14/03/14

Tugasan ke 5



Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Facebook





Aku tak tahulah siapa yang bersalah dalam situasi ini. Sama ada dia ataupun aku sendiri. Tetapi, apabila dia cuba membangkitkan hal itu, terus terang aku memang terasa hati. Kesudahannya, aku segera buat keputusan tak nak temankan dia walaupun dia akan berangkat ke Beijing beberapa jam saja lagi.
“Betul tak nak ikut abang ni?” Soalan dia petang tadi kedengaran di cuping telingaku. Aku dapat dengar dengan jelas, suaranya seakan-akan merayu. Namun aku tetap keraskan hati dengan pendirian aku sebelum ini.
“Tak nak! Abang pergilah seorang. Hanim nak duduk rumah saja,” kataku tanpa berpaling pun ke arahnya. Protes betul aku kali ini.
“Janganlah macam ni, sayang. Abang kan dah kata tadi, abang gurau aje. Bukannya betul-betul pun. Abang cuma tumpang gembira, sebab kawan sepejabat abang dapat kahwin dua sebab isteri dia izinkan. Itu saja. Salah ke?”
“Tumpang gembiralah, konon. Tadi bersungut nak try juga tu kenapa? Abang tahu tak, benda-benda macam ni, sangat sensitif bagi kaum perempuan. Setiap kali kami terdengar aje berita-berita fasal ni, terus kaki kami akan goyang tau. Siapa yang sudi berkongsi suami? Cuba abang beritahu saya?” Aku bercekak pinggang sambil memandang tajam bebola matanya.
Aku perasan, ada sengihan yang cuba diselindungkan oleh suamiku itu. Aku tahu, pasti dia mahu menjawab ada. Namun disebabkan takut tengok aku melenting, dia rasa lebih baik dia telan jawapan tersebut. Hah. Baguslah kalau begitu. Kalau tak, sia-sia saja kena bebel dengan aku nanti.
“Laa... abang gurau saja. Percayalah. Tak terniat pernah pun abang nak menduakan sayang. Hanya sayang sahaja satu-satunya isteri yang ada di dalam hati abang. Sumpah!” Suamiku berusaha untuk membuatkan aku percaya dengan kata-katanya lagi.
Namun mungkin sebab aku terlalu emosi, aku lebih memilih untuk merajuk agar dia tak berani mengulangi perkara sebegini lagi.
“Abang tak faham. Dahlah abang. Malas saya nak layan abang lagi. Tengok muka abang saja, buat saya sakit hati. Daripada saya melenting tak tentu fasal, lebih baik saya masuk tidur. Pokoknya, abang pergi airport tu sendiri. Saya tetap tak nak temankan abang walau apa pun yang terjadi. Muktamad,” kataku lalu segera mengatur kaki masuk ke dalam bilik. Saat itu, aku sudah bertekad tidak mahu termakan dengan pujukannya lagi.
Keesokan pagi, aku terbangun daripada tidur. Rasa lapang dan tenang lebih menguasai diri tatkala ini. Mungkin persengketaan semalam, sudah pun hilang dibawa mimpi.
Aku tersenyum tanpa sedar. Ah. Tiba-tiba rasa rindu yang menggebu terhadap suami kesayanganku itu timbul. Selamat sampaikah dia? Mungkin belum lagi kerana aku melihat tak ada sebarang pesanan atau panggilan pun yang aku terima dalam telefon bimbitku.
Aku keluar dari bilik tidurku, lalu menuju ke ruang tamu. Alat kawalan televisyen segera aku capai lalu menghidupkan TV plasma.
Kebetulan ketika itu, aku dapat melihat seorang pembaca berita sedang membacakan berita tentang sesuatu. Air mukanya kelihatan tegang dan serius. Aku hanya mencapangkan telingaku untuk mendengar butiran yang diperkatakannya.
“Sebuah pesawat Malaysia Airlines MH 370, dilaporkan hilang daripada radar pada malam tadi. Pesawat yang sedang menuju ke Beijing itu dikatakan...”
Tatkala itu, aku dapat rasakan seperti ada langit yang runtuh lalu menghempap diriku. Segala urat dan sendiku mula menggeletar. Pesawat MH 370? Beijing? Bukankah itu adalah pesawat yang telah dinaiki oleh suamiku?
“Allah...” Tanganku pantas menekup mulut kerana tak percaya. Tanpa aku mampu menahan, perlahan-lahan butiran halus mula mengalir keluar dari kelopak mataku. Aku cuba bangkit namun seluruh kekuatanku seolah-olah hilang dalam sekelip mata.
Walaupun perit, memang itulah yang terjadi. Suamiku turut disahkan menjadi salah seorang daripada penumpang pesawat yang hilang itu. Sampai ke sekarang, masih tiada sebarang jawapan ke mana pesawat itu pergi walaupun sudah banyak usaha dan bantuan daripada negara jiran untuk mengesannya.
“Abang... baliklah bang. Sayang rindu sangat-sangat kat abang. Sayang minta maaf sebab berkasar dengan abang sebelum ni...” Aku menyeka air mataku yang masih tumpah membasahi pipi. Wajah suami yang tertera di telefon bimbit, aku tatap dengan penuh pengharapan.
“Abang... sayang berjanji. Kalau abang balik, sayang akan tunaikan segala permintaan abang. Sayang akan izinkan abang berkahwin lain dan berapa pun yang abang nak, asalkan abang balik. Sayang merayu sangat-sangat bang. Baliklah...” Malam itu, aku tertidur bertemankan air mata sambil mengharapkan semoga akan ada satu keajaiban yang akan berlaku pada keesokan hari.

