31/05/14

Ulasan Buku Kala Senja Dia Datang

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Google



Ini kali pertama saya baca buku genre seram. Itu pun setelah dipaksa oleh kakak saya. Beria-ria sungguh dia suruh. Nak tak nak, terpaksalah saya baca.

Secara umum, dalam sebuah buku ini mengandungi 3 buah cerita seram yang ditulis oleh 3 orang penulis yang berbeza. Para penulis yang memang hebat dalam industri penulisan. Antara ceritanya ialah Kala Senja Dia Datang, Marina dan Penumpang Malam.

Masa mula-mula baca, serius saya memang tabik. Cerita Kala Senja Dia Datang, memang betul-betul membuatkan saya meremang bulu roma. Penggunaan bahasa yang sesuai dan mudah membuatkan saya dapat membayangkan apa yang sedang berlaku. Ternyata, penulis yang bernama A.Darwisy ini boleh dikatakan ada bakat hebat dalam tulisan seram. Memang respek habislah kat dia.

Saya juga tak sangka yang cerita ini sebenarnya berkait. Ada watak dalam cerita pertama, wujud juga dalam cerita yang kedua dan ketiga. Cerita Marina dan Penumpang Malam pun okey. Tapi serius, saya memang suka gila dengan cerita Kala Senja Dia Datang. Cubalah baca kalau nak rasa keseramannya.

 

25/05/14

Aiyak Cadbury

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto:Google


Beberapa hari lepas, saya singgah di Mydin. Mencari jajan untuk kudap-kudapan. Ambil air kotak coklat, keropok 3 jenis, jambu kering (tak tahu nak panggil apa. Jambu yang dikeringkan lalu dipekkan. Macam jeruk gitu.) Last sekali, sempat jugak capai cadbury perisa Black Forest. Dah lama sangat tak makan.

Balik rumah, hidup macam biasa. Petang tu, baru tergerak hati nak makan sikit. Lepas tu buka facebook, ada orang upload pasal fasal surat yang mengatakan cadbury ada lemak khinzir. Masa tak syak apa-apa lagi. Ingatkan berita palsu. Esok harinya baru berita keluarkan kenyataan rasmi. Sah, dua produk cadbury ada lemak khinzir.

Memandangkan hanya dua yang disahkan, saya tak buang lagi coklat saya yang tak terlibat tu. Tapi tetap tak makan lagi. Takut esok lusa, dia orang cek, perisa black forest pula yang ada. Tapi setelah difikir-fikirkan semula, baik buang ajelah. Lagipun dah rasa syubhah. Mungkin yang tu lebih baik. 


18/05/14

Ulasan Kelas Asas Penulisan Blog dan Kreatif

Teks: Siti Khatijah Diana

Genap sudah 44 entri yang harus disiapkan sebagai syarat tamat kelas online ni. Tak silap saya, kelas ni didaftar pada hujung tahun lepas. Bulan disember. Baru lagi kan. Hehehe.

Pada awalnya, saya tak tergerak hati nak masuk. Mungkin sebab tak yakin. Tapi entah macam mana, semacam ada satu tarikan yang membuatkan saya masuk juga kelas ni. Mungkin inilah yang dikatakan takdir. Hohoho. (maaf cikgu, ciplak. :p)

Awal-awal mendaftar, saya diberikan 4 e-book. Ebook antologi cerpen 2 buah, sebuah ebook tulisan Cik Puan Masayu, dan juga ebook tentang penulisan nukilan guru saya sendiri. Kebetulan saya menyertai kelas ni pada musim promosi. Dapatlah juga sebuah novel daripada seorang penulis yang juga salah seorang guru online kelas ini iaitu Cik Puan Monalita Mansor. Pendek kata, memang berbaloi sangat harga kelas yang ditawarkan dengan semua pakej yang saya dapat.

Di dalam kelas ni, saya telah diajar selok-belok dunia penulisan. Cikgu Mazlia menyediakan beberapa tugasan untuk disudahkan. Dari situ, beliau akan menegur segala kesalahan yang telah kita lakukan. Beliau juga akan memberi cadangan bagaimana untuk menggilapkan karya supaya menjadi lebih baik. Sejak menyertai kelas ni, saya juga dah tak lagi pandang remeh kesalahan kecil dalam setiap tulisan saya. Memang ia sangat membantu.

Bidang penulisan ni ada kalanya memang banyak cabaran dan dugaan. Itu memang saya tak dapat nafikan. Namun begitu, apabila saya berasa down dan tak ada semangat, beliaulah yang banyak memberikan nasihat dan dorongan. Beliau juga cepat memberi respons jika saya ada apa-apa soalan yang nak dikemukakan.

