31/12/13

Azam Tahun Baru 2014

Teks : Siti Khatijah Diana

Esok sudah masuk tahun 2014. Jadi, kenalah buat azam baru. Sekurang-kurangnya, hidup masih ada matlamat. Walaupun kebanyakan azam 2013 langsung tidak tercapai, tapi tidak salah pun kalau buat yang lain. Kan? Ngee...

Di bawah, saya sertakan azam yang saya tetapkan untuk tahun 2014. Insya-Allah, semoga diberi kekuatan.

1. Bawa azam 2013 ke tahun 2014
- memandangkan banyak azam tahun lepas tidak sempat dilaksanakan, maka saya ambil keputusan untuk menginjakkan saja azam itu ke tahun ini. Kalau tahun ini pun tidak lepas juga, saya injak ke tahun depan satu lagi. Begitulah seterusnya.


2. Buat Penjenamaan Diri

- kata guru saya, saya kena buat penjenamaan diri. Jadi rela ataupun tidak, terpaksalah saya ikut. Ini bermakna, bermula 1 haribulan Januari 2014, saya sudah kena kemaskini media sosial saya. Yang asalnya nama dekat facebook akronim saja, kenalah tulis Siti Nurhaliza, Siti Khatijah Diana. Yang asalnya wall FB tidak pernah dibuka, maka terpaksalah saya membukanya.

3.  Mahu Menerbitkan Sebuah Buku Kanak-kanak @ Remaja
- Ini adalah tujuan asal saya membuka blogspot. Impian sebenar saya untuk menulis sebutir buku untuk kanak-kanak ataupun untuk remaja. Dapat sebiji pun jadilah. Tapi rasanya impian ini sangatlah susah dan banyak cabaran. Tapi tidak mengapa. Kalau tidak lepas tahun ini, saya injak ke tahun depan pula. Be positive okay?

Itu saja. Doa-doakanlah agar azam 2014 saya ini tercapai, lalu tidak perlulah saya menginjak azam ini ke tahun-tahun yang seterusnya pula. (Adeh... positif pelik saja bunyinya.)



Peace No War
Do Not Litter





30/12/13

Ulasan Novel 13 Jam A380

Teks oleh : Siti Khatijah Diana
Foto : Karyaseni



Buku ini dibeli semasa pesta buku. Dapatlah diskaun sikit-sikit. Okeylah kan. Kalau dapat banyak-banyak, tidak mencabarlah pula. Dapat percuma, terus sakit jantung. Lagi teruk.

Secara keseluruhan, buku ini mengisahkan tentang perjalanan seorang gadis yang bernama Hana. Hana memuja seorang lelaki bernama Haydar. Seorang lelaki yang super cool. Hebat serba-serbi. Tidak hairanlah kalau Hana memasang impian untuk bersama lelaki itu. Sampai sanggup jadi stalker tu. Hebat betul.

Hendak dijadikan cerita, Hana ditakdirkan untuk bertemu dengan Haydar semasa dalam perjalanan ke oversea sebab mahu sambung belajar. Entah macam mana, mereka berdua boleh jadi rapat. Sepanjang perjalanan yang memakan masa 13 jam di atas pesawat yang bernama A 380, mereka saling mengenali. Mereka berdua seolah-olah berada di dunia mereka sendiri. Gembira, ceria, indah, pendek kata, semua rasa ada.

Apabila tiba ke destinasi yang dituju, mereka terpaksa berpisah. Lagipun mereka berdua memiliki komitmen masing-masing. Haydar sudah berpunya dan bekerjaya besar. Manakala Hana hanya seorang pelajar. Namun semenjak kejadian itu, Hana tidak pernah mampu melupakan Haydar. Namun dia sedar yang dia harus berpijak di bumi yang nyata. Kenangan manis bersama lelaki itu hanya mampu dipahatkan di dalam hati.