9/03/14

Ulasan Buku Go Tasneem Gwiyomi

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Buku Prima



Naskah ini mengandungi 5 buah cerita pendek yang ditulis oleh gabungan lima orang penulis seperti Aleeya Aneesa, Hazrul Hafizi Lynn Dayana, Bikash Idris dan Anis Khalilah. Secara keseluruhan, buku ini berkisarkan tentang remaja dan memiliki nilai murni seperti persahabatan, kasih sayang dan sebagainya.

Misalnya dalam Go Tasnem Gwiyomi. Ia menceritakan tentang dua adik beradik yang saling mengasihi antara satu sama lain. Mereka berdua dimusuhi oleh seorang remaja yang bernama Jeslin. Jeslin malu mengaku yang dia mempunyai kakak yang buta. Sebab itu dia mencari pasal sebab tak suka Tasneem dan Mardihah berkawan rapat dengan kakaknya. 

Begitu juga dengan cerita lain iaitu Rahsia Mimpi, Awak Dah Tak Benci Saya? , Jom Kita Kawan dan Alahai, Kesiannya Dia!. Sarat mesej murni yang cuba disampaikan oleh mereka berlima kepada para pembaca. Satu lagi contoh, dalam cerita Alahai, Kasihannya Dia! , penulisnya menekankan untuk tidak menuduh seseorang terlebih dahulu tanpa usul periksa. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh undur, terlajak kata, buruk padahnya. 

Secara jujurnya, ada beberapa tempat di dalam buku ini yang mampu membuatkan saya mengalirkan air mata. Wuwuwu. Oleh itu, pendapat saya secara peribadi, buku ini harus dibaca oleh remaja-remaja di luar sana.


5/03/14

Ulasan Buku Rahsia di Puncak Tibet

Teks: Siti Khatijah Diana

Buku ini mengisahkan tentang perjalanan seseorang yang baru saja bergelar penyiasat muda. Uniknya tentang buku ini, ia menggunakan sudut pandangan kedua. Bermakna, jika kita ada pembacanya, maka kitalah yang akan menjadi watak utama dalam cerita ini. (Ala... nak ulas pun susah gayanya.)

Cerita ini membawa diri kamu untuk menerima satu misi penting. Kamu dikehendaki menyiasat tentang orang terbang di puncak Tibet. Hal ini kerana, orang yang menyuruh kamu iaitu Encik Fadil telah bertaruh dengan Encik James Lee bagi membuktikan kebenaran cerita itu.

Satu lagi perkara yang unik tentang buku ini, untuk membacanya, kita seolah-olah perlu melaksanakan sebuah misi. Contohnya, jika kita bersetuju untuk menyiasat, maka sila beralih ke muka surat '75' dan sebagainya.

Namun keunikan tidak dinafikan mendatangkan ketidakselesaan buat saya sebagai seorang pembaca. Bayangkan, jika saya terpaksa memilih di antara dua buah pilihan, tiba-tiba saja cerita itu boleh tamat sebegitu saja. Geram dengan keadaan ini, saya terpaksa mengulangi bacaan untuk mengetahui kisah yang seterusnya dengan membuat pilihan yang lain pula. Yang paling menyakitkan hati, tak ada juga kesudahan.  Haiya...

Tapi, saya tak nafikan mungkin genre ini mungkin sesuai untuk pembaca-pembaca yang sukakan kelainan dan misi pengembaraan. Tapi untuk saya yang dah masuk tahap reput tulang ni, saya memang tak selesa.Silap haribulan, boleh stres hidup disebabkan bahan bacaan seperti ini. Adeh.

3/03/14

Ulasan Buku Saudara Kembar Di Sekolah Tengku Asikin

Teks: Siti Khatijah Diana
Foto: Google



Buku ini mengisahkan sepasang kembar iaitu Lena dan Liza. Mereka berdua terpaksa memulakan persekolahan di Sekolah Tengku Asikin.Pada awalnya, mereka menentang keras keputusan kedua orang tua memasukkan mereka ke sekolah ini. Bagi mereka, sekolah ini tidak setanding dengan sekolah mereka sebelum ini.

Tidak dapat mengelak, mereka terpaksa bersekolah juga di sini. Pelbagai ragam dan karenah para pelajar membuatkan mereka bertambah benci. Namun Lena dan Liza tidak sedar bahawa mereka turut tidak disenangi oleh beberapa orang pelajar kerana sikap angkuh dan sombong mereka.

Hari demi hari berlalu, Lena dan Liza mula kenal perangai dan sifat para pelajar sekolah ini. Bagi mereka, para pelajar Sekolah Tengku Asikin tidaklah teruk seperti apa yang mereka sangkakan. Malahan, mereka mudah diterima apabila masing-masing mengubah sikap mereka.

Sepanjang mereka berada di sini, pelbagai suka dan duka terpaksa ditempuhi bersama. Ada kes salah faham, kes kecurian dan sebagainya. Disebabkan pengalaman itulah, hati mereka berdua mula terpaut sayang pada sekolah ini. Mereka menyesal kerana pernah tidak sukakan Sekolah Tengku Asikin. Habis saja penggal persekolahan, Lena dan Liza berjanji akan menyambung lagi pelajarannya di sekolah ini.