Secara peribadi, saya sangat berpuas hati sebab dapat masuk kelas ni. Banyak ilmu tentang dunia penulisan yang telah saya pelajari. Cikgu saya juga banyak berkongsi pengalamannya dalam dunia penulisan. Sungguh saya sangat berbesar hati dapat mengenalinya.

Pendek kata, memang tak rugi langsung masuk kelas ni. Bagi sesiapa yang ingin mendaftar, bolehlah pm FB guru saya di alamat di bawah :



Nota : Diharapkan apa yang dirancangkan menjadi. Mudah-mudahan. :)





16/05/14

Selamat Hari Guru, Cikgu.

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Google

  


Macam mana ya nak mula? (garu kepala). Eh eh, dah mula pun. Maaflah. Sebab saya cuba nak karang ayat bagus, tapi tak tahu kenapa tak lepas.  Alangkah bagus kalau saya boleh berfikir seperti Sis Anis. Dia memang pandai bermadah bahasa. Jeles... (Anis!!! Bak ilmu sikit! Hehehe)

Okey, saya tak nak melalut lama-lama. Baik saya straight to the point. Memandangkan hari ni hari guru, pertama sekali, saya nak ucapkan selamat hari guru kepada semua guru-guru yang pernah mengajar saya. Cikgu tadika, cikgu mengaji, cikgu sekolah, cikgu dekat U. Dan tak lupa kepada kakak saya. Cikgu sekolah dekat dalam hutan sana. (Dabong) Bertabahlah. Anda seorang guru yang berwibawa. Krik... Krik... Krik...

Yang paling saya tak lupa, cikgu penulisan saya yang sangat saya kasihi. Cikgu Mazlia Murat. Selamat Hari Cikgu ya. Jangan serik mengajar saya. Terima kasih atas segala tunjuk ajar selama ni. Walaupun cikgu tak dapat rotan saya, cikgu tetap cikgu saya sampai bila-bila. :)



12/05/14

E-novel (Kisah Mia) - Bab 2

Teks: Siti Khatijah Diana

Seminggu sebelum hari peperiksaan.

"Perlu ke sampai jumpa kat sini? Kenapa tak bagi aje semasa dalam kelas?" Aku meluahkan rasa tak puas hati. Berkerut campur berurat dahi aku memandang manusia di hadapanku sekarang.

Sewaktu rehat tadi, Haikal datang berjumpa dengan aku. Dia mengajak aku untuk bertemu di tangga bangunan makmal sains. Alasannya, dia ingin memulangkan semula buku rujukan matematik yang dipinjamnya pada 3 hari lepas. Macamlah tak ada tempat lain yang boleh dipilih.

Lain kali, pilihlah port seperti perpustakaan ke, bawah pondok ke, medan perhimpunan ke. Barulah orang tak salah anggap memandangkan tempat-tempat yang aku cadangkan tadi, semuanya berada di laluan orang ramai. Berbanding dengan tempat yang Haikal pilih ni.

Serius, aku sangat anti dengan tangga bangunan makmal sains ni. Bukan sebab aku pernah tersadung lalu tergolek-golek macam Kajol dulu. Tapi sebab laluannya agak tersorok sikit. 

Tangga ini popular sebagai tempat pelajar bercinta-cintun. Yang nak tambah bilangan ahli keluarga cara mudah pun, secara automatik akan berangkat-angkat di sinilah. Adik angkatlah, kakak angkatlah, abang angkatlah. Sampai nenek dan atuk pun dia orang nak angkat jugak. 

Lagi satu kenapa aku begitu berat hati saat ini, sebabnya terpaksa berjumpa all the time favourite pelajar yang bernama Haikal tu. Terus terang, aku tak suka digosipkan dengan dia. Wah! Bajet retislah pulak aku ni. Tapi memang aku tak suka. Tak tahu kenapa. Mungkin sebab pandangan aku dengan pandangan pelajar lain, sangat berbeza. Alienkah aku? Entah. Aku pun tak tahu.

Siapa tak kenal Haikal? Semua orang kata dia kacak, pintar dan yang paling penting, dia adalah anak kepada orang tua dia. Bukan yang tu sebenarnya aku nak cakap. Maksud aku, dia anak kepada pasangan yang berjaya. Senang cerita, dia datang daripada keluarga yang kaya raya gitu. Itu orang cakaplah. Aku malas nak ambil tahu.

Dia memang ramai peminat. Macam mana orang minat tudung Fareeda yang mana mereka perlu ambil nombor baru boleh masuk dalam kedai tu, macam tulah ramai orang yang minat dengan Haikal. Tidak terkecuali dengan Sarah sendiri. Sahabat baik aku. Orang yang paling aku sayang selain diri aku sendiri. Tapi maaflah. Aku tak suka Haikal. Sebab dia bukan citarasa aku.

