tadi. Ikutkan hati, nak aje aku koyak-koyakkan muka si Taufik ni. Geram. Sampai hati dia gelakkan kawan sendiri.
Tapi paling membuatkan aku geram, tentulah pasal minah tadi. Aku tak boleh lupakan apa yang dia dah buat pada aku. Kalau macam nilah perangai, jangan haraplah dia nak masuk dalam senarai orang yang aku akan ayat. Kau melutut nak couple dengan aku pun, aku takkan terimalah perempuan. Padan muka kau.
Apa yang aku tahu, sepanjang Cikgu Jalal mengajar, aku tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Bukan kerana aku terkenangkan budak tu. Tapi aku teringatkan semula kata-kata awal si Taufik tentang awan hitam tadi. Agaknyalah, mungkin celak hitam tu ialah petandanya kot?
Oh tidak!!!