Timbul kisah baru apabila Hana bertemu dengan Fawwaz. Seorang lelaki yang banyak memiliki rahsia besar di dalam hidupnya. Walaupun pada awalnya Hana tidak berkenan dengan Fawwaz, namun selepas mengenalinya, hati Hana mula terpaut kepada lelaki itu. Dengan Fawwaz dan keluarganya jugalah, Hana banyak belajar tentang Islam dengan lebih dalam.

Untuk mengetahui dengan siapa yang menjadi pilihan Hana, anda kenalah baca sendiri buku ini. Secara jujurnya, buku ini adalah buku terbaik yang pernah saya baca. Cara tulisan diolah dan gaya bahasa yang mudah, mampu membuatkan kita terbuai pada ketikanya.

Dalam masa yang sama, segala info dan maklumat turut diselitkan sama. Bukan sikit tapi banyak. Ternyata Evelyn Rose adalah seorang penulis yang berbakat besar dan hebat. (Patutlah ada master. Otak berapi dia ni).

Untuk penggemar novel, saya cadangkan novel 13 Jam A 380 adalah novel yang wajib dibeli. Anda tidak akan menyesal jika memilikinya. Percayalah. Saya lepas baca buku ini pun, siap peluk lagi bukunya. Memang gempak!


27/12/13

Kisah The Nanny

Teks : Siti Khatijah Diana

Seperti yang sedia maklum, kerja saya adalah sebagai pengasuh sampingan. Jom kita lihat siapakah calon-calonnya orang yang telah dibesarkan oleh saya (cewah), selama saya bergelar pengasuh terhormat. Muahahaha.


Nama si cowok ini ialah Rizalman. Nama ala-ala pereka fesyen gitu. Oh! Patutlah hang hensem memanjang ya? Alahai... baru perasan. Sekarang ini, umurnya sudah masuk 4 tahun lebih. Sudah sekolah pun. Baginda, beliau, dia merupakan anak sulung daripada dua beradik. Semasa kecil, orangnya kacak benar. Apabila sudah besar, kehensemannya mula ditelan zaman. Oh, kita orang selalu panggil dia dengan nama 'Jamang'. Hahaha...





Nama si cewek ini ialah ... Nurrisya Sheila. Namanya manja Isha. Umurnya dalam 2 tahun lebih. Suspek Dia adalah adik kepada Jamang tadi. Seorang budak yang baik dan sangatlah comel. Adakalanya, Isha ini ada menunjukkan ciri-ciri pelawak semulajadi. (hang jangan masuk raja lawaklah. Cek tidak mengaku pengasuh nanti.) Petah berbicara sama seperti abangnya.




Nama si kecil ini ialah Rizki. Nama penuh den lupa. Nanti saya kemaskini. Umur dalam 3 tahun lebih. Dia tiada kena mengena langsung dengan dua beradik tadi. Senang cerita, dia ini adalah anak orang lain. Hahaha.
Secara jujurnya, Rizki ini adalah seorang yang fotogenik. Kalau ambil gambar dia, memang nampak macam model gitu. Obses kamera mungkin. Jangan marah ya...



Okey. Ini yang terakhir. Mungkin selepas dia besar, saya sudah pencen. Hehehe. Sudah malas mengasuh. Penat dan pening. Nama sebenarnya dia ialah Adib Zafran. Dia yang paling kecil. Umur belum cukup setahun lagi. Seorang yang cerdik dan agak garang sikit. Tapi kalau jamu dek rimau, memang dia kalah. Huhuhu. Dia ini adalah.... sepupu kepada dua beradik tadi. Tidak percaya? Mohon percaya. Sumpah tak menipu.


Kesian Sekian, itu saja kisah The Nanny daripada saya. Tengoklah. Kalau saya rajin, saya kemaskini lagi. Tapi selalunya, saya ini lebih malas dari kura-kura. Sabar sajalah. :)





25/12/13

Ulasan Buku Kanak-kanak : Cef Pastri Senior

Teks oleh : Siti Khatijah Diana
Foto : Portal PTS





Buku ini dibeli selepas selesai menderma darah tempoh hari. Kebetulan, saya ada baucer dari SMO. Cari punya cari, terjumpalah buku ini.