Macam mana aku nak suka dia. Kau orang bayangkan sendiri. Setiap kali dia berjalan, mukanya mana pernah menunduk. Asyik melenggak aje ke atas. Macam kerbau dirabit mulut, macam tulah dia berjalan. Sombong. Bajet tayang muka hensem dialah tu. Yang peliknya, orang sekeliling selalu puji dia cool sebab jalan macam tu. Tapi aku menyampah.

Yang paling tak menahan, masa-masa dia sebak rambut ala-ala westlife dia tu ke belakang. Lepas tu, adalah seorang dua yang tenganga mulutnya. Siap puji-puji lagi. Hensem tahap membunuhnya Haikal buat macam tu. Tapi bagi aku, rasa nak bunuh-bunuh aje dia. Punyalah poyo lagi eksyen.

"Saya sebenarnya... sukakan awak, Mia." Haikal berterus terang semasa aku menghulurkan tangan untuk meminta buku rujukan aku. 

Automatik mata aku terus membuntang. Sumpah terkejut gila aku rasa. Haikal sukakan aku? Salah dengar ke apa ni?

Mesti kau orang ingat sekarang hati aku sedang berbunga-bunga kan? Huh! Tak ada maknanya. Apa yang aku tahu, hati aku ni macam semak-samun adalah. Eii... tak sukalah. Mamat ni gatal rupa-rupanya. Rasanya baru tahun lepas dia masuk jawi. Ada hati pulak nak bercinta tahun ni. Periksa pun tak ambil lagi tuh.

"Awak merepek apa ni, Haikal?"
"Saya tak merepek, Mia. Saya berkata jujur. Saya betul-betul sukakan awak. Tak ada orang lain dalam hati saya sekarang, melainkan awak seorang. 

Selama ni, walaupun saya tahu saya banyak peminat, tetapi saya tak pernah serius dengan mereka semua. Saya main-main aje sebab hati saya hanya ada awak aje sekarang ni." Panjang lebar Haikal mengarang ayat jiwangnya.

Aku mencebik bibir. Rasa nak muntah hijau dengar dia cakap macam tu. Tak ada maknanya aku nak rasa terharu. Rasa nak hempuk kepala orang adalah. Haikal ni, dia ciplak skrip filem mual mana ni? 

"Awak jangan main-main Haikal. Kalau Sarah dengar apa awak cakap tadi, tentu kecik hati dia." Aku mengingatkan Haikal. Bukannya aku tak tahu, Sarah sering mengutus surat dengan mamat ni. Besar sungguh harapan dia pada Haikal. Jadi sebagai kawan yang paling baik, aku tak boleh potong line Sarah. Lagipun aku memang tak nak potong jika Haikallah orangnya. Bagi percuma pun, aku terus bagi kat orang lain.

"Saya tak pernah sukakan dia, Mia. Untuk pengetahuan awak, saya dekat dengan dia pun, sebab nak dekat dengan awak. Bukannya saya nak layan sangat dengan dia tu. Saya buat semua ni, sebab nak berkenalan dengan awak. Cuma saya tak faham, kenapa awak terlalu jual mahal dengan saya." Kata-kata Haikal itu aku sambut dengan mulut yang ternganga luas. 

Ya Allah. Kalaulah Sarah dengar benda ni dengan telinganya sendiri, pasti hatinya akan remuk-redam. Baru saja aku memikirkan, tiba-tiba telinga aku menangkap satu bunyi yang datang dari arah belakangku. Segera aku berpaling. Membuntang mataku melihat kelibat itu.

"Sarah?!" soal aku, terkesima.

Saat itu, aku dapat lihat Sarah menggelengkan kepala. Ada ketawa sinis yang cuba dibuat-buat di bibirnya. Aduh... mesti dia sangka yang bukan-bukan fasal aku.

"Mia, terima kasih sebab buat saya macam ni. Selama ni, saya betul-betul percayakan awak. Tapi tak sangka pula awak akan tikam saya dari belakang."

"Sarah? Awak cakap apa ni? Saya rasa awak dah salah anggap. Sebenarnya saya dan Haikal tak ada..." Aku tidak sempat menghabiskan ayat bilamana Sarah memintas.

"Cukup Mia! Saya tak nak dengar apa-apa lagi. Hati saya hancur sangat sekarang." Sarah melontarkan pandangan ke arah Haikal. "Haikal, terima kasih sebab berterus terang. Baru saya sedar bahawa saya seorang yang terhegeh-hegeh selama ni. Tapi jangan risau. Mulai dari hari ni, saya takkan kacau awak lagi."

Sarah berpaling pula ke arah aku. Entah kenapa, aku rasa mahu menangis aje masa tu. Jantung aku berdebar-debar. Jangan Sarah. Jangan ucapkan apa yang saya tak mahu dengar.  

"Kita putus kawan, Mia." Sarah mengucapkan lalu meninggalkan aku. 

Saat itu, terasa bagai ada tujahan kilat menikam tepat ke jantung aku. Sakitnya hanya Allah saja yang tahu. Aku  terus melurut ke bumi. Sesak sungguh rasa nafasku. Tanpa mampu aku tahan, air mata sudah mengalir laju. Sejak hari tu, hubungan kami terus menjadi dingin.

'Sarah... aku betul-betul rindukan kau.' Aku bermonolog di dalam hati. Hanya helaan nafas berat yang mampu aku hembuskan saat ni.






11/05/14

Selamat Hari-hari emak

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Google



Serius, saya sebenarnya tak tahu tarikh sebenar hari ibu. Sebab kami sekeluarga, bukan jenis manusia yang mengingati dan meraikan tarikh-tarikh istimewa. Baik harijadi, hari ibu atau ayah, dan hari-hari lain. Kami cuma hidup sebagai manusia normal. Hehehe.

Sejak ada Fb, sekurang-kurangnya saya tahu apa yang berlaku di sekeliling. Dalam pada orang menyambut hari ibu, ada juga beberapa ulama dan ahli agama cakap tak boleh. Saya tak boleh nak komen sangat sebab ni bukan bidang saya. Masing-masing punya pendapat.

Bagi saya, cukuplah apa yang dilakukan berdasarkan niat. Sekurang-kurangnya, hari ibu ni, sedikit sebanyak mengingatkan anak-anak yang jauh supaya call mak kat kampung. Daripada tak call langsung. Daripada yang ada hajat nak letakkan emak kat rumah orang tua, terus padamkan niat tu bila tengok iklan-iklan dan cerita pengorbanan hari ibu kat tv.

Apa pun, saya tetap tak menyambutnya untuk tarikh hari ni. Sebab hari-hari saya jumpa mak saya depan mata. (maafkan saya sebab tak bekerja, mak. :'( )Ucap pun tak. Tapi masa dia pesan nak makan domino kelmarin, saya terus pergi beli. Sebab tu aje cara saya mengungkapkan hari ibu kepada dia. 

Apapun, saranghae omma. Maaf Zahir dan Batin. :)

10/05/14

Ulasan Novel Hantu Punya Bos!

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Google



Novel Hantu Punya Bos! ni ditulis oleh seorang penulis muda yang berbakat iaitu Dekna Lee. Tak silap saya, novel ni ada memenangi anugerah. Juga merupakan sebuah novel bestseller, terbitan Love novel. Tengok terbitan dah tahu memang jenis cerita romantik.

Secara ringkasnya, novel ini mengisahkan tentang seorang lelaki macho tetapi sangat berlagak yang bernama Arrayyan. Mentang-mentang dia majikan, ikut suka hati dia aje nak kutuk pekerja bawahan dia. Diela sering menjadi mangsa kutukan. Disebabkan tak tahan dan juga mahu berkahwin, Diela buat keputusan untuk berhenti.

Namun begitu, Arrayyan menetapkan syarat bahawa Diela harus mencari penggantinya, barulah dia dibenarkan untuk berhenti. Sebab dah buntu sangat, akhirnya Diela memilih Abby iaitu kawan baiknya untuk menggantikan tempatnya.

Pada awalnya Abby tak nak. Tetapi selepas dia kasihankan ibunya yang sudah tak bekerja, dia terpaksa juga akur untuk menerima tugas itu. Abby ni boleh dikatakan seorang yang berpendirian juga. Selagi dia tak buat salah, dia akan cuba mempertahankan dirinya. Namun ada satu perkara yang menarik tentang Abby. Dia kuat melatah.Faham-fahamlah kalau dah terserempak dengan majikan yang suka menjerkah. Memang Arrayyanlah yang selalu panas hati kat sini.

Tapi lama-kelamaan, Arrayyan jatuh cinta kepada Abby. Ada sedikit konflik yang berlaku semasa mereka bercinta. Untuk mengetahui kisah yang seterusnya, anda kenalah beli sendiri novel ni.

Bagi saya, novel ni boleh dibaca. Gaya bahasanya santai. Banyak juga unsur humor. Cuma ada sesetengah bahagian, saya sangat tak berkenan. Mungkin ni pendapat peribadi saya sendiri. Apa pun, tahniah kepada Dekna Lee kerana berjaya menghasilkan novel ni. :)

5/05/14

E-novel (Kisah Mia) - Bab 1

Teks: Siti Khatijah Diana

Bab 1

Yeay!