Sejujurnya, ini adalah kali pertama saya membaca hasil tulisan Hayati Hanif. Guru online sayalah yang telah mencadangkannya.

Buku ini mengisahkan tentang tiga sekawan yang bernama Aina, Tini dan Zati. Aina ialah seorang peminat kek coklat yang tegar. Malahan, dia dikurniakan bakat dalam membuat kek. Maklumlah, ayahnya sendiri adalah pemilik kedai roti juga.

Satu hari, Tini menyatakan hasratnya untuk belajar membuat kek kepada Aina. Tini meminta pertolongan Aina untuk menyampaikan hasratnya untuk belajar bersama dengan Zati. Aina bersetuju namun ada beberapa syarat yang harus dipenuhi. Di sini, kita dapat melihat betapa licik dan comelnya perwatakan Aina yang cuba digambarkan oleh penulis.

Setelah syarat dipenuhi, Aina mengutarakan permintaan itu kepada ayahnya yang bernama Tuan Danial. Ternyata, Tuan Danial jauh lebih bijak. Dia menyuruh Aina saja yang membantu rakan-rakannya itu. Ada sesuatu yang mahu diterapkan oleh Tuan Danial kepada Aina.

Pada awalnya, Aina sangat keberatan. Pelbagai alasan yang dia berikan semata-mata untuk mengelat. Sehinggalah Tuan Danial menegur perbuatannya. Aina yang insaf, segera mengajar Tina dan Zati cara membuat kek.

Timbul masalah baru apabila tujuan asal Tini mahu belajar kek terbongkar jua. Aina menjadi marah kerana berasa tertipu. Dia yang mahu membalas perbuatan Tini yang telah menipunya, cuba mengaturkan satu pertandingan di antara mereka bertiga tetapi rancangannya tidak berjaya. Namun begitu semuanya tetap membuahkan pengakhiran yang manis buat ketiga-tiga mereka.

Secara keseluruhan, saya rasa cerita ini sangat comel. Tersenyum-senyum saya semasa membaca naskah ini. Watak-wataknya sangatlah lucu. Gaya bahasa dan cara olahan yang digunakan oleh penulis juga sangat sempurna dan lancar. Serius! Saya sendiri pun kagum dan terpegun dengan kebijaksaan penulis Hayati Hanis menyusun cerita.

Buku ini sangat sesuai untuk bacaan adik-adik. Ia mengajar erti persahabatan dan kerjasama. Bacalah. Anda pasti tidak akan rugi jika memilikinya.






23/12/13

Hospital

Teks: Siti Khatijah Diana

Assalammualaikum.

Hari ini, pagi-pagi sudah bertolak ke hospital. Bukan sebab sakit atau mahu cari penyakit. Tapi sebab mahu derma darah. Termasuk dengan hari ini, sudah masuk kali ke-12 menderma.

Entah macam mana, emak boleh bertanyakan satu soalan lucu. Bila hendak habis mendermanya? Saya pun pelik. Maksud dia apa? Dia mahu anak dia ini kena sedut darah sampai kering ke? Ke macam mana?

Akhirnya saya menjawab satu jawapan yang dirasakan tepat. Spontan punya jawapan. Nanti meninggal, kira habislah. Dia diam. Mungkin baru faham. Saya pun faham juga. Betullah kan jawapan itu?

Itu saja cerita hari ini.

22/12/13

Entri Pengenalan

Teks : Siti Khatijah Diana

Assalammualaikum dan salam sejahtera.


Nama diberi Siti Khatijah Diana. Saya dilahirkan pada 15 Febuari 1987. Sekarang ini, saya menetap di tempat kelahiran asal saya iaitu Kelantan Darul Naim. Saya merupakan lulusan dari Universiti Putra Malaysia. Bidang yang saya ambil ialah Bahasa dan Linguistik Melayu.

Selepas bergraduat tahun 2010, saya bergelut untuk mencari pekerjaan yang sesuai. Ada beberapa temu duga yang telah saya hadiri, namun rezeki tidak memihak kepada saya. Persaingan ketika itu sangatlah kuat sampaikan saya memilih untuk tinggal di rumah saja. (alasan mungkin. hihihi.)