Akhirnya. Umur aku genap juga pada hari ini. Bermakna pada saat ini, aku, Mia Farida, telah berumur 18 tahun dengan rasminya. Gembiranya rasa hati. Rasa nak melompat-lompat biar sampai ke langit. Tapi takut pula tertembus kapal terbang. Batalkan sajalah niat tak senonoh macam tu.

Minggu lepas, aku baru saja lepas mengambil keputusan peperiksaan SPM. Sekali lagi aku gembira. Gembira fasal result kah? Hish. Tak ada maknanya. Gembira sebab dapat jumpa kawan-kawan aku. Ada yang masih sama macam dulu. Pendek takat itu jugak. Ada yang tinggi tu, naiklah seinci dua.

Yang paling tak tahan, tengok beberapa orang pelajar dari kelas lain. Kawan juga tapi tak berapa rapat. Suam-suam kuku gitu. Apa yang aku cakap tak tahan tu? Tengok gaya dan cara pemakaian mereka hari tu. Berubah terus. Macam mak datin. Ada seorang tu, adalah sikit-sikit macam model. Model keropok lekor gitu. Tapi lantak dialah. Malas aku nak fikir. Takut termengumpat pula. (biar dah umpat pun tadi). Haih.  

"Mia!!! Hidup lagi kau rupanya." Suara seseorang kedengaran di cuping telinga. Tak payah tengok pun aku tahu suara siapa. Memang dia seoranglah manusia yang tak berlapik mulut dalam sekolah ni.

"Haah. Kau pun sama kan. Aku ingat kau tak sempat datang hari ni." Orang bergurau macam tu, aku balaslah dengan macam tu jugak. Baru adil lagi saksama.

Oh ya. Biar aku kenalkan siapa manusia yang bermulut 'manis' tadi. Kalau mahu tahu, namanya Misiah. Kita orang selalu panggil dia Misi. Tapi dia tu, tak ada bakat pun nak jadi misi. Sebab dialah boleh dikatakan manusia paling takut dengan darah. 

Baru ni, entah macam tangan dia boleh tercucuk paku dekat meja guru. Apalagi. Tengok saja darah, dia tak bertempik pun. Tapi terus pitam. Memang haru betul. Tentang urusan bulanannya itu, aku rasa aku tak perlu tahu. Memang tak ada kerjalah kalau aku nak ambil tahu. 

Si Misi ni, boleh dikatakan kawan aku juga. Sama-sama mereng. Tapi dia lebih gila sikit dari aku. Kalau kegilaan dia bertambah sikit lagi, aku yakin dia dah boleh tempah awal-awal borang kat hospital bahagia tu. Nak suruh aku tolong ambilkan pun boleh. Anytime.

"Kau dapat berapa?" Misi terlebih dahulu bersoal. Tersengih-sengih dia. Kepala tak boleh duduk diam. Mahu mengintip sampai dapat keputusan yang berada di tangan aku.

"Sikit aje. Bolehlah cukup-cukup makan. Kau?"

Terus berubah air muka Misi apabila disoal aku. Muram betul. Macam orang baru lepas kena saman dengan bapak polisi. Muka tak rela tapi pasrah. 

"Tak payah tanyalah." Misi berkata sambil mengeluh, kecewa.

"Aik? Kau tanya aku, tak apa pulak. Takkan aku nak tanya kau tak boleh. Cepatlah cakap! Kau dapat berapa?" Aku mendesak dengan sesungguh hati. Nak terkeluar anak tekak aku menekan. Lantaklah... tapi aku tahu, itu sahabat aku. Memang begini cara kami meluahkan ekperesi diri. Cewah.

"1 C," jawab Misi sepatah.

Terus aku ternganga. 1 C aje? Benaknyalah hai... atau jangan-jangan dia ni sebenarnya jadi penembak ke masa jawab periksa hari tu.  Dengan kertas esei pun dia tembak jugak ke? Hahaha. Aku agaklah kan, mesti dia melukis. Tak pokok kelapa, mesti muka Cikgu Zainab. Cikgu bahasa Inggeris yang paling ditakuti di seluruh alam raya. Mesti punyalah.

Apabila teringatkan sesuatu, dahi aku berkerut hairan. Aik! Setahu akulah, Misi ni boleh dikategorikan dalam otak geliga. Kalau dia mati, pendek kata otak dia boleh dibuat  mata cincin. Antara calon-calon harapan kat sekolah. Jadi, macam mana pulak dia boleh dapat 1 C aje?

"Serius ke kau ni? Takkanlah 1 C aje."

"Seriuslah. Yang lain aku dapat... semuanya A." Misi berkata tanpa perasaan.

Aku tertepuk dahi sendiri. Punyalah kaw-kaw aku kutuk dia dalam hati tadi. Rupa-rupanya aku tertipu. Saspenlah minah ni seorang. Buat ngeri orang saja.

"Nah amik ni!" Geram berasa diri dipermainkan, aku terus menunjal kepala Misi. Terdorong dia ke depan. Itu nasib baik aku buat perlahan. Kalau aku buat kuat, memang sah hilang ingatan dia hari ni.

"Aduh! Sakitlah. Sampai hati kau buat aku macam ni." Misi buat-buat merajuk. Ada sengihan yang cuba disembunyikan olehnya. Sah... memang berniat pun nak buat gimik tadi. Hampeh punya kawan. 

"Padan muka. Main-main dengan aku lagi." Marah aku sambil mencerlang mata memandangnya. Kemudian, aku terus mendepangkan tangan. Senyuman turut terukir sama di bibir. "Apapun, tahniah kawan. Aku tahu kau memang dilahirkan pandai."

Tersengih-sengih Misi sebab dipuji. Dia turut membalas pelukan aku. Aku dapat rasa tubuhnya mula mengembang sakan. Banggalah tu sebab dapat keputusan cemerlang hari ni. Kena puji lagi. Aku harap, kau jangan meletup sudahlah, Misi.  

Buat seketika, kami diam membuat hal masing-masing. Misi tidak lepas memandang slip keputusannya. Sekali tengok, macam nak buat magic biar C yang sebiji tadi, bertukar menjadi A. Dan aku... pandangan aku dilontarkan ke arah sekeliling. Berusaha untuk mencari kelibat seseorang yang mahu diketemui sangat ketika ini.

"Ada nampak..." Aku menarik nafas berat. Rasa berat lidah pula mahu menyebut nama itu. Saat ini, tidak dinafikan aku berasa sedikit gementar. Aku tertanya-tanya sendiri. Apakah dia masih memarahi aku lagi dek peristiwa sebelum peperiksaan dulu?

"Sarah?" Misi cuba menduga. Lembut mata dia memandang bebola mata aku. 

"Haah."

"Ada. Tapi dia dah balik. Lepas dapat slip, dia terus berlari entah ke mana. Katanya, ada hal kecemasan. Tak sempat pulak aku tanya dia," kata Misi lagi.

Aku mengeluh kekecewaan. Ingatkan dapatlah berjumpa dengan dia hari ini. Rupa-rupanya tak ada rezeki lagi. 

"Oh. Tak apalah macam tu. Aku balik dululah. Rasa tak sabar pula nak tunjukkan keputusan ni kat orang tua aku. Kalau aku jadi kau, memang aku tak tunggu lama kat sini. Aku balik terus sebab nak tuntut hadiah. Bukan senang nak dapat 8 A tu. Apa pun, tahniah kawan." Sekali lagi, aku mengucapkan penghargaan itu kepada Misi.

Misi tersenyum lebar. Selepas bersalaman dan berlaga pipi, kami pun pulang menuju ke rumah masing-masing. Terhasut juga Misi dengan saranan aku. Cepat-cepat dia balik rumah dan tak mahu tunggu lagi. Entah apalah agaknya yang diminta sebagai ganjaran daripada orang tuanya nanti. Cemburunya...

Namun begitu, bukan rasa cemburu yang aku mahu fikirkan sekarang. Kepala aku hanya berfikirkan tentang diri seseorang. Siapa lagi kalau bukan si Sarah. Perlukah dia pulang awal tadi? Kenapa dia tak menunggu saja untuk bertemu dengan aku dulu? Kan masing-masing boleh berkongsi pasal keputusan ini.

Kepalaku berfikir lagi. Benarkah dia ada hal kecemasan? Jangan-jangan itu hanyalah alasan dia semata-mata. Dia pulang awal kerana tidak mahu bertemu dengan aku. Aku tahu dia cuba mengelakkan diri daripada terserempak dengan aku. 

Akhirnya, satu keluhan terlepas daripada mulutku. Nampaknya, Sarah masih lagi berdendamkan dengan perkara itu. Jadi, apa yang harus aku buat sekarang? Terus terang, aku sendiri tidak tahu.


p/s : tulisan ini hanya rekaan semata-mata. Tak ada kaitan langsung dengan sesiapa walau di mana jua anda berada. Juga tak pasti sama ada mahu diteruskan ataupun tidak. Hanya sebagai latihan untuk menulis. Selamat membaca. :)







 


 


3/05/14

Kisah Lagu Bangau Oh Bangau

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Koleksi Peribadi


Seperti yang pernah saya ceritakan dulu, inilah kawan rapat saya sekarang ni. She's funny, kyeopta, cerdik, dan bermacam lagilah. (mentang-mentanglah geng, habis hang puji. hahaha.)