Namun begitu, saya bukan boleh dikategorikan sebagai penganggur terhormat. Saya membantu ibu saya menjaga budak kecil. Senang cerita, saya ini boleh digelar sebagai baby-sitter terhormat. Okeylah kan? Dari tidak buat apa-apa.

Bermula dari situ, minat terhadap kanak-kanak mula bercambah. Namun harus juga saya maklumkan, saya tiada niat untuk membuka nursery. Saya tidak suka terlalu terikat. Takut tertekan. Silap-silap, bukan saya saja yang teraniaya, tapi kanak-kanak itu juga. Takut terbaling semua baby itu ke udara, esoknya saya masuk tv3. Tak mahulah saya.

Berikutan dari situasi itu, saya terfikir untuk melakukan satu pekerjaan yang dapat dilakukan di rumah saja. Terdetik di hati untuk melakukan dua perkara. Sama ada bisnes ataupun menulis.

Saya ada belajar tentang bisnes tapi sampai sekarang saya masih tidak faham apa-apa. Apa itu dropship? Consignment? Pre-order? Barang apa yang sesuai untuk dijual dan bermacam-macam lagilah. Banyak blog yang saya singgah. Ada ebook yang sudah saya khatamkan, namun saya masih tidak dapat memahami apa-apa. Fikir saya lagi, mungkin bisnes bukan satu bidang yang sesuai buat saya.

Akhirnya, saya buat pilihan kedua. Kenapa tidak menjadi penulis saja? Pokoknya di sini, untuk menjadi penulis, kita perlukan ilmu menulis. Satu lagi benda, kita kenalah kerap membaca. Masalah utama saya ialah, saya sangat tidak suka membaca. Bagi memudahkan cerita, saya boleh dikategorikan sebagai slow reader.

Namun saya tahu, semua itu tidak harus dijadikan alasan. Saya paksa diri saya beli buku macam-macam. Dari buku budak kecil sampailah ke buku orang tua. Sukar memang sukar. Mahu habis sebutir buku, rasanya memakan masa berhari-hari.

Sebelum menetapkan matlamat untuk menjadi penulis buku kanak-kanak dan remaja, saya ada cuba menulis cerita orang dewasa. Tapi rasanya cerita dewasa sangat tidak kena dengan jiwa saya. Saya pula yang akan tertekan setiap kali mengarang cerita. Sadis sungguh!

Apabila sudah menetapkan matlamat untuk menjadi penulis buku kanak-kanak dan remaja, terdapat pula masalah lain yang timbul. Tip dan maklumat berkenaan penulisan kanak-kanak dan remaja sangatlah tidak banyak. Jika ada bengkel pun, saya pula yang ada kekangan peribadi dan masalah kewangan. Semua itu sedikit sebanyak telah menggugatkan impian saya untuk menjadi penulis.

Mujurlah pada satu hari, saya ternampak satu status facebook yang telah ditulis oleh seorang rakan facebook saya. Namanya ialah Puan Mazlia Murat. Beliau mempromosikan kelas asas blog dan penulisan kreatif. Saya bertanya kepada beliau terlebih dahulu, jika saya masuk ke kelasnya, apakah saya akan mampu menjadi penulis buku kanak-kanak dan remaja?

Jawapan yang diberikan olehnya sangat mengejutkan saya. Mana tidaknya, beliau adalah seorang penulis buku kanak-kanak yang prolifik juga. Nama penanya, ialah Aizam Aiman. Beliau cakap, beliau boleh memberi bimbingan menurut pengalamannya. Terus saya mendaftar untuk masuk ke kelas online ini.

Berjaya atau tidak saya untuk bergelar penulis buku kanak-kanak dan remaja, bergantung kepada kesungguhan saya dan juga bimbingan daripadanya. Dan yang paling penting, jika ada rezeki saya dari Allah Taala, maka adalah. Yang penting, saya tidak boleh berputus asa. 

Sekian, itu saja daripada saya.