Saya perasan, dia ni suka menyanyi. Tak padan dengan kecik. Ketika leka-leka, dapatlah tengok dia miming. Macam ada muzik pulak dalam kepala dia. Punyalah hebat. Siap feeling jiwang lagi kalau dia nyanyi lagu Hazama. 

Tu lelakan jiwa... tuk ..... mu. (dot-dot tu sebab tak tahu dia merepek apa ntah. Tangan dia dah melayang-layang kat udara.)

Selalu juga dia menyanyi lagu budak-budak. Terikut abang kot sebab abang dia dah sekolah. Dan terikut juga dengan kawan dia yang bernama Rizki. Rizki lagi pandai menyanyi sebab jarak umur dia dengan abang-abang dia tak jauh.

Lagu yang depa selalu melalak ke rumah babysitter nih, lagu bapaku pulang dari kota, labah-labah, rama-rama. Dan lagu favourite dia orang semua, Bangau Oh Bangau

Hendak dijadikan cerita, pada satu hari saya, emak dan dia ni pergilah berjalan-jalan dekat Pasir Tumbuh. Semasa hendak balik, boleh pulak terperangkap dalam jam. Silap percaturan pergi hari tu. Punyalah lama duduk dalam kereta. Tiba-tiba dia menguap dan saya pun menegur.

"Tutup mulut tu... masuk setan nanti."

Dia diam. Mungkin tak faham sebab dia masih kecik lagi. Umur 3 tahun. Entah macam mana, tiba-tiba ada satu lagu spontan keluar dari mulutnya.

Setan oh setan,
tenapa entau tuyus (kenapa engkau kurus)
macam mana atu tak tuyus, (macam mana aku tak kurus)

Dia tak sempat habiskan nyanyian sebab kami dah bantai gelak. Punyalah kelakar budak ni. Boleh pulak dia menyanyi spontan guna muzik Bangau Oh Bangau. Dan sepanjang perjalanan tu, keras perut kami sebab teringatkan kerenah dia. Dia buat tak tahu pun sebab tak tahu apa-apa.




2/05/14

Rina Oh Rina

Teks: Siti Khatijah Diana

Malam ini sunyi seperti malam-malam sebelumnya. Tiada lagi sebarang bunyi kedengaran. Baik di luar, mahupun di dalam rumah.Yang tinggal, hanya dia. Bunyi dia yang bernafas seorang diri. 

Tapi semuanya sudah terlambat. Kalaulah dulu dia menghargai kehadiran wanita itu, tentu dia takkan jadi begini. Otaknya kosong. Tak ada isi. Tak ada benda yang mampu difikir-fikirkannya lagi. Sama dengan rakan-rakannya yang berada di dalam wad tempoh hari.

Keletang-keletung. Keletang-keletung.

Rina mengeluh kasar. Rasa bengkak benar hatinya sekarang. Dari petang lagi, tak habis-habis hanya bunyi itu yang kedengaran. Mahu apa lagi? Perlu ke sampai ke malam bermain dengan peralatan bodoh tu? Bodohlah sebab tak pernah berikan kekayaan pun. Setakat boleh suap nasi tiga empat mulut, apalah sangat.

"Mak!" Rina menengking. "Apa ni mak? Orang nak belajarlah. Minggu depan orang nak periksa. Mak tahu tak, mak dah ganggu orang. Nak belajar pun tak senanglah."

Emak berpaling takut-takut. Berhenti terus dia dari menguli doh untuk dibuat karipap. Dia tak sangka, perbuatannya telah membuatkan Rina tidak senang hati.

"Mak minta maaf, Rina. Mak tak sengaja. Mak fikir kamu tak apa-apa. Mak buat kuih kesukaan kamu nak. Dan kuih untuk jualan mak esok." Emak bersuara cuak.

Mana mungkin emak memarahi Rina walaupun jelas dia berkurang ajar. Bagi emak, hanya Rinalah satu-satunya buah hatinya sekarang. Jadi kalau boleh, dia mahu menjaga hati Rina sebaiknya. Biarlah dia mengalah. Asalkan Rina gembira dan tidak kacau jiwanya.

"Argh! Mak ni, tak habis-habis dengan karipap bodoh mak tu. Mak ingat orang puji kuih mak tu, mak boleh jadi kaya ke? Tak pun kan? Jadi, dari mak menghabiskan masa buat perkara yang sia-sia tu, lebih baik mak pergi cari kerja lain. Sekurang-kurangnya, mak tak ganggu Rina nak belajar. Ni tak, sepanjang masa asyik duk buat  bising sampai ganggu orang nak belajar" Rina menghamun emak sesuka hati.

Emak memang seorang yang naif. Memandangkan dia buta huruf, jadi dia tak ada keupayaan untuk berfikir seperti manusia-manusia lain yang pernah bersekolah. Cadangan Rina itu disambut tanpa sebarang alasan. Emak turun dari rumah, lalu ke bandar untuk mencari pekerjaan yang sesuai untuk dirinya. Emak mengambil upah sebagai tukang sapu sampah di sebuah pasar basah tidak jauh dari kampungnya.

Hari demi hari berlalu. Rina sangat selesa berkeadaan sebegini. Kan bagus kalau emak tak ada dekat rumah langsung. Rasa bahagia hidup. Tak perlulah lagi dia terganggu dengan perbuatan-perbuatan emak yang menyerabutkan hati. Orang tua memang begitulah agaknya. Sering menyusahkan daripada memudahkahn.

Belum habis pun Rina menikmati hidup bahagia tanpa perlu diganggu sesiapa, tiba-tiba rumahnya dimasuki orang. Ada tiga orang kesemuanya. Dan mereka ialah lelaki. Rina terpinga-pinga. Namun dalam masa yang sama, hatinya sudah berdegup tidak sekata.

"Bos! Saya rasa lebih baik kita sembunyi kat sini dulu. Nampak macam selamat." Lelaki yang ada kesan cedera di mukanya itu, berkata-kata sambil meliarkan pandangan ke arah sekeliling.

Baru sebentar tadi, mereka bertiga telah dikejar oleh pihak polis. Bosnya cedera di kaki sebab ditembak, manakala dia dan sahabat yang seorang lagi, hanya cedera ringan saja.

Saat memandang ke arah sekeliling, ketika itulah pandangan mereka terserempak dengan seorang gadis. Gadis itu sedang memandang mereka dalam keadaan terkejut. Ada riak wajah pucat pada air mukanya. Mereka pun turut pucat kerana wajah mereka turut dikenali sama.

Memandangkan bukan orang baik yang singgah, jadi apalagi yang akan berlaku? Mana logik lelaki yang cedera pada mukanya itu akan masuk ke dapur untuk membuat air. Mana mungkin lelaki yang cedera ditembak itu, akan meminta minyak urut untuk disapu ke lukanya. Lelaki yang seorang lagi, tak payah cakaplah. Dialah yang beri idea awal-awal bahawa peluang baik tidak harus dilepaskan.

Dan semua itu pun berlalu. Rina sudah terkulai layu. Saat ini baru dia sedar, bahawa bunyi-bunyi yang dilakukan oleh emak sebelum ini, sebenarnya tidak patut dihentikan langsung. Jika tak, pasti ketiga-tiga lelaki durjana itu tidak akan menjadikan tempat tinggal dia sebagai tempat persembunyian.

"Mak..." ada air mata yang mengalir dari kelopak mata. Saat ini, hanya wanita itulah yang dimahukannya. Saat ini, hanya wanita itu yang mahu dipeluk olehnya. Saat ini...

"Rina! Oh Rina." Suara ketua kampung, kedengaran jelas di cuping telinga.

Rina cuba untuk bangkit. Namun disebabkan tidak berdaya, dia hanya mampu terduduk. Wajah ketua kampung, dipandang dengan rasa sebal. Sedangkan ketika itu, riak wajah ketua kampung, lebih sebal daripada riak wajahnya.

"Emak kamu kemalangan, Rina. Dia dah meninggal."

Petir seakan memanah tepat ke jantung Rina. Tangannya menggigil menekup mulut sendiri. Nafas Rina sudah tidak sekata. Segala urat sendiri Rina terasa lemah. Tidak sampai sesaat, Rina terjelepok ke bumi.

Sedar-sedar saja, Rina sudah menjadi penghuni di hospital ini.  




1/05/14

Musim Deactive Facebook

Teks: Siti Khatijah Diana

Assalammulaikum.

Lamanya tak masuk sini. Tak ada idea nak karang apa. Otak macam tepu dan lemau. Huhuhu.
Kenapa tajuk macam tu? Saja nak beritahu. Saya akan tutup fb buat sementara waktu. Saya memang jenis macam ni. Kalau ada benda yang nak dibuat, memang akan tutuplah akaun tu.

Jadi, sesiapa nak berhubung dengan saya, boleh komen kat blog ini ya. Tak tahu selama mana nak tutup. Tengok keadaan. Oklah. Itu saja coretan untuk hari ni. Selamat hari buruh untuk semua. :)


p/s : kalau urgent, bolehlah email saya. (sitikhatijahdiana@yahoo